Semua sedia maklum Ferdinand Magellan mengetuai satu ekspedisi kapal Sepanyol yang menyebabkan dirinya dikenali sebagai orang pertama mengelilingi dunia. Bagaimanapun, dakwaan tersebut dianggap goyah kerana ada satu individu yang selayaknya mendapat penghormatan sedemikian. Orang tersebut ialah Enrique/Henry the Black atau watak fiksyen penulis Harun Aminurrashid, Panglima Awang. Siapa sebenarnya Enrique/Awang/Henry the Black dan bagaimana perkara sedemikian dapat dicapai?

Enrique de Malacca

Jika kita melihat pelbagai catatan membabitkan Magellan sama ada bersifat akademik atau sebaliknya, setiap catatan pasti menyebut beliau bersama hambanya yang dianggap setia. Tidak seperti elemen romantisme yang ditampilkan Harun dalam novelnya Panglima Awang yang merujuk beliau sebagai tokoh pahlawan Melayu yang gagah dan dijadikan hamba bagi melunturkan semangat perjuangannya, ia tidak terpakai kepada Enrique. Berdasarkan catatan sejarah, Enrique merupakan seorang remaja lelaki yang berumur antara 12-15 tahun yang dijadikan hamba oleh Magellan pasca-kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Remaja tersebut dikristiankan dan diberi nama Enrique. Namun, satu aspek yang merujuk Awang sebagai tawanan perang ada benarnya kerana boleh jadi, Enrique juga menjadi tawanan perang yang dibeli Magellan selepas kejatuhan Melaka.

Pasti ada yang mengatakan Awang/Enrique ini hanyalah satu watak khayalan semata-mata. Hakikatnya, Enrique benar-benar wujud seperti dicatatkan oleh anak kapal merangkap jurutulis ekspedisi, Antonio Pigafetta. Berdasarkan diari Pigafetta pada pada pagi 28 Mac 1521, nama Enrique muncul buat pertama kalinya.

Beliau diperkenalkan sebagai hamba Magellan berketurunan Melayu Sumatera dari Melaka dan turut bertindak sebagai jurubahasa tuannya ketika berkomunikasi dengan penduduk tempatan termasuk Raja Calambu dari Limasawa berhampiran Pulau Leyte. Catatan tersebut menunjukkan Enrique bukan saja fasih berbahasa Melayu tetapi juga lancar berbahasa Sepanyol.  Selain itu, beliau juga menjadi utusan Magellan berhubung dengan penduduk tempatan bagi mendapatkan bekalan makanan dan menjalin hubungan persahabatan dengan mereka. Berikut catatan Pigafetta:

“On Good Friday, the captain sent ashore the said slave, our interpreter, to the king, requesting him to cause, in return for his money, some provisions to be given for the ships, telling him that he had come into his country, not as an enemy, but as friend. The king, hearing that, came with seven or eight men in a boat, and boarded the ship, and embraced the captain, and gave him three porcelain jars covered with leaves and full of raw rice, and two Orades, which are fairly large fish of the kind described above, and he gave him also some other things…And by the said interpreter he caused the king to be told that he wished to be with him Cassi Cassi, that is, brothers. To which the king replied that he too wished to be the same with him”.

Satu lagi bukti kewujudan Enrique ialah kewujudan surat wasiat Magellan bertarikh 24 Ogos 1519 semasa Armada Maluku menunggu tiupan angin sesuai untuk berlayar. Dalam surat tersebut, kapten berbangsa Portugal itu menyatakan Enrique merupakan seorang hamba tawanan yang datang dari Melaka dan berusia 26 tahun. Dalam surat yang sama, Magellan turut menyatakan pembebasan hambanya itu dari belenggu perhambaan dan diberi wang pampasan sara hidup sebanyak 10,000 maravedi (mata wang Sepanyol) sekiranya beliau mati dalam pelayaran.

Selain itu, daftar kapal Trinidad yang menjadi sebahagian daripada Armada Maluku menjadi bukti kewujudan Enrique. Walaupun berstatus hamba, beliau didaftarkan sebagai jurubahasa/penterjemah dengan gaji sebanyak 1,500 maravedi sebulan. Bayaran tersebut sebenarnya melebihi bayaran yang diperuntukkan kepada pelaut mahir, pelaut perantis dan kelasi biasa.

Daftar kapal Trinidad (sebahagian daripada 62 orang kelasi).

Selain semua ini, nama Enrique turut disebut secara sepintas lalu semasa pertemuan antara Magellan dengan Raja Sepanyol Charles V pada 20 Januari 1518 di Valladolid. Dalam pertemuan berkenaan, beliau mempersembahkan Enrique seorang Melayu yang berasal dari Melaka dan sebagai pengesahan bahawa Magellan pernah sampai di Timur Jauh. Ini merupakan sebahagian daripada usaha beliau menyakinkan baginda untuk membiayai projek ke Timur di bawah panji Sepanyol.

Magellan Melayu

Pelayaran Enrique Melaka ke Eropah mengikuti Magellan pulang ke Lisbon berkemungkinan bermula pada Disember 1511. Menjelang Jun 1512, mereka berdua telah berada di Lisbon yang merupakan salah sebuah bandaraya pelabuhan terkemuka Eropah ketika itu. Pemergian ini menandakan titik permulaan pengembaraan Enrique belayar mengelilingi dunia. Sungguhpun begitu, tarikh dan kapal yang ditumpanginya tidak dapat ditentukan secara sah tetapi dari segi masa, garis masanya sama dengan masa ekspedisi Antonio de Abreu dan Francisco Serrao bertolak untuk menjejaki Maluku pada Disember 1511.

Pelayaran ini bukan sahaja memberikan Enrique pengalaman pertama keluar dari Kepulauan Melayu tetapi membolehkannya menjejaki Goa, Tanjung Pengharapan dan Cape Verde; pengalaman menerokai Lautan Hindi, Laut Arab, Lautan Atlantik, Lautan Pasifik dan Selat Magellan yang lebih luas serta amat berbeza sekali daripada laut yang biasa dilayarinya di Nusantara. Pengalaman ini juga turut mendedahkan Enrique dengan perubahan suhu sejuk, kapal layar dan teknologi Eropah yang jauh berbeza daripada pengalamannya sebelum ini.

Di Lisbon, mereka mengalami nasib malang apabila pelaburan yang dibuat Magellan bersama Pedro Annes Abraldez, seorang saudagar Portugis ketika berada di India tidak membuahkan hasil kerana saudagar itu meninggal dunia. Manakala warisnya menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan. Bagi mendapatkan semula wang pelaburannya, beliau menyaman Raja Portugal Manuel I memandangkan baginda berhutang dengan Abraldez dan mendesak permintaan untuk kenaikan elaun (moradia) serta peluang belayar ke Timur.

Sementara menunggu tuntutan mahkamah selesai, Magellan bertolak ke Azamor, Morocco pada 1513 dan turut serta dalam kempen mematahkan pemberontakan di tanah jajahan Portugis itu sambil ditemani Enrique. Nasib malang Magellan berterusan apabila kakinya tercedera dalam satu pertempuran yang mengakibatkan beliau menjadi tempang. Magellan sendiri dituduh menggelapkan wang kaitan penjualan ternakan rampasan kepada pihak musuh. Setelah tuduhan itu dibuktikan sebagai tidak benar, mereka pulang semula ke Portugal pada pertengahan tahun 1515 tetapi dipinggirkan Manuel I. Magellan yang semakin kecewa kerana jasanya tidak dihargai negara kelahirannya itu berpindah bersama Enrique ke Oporto sebelum berhijrah ke Sepanyol, musuh tradisi Portugal yang sedia menanti kehadiran pelayar berpengalaman sepertinya bagi menandingi kejayaan pelayaran Portugis di era Zaman Penemuan itu.

Oporto menjanjikan harapan baru buat Magellan dan Enrique dalam merencanakan projek ke Timur dengan belayar ke barat merentasi Lautan Atlantik untuk sampai ke Maluku sebelum cadangan tersebut dibawa kepada pihak yang bersesuaian seperti Sepanyol. Oporto dipilih memandangkan lokasinya yang jauh dari istana, sekaligus membolehkan rancangan mereka dikesan kerana sebarang maklumat tentang pelayaran adalah rahsia yang dilindungi kerajaan; tempat berkumpulnya para pelayar terutama jurumudi dan juga wilayah kelahiran Magellan.

Dari jurumudi yang ditemui di sana seperti Joao de Lisboa dan Joao de Lopes Carvalho, pelbagai maklumat dikumpul khususnya tentang pelayaran di kawasan barat Lautan Atlantik, kawasan selatan lautan tersebut dan kawasan di bahagian timur Melaka. Magellan turut menggunakan peluang ini mendalami pengetahuannya tentang carta pelayaran dan pengiraan garisan lintang. Selain jurumudi, mereka berdua turut berkenalan dengan ahli kaji kosmologi seperti Ruy Faleiro dan adiknya Francisco Faleiro yang kemudiannya menjadi rakan kongsi dalam projek tersebut serta ahli geografi dan pembuat peta seperti Pedro Reinel dan Jorge Reinel.

Bagi Enrique, satu perkara yang pasti ialah beliau tidak akan dapat kembali ke Melaka. Dengan suasana dan tempat yang asing, satu-satunya orang yang dikenalinya ialah tuannya Magellan. Begitu juga dengan Magellan yang terdesak, tiada masa hadapan dan hanya memiliki Enrique sebagai hamba. Keadaan ini menyebabkan kedua-duanya saling bergantung antara satu sama lain dan sekaligus, mengukuhkan ikatan persahabatan Magellan-Enrique. Enrique disayangi tuannya kerana bukan saja mudah menguasai Bahasa Portugis tetapi juga atas sebab sikapnya yang amanah, baik dan setia. Malah disebabkan usianya yang masih remaja, beliau menjadi aset Magellan kerana dapat menguasai segala ilmu berkenaan perkapalan, geografi dan pelayaran, sesetengahnya diajar oleh Magellan sendiri.

Walaupun telah menetap di Oporto, Enrique kerap ke Lisbon mengikut Magellan mengunjungi Casa Da India e da Guinea (Indian House) yang merupakan tempat pelbagai maklumat pelayaran Portugis disimpan. Ketika di Lisbon, mereka juga bertemu bakal penaja projek terutama kalangan mereka yang memusuhi Manuel I seperti Duarte Barbosa dan Christoper de Haro yang menyediakan tapak bagi penghijrahan Enrique dan Magellan ke Sepanyol. Selain itu, mereka juga mewar-warkan secara terbuka kepentingan Serrao di Ternate dan aktiviti penjelajahan Sepanyol sehingga menimbul rasa tidak senang di pihak istana.

Desakan ini membuka ruang kepada Magellan mengadap baginda buat kali ketiga dan terakhir sebelum berhijrah ke Sepanyol. Dalam pertemuan pada September 1517 itu, semua cadangan Magellan bukan saja ditolak. Bahkan, beliau dihina di hadapan khalayak istana. Peristiwa ini mempercepatkan penghijrahan tersebut yang turut disertai saudara mara Magellan lain yang direkrut di Oporto seperti Martin Mesquita dan anaknya Francisco Mesquita serta abang Martin, Alvaro de Mesquita. Selain mereka, rombongan ini juga disertai beberapa orang jurumudi berpengalaman seperti Joao de Lopes Carvalho dan Estevao Gomes.

Menjelang 20 Oktober 1517, semua anggota rombongan Magellan telah berada di Seville. Ketika tiba, Enrique berusia dalam lingkungan 17-20 tahun dan sudah berada di Lisbon lebih kurang lima tahun (1512-1517). Seville pada awal abad ke-16 merupakan sebuah bandaraya pelabuhan yang terletak di tebing Sungai Quadalquivir yang memainkan peranannya sama seperti Lisbon bagi Portugal. Kehadiran mereka telah diatur lebih awal atas usaha Diogo Barbosa melalui Juan de Aranda hasil restu Juan Rodriguez de Fonseca.

Usaha ini membolehkan Magellan bertemu Raja Sepanyol Charles V yang mahu diberi peluang mengetuai ekspedisi mencari laluan ke Maluku yang turut disertai Enrique. Menurut Rodrigue Levesque, Magellan merancang untuk mencari laluan di bahagian hujung paling selatan di benua Amerika Selatan yang baru ditemui sebelumnya oleh Columbus bagi mengelak pertembungan dengan Portugis yang pada dasarnya ingin memonopoli perdagangan rempah. Selain itu, Magellan berbuat demikian untuk menyelamatkan dirinya yang dianggap penderhaka oleh kerajaan Portugal. Dengan sokongan Raja Sepanyol dan pembiayaan modal Haro, Magellan dibekalkan lima buah kapal iaitu San Antonio, Trinidad, Conception, Victoria dan Santiago yang membentuk armada yang dikenali sebagai Armada Maluku (Armada de Molucca) termasuk segala perbelanjaan dan kelengkapannya.

Ekspedisi ke Maluku ini bermula pada hari Isnin, 10 Ogos 1519 bersamaan dengan perayaan Hari St. Lawrence dari pelabuhan Seville menyusuri Sungai Guadalquivir ke muara di San Lucar de Barrameda, sebuah pelabuhan di selatan Sepanyol. Dari Sanlucar de Barrameda armada belayar keluar ke Lautan Atlantik pada hari Selasa 20 September 1519. Persediaan ekspedisi pelayaran ini mengambil masa selama setahun dengan kos perbelanjaan keseluruhannya berjumlah 8,751,125 maravedi. Walaupun ekspedisi ini ditaja Sepanyol tetapi kelibat pelaut Portugis yang ramai terlibat termasuk Magellan menimbulkan konflik Sepanyol-Portugis dalam armada.

Sentimen bangsa ini dikeruhkan lagi oleh Foncesa sejak kerja-kerja persiapan lagi dan ia memuncak semasa pelayaran menyebabkan berlakunya beberapa siri pemberontakan. Bagi mengukuhkan kepentingannya, Foncesa meletakkan beberapa orang kepercayaannya sebagai pegawai tertinggi armada bagi menyaingi kuasa Magellan. Selain ancaman warga Sepanyol dalam armada, Magellan juga menghadapi ancaman Portugis baik sebelum mahupun semasa pelayaran yang cuba memintas dan memusnahkan armada.

Keseluruhan ahli ekspedisi ini merangkumi pegawai hingga kepada kelasi biasa berjumlah seramai 270 orang. Mereka datang dari pelbagai negara dengan sebahagian besarnya berasal dari  Sepanyol seramai 165 orang dengan kelasi yang berasal dari Basque seramai 29 orang. Baki kelasi lain ialah Portugis (31), Itali (29), Perancis (17), Jerman, Fleming, England, Greek, Negro (Afrika) dan termasuklah Enrique, warga peribumi Melaka.

Pada 26 September 1519, Armada Maluku singgah berlabuh di Pulau Tenerife, Kepulauan Canary. Di situ, Magellan menerima pesanan bapa mertuanya mengingatkannya agar berhati-hati terhadap niat jahat kapten kapal San Antonio, Juan de Cartagena yang mahu membunuhnya. Belayar sehingga ke pesisir pantai Liberia dan Sierra Leone tanpa singgah di Cape Verde menimbulkan kemarahan Cartagena. Dan ketika armada berada berhampiran pantai Sierra Leone, Cartagena cuba mencetuskan pemberontakan tetapi berjaya dipatahkan. Setelah Catagena ditahan, armada mula menyeberangi Lautan Atlantik. Pada 29 November 1519, mereka berjaya menyeberangi Lautan Atlantik bila sampai di Pernambuco, Brazil dan hanya berlabuh pada 13 Disember 1519 (Hari Saint Lucia) di Teluk Guanabara, Rio de Janeiro.

Setelah berlabuh selama dua minggu untuk membaiki kapal, mengisi bekalan baru dan menghukum pesalah dari pemberontakan yang digerakkan Cartagena, pada 26-27 Disember 1519 mereka bergerak menghala ke selatan menyusur pantai timur benua Amerika Selatan sepanjang negara Argentina kini, ke kawasan yang belum pernah diterokai dan dijelajahi oleh orang Eropah ketika itu dengan harapan mencari laluan menghubungkan Lautan Atlantik ke Lautan Pasifik. Oleh itu, setiap teluk dan muara sungai yang ditemui sepanjang pelayaran diperiksa dengan harapan laluan yang dicari-cari itu dapat ditemui.

Bagaimanapun sepanjang pelayaran, mereka sering dilanda ribut dan menghadapi musim sejuk yang melampau sehingga menimbulkan keresahan di kalangan anak kapal termasuk Enrique dan mengundang kerosakan kepada armada. Bagi warga Sepanyol terutamanya Luis de Mendoza, kapten baru Victoria selepas Cartagena, mereka menyalahkan Magellan kerana cuai sehingga menyebabkan mereka berada dalam keadaan bahaya ini sebagai alasan untuk bangkit memberontak pada masa yang sesuai.

Hampa dengan Rio de la Plata yang hanya merupakan sebuah muara sungai bukannya laluan seperti yang diharapkan, armada meneruskan pelayaran hingga sampai di San Julian pada 31 Mac 1520. San Julian merupakan sebuah teluk semulajadi yang membolehkan armada berlabuh selama lima bulan bagi berlindung menghadapi musim sejuk. Di sinilah pada 1 April 1520, Mendoza bangkit mengetuai satu pemberontakan terbesar menentang Magellan dan berjaya menguasai tiga buah kapal yang terdiri daripada San Antonio, Conception dan Victoria. Pemberontakan tersebut berjaya dipatahkan dan semua pemberontak yang terlibat ditahan, diadili dan dihukum dengan kejam. Mayat Mendoza yang mati dibunuh dipotong kepada empat bahagian dan dipakukan pada sebatang tiang.

Turut menerima nasib sama ialah kapten kapal Conception, Caspar de Quesada yang dipancung dan tubuhnya juga dipotong empat bahagian. Cartagena dan seorang paderi bernama Pedro Sanchez Reina pula ditinggalkan di sebuah pulau kecil tanpa penghuni apabila armada bergerak meninggalkan San Julian. Baki pesalah lain dirantai dan dipaksa melakukan kerja berat termasuk membersih dan membaiki kapal yang rosak. Peristiwa di San Julian ini merupakan kemuncak tentangan orang Sepanyol ke atas Magellan yang disaksikan sendiri oleh Enrique.

Pada 24 Ogos 1520, Armada Maluku belayar meninggalkan San Julian dan menuju ke selatan.42 Pada 21 Oktober 1520, mereka berjaya menemui Cape of the Elevan Thousand Virgins yang merupakan pintu masuk kepada laluan yang dicari dan kini dikenali sebagai Selat Magellan. Sebelum sempat melepasi selat ini, kapal San Antonio yang merupakan kapal simpanan bekalan makanan armada berjaya memisahkan diri dan belayar pulang ke Seville. Ini menyebabkan pelayaran menyeberangi Lautan Pasifik hanya disertai tiga buah kapal sahaja iaitu Trinidad, Conception dan Victoria.

Pengalaman menyeberangi Lautan Pasifik amat mengerikan. Selepas lebih kurang sebulan belayar secara berterusan, semua simpanan bekalan makanan rosak sementara air minuman pula sudah tidak sesuai diminum. Bekalan makanan tidak dapat diganti memandangkan tiada terdapat dataran tanah yang sesuai kecuali pulau-pulau kecil yang tidak berpenghuni. Bagi mengelak kebuluran, mereka terpaksa bertahan dengan makan biskut lama yang telah rosak dan hancur, kulit pembalut tiang layar, pelapik pelantar dan tikus yang berkeliaran dalam kapal.

Keadaan tambah meruncing apabila kebuluran berlaku hingga merebaknya penyakit skurvi dalam kalangan anak-anak kapal. Penyakit tersebut berlaku disebabkan oleh kekurangan vitamin C dalam badan, satu perkara lazim yang berlaku ke atas para pelaut akibat berada terlalu lama di laut tanpa mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Mangsa kebiasaanya mengalami bintik kemerah-merahan gelap pada kulit terutamanya pada betis dan kaki serta gusi membengkak lalu menyebabkan ketanggalan gigi.

Selain itu, terdapat juga mangsa yang mengalami hidung berdarah, parutan lama terbuka semula, kehilangan kuku dan juga kerap membuang air besar hingga menyebabkan muka pucat, mata cengkung, lemah tidak bermaya dan merasai kemuraman. Serangan penyakit ini mengehadkan pergerakan anak-anak kapal bagi menguruskan armada. Keseluruhannya, penyakit skurvi membunuh 19 orang kelasi terutama di kapal Victoria daripada 25-30 orang yang menghidapinya ketika menyeberangi Lautan Pasifik.

Sungguhpun ramai yang mati akibat serangan penyakit skurvi tetapi Enrique, Pigafetta, Espinosa dan Magellan tidak menghadapi masalah kesihatan sama. Hubungan rapat mereka bertiga dengan Magellan memberi peluang kepada mereka menerima resepi peribadi Kapten-Jeneral itu iaitu jeruk buah quince yang mengandungi vitamin C yang amat tinggi. Pengambilan jeruk ini sudah tentu mengelakkan mereka dari diserang penyakit skurvi berbanding anak-anak kapal lain. Jeruk buah ini merupakan antara barangan peribadi Magellan yang dibungkus rapi ketika konsul Portugis di Seville mengunjunginya semasa cuba memujuk pelayar veteran itu membatalkan niatnya mengetuai armada Sepanyol dan balik semula ke pangkuan Manuel.

Walaupun diserang kebuluran dan penyakit tetapi mereka bernasib baik kerana belayar dalam cuaca baik. Kejayaan itu membolehkan Magellan dan anak-anak buahnya termasuk Enrique sebagai pelayar pertama melayari dan merentasi Lautan Pasifik itu pada abad ke-16. Setelah belayar selama tiga bulan 20 hari, pada 7 Mac 1521 mereka akhirnya sampai di Guam dan seterusnya tiba di Pulau Samar, Filipina pada subuh hari Sabtu 16 Mac 1521, setahun setengah selepas meninggalkan Sanlucar de Barrameda di Sepanyol. Keesokan harinya mereka berlabuh di Pulau Suluan yang tidak berpenghuni yang terletak di selatan Pulau Samar.

Di Filipina terutama di Pulau Cebu, Enrique muncul dalam catatan diari Pigafetta bila mampu berkomunikasi dengan peribumi tempatan menggunakan bahasa Melayu yang merupakan lingua franca di Nusantara. Kebolehannya bertutur menyebabkan Enrique menjadi jurubahasa sepanjang keberadaan armada di perairan Filipina. Pertembungan dengan penduduk peribumi itu kemudiannya membolehkan mereka menjalin hubungan persahabatan dengan Raja Humabon dan memudahkan usaha Magellan menyebarkan agama Kristian sekaligus menyediakan tapak kukuh bagi dominasi Sepanyol dalam ekspedisi akan datang.

Walaupun agama ini mudah diterima oleh peribumi Cebu tetapi tidak bagi kepulauan lain terutama di Mactan. Ini menyebabkan ketuanya, Raja Lapu-Lapu bangkit menentang sehingga menyebabkan pertempuran di pantai Punto Engano di utara Pulau Mactan yang akhirnya membawa kepada kematian Magellan pada pagi Sabtu 27 April 1521. Dalam pertempuran itu, kumpulan Magellan yang terdiri daripada hanya 45 orang sukarela menghadapi tentangan ribuan penduduk Mactan. ‘Kebenaran’ agama Kristian dan kehebatan teknologi perang Eropah nyata tidak memihak kepada Magellan dengan tujuh orang Sepanyol mati dan beberapa orang lagi menyusul beberapa hari kemudiannya manakala 15 orang Lapu-Lapu terbunuh. Walaupun cedera dalam pertempuran berkenaan, Pigafetta dan Enrique berjaya melarikan diri kembali ke kapal.

Sehari selepas pertempuran Mactan, berlaku pula peristiwa pembunuhan pegawai atasan Sepanyol pada pagi hari Khamis 1 Mei 1521. Peristiwa ini berlaku apabila Raja Humabon belot ke atas tetamunya. Peristiwa yang dikenali sebagai ‘jamuan kematian’ (banquet of death) ini sering kali dikaitkan dengan penglibatan Enrique sebagai perancang utama dalam mempengaruhi Raja Humabon. Enrique didakwa bertindak menentang rakan pelaut Sepanyolnya kerana kebencian dan kemarahannya terhadap Duarte Barbosa akibat satu pertengkaran yang menyebabkan maruahnya tercabar.

Dalam pertengkaran itu, Enrique yang tercedera dan masih bersedih atas kematian tuannya telah dicerca teruk oleh Barbosa sehingga menyinggung perasaannya. Dalam catatan Pigafetta, Barbosa sama sekali tidak berminat memenuhi wasiat Magellan berkenaan kebebasan Enrique kerana berpandangan lelaki tersebut masih hamba isteri Magellan, Madame Beatrix. Barbosa turut mengugut sekiranya Enrique enggan turun bersama mereka, dia akan dicampak keluar dari kapal atau dibunuh. Menurut Figafetta, peristiwa ini yang mendorong rakan karib Magellan itu berpakat dengan Raja Humabon untuk membunuh saki-baki anak-anak kapal Armada Maluku.

Dalam komplot tersebut, Enrique dan Raja Homabun memerangkap mereka dengan mengatur satu jamuan bagi meraikan mangsanya. Ketika jemputan sedang enak menikmati juadah, tiba-tiba mereka diserbu tentera Raja Humabon dan dibunuh dengan kejam. Seramai 27 orang yang menghadiri jamuan tersebut dibunuh kecuali Joao de Lopes Carvalho dan seorang konstabel yang terselamat kerana pulang ke kapal lebih awal kerana mengesyaki ia sebenarnya satu perangkap.

Sebaik tiba di kapal mereka terdengar jeritan dan kekecohan dari pantai. Tatkala itu juga, sauh diangkat dan armada dirapatkan ke pantai dan mula membedil ke daratan. Ketika anak-anak kapal membedil pantai, mereka ternampak Serrano yang berlumuran darah diheret ke pantai. Serrano yang khuatir dirinya akan dibunuh merayu kepada Carvalho supaya berhenti membedil dan menebusnya. Walau bagaimanapun, permintaan tersebut tidak dilayan Carvalho kerana ingin menjadi kapten armada memandangkan dirinya satu-satunya pegawai tertinggi yang masih tinggal.

Gambaran peristiwa malang itu adalah tulisan Pigafetta yang mungkin digembar-gemburkan kerana tidak menggemari Carvalho dan kaitannya dengan peristiwa penculikan wanita ketika berada di perairan Laut Sulu selepas itu. Sebaliknya, dalam sumber lain, Carvalho diperlihatkan sebagai seorang yang bertanggungjawab dan berusaha menyelamatkan Serrano dengan menghantar dua buah meriam seperti yang dituntut Si Lapu-Lapu sebagai tukaran.

Setelah dihantar ke pantai, tuntutan itu digandakan lagi sehingga menyebabkan Serrano mengarahkan agar armada itu belayar meninggalkannya di situ bagi mengelakkan ekspedisi itu terancam. Sikap Serrano ini selari dengan sikap yang ditunjukkannya selama ini dalam pelbagai misi peninjauan yang diarahkan Magellan baik di Rio de Janeiro, Rio de la Plata, San Julian dan Selat Magellan. Armada itu kemudiannya belayar menghala ke Bohol lalu membakar kapal Conception berikutan kekurangan kelasi untuk menguruskannya. Bilangan kelasi kapal berkenaan hanya berjumlah 115 dari jumlah asalnya 270 orang bagi meneruskan pelayaran mencari Maluku.

Tidak diketahui apa yang berlaku kepada Enrique selepas Pertempuran Mactan dan Jamuan Kematian yang diatur Raja Humabon. Ini kerana entri terakhir Pigafetta berkenaan anak jati Melaka itu hanya merujuk sikap tidak puas hati Enrique terhadap Barbosa pasca-kematian Magellan. Ada kemungkinan Enrique memutuskan untuk menetap di Cebu, membina keluarga dan hidup secara bersederhana.

Ini dibuat bagi menjaga keselamatan dirinya dari diburu kerajaan Portugal yang menganggap dirinya lebih Sepanyol berbanding Melayu. Dan tidak mustahil kemungkinan Enrique pulang ke Melaka seperti digambarkan Harun dalam novel Panglima Awang turut berlaku. Kemungkinan berkenaan tidak seharusnya ditolak memandangkan hubungan perdagangan Melaka dengan wilayah Filipina, sekaligus membolehkan dirinya menumpang kapal dan kembali ke kampung halaman.

Berkenaan siapa yang selayaknya mendapat gelaran orang pertama yang mengelilingi dunia, kehormatan tersebut seharusnya jatuh kepada Enrique/Awang dan bukan Magellan. Ini kerana apa yang dilakukannya itu melebihi apa yang dilakukan Magellan dan Sebastian del Cano yang menjadi pujaan Sepanyol. Walaupun beliau tidak kembali kepada titik permulaannya di Melaka, Enrique kembali ke rantau Melayunya dengan perjalanan mengambil masa sembilan tahun (1512-1521). Penulis buku Magellan Histriography, Martin Torodash berpandangan kehormatan tersebut seharusnya diberi kepada Enrique dan bukannya Magellan. Pandangannya turut disokong ramai sejarawan lain seperti Samuel Eliot Morison, Carlos Quirino dan John Keay.

Siapa sebenarnya Enrique/Awang?

Kita tertanya-tanya siapa sebenarnya Enrique/Awang yang mendapat kehormatan sebagai orang pertama mengelilingi dunia. Antara ciri yang kita dapat lihat dalam catatan sejarah ialah kesetiaannya terhadap Magellan sehingga ke akhir hayatnya, mampu berbahasa Melayu dengan fasih dan berupaya berlayar di lautan walaupun dalam keadaan yang mencabar. Semua petunjuk ini sebenarnya merujuk kepada kelompok yang menyumbang kepada asas pembangunan dan kegemilangan kesultanan-kesultanan Melayu terutama Kesultanan Melayu Melaka: Orang Laut.

Orang Laut yang digelar dengan pelbagai gelaran seperti sea gypsies, sea nomads, sea folk, sea hunters and gatherers, people of the sea, dan juga boat tribe adalah satu kumpulan suku kaum yang hidup secara nomad di laut serta meliputi kumpulan yang menjalani kehidupan di pesisiran pantai dan terlibat dengan pelbagai pekerjaan maritim. Secara tradisinya, Orang Laut merupakan kumpulan suku kaum yang menjalani kehidupan secara kekal di dalam sampan tanpa sebarang petempatan tetap di daratan. Oleh itu, kehidupan suku kaum ini secara tradisinya adalah di laut terutama di selat-selat sempit di sekitar pulau-pulau di sepanjang Selat Melaka antara Sumatera dan Semenanjung yang menganjur dari utara ke selatan ke penghujung timur selat tersebut hingga ke Riau-Lingga.

Sepanjang lipatan sejarah Asia Tenggara, Orang Laut memainkan peranan yang amat penting dalam kebangkitan dan kejatuhan sesuatu negara-kota di sepanjang Selat Melaka, selat perdagangan terpenting di wilayah ini yang dianggap lebuh raya mereka sejak sealaf lamanya. Sebagai kumpulan yang mahir tentang selok belok kehidupan di laut termasuk mengetahui arus, angin dan cuaca serta berpengetahuan melayari kawasan sekitar yang dipenuhi sungai, pulau, kuala, tanjung, beting, kukup dan paya, suku kaum yang kompleks ini menjadi begitu penting dalam menyediakan diri sebagai angkatan tentera dengan memberi sokongan kuat kepada Raja-Raja Melayu.

Selain menyediakan tenaga pendayung, Orang Laut turut bertindak mengawal dan meronda perairan, memandu masuk kapal dagangan ke pelabuhan, mengutip ufti serta membantu menghukum para sekutu yang berdegil bagi pihak penaungnya sementara mereka hidup bersenang lenang di istana yang kebiasaannya terletak di muara sungai ataupun jauh di pedalaman ke hulu sungai.

Sifat kesetiaan Orang Laut terhadap raja-raja Melayu khususnya Kesultanan Melaka yang menjadi penaungnya bukan sesuatu yang asing. Evolusi hubungan ini sudah diketahui sejak era awal pembukaan Melaka yang diasaskan pada abad ke-14. Sebagai penduduk awal yang tinggal di kawasan pesisiran pantai dan kuala Sungai Melaka, ketibaan Seri Tri Buana (Parameswara), putera buangan dari Palembang yang diangkat sebagai raja mereka dalam suatu upacara yang memberikan kedaulatan kepadanya dan juga keturunannya selepas itu sehingga membawa kepada penubuhan Kesultanan Melayu Melaka. Kesetiaan Orang Laut yang tidak berbelah bagi kepada keturunan ini seterusnya berlanjutan kepada Kesultanan Johor yang mempunyai jalinan darah dengan Melaka setelah runtuhnya kerajaan tersebut.

Dalam konteks ini, Orang Laut sanggup mengabdikan diri mereka kepada kerajaan Melaka kerana berbangga dengan kemampuan dan kehebatan Melaka yang ditadbir oleh para raja dan pembesarnya yang cekap dan berkebolehan. Sesuai dengan latar belakang kehidupan, pengalaman, kemampuan serta ketahanan di kawasan laut menyebabkan tenaga Orang Laut dimanfaatkan oleh kerajaan Melaka sebagai pahlawan untuk menjaga perairan Selat Melaka. Malahan peranan dan sumbangan Orang Laut sebagai penyokong kuat kerajaan Melayu tidak pernah terputus sejak kerajaan Srivijaya hingga ke zaman Kesultanan Melaka dan selepasnya, di Johor terutama ketika kemunculan Raja Kecil Siak yang dinafikan hak sebagai Sultan Johor oleh Bendahara Abdul Jalil, seterusnya membawa kepada konflik dengan orang-orang Bugis pula.

Kehandalan dan kesetiaan suku kaum ini kepada rajanya dirakam dalam pelbagai karya sastera sejarah warisan kesusasteraan Melayu tradisional termasuk Sejarah Melayu, Hikayat Siak dan Tuhfat al-Nafis. Dari kalangan mereka jugalah, sebilangan sejarawan mendakwa Laksamana Hang Tuah mempunyai darah Orang Laut. Mereka juga antara pemain utama yang terlibat dalam perjuangan merebut kembali Melaka dari tangan Portugis di bawah pimpinan Hang Nadim, laksamana Melaka keturunan Orang Laut lantikan Sultan Mahmud Shah 1 (1511-1528).

Senario ini turut dirakam Tome Pires, pencatat terkenal Portugis apabila menyentuh tentang Orang Laut yang mendiami Melaka dan kawasan sekitar perairannya dalam karya terkenalnya, Suma Oriental yang ditulis antara 1512 hingga 1515. Walaupun Pires mempunyai pandangan negatif terhadap Orang Laut sebagai lanun dan perompak yang mengganggu kapal-kapal dagang asing khasnya dari Eropah, hakikatnya ia lumrah kerana mereka bertanggungjawab menjaga kepentingan penaungnya raja-raja Melayu dari dirampas dan dimonopoli orang asing.

Oleh itu, segala kawasan strategik dari segi jalan perdagangan antara wilayah sekitar Pulau Jemaja di Laut China Selatan dengan Kepulauan Nusantara, khasnya antara Wilayah Kalimatan dengan Semenanjung Tanah Melayu termasuk Selat Melaka menjadi daerah dominasi mereka. Maka tidak hairanlah sekiranya kedaulatan raja-raja Melayu di Nusantara menjadi amanah kepada Orang Laut sehingga mereka sanggup mempertahankan maruah bangsa dari pencerobohan orang-orang asing yang datang bertujuan menjajah dan merampas aktiviti perdagangan dan kehidupan mereka di perairan Nusantara.

Sehubungan itu, latar belakang Orang Laut dengan sifat kesetiaan yang tinggi, berkemahiran dan berpengalaman dalam menjalani penghidupan di laut ketika menguasai rantau Nusantara ini dapat dijadikan acuan yang amat berpadanan dengan diri hamba Magellan, Enrique. Memandang kualiti ini selari dengan kualiti diri yang dimiliki Enrique maka tentunya dapat dibuktikan bahawa tokoh ini sememangnya berketurunan Orang Laut.

Walaupun Pigafetta menyatakannya Enrique berasal dari Sumatera (Zamatra) tetapi perlu diingat bahawa kehidupan Orang Laut bertebaran di sepanjang pesisir Selat Melaka sama ada di sebelah Sumatera mahupun Semenanjung berikutan cara hidup nomad mereka. Dengan cara hidup sebegitu rupa, kemungkinan besar Enrique berhijrah ke Melaka kerana ketika itu negara-kota ini menjadi pusat tumpuan para pedagang dan juga masyarakat warga Nusantara lainnya termasuk Orang Laut untuk berbakti penuh kesetiaan kepada jurai keturunan raja Bukit Siguntang Mahameru setelah dilakar ‘waad,’ teguh janji antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana.

Oleh itu, tidak keterlaluan untuk kita katakan kehandalannya menguasai laut dan kejayaannya menyelamatkan dirinya di laut sepanjang pelayaran yang penuh pancaroba itu ialah kerana Enrique sendiri berdarah Orang Laut yang sudah biasa dengan kehidupan serba mencabar di laut. Sifat kesetiaan yang dimilikinya menyebabkan tokoh ini dilindungi Magellan sejak zaman kanak-kanak lagi membawa kepada zaman dewasa kerana kasih tuannya terhadap dirinya yang taat, rajin, bijak dan mendengar kata.

Sungguhpun begitu, Harun Aminurashid menambah latar belakang fiksyen tokoh ini atas landasan kehandalan dan ketangkasannya sebagai seorang dewasa yang turut berperanan sebagai pejuang sebelum ditangkap mahupun ketangkasannya di atas kapal bagi menyelamatkan tuannya dan diancam bahaya. Realitinya, Enrique hanyalah seorang budak yang baru berusia antara 12-15 tahun semasa ditawan sebelum dibawa ke Eropah.

Satu perkara yang membezakan Enrique dengan Panglima Awang ialah sebagai Orang Laut pada abad ke-16 itu, suku kaum ini masih lagi berpegang kepada fahaman animisme yang mempercayai akan kewujudan makhluk halus, semangat dan roh dalam menentukan perjalanan hidup mereka.

Oleh itu, tidak timbul tanda tanya berkenaan status dan kepercayaan keagamaan yang dianuti Enrique walaupun dia dikristiankan oleh Magellan setelah ditawan kerana dia sememangnya bukan beragama Islam. Keadaan ini sudah pasti  berbeza dengan gambaran yang dilukiskan Harun memandangkan watak Panglima Awang itu dibina atas tokoh seorang Melayu yang berpegang kepada agama Islam yang kukuh. Sebagai Melayu beragama Islam, Panglima Awang diperlihatkan sebagai penganut Islam yang kuat beribadat dan tidak mudah tergoda dengan pujuk rayu Mariam adik Fernando yang terpikat kepadanya semasa mereka bertemu di Lisbon.

SUMBER

Mohd Tamrin, Khazin, Nik Abd Rahman, Nik Hassan Suhaimi, Md Radzi, Shaiful Bahari dan Abu Bakar, Yahaya. (2009). Universiti Kebangsaan Malaysia. Enrique Melaka @ Panglima Awang sebagai Magellan Melayu.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.