Khamis, 15 Oktober 202615 Okt 2026
Kronikel Dunia

Kuil Air Incamisana – Sistem Pengairan Tamadun Inca Yang Memukau

Sekitar kurun ke-12 Masehi, sejarah menyaksikan lahirnya sebuah tamadun yang bakal menjadi adikuasa di benua Amerika. Dengan diketuai oleh Manco Capac, kaum Inca memulakan tamadun mereka di Lembah Cuzco. Lembah tersebut kemudiannya menjadi tapak berdirinya ibu kota Empayar Inca yang diasaskan oleh Viracocha Inca pada tahun 1425M.

Dalam rentang waktu yang cukup singkat, iaitu hanya sekitar satu kurun (1425-1532M), Empayar Inca berkembang menjadi empayar yang paling berkuasa di pantai barat Amerika Selatan. Pada masa-masa kemuncaknya, wilayah naungan Empayar Inca terbentang luas dari Quito, Ecuador di bahagian utara hingga ke Santiago, Chile di sempadan selatan.

Walau bagaimanapun,
Empayar Inca menerima nasib yang sama seperti kerajaan-kerajaan lain yang
menjadi mangsa kolonialisme Eropah di Zaman Penjelajahan. Tahun 1572 dicatatkan
sebagai tahun tumbangnya Empayar dan bahkan Tamadun Inca itu sendiri, apabila
kota terakhirnya, iaitu Vilcabamba ditakluk oleh Sepanyol.

Pun begitu,
sejarah kegemilangannya masih tersimpan rapi dalam catatan-catatan sejarah.
Puing-puing bangunannya juga masih tersisa untuk ditatap oleh generasi demi
generasi sehingga ke hari ini. Antara monumennya yang paling masyhur tidak lain
dan tidak bukan adalah Machu Piccu, yang tersergam megah di Pergunungan Andes,
Peru.

Peta Empayar Inca

Namun, legasi Tamadun
Inca tidak terhad kepada megahnya monumen-monumen seperti Machu Piccu sahaja.
Mereka turut mewariskan sebuah bukti fizikal bagi kemajuan mereka dalam
kejuruteraan sistem hidraulik dan pengairan. Legasi yang dimaksudkan ini adalah
Kuil Air Incamisana yang terletak di Lembah Patacancha, Ollantaytambo, Peru
yang dibina selain untuk mengairi tanah-tanah subur yang mereka diami, ia turut
didedikasikan sebagai monumen keagamaan bagi memuja para dewa yang melimpahi
mereka dengan sumber air yang banyak.

Di samping
penerapan elemen kejuruteraan sistem hidraulik yang cukup memesonakan, Kuil Air
Incamisana turut dikagumi kerana ia dibina di lembah yang berada pada
ketinggian 2792 meter dari paras laut.

Merincikan
lokasinya dengan lebih tepat, Kuil Air Incamisana didirikan di utara Terusan
Manyaraki dan berjarak kira-kira 70km arah barat laut dari Cuzco. Kompleks pengairan
yang maju ini terdiri dari sejumlah ruangan terbuka dan tertutup, kolam, air
pancut, air terjun dan juga saliran-saliran berkambus. Kompleks ini memainkan
kefungsian dalam mengairi teres-teres yang menjangkau beberapa kilometer
panjangnya di empat buah lembangan yang terdapat di Lembah Patacancha, iaitu
Yuracmayo, San Pablo, Paq’chapata dan juga Puma Paqcha.

Kuil Air
Incamisana juga menghadirkan bukti bahawa Tamadun Inca memiliki pemahaman dan
kepakaran dalam menghindari dan memanfaatkan satu tindak-balas hidraulik yang
disebut sebagai lompatan hidraulik, iaitu keadaan di mana perubahan halaju
aliran berlaku dengan serta-merta. Di samping itu, kuil air ini turut
memperlihatkan kemajuan Tamadun Inca dalam membina sistem saliran yang tidak
mudah bocor, di samping keupayaan mereka dalam menangani situasi-situasi
seperti kejadian tanah runtuh ataupun hakisan teres.

Menerusi lawatan
kajian yang dilakukan oleh Dr Richard Miksad dan pasukan-pasukan penyelidik
daripada Universiti Virginia, Wright Water Engineers, Wright Paleohydrological
Institute, turut didapati sebanyak 14 buah air pancut yang dibina khusus untuk
upacara-upacara keagamaan.Terdapat juga tiga buah binaan air pancut lain yang
dipercayai masih dalam proses pembinaan sebelum ianya ditinggalkan oleh kaum
Inca. Antara air pancut yang paling mendapat perhatian adalah Baño de la Ñusta (Air Pancur Mandian Puteri).

Selain sistem
hidraulik dan saliran air yang maju, Kuil Air Incamisana turut diperhebatkan
lagi dengan hasil-hasil ukiran batu yang amat terperinci. Rangkaian jalan yang
menghubungkan antara kuil tersebut dan wilayah-wilayah Empayar Inca yang lain
turut menambahkan lagi nilai yang dimiliki oleh Incamisana.

Baño de la Ñusta

Menurut Richard Miksad dalam kertas kajiannya yang juga disiarkan oleh laman Ancient Pages, kebanyakan saliran yang membentuk sistem pengairan di Kuil Air Incamisana ini pada asalnya dibina oleh Quillke, kebudayaan pra-Inca (900-1200M) yang sempat mendiami kawasan tersebut sebelum ketibaan kaum Inca pada kurun ke-13.

Saliran-saliran tersebut kemudiannya ditambah-baik dan diselenggara oleh tamadun Inca sepanjang pendudukan dan penguasaan mereka. Keadaan yang sama turut berlaku bagi rangkaian jalan penghubung, sebagaimana yang ditulis oleh TK McEwan di dalam bukunya, ‘The Incas: New Perspectives’.

Walau
bagaimanapun, hakikat tersebut sama sekali tidak mencacatkan kegemilangan Inca
yang melekat pada Kuil Air Incamisana. Kegemilangan tersebut masih tetap
diizinakn oleh takdir untuk diwariskan kepada generasi demi generasi sehingga
ke hari ini, walaupun ianya pernah dibadai banjir pada tahun 1679 yang
mengakibatkan kerosakan pada kompleks kuil berkenaan.

Ollantaytambo

RUJUKAN

Owen Jarus. (5
November 2018). The Inca Empire. Live Science.

https://www.livescience.com/41346-the-incas-history-of-andean-empire.html

A.Sutherland.
(19 Julai 2019). Incamisana Water Temple At Ollantaytambo, Peru: Marvelous
Engineering Masterpiece of Inca. Ancient Pages.

http://www.ancientpages.com/2019/07/19/incamisana-water-temple-at-ollantaytambo-peru-marvelous-engineering-masterpiece-of-inca/

Richard Miksad.
A Hydraulic Engineering Study of the Incamisana, Ollantaytambo, Peru.

http://wrightpaleo.com/wordpress/wp-content/uploads/2012/10/Final-10.26.2-NCAAE-Presentation-Miksad.pdf

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet