Setiap orang perlu memupukkan pemikiran yang lebih terbuka. Tiada penafian bahawa liberalisme tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat yang konservatif. Namun ideologi ini mempunyai elemen yang sangat penting bagi memastikan pembangunan minda. Pada hari ini rakyat Malaysia amat suka menzahirkan pertikaian dalam hampir setiap perkara yang dibangkitkan. Khususnya pertikaian ini berlaku dalam arena politik. Malang sekali simtom yang sama dilihat dalam urusan agama, seperti fatwa dan prosedur.
Misalnya Lembaga Zakat selalu menerima tempias daripada masyarakat yang berhujah seperti kekurangan ilmu. Demikian hari tular tentang Zakat ar-Raqqib dimana persepsi media berjaya melariskan sensasi tersebut. Atas pembaharuan politik negara, rakyat terbuai bahawasanya liberalisme telah menjangkiti Lembaga Zakat sehingga golongan songsang dan maknyah layak menerima zakat. Setelah penjelasan diberi secara bertalu-talu, barulah isu tersebut reda.
Namun simtom pertikaian tersebut masih lagi berkekalan. Acapkali boleh dilihat bahawa dasar-dasar agama dipersoalkan umat Islam sendiri. Satu lagi contoh yang sangat rapat ialah prosedur-prosedur perkahwinan yang sememangnya agak rumit. Langkah pertama bagi setiap orang yang mahu mendirikan rumahtangga ialah kursus perkahwinan, yang diikuti ujian saringan HIV (dan sepatutnya talasemia sekali). Kemudian terdapat beberapa prosedur melibatkan borang yang perlu diisi oleh pihak pengantin dan bidangkuasa kariah. Itu belum lagi dikira dengan keperluan gambar dan yuran.
Prosedur-prosedur ini dengan jahatnya dilabel sebagai perkara-perkara yang menyukarkan nikah. Boleh pula umat Islam sendiri melahirkan justifikasi dongengan iaitu apabila nikah semakin susah, zina semakin senang. Kejahilan sebegini memang mendukacitakan. Tidak ramai yang mengetahui bahawa kesusahan ini telah memberikan Malaysia suatu prestij di peringkat dunia.
Bermula tahun 1998, pentadbiran pertama Dr Mahathir yang menghampiri penghujung membuat dasar kesihatan baharu. 20 tahun kemudian, Malaysia dilihat telah memberanikan diri dalam peperangan menentang HIV/AIDS. Perlaksanaan dasar ini membuatkan Malaysia negara pertama di Rantau Pasifik Barat yang membasmikan jangkitan HIV dan sifilis ibu-kepada-anak. Bayi-bayi pada hari ini dilahirkan tanpa HIV sebenarnya.
Sememangnya penghargaan tidak boleh dinobatkan kepada dasar ini sahaja. Pelbagai usaha kesihatan telah diambil bagi menjaminkan perkhidmatan kesihatan kepada setiap wanita dan kanak-kanak berkualiti. Namun tidak juga dinafikan bahawa prosedur-prosedur perkahwinan yang susah turut memainkan peranan. Selain daripada membanting tulang dalam pengekangan HIV, prosedur ini banyak membantu dalam pengekangan kahwin paksa. Perkara ini telah berzaman menghantui imej negara-negara Islam. Wanita dijadikan ibarat kuda untuk ditunggang atas bidangkuasa bapa dan kemudian suami.
Atas prinsip-prinsip Islam, Malaysia menunjukkan tatacara terbaik sebagai saringan agar para wanita boleh mempunyai masa depan yang lebih terjamin. Pertama sekali, wanita tersebut perlu menghadiri kursus. Kemudian pula mereka mesti membuat saringan HIV yang sah hanya enam bulan sahaja. Jika kedua-dua kesempatan ini tidak dapat digunakan untuk menyuarakan rasa tidak setuju dengan bakal suami, temubual bersama imam boleh digunakan.
Selain daripada pengekangan ini, institusi kekeluargaan juga terpelihara disebabkan kursus kahwin. Jika ditanya kepada pihak umum, ternyata ramai masih tidak ketahuan tentang syarat sah talak. Masih ada golongan yang berpendapat talak main-main dan talak ketika marah tidak sah. Dilanda berang, seorang suami boleh sahaja melepaskan isterinya dengan talak. Namun bagi mereka, talak ini tidak sah (padahal sah) kerana beremosi.
Dalam Islam, tiga perkara penting yang tidak boleh sama sekali dibuat main: syahadah, nikah dan talak. Malah talak gurau-gurau pun akan terjauh juga. Waima jika seorang suami menceraikan jika isterinya keluar dari rumah, alamat jatuhlah talak jua kelak. Kursus perkahwinan mendidik masyarakat bahawa talak yang terjatuh TIDAK BOLEH ditarikbalik seperti saman. Yang ada hanyalah rujuk, itupun bagi talak pertama dan kedua SAHAJA. Selepas talak ketiga, maka putuslah pertalian rumahtangga yang dibina dengan penat keringat RM20,000 sebagai hantaran.
Kursus perkahwinan juga mendidik masyarakat tentang nikah muhallil (cina buta) yang dianggap relevan dalam apa-apa jua konteks. Hakikatnya, nikah muhallil mempunyai disiplin tersendiri, bukannya boleh diperkudakan sesuka hati. Nikah muhallil hanya halal dilaksanakan secara semulajadi, iaitu setelah tamat iddah seorang wanita jika suami baru bercerai atau meninggal dunia.
Umat Islam begitu gah menerangkan secara terperinci mengenai songsang yang dilaknat baginda. Namun nikah muhallil yang terancang juga turut dilaknat juga. Bermakna jika Abu yang gila talak menguruskan perkahwinan jandanya Siti bersama Halim untuk kemudian bersama dan bercerai agar perkahwinan terbatal Abu dan Siti dapat dijalinkan semula, maka ketiga-tiga orang ini menerima murka Rasulullah SAW. Hanya secara semulajadi sahaja barulah nikah muhallil terlepas daripada bencana besar ini.
Bercakap tentang cerai, ramai juga yang masih tidak keruan mengenai amalan li’an, iaitu suami yang mempertikaikan zuriat isteri sebagai benihnya. Li’an ialah suatu perceraian yang paling dahsyat dalam Islam. Bahananya begitu besar sehingga Abu jika berlaku li’an terhadap Siti akan tercerai selama-lamanya. Punca cerai ini mempunyai asas yang lebih besar berbanding talak tiga. Hal ini kerana Abu sedang menuduh Siti telah berlaku curang yang melibatkan zina.
Disebabkan inilah Jabatan Agama mengambil inisiatif supaya dapat mendidik masyarakat yang semakin maju dengan kebebasan. Di sebalik segala usaha, kes-kes perceraian masih lagi tinggi khususnya di Selangor, Sabah dan Johor. Sebanyak 48,000 pasangan telah memfailkan perceraian pada tahun 2016. Pasangan berusia antara 26 hingga 30 tahun dikesan paling ramai bercerai dengan kebanyakannya pasangan berkahwin kurang lima tahun. 67 peratus yang memohon perceraian di mahkamah adalah wanita, manakala 33 peratus difailkan lelaki. Sepasang di Terengganu bercerai dalam tempoh 24 jam pun selepas melafazkan nikah.
Inilah masalah yang Pejabat Agama sedang berdepan. Institusi perkahwinan jika diruntuhkan sememangnya akan mengagihkan impak kepada masyarakat dalam sebuah tempoh yang sangat panjang. Bukan semua pasangan yang bercerai sepertimana mereka berkahwin iaitu secara baik. Ada yang pergi tidak kembali, meninggalkan anak-anak kecil dalam keadaan tanda tanya pun.
Prosedur Pejabat Agama sudahpun bertepatan dengan syariah dan keperluan. Namun Pejabat Agama perlu membatalkan satu segmen untuk sebuah kerjasama khas bersama Kementerian Kesihatan Malaysia. Institusi kekeluargaan tidak terikat kepada landasan nikah dan talak sahaja. Kesihatan juga memainkan peranan, khususnya bagi golongan yang mengemudikan bahtera sehingga ajal menjemput. Bukan semua yang mampu menimba ilmu sepenuhnya demi kesejahteraan masing-masing. Malah ramai terlepas pandang beberapa abstrak yang boleh mendatangkan masalah kepada kandungan isteri pun.
Kursus perkahwinan seharusnya melibatkan satu sesi khas untuk menerangkan keperluan asid folik, zat besi dan multivitamin secara meluas. 12 minggu paling awal ialah masa yang sangat penting bagi setiap kandungan. Ketika ini, rahim ibu sedang membangunkan saraf tunjang bayi yang memerlukan asid folik antara 400-800 mikrogram setiap hari. Kemajuan teknologi perubatan telah menjayakan pil-pil asid folik 500 mikrogram (0.5 miligram) yang dijual di farmasi pada harga mampu milik.
Jika culas dalam perkara ini, janin barangkali akan mempunyai masalah neural tube yang akan memberikan impak kepada otak dan saraf tunjang. Kandungan juga memerlukan vitamin C, zat besi dan multivitamin terutamanya pada trimester-trimester tertentu. Malah selepas bersalin pun, para ibu perlu mendapat nutrisi secukupnya. Pendekatan sebegini boleh melahirkan masyarakat yang pintar dalam tempoh singkat.
Kesempatan suatu sesi bersama Kementerian Kesihatan akan menjaminkan maklumat tepat mengenai perkara ini, juga mampu mendedahkan keperluan vaksinasi. Ketika ini, pelbagai soalan boleh diajukan supaya mitos-mitos vaksinasi boleh dibasmikan sepenuhnya.
Jika dilihat melalui persepsi sebegini, apalah sangat RM80 yang dibayar untuk kursus kahwin. Pupuslah kepintaran sebuah masyarakat apabila materialisme diutamakan. Dan mampus juga naluri keIslaman apabila dugaan kecil seperti prosedur dicerca sebagai justifikasi menghalalkan zina. Tidak – tiada apa dalam dunia ini menghalalkan zina, melainkan rogol yang hanya menghukum pelaku sahaja. Konteks masyarakat hanya mengambil kira perceraian semata-mata. Sebenarnya perceraian tidak semestinya suatu tragedi – kerana tragedi sebenar ialah sebuah perkahwinan tidak bahagia yang merembeskan persekitaran berasid sehingga membantutkan anak-anak.
Sumber:
FMT. (2018, Oktober 8). WHO praises Malaysia for stopping HIV, syphilis transmission from mothers. Diambil dari https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2018/10/08/who-praises-malaysia-for-stopping-hiv-syphilis-transmission-from-mothers/
Rosman, A. S., Dr. (2014, September 24). Kahwin cina buta. Diambil dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140924/ba_01/Kahwin-Cina-Buta
Bernama (Ed.). (2016, November 14). 48,077 pasangan Islam bercerai tahun ini. Diambil dari http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/48-077-pasangan-islam-bercerai-tahun-ini-1.407505
Hanneeyzah, B. B. (2017, Julai 20). Kahwin, cerai dalam tempoh 24 jam. Diambil dari https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/07/303853/kahwin-cerai-dalam-tempoh-24-jam
WebMD. (2018, Jun 02). Folic Acid and Pregnancy. Diambil dari http://www.citationmachine.net/apa/cite-a-website/manual
Kredit Gambar: Kursus Kahwin Hasani Kulim (04-491 8668)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih