Dunia Melayu sememangnya berjaya melahirkan pahlawan pahlawan besar seperti Hang Tuah, Raja Haji, Tun Fatimah, Cut Nyak Dhien, Tok Janggut dan lain lain lagi.

Namun beberapa keratkah di kalangan kita ini yang mengetahui tentang dahulu pernah lahir seorang laksamana, sepertimana Hang Tuah yang berjaya mempertahankan kedaulatan tanah pertiwinya, dan paling hebatnya, beliau adalah seorang WANITA

Pahlawan yang jarang disebut namanya.

Pahlawan yang tidak pernah diceritakan sejarahnya dengan bangganya

Laksamana perempuan pertama pada zaman moden.

Tokoh perempuan yang disegani kawan dan lawan

Ya, tokoh yang saya maksudkan ialah Laksamana Cut Keumalahayati, laksamana wanita yang berkhidmat dalam Kesultanan Acheh yang berkuasa sekitar abad ke 16 dahulu

Salasilah penuh:
Keumalahayati binti Mahmud Syah bin Muhammad Said Syah bin Sultan Salahuddin Syah bin Sultan Ali Mughayat Syah

Moyangnya, Sultan Ali Mughayat Syah merupakan salah seorang kerabat diraja Champa yang mengasaskan Kesultanan Acheh Darussalam di utara Sumatera pada tahun 1513.

Bermakna Laksamana Keumalahayati berasal dari keturunan diraja Acheh dari jalur pengasas kerajaan Acheh sendiri.

KEHIDUPAN AWAL

Lahir pada tahun 1585, beliau lahir dalam keturunan bangsawan Acheh yang gagah berani dengan bapa dan datuknya sendiri adalah seorang Laksamana.

Memilih cabang ketenteraan sebagai kerjayanya, beliau akhirnya melanjutkan pelajarannya ke Maahad Baitul Maqdis di Banda Acheh(Kutaraja)pada masa itu.

Maahad Baitul Maqdis merupakan pusat pengajian ketenteraan di Acheh pada masa itu. Ianya dipimpin oleh seorang pahlawan berbangsa Turki bernama Pasha Khizir Reis.

Di sanalah beliau bertemu dengan seorang jejaka anak bangsawan daerah Meulaboh, Tunku Mahmuddin Said Al Latief, rakan sepermainannya semenjak kecil lagi. Setelah lama bermadu kasih, akhirnya mereka berkahwin.

KERJAYA DI ISTANA DARUDDUNIA

Setelah berjaya melanjutkan pelajaran di Maahad Baitul Maqdis, beliau dilantik oleh Sultan Acheh ketika itu iatu Sultan Alauddin Riayat Syah al Mukammil sebagai Ketua Protokol Istana Daruddunia ketika itu.

Suaminya pula, Tunku Mahmud Said Al Latief pula dlantik sebagai Laksamana Acheh yang bertanggungjawab mengetuai armada laut Acheh yang mengawal dan menguasai Selat Melaka ketika itu.

Tidak hairan Acheh pada masa itu mempunyai wanita yang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan ketika itu kerana kedudukan wanita dianggap tinggi oleh masyarakat Acheh pada masa itu.

Tambahan pula, ajaran Islam juga tidak menafikan kesamaan-rataan wanita dengan lelaki dalam pelbagai bidang.

SEGALANYA BERUBAH APABILA…

Berlaku satu peperangan besar antara tentera kerajaan Acheh dan Portugis di Teluk Haru, di mana tentera Acheh pada masa itu diketuai oleh baginda Sultan sendiri dan Tunku Mahmud Said, suami Keumalahayati sendiri.

Perang dimenangi oleh tentera Acheh sendiri, tetapi pihak Acheh mengalami kehilangan terlalu banyak tentera. Laksamana Tunku Mahmud Said juga turut gugur syahid dalam pertempuran itu.

Sebagai seorang isteri yaang kehilangan suaminya, tentulah beliau sangat sedih atas kepergian suami tercinta meninggalkan keluarganya, namun itu bukan bermakna beliau berputus asa dari kehidupan dan menerima bulat bulat sahaja takdirnya.

Beliau sendiri bersumpah di hadapan Sultan Alauddin Syah Al Mukammil, bahawa beliau akan menuntut bela atas kematian suaminya dan meneruskan perjuangan suaminya walaupun mungkin secara seorang diri.

TERTUBUHNYA REJIMEN ASKAR WANITA

Sultan Alauddin Riayat Syah al Mukammil akhirnya memperkenankan permintaan Keumalahayati dengan menubuhkan satu rejimen khas untuk wanita di mana Malahayati sendiri merupakan ketua laksamananya.

Pasukan itu digelar sebagai INONG BALEE yang terdiri di kalangan janda janda pahlawan Acheh yang gugur di Teluk Haru.

Awalnya pasukan Inong Balee hanya mempunyai 1000 orang sahaja

Namun, ianya kemudian bertambah kepada 2000 orang, disertai oleh gadis gadis muda yang ingin menjadi mujahidah dan syahid di jalan Allah.

Beliau juga membina sebuah kubu pertahanan di Teluk Krueng Raya, yang digelar sebagai BALAI INONG BALEE, di mana ianya juga merupakan tempat perlindungan kaum wanita yang kehilangan suaminya di medan perang.

Armada tentera laut Acheh yang diketuainya mempunyai sebanyak 100 kapal geliung besar(galleon) dengan boleh memuatkan setiap kapal seramai 400 hingga 500 orang. Setiap kapal galleon Acheh mempunyai sebanyak 5 buah meriam.

MALAHAYATI BERJUANG MENENTANG BELANDA

Acheh pada masa itu terkenal sebagai pusat perdagangan terkenal seantero dunia sehingga menimbulkan bibit bibit kecemburuan pada penjajah Portugis dan Belanda, yang rakus mahu menguasai mnopoli perdagangan di Alam Melayu ketika itu.

Pada 21 Jun 1599, eekspedisi Belanda dari Bantam, Pulau Jawa datang berlabuh di Pelabuhan Acheh. Ekspedisi dua kapal dagang Belanda bernama de Leuww dan de Leuwwin itu dipimpin oleh dua beradik, Cornelius de Houtman dan Frederick de Houtman.

Baginda Sultan menyambutnya dengan penuh istiadat dengan gembiranya, sehingga termeterainya perjanjian antara pihak Belanda dan Acheh. Namun perbuatan biadab dan bongkak dua beradik de Houtman tersebut telah menyebabkan baginda Sultan murka sehingga mencetuskan konflik di antara mereka.

Sultan Alauddin Riayat Syah al Mukammil mengarahkan pasukan Inong Balee, diketuai Malahayati sendiri untuk menyerang kapal Belanda tersebut.

Jeneral Cornelius de Houtman yang biadab itu akhirnya berjaya dibunuh oleh rencong Malahayati setelah beradu tenaga lawan SATU DALAM SATU di atas geledak kapalnya

SUBHANALLAH. . hebatnya srikandi muslimah Melayu di Acheh pada masa dahulu. Bertarung dengan ketua penjajah satu lawan satu dan berjaya pula menumpaskannya. . Hebat anak bangsaku dahulu. . . . .

Satu lagi ekspedisi Belanda pada 21 November 1600 tiba di Pelabuhan Acheh diketuai oleh Paulus van Carden. Ekspedisi Belanda itu sempat menenggelamkan satu kapal dagang Acheh dan mencuri muatan perdagangan lada hitam milik kapal tersebut, masuk ke dalamnya.

Pada tanggal 31 Jun 1601, satu lagi ekspedisi perdagangan Belanda tiba di Pelabuhan Acheh diketuai oleh Laksamana Jacob van Neck. Mereka memperkenalkan diri mereka sebagai bangsa Belanda yaang ingin membeli lada hitam di Acheh.

Laksamana Malahayati akhirnya menahan dan menangkap mereka. Tindakan ini dipersetujui oleh Sultan Acheh sendiri sebagai ganti rugi dan balasan atas perbuatan biadab ekspedisi Belanda sebelumnya itu.

MALAHAYATI DIPLOMAT TERBILANG

Kerajaan Belanda yang diketuai oleh Putera Maurice, Prince of Orange telah menghantar ekspedisi sebanyak empat buah kapal diketuai Laksamana Laurens Bicker
dan Komisioner Gerard de Roy, memberi hadiah dan surat permohonan maaf kepada Sultan Acheh. Perbincangan telah dibuat antara Keumalahayati dan pihak Belanda dan akhirnya persetujuan aman dipersetujui.

Acheh bersetuju membebaskan Frederick de Houtman, adik kepada Cornelius de Houtman dan rombongan Belanda yang lainnya. Sebagai imbalannya, Belanda harus membayar kerugian atas kecurian barang dagangan milik kapal Acheh yang ditenggelamkan itu. Belanda bersetuju membayar sebanyak 5000 keping emas. Mereka juga dibolehkan berdagang dan menjual barang mereka di Pelabuhan Acheh.

Selepas itu, Sultan Acheh menghantar tiga orang dutanya ke Amsterdam untuk melawat Putera Maurice bagi melanjutkan hubungan baik Belanda-Acheh. Walaupun Belanda sedang sibuk berperang dengan kerajaan Sepanyol pada masa itu, namun duta keerajaan Acheh disambut baik dengan upacara kenegaraan dan besar-besaran oleh Putera Maurice ketika itu.

Kebijaksanaan diplomatik Keumalahayati terserlah lagi apabila pihak Inggeris tiba ke Selat Melaka diketuai oleh Sir James Lancaster. Sebelum menghadap Sultan, Lancaster bertemu dahulu dengan Keumalahayati pada 6 Jun 1602. Lancaster kemudiannya meminta Acheh supaya menjalinkan hubungan diplomatik dengan pihak Inggeris dan memusuhi Portugis. Laksamana Keumalahayati hanya berpesan supaya pemintaan tersebut dibuat secara bertulis dan mempunyai pengesahan Ratu England.

Satu surat yang ditandatangani Ratu Elizabeth dipersembahkan James Lancaster kepada Sultan Acheh. Dengan perkenan Sultan Acheh, Inggeris berjaya membuka laluan perdagangan ke Jawa daan membuka pangkalan perdagangannya di Bantam(Banten).

MALAHAYATI MENYELESAIKAN KONFLIK ISTANA

Sultan Acheh, Sultan Alauddin Riayat Syah al Mukammil menempatkan anak sulungnya sebagai Raja Muda namun putera sulung tersebut berkhianat terhadap ayahandanya. Putera tersebut merampas takhta dari ayahandanya dan menabalkan dirinya sebagai sultan dengan nama Sultan Ali Riayat Syah (1604-1607 M).

Pada era pemerintahan Sultan Ali, pelbagai bencana melanda negeri Acheh antaranya bencana kemarau, pertumpahan darah antara kerabat diraja dan ancaman dari pihak Portugis yang menguasai Melaka ketika itu, namun Sultan Ali bersikap acuh tak acuh untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan serius.

Hal ini mencetuskan kekecewaan dari kerabat istana yang lainnya. Antara kerabat diraja tersebut ialah Darmawangsa Tun Pangkat yang menegur sikap Sultan. Tegurannya tidak diendahkan, sebaliknya baginda mengarahkan Darmawangsa ditangkap dan dipenjarakan.

Pada bulan Jun 1606, tentera Portugis dari Melaka yang dipimpin oleh Alfonso de Castro, menyerang perairan Acheh. Darmawangsa yang masih berada dalam penjara memohon kepada Sultan Ali supaya membebaskan dirinya dari penjara. Turut menyokong Darmawangsa ialah Laksamana Keumalahayati sendiri yang bejaya memujuk Sultan Ali sendiri.

Darmawangsa dibebaskan dan akhirnya bersama pasukan armada Keumalahayati berjaya menghalau Portugis keluar dari perairan mereka.

Disebabkan prestasi Sultan Ali yang dianggap lemah di mata umum rakyat, maka Laksamana Keumalahayati akhirnya memujuk Sultan Ali turun dari takhta. Sultan Ali akhirnya turun dari takhta dan melantik Darmawangsa sebagai Sultan.

Darmawangsa ditabalkan sebagai Sultan Acheh Daruddunia dengan gelaran Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Baginda akhirnya berjaya membawa Acheh menuju zaman kegemilangannya.

KENAPA SULTAN TIDAK MELANTIK LELAKI SEBAGAI LAKSAMANA?

Ini mesti persoalan yang akan keluar dari minda anda, kenapa Sultan Acheh pada masa itu tidak melantik sahaja kaum lelaki menjadi laksamana negara?

Kenapa harus perempuan?

Sultan Alauddin Riayat Syah al Mukammil yang melantik Keumalahayati sebagai Laksamana pada masa itu sangat tua, berusia sekitar 95 tahun atau lebih. Sebagai sultan, tidak hairanlah baginda juga mempunyai musuh atau mungkin ada pengintip yang bekerja bagi pihak musuhnya yang ingin menjatuhkan Sultan di istananya pada masa itu.

Tidak pernah dilakukan oleh mana mana pemerintah di Nusantara ini, baginda melantik kaum perempuan menyandang jawatan tinggi dalam bidang ketenteraaan di istana. Mungkin juga sultan agak trauma untuk mengambil kaum lelaki yang menyalahgunakan kuasa untuk menjatuhkan dirinya. (Davis dalam Jacobs, 1894), (Van Zeggelen, 1935).

Hal ini terbukti apabila Sultan melantik Keumalahayati sebagai Laksamana, malahan rakannya, Cut Limpah yang juga seorang pereempuan sebagai Ketua Jabatan Perisikan pada masa itu

Malahayati akhirnya syahid dalam peperangan menentang armada Portugis berhampiran Teluk Krueng Raya. Beliau akhirnya dikebumikan di leereng Bukit Kota Dalam, yang terletak kira kira 34 kilometer dari Banda Acheh kini.

Semoga Allah s.w.t merahmati perjuangan beliau dalam mendaulatkan kerajaan Islam di Nusantara ini dan memasukkan beliau ke dalam golongan orang yang berjuang di jalan Allah s.w.t.

Keumalahayati patut dijadikan contoh dan idola kepada orang perempuan Melayu Islam. Sifat keberanian dan ketabahan beliau selepas kematian suaminya patut dicontohi oleh generasi muda Muslimah zaman kini.

Al Fatihah untuk Laksamana Keumalahayati.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Raja Ariff Danial bin Raja Azhar, bernasabkan Bugis berbangsakan Melayu. Seorang anak Parit Buntar, Perak yang baru sahaja mencapai umur layak mengundi, kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Seorang pencinta sejarah, dan sentiasa berusaha mendalami ilmu sejarahnya selagi masih diizinkan bernyawa olehNya.

Leave A Reply