Tidak sah di mana-mana negara, ada saja tempat yang dianggap menakutkan penduduk tempatan tetapi berpotensi menjadi tempat tarikan pelancong. Yalah, memang benar ia menjadi sumber ekonomi penduduk tempatan tetapi tahanlah kalau ada berlari dengan selipar di tangan dan kaki berlari laju macam Road Runner. Bagi penduduk Mexico City, Pulau Anak Patung atau La Isla de las Munecas ini terkenal dengan lambakan anak patungnya yang menakutkan yang diletakkan sekitar pulau berkenaan oleh bekas pemilik pulau, mendiang Julian Santana Barrera.

Pulau ini bukanlah pulau semulajadi tetapi ia sebenarnya chinampa/pulau terapung yang terhasil daripada kebijaksanaan kejuruteraan masyarakat Mesoamerikanya di Lembah Mexico satu ketika dahulu. Ia terletak di Tasik Teshuilo berhampiran terusan-terusan Xochimilco, salah satu daripada 16 kawasan yang membentuk Mexico City. Kisah pulau ini bermula pada tahun 1950-an apabila Barrera, memilih untuk hidup sebagai seorang penyendiri dan meninggalkan anak dan isterinya lalu menjadikan pulau ini sebagai tempat tinggalnya hinggalah ke akhir hayatnya.

Semasa berada di Las Munecas, Barrera mendakwa dirinya dihantui hantu seorang budak perempuan yang lemas di sebuah terusan berhampiran. Dia mendakwa selalu mendengar tangisan hantu kanak-kanak itu dan mendengar bunyi tapak kakinya pada waktu malam. Ada percaya insiden itu benar-benar berlaku dan Barrera yang menjumpai mayatnya tetapi dihantui dengan penyesalan kerana gagal menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu. Ada juga mendakwa perkara tersebut tidak berlaku dan menganggap ia sekadar imaginasi liar pertapa itu.

Tanpa mengambil kira pandangan orang, Barrera berusaha menenangkan semangat kanak-kanak itu. Ada percaya tidak lama selepas mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui, dia menemui sebuah anak patung yang terapung di terusan dipercayai milik kanak-kanak itu. Melihatnya sebagai tanda dari hantu kanak-kanak itu, Barrera mengambil anak patung itu dan menggantungnya pada sebatang pokok sebagai tanda penghormatan kepada semangat kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, dia tidak berhenti di situ saja. Setiap kali ada anak patung yang terapung di terusan atau ditemui dalam lambakan sampah berhampiran rumahnya, patung-patung ini akan diambil dan digantung di pokok-pokok. Selain itu, Barrera turut menukar hasil pertanian yang dikerjakannya di Las Munecas dengan anak-anak patung milik penduduk tempatan. Selain digantung di pokok-pokok, ada juga sesetengah anak patung yang diambil disimpan di kabinnya.

Bagi setiap anak patung yang diambil, dia tidaklah mengambil inisiatif membersihkan atau membaiki anak patung yang dijumpai. Sebaliknya, Barrera menggantung saja setiap anak patung yang ditemuinya walaupun ia dalam keadaan lusuh atau sudah rosak. Justeru bagi pengunjung yang berkunjung ke Las Munecas, usah terkejut jika melihat ada anak patung yang kehilangan mata atau anggota badan.

Dan terima kasih kepada pendedahan cuaca, peluang untuk anak-anak patung ini menjadi lusuh semakin bertambah. Jadi, jangan terkejut jika ada pelancong membuat langkah seribu kerana menyangka melihat hantu kerana aura seram yang dibangkitkan oleh anak-anak patung lusuh ini.

Tetapi bagi Barrera, patung-patung ini dianggap peneman utama dan pelindungnya semasa di Las Munecas. Sejak itu, pulau buatan ini mula menarik perhatian orang ramai dan dia tidak keberatan menjadi pemandu kepada pelawat yang berminat melihat patung-patung di situ. Pada tahun 2001, Barrera meninggal dunia tanpa dinyatakan sebab kematian.


“Ada berpandangan dia mati akibat sakit jantung tetapi ada penduduk tempatan berpandangan dia berkemungkinan mati lemas di tempat sama hantu kanak-kanak perempuan itu mati. Selepas Barrera tiada, penduduk tempatan melihat Las Munecas berpotensi sebagai tarikan pelancong dan menyelenggara kawasan pulau itu.

Sejak ia muncul di beberapa artikel akhbar dan rancangan televisyen, ia menjadi antara tempat tumpuan pelancong di Mexico City dan ada juga meninggalkan anak patung di situ sebagai satu cara meneruskan usaha Barrera.

RUJUKAN:

DHWTY. (2019). Is the Island of Dolls Haunted? An Eerie Tribute to a Little Mexican Girl. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/unexplained-phenomena/island-dolls-0011771


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.