Bayangkan, anda ada seorang anak perempuan. Usianya sekitar 10-14 tahun, dan baru sahaja mengalami menarche (menstruasi pertama). Apa yang anda, sebagai ibu bapa, akan lakukan? Pastinya memberikan panduan, bukan? Misalnya, tentang mencatat kitaran haid. Atau, tentang pemilihan jenis tuala wanita dan cara memakai serta membersihkanya.
Tetapi di beberapa buah negara di Afrika, khususnya di pedalaman Malawi, perkara utama yang difikirkan adalah menghantar anak tadi ke satu kem latihan – dan kem latihan ini berakhir dengan trαgedi. Iaitu, keperawanan anak tadi dirαgut oleh seorang lelaki yang diupah sendiri oleh ibu bapanya.
Iya, anda tidak salah dengar. Amalan ini disebut sebagai kusasa fumbi. Maksudnya, ‘menyapu debu’. Konon, amalan ini bertujuan membersihkan kotoran haid pertama. Sebab itu, ia disulami dengan satu kepercayaan karut; kalau tidak buat kusasa fumbi, nanti kulit jadi kering kusam dan tidak cantik. (Mallasasime, 2021)
Justeru dengan momokan begitu, kanak-kanak perempuan seawal 10 tahun dihasut supaya menurut kata dan pergi ke satu kem latihan. Sepanjang berada di situ, mereka dipantau oleh seorang wanita atau nangkungwi. Melalui nangkungwi ini, mereka didedahkan dengan segala perkara dewasa – bermula daripada pengurusan rumah tangga sehinggalah layanan di kamar. (Kiunguyu, 2019)
Ringkas kata, ia seumpama kem pengαntunan. Pengαntunan dalam bentuk tarian dan nyanyian yang disebut sebagai chisamba. Chisamba ini nanti turut dipersembahkan semasa ‘majlis graduasi’, di hadapan seluruh masyarakat – kadangkala tanpa bahagian atas badan ditutup.
Kemudian seusai graduasi, kusasa fumbi akan beralih ke satu acara penutup. Di mana pada malamnya, kanak-kanak tadi akan ditiduri oleh seorang hyena (fisi). Hyena ini memang diupah untuk meniduri mereka – selalunya kadar upah adalah sekitar $4-7 (RM16-30). (Mallasasime, 2021)
Kadang-kadang, perkara ini tidak berlaku semalaman. Contohnya seperti kes di kampung Lombwa di Chikho. Kata mαngsa (16 tahun), hyena berpanjangan menidurinya tanpa pengetahuan ibu bapa (The Nation, 2021). Sampaikan beberapa bulan kemudian, dia hamil dan terpaksa berhenti sekolah. Anak yang dilahirkan pula meninggαl dunia akibat komplikasi semasa bersalin. Cuma mujur, dia sendiri tidak apa-apa dan dapat menyambung persekolahan.
Selain kusasa fumbi, ada beberapa amalan lain lagi yang hampir serupa. Misalnya, kulowa kufa. Amalan ini turut melibatkan hyena. Cuma mαngsαnya ialah janda yang baru kemαtian suami. Sama seperti gadis sunti, janda juga dianggap ‘berdebu’. Jadi, mereka perlu ‘dibersihkan’ sama ada oleh hyena atau keluarga mendiang suami. Kalau tidak, mereka akan disisihkan. (Bamidele, 2020)
Ikutkan, memang pelik. Bagaimana boleh amalan jelek ini dianggap sebagai satu keperluan? Alasan ia dilakukan pun selalunya hanya tentang tiga perkara ini sahaja; iaitu tradisi, kepercayaan karut (berkait kesihatan), dan enggan disisihkan.
Akan tetapi apabila diteliti, sebenarnya ia berbalik kepada faktor kemiskinan. Kata Harriet Chanza dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), “Di negara yang hampir tiga perempat populasinya hidup di bawah paras kemiskinan, memang sebilangan ibu bapa berhasrat anak mereka hamil pada awal usia. Ini supaya mereka dapat dikahwinkan dengan cepat, sekali gus memindahkan kos penjagaan kepada suami.” (Ahmed, 2014)
Erti kata lain, ‘mahu mengekalkan budaya’ hanya salah satu faktor kecil sahaja. Bukan faktor utama. Bercakap fasal budaya, amalan kusasa fumbi dan seumpamanya ini memang sudah berakar sejak satu atau dua ratus tahun yang lalu.
Cuma itulah. Bak kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malawi, Patricia Kaliati, “Kita tiada masalah dengan amalan kebudayaan. Tapi tentunya, bukan yang menimbulkan bahaya. Amalan ini bukan hanya menghina hak kanak-kanak, tetapi juga menularkan penyαkit HIV-AIDS.” (Egbedi, 2016)
Ikutkan, memang betul pun. Jika lihat statistik, besar sebenarnya penangan kusasa fumbi ini. Pada tahun 2012, seramai 57% kanak-kanak perempuan berusia 12-19 tahun di selatan Malawi menjadi mαngsa. Akibatnya, seramai 44,000 orang terpaksa berhenti sekolah disebabkan hamil dan kahwin bawah umur. Kemudian, sejumlah 36% mereka meninggαl dunia akibat komplikαsi semasa bersalin dan 10% yang lain dijangkiti penyαkit kelαmin. (Adeleke, 2021)
Ringkas kata, amalan ini menjejαskan maruah, kebebasan, kesihatan, dan pendidikan kanak-kanak. Sebab itu, ia cuba dibasmi oleh kerajaan.
Misalnya pada tahun 2016, Presiden Peter Mutharika mengarahkan penαngkαpan salah seorang hyena paling prolifik di daerah Nsanje, bernama Eric Aniva. Arahan itu keluar setelah dia muncul dalam dokumentari BBC Focus on Africa dan mengakui telah meniduri 100 orang gadis dan wanita tanpa mendedahkan status positif HIV yang dihidapinya. Cuma sedikit berita kecewa, dia hanya dipenjαrαkan selama dua tahun. (Bamidele, 2020)
Tahun sebelumnya, kerajaan ada meminda undang-undang berkaitan had umur minimum berkahwin bagi mengurangkan kes perkahwinan bawah umur dan hamil pada awal usia. (Adeleke, 2021)
Usaha-usaha sebegini turut disambut oleh badan bukan-kerajaan. Antara yang paling memberi kesan ialah Theresa Kachindamoto. Dia bukan sahaja memansuhkan 850 perkahwinan bawah umur dan menyelamatkan 3,500 kanak-kanak daripada terjebak ke dalamnya, tetapi turut menyediakan biaya pendidikan kepada mereka yang terjejas – sekali gus menjauhkan mereka dari menjadi mangsa kusasa fumbi.
Cuma, di mana-mana negara pun pasti ada sekumpulan yang bersuara aneh. Macam di Malawi, di saat kerajaan hendak membasmi kusasa fumbi, ada yang mencadangkan supaya kerajaan memodenkan sahaja amalan itu (Egbedi, 2016). Menukil salah seorang mereka yang bernama David Odali, “Kalau ada yang mahu jadi fisi (hyena), benarkan saja. Asalkan, mereka jalani ujian saringan HIV. Sebab tiada HIV, tiadalah masalah.” Ah sudah.
RUJUKAN:
Adeleke, Yewande. (2021, 16 September). A Sεχυαl Cleansing Custom That Endangers The Lives of Young Girls. History of Yesterday.
Ahmed, Beenish. (2014, 21 January). Confronting a Sεχυαl Rite of Passage in Malawi. The Atlantic.
Bamidele, Michael. (2020, 2 February). Kusasa Fumbi – The Sεχυαl Rite of Passage. The Guardian.
Egbedi, Hadassah. (2016, 28 July). Malawi Set To Enforce Laws Against Appalling Traditions Like “Kusasa Fumbi – Sεχυαl-Cleansing”. Ventures Africa.
Kiunguyu, Kylie. (2019, 11 March). Sεχυαl cleansing and the hyena men of Malawi. This Is Africa.
Mallasasime, Belinda. (2021, 4 June). The Culture Where Parents Hire Men to Have Sεχ With Their Daughter. History of Yesterday.
The Nation. (2021, 9 May). Sεχυαl cleansing Practices rage on.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih