Empat tahun lepas, Menteri Kewangan Kuwait ketika itu Anas al-Salleh mencadangkan kerajaan agar mengurangkan pergantungan kepada pendapatan minyak dan mempelbagaikan kegiatan ekonominya.
Namun saranan tersebut bukan saja dipandang sepi tetapi menjadi bahan ketawa ramai ketika itu. Kini, dengan situasi pandemik Covid-19 yang menekan harga minyak global, Kuwait dan negara-negara Teluk lain berdepan situasi ekonomi yang meruncing.
Ya, harga minyak kembali stabil pada harga AS$40 setong. Namun harga tersebut masih lagi rendah dan memberi kesan negatif kepada negara-negara pengeluar minyak lain termasuk Kuwait.
Situasi harga minyak yang rendah didorong bukan saja oleh pandemik Covid-19 tetapi peralihan kepada tenaga yang boleh diperbaharui.
Bagi negara-negara jiran, mereka menggunakan pendekatan berbeza dalam mendepani isu ini. Arab Saudi memilih memotong bantuan kepada rakyat dan menaikkan cukai mereka.
Sementara Bahrain dan Oman pula terpaksa membuat pinjaman dari negara-negara jiran yang lebih kaya. Manakala Qatar dan UAE pula mempelbagaikan kegiatan ekonomi mereka.
Walau bagaimanapun di Kuwait, perkara ini sukar dilakukan berikutan perang dingin yang tercetus antara parlimen dengan perdana menteri kerajaan yang dipilih oleh Emir Kuwait.
Bukan sekali usul kewangan yang difailkan kerajaan di parlimen termasuk mendapatkan pinjaman ditolak mentah-mentah oleh wakil-wakil rakyat.
Sekiranya situasi ini berterusan, Kuwait tidak akan mampu menutup defisit belanjawan sebanyak AS$46 bilion tahun ini.
Kejatuhan ekonomi Kuwait bukan sesuatu yang baru dan ia didorong oleh banyak peristiwa. Pertama, kejatuhan saham 1982 memberi kesan kepada negara Teluk itu.
Kedua, peristiwa-peristiwa geopolitik seperti Perang Iran-Iraq dan Perang Teluk. Semua peristiwa ini memaksa Kuwait berbelanja besar selama bertahun-tahun untuk memulihkan kembali ekonominya termasuk industri minyak.
Hari ini, 90% pendapatan ekonomi negara itu datang dari industri minyak. Sementara 80% populasinya bekerja dengan kerajaan dengan pendapatan mereka mengatasi pendapatan rakyat yang bekerja di sektor swasta.
Bagi keluarga biasa Kuwait, mereka menerima bantuan perumahan, minyak dan makanan sebanyak AS$2,000 sebulan.
Ianya belum dicampur tiga perempat peruntukan perbelanjaan negara diperuntukkan untuk gaji dan subsidi.
Terima kasih kepada peruntukan besar begini, perbelanjaan negara bakal mengalami defisiti selama tujuh tahun berturut-turut sejak kejatuhan harga minyak pada 2014.
Pasti ramai menggaru kepala mengapa perkara ini berlaku. Bukankah Kuwait sebuah negara kaya yang setaraf dengan beberapa negara pengeluar minyak lain?
Ya, Kuwait memang kaya dan kekayaan tersebut disimpan dalam salah satu dana terbesar di dunia bernilai AS$550 bilion iaitu Dana Generasi Masa Hadapan.
Dana ini ditubuhkan dengan tujuan menjamin kemakmuran Kuwait selepas negara itu kehabisan minyak. Namun begitu, ramai menyifatkan ia sebenarnya sudah bermula.
Ramai penganalisis memberi amaran sekiranya aktiviti mempelbagaikan ekonomi tidak dijalankan, dana tersebut boleh habis dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.
Sejak penularan pandemik Covid-19, dana ini banyak membantu ekonomi Kuwait. Sejak kebelakangan ini, Dana Generasi Masa Hadapan membeli aset-aset milik Jabatan Perbendaharaan Kuwait dengan nilai AS$7 bilion.
Parlimen turut bersetuju untuk menghentikan pembayaran 10% daripada hasil pendapatan minyak kepada dana tersebut sekaligus menambah lagi AS$12 bilion dalam kantung kewangan Kuwait.
Walau bagaimanapun, semua ini masih dianggap tidak mencukupi untuk menampung defisit belanjawan. Suka atau tidak, Kuwait harus meminjam tetapi isu politik terus menggagalkan usaha ini.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan Kuwait Barak al-Sheetan cuba menyakinkan wakil-wakil rakyat untuk meluluskan usul kerajaan mendapatkan pinjaman sebanyak AS$65 bilion tetapi gagal.
Penolakan ini seiring dengan kemunculan pelbagai khabar tidak enak yang menyelubungi kerajaan ketika itu.
Antara khabar yang dimaksudkan ialah skandal rasuah yang membelenggu beberapa anggota pentadbiran kerajaan dan keluarga pemerintah Kuwait.
Parlimen menegaskan selagi isu rasuah tidak ditangani, maka lupakan saja hasrat mendapatkan dana diperlukan untuk belanjawan.
Pertentangan politik antara kedua-dua pihak ini memberi kesan kepada sentimen pelabur. S&P Global Ratings dan Moody’s Investor Service memberi penarafan negatif terhadap Kuwait.
Manakala Tabung Kewangan Dunia (IMF) memberi amaran peluang Kuwait untuk mendepani isu ini dari kedudukan mereka semakin tipis.
Keadaan ini nyata merungsingkan ramai warga Kuwait. Pengerusi Bensirri (firma komunikasi kewangan dan politik Kuwait), Fawaz al-Sirri berkata, “Majoriti orang di Kuwait percaya kekayaan yang dinikmati ketika ini bersifat selama-lamanya.
Tiada orang mempunyai keazaman politik untuk memberitahu perkara ini akan berakhir sekiranya kita tidak menyokong perubahan.”
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih