Sekitar kurun ke-12 Masehi, sejarah menyaksikan lahirnya sebuah tamadun yang bakal menjadi adikuasa di benua Amerika. Dengan diketuai oleh Manco Capac, kaum Inca memulakan tamadun mereka di Lembah Cuzco. Lembah tersebut kemudiannya menjadi tapak berdirinya ibu kota Empayar Inca yang diasaskan oleh Viracocha Inca pada tahun 1425M.

Dalam rentang waktu yang cukup singkat, iaitu hanya sekitar satu kurun (1425-1532M), Empayar Inca berkembang menjadi empayar yang paling berkuasa di pantai barat Amerika Selatan. Pada masa-masa kemuncaknya, wilayah naungan Empayar Inca terbentang luas dari Quito, Ecuador di bahagian utara hingga ke Santiago, Chile di sempadan selatan.

Walau bagaimanapun, Empayar Inca menerima nasib yang sama seperti kerajaan-kerajaan lain yang menjadi mangsa kolonialisme Eropah di Zaman Penjelajahan. Tahun 1572 dicatatkan sebagai tahun tumbangnya Empayar dan bahkan Tamadun Inca itu sendiri, apabila kota terakhirnya, iaitu Vilcabamba ditakluk oleh Sepanyol.

Pun begitu, sejarah kegemilangannya masih tersimpan rapi dalam catatan-catatan sejarah. Puing-puing bangunannya juga masih tersisa untuk ditatap oleh generasi demi generasi sehingga ke hari ini. Antara monumennya yang paling masyhur tidak lain dan tidak bukan adalah Machu Piccu, yang tersergam megah di Pergunungan Andes, Peru.

Peta Empayar Inca

Namun, legasi Tamadun Inca tidak terhad kepada megahnya monumen-monumen seperti Machu Piccu sahaja. Mereka turut mewariskan sebuah bukti fizikal bagi kemajuan mereka dalam kejuruteraan sistem hidraulik dan pengairan. Legasi yang dimaksudkan ini adalah Kuil Air Incamisana yang terletak di Lembah Patacancha, Ollantaytambo, Peru yang dibina selain untuk mengairi tanah-tanah subur yang mereka diami, ia turut didedikasikan sebagai monumen keagamaan bagi memuja para dewa yang melimpahi mereka dengan sumber air yang banyak.

Di samping penerapan elemen kejuruteraan sistem hidraulik yang cukup memesonakan, Kuil Air Incamisana turut dikagumi kerana ia dibina di lembah yang berada pada ketinggian 2792 meter dari paras laut.

Merincikan lokasinya dengan lebih tepat, Kuil Air Incamisana didirikan di utara Terusan Manyaraki dan berjarak kira-kira 70km arah barat laut dari Cuzco. Kompleks pengairan yang maju ini terdiri dari sejumlah ruangan terbuka dan tertutup, kolam, air pancut, air terjun dan juga saliran-saliran berkambus. Kompleks ini memainkan kefungsian dalam mengairi teres-teres yang menjangkau beberapa kilometer panjangnya di empat buah lembangan yang terdapat di Lembah Patacancha, iaitu Yuracmayo, San Pablo, Paq’chapata dan juga Puma Paqcha.

Kuil Air Incamisana juga menghadirkan bukti bahawa Tamadun Inca memiliki pemahaman dan kepakaran dalam menghindari dan memanfaatkan satu tindak-balas hidraulik yang disebut sebagai lompatan hidraulik, iaitu keadaan di mana perubahan halaju aliran berlaku dengan serta-merta. Di samping itu, kuil air ini turut memperlihatkan kemajuan Tamadun Inca dalam membina sistem saliran yang tidak mudah bocor, di samping keupayaan mereka dalam menangani situasi-situasi seperti kejadian tanah runtuh ataupun hakisan teres.

Menerusi lawatan kajian yang dilakukan oleh Dr Richard Miksad dan pasukan-pasukan penyelidik daripada Universiti Virginia, Wright Water Engineers, Wright Paleohydrological Institute, turut didapati sebanyak 14 buah air pancut yang dibina khusus untuk upacara-upacara keagamaan.Terdapat juga tiga buah binaan air pancut lain yang dipercayai masih dalam proses pembinaan sebelum ianya ditinggalkan oleh kaum Inca. Antara air pancut yang paling mendapat perhatian adalah Baño de la Ñusta (Air Pancur Mandian Puteri).

Selain sistem hidraulik dan saliran air yang maju, Kuil Air Incamisana turut diperhebatkan lagi dengan hasil-hasil ukiran batu yang amat terperinci. Rangkaian jalan yang menghubungkan antara kuil tersebut dan wilayah-wilayah Empayar Inca yang lain turut menambahkan lagi nilai yang dimiliki oleh Incamisana.

Baño de la Ñusta

Menurut Richard Miksad dalam kertas kajiannya yang juga disiarkan oleh laman Ancient Pages, kebanyakan saliran yang membentuk sistem pengairan di Kuil Air Incamisana ini pada asalnya dibina oleh Quillke, kebudayaan pra-Inca (900-1200M) yang sempat mendiami kawasan tersebut sebelum ketibaan kaum Inca pada kurun ke-13.

Saliran-saliran tersebut kemudiannya ditambah-baik dan diselenggara oleh tamadun Inca sepanjang pendudukan dan penguasaan mereka. Keadaan yang sama turut berlaku bagi rangkaian jalan penghubung, sebagaimana yang ditulis oleh TK McEwan di dalam bukunya, ‘The Incas: New Perspectives’.

Walau bagaimanapun, hakikat tersebut sama sekali tidak mencacatkan kegemilangan Inca yang melekat pada Kuil Air Incamisana. Kegemilangan tersebut masih tetap diizinakn oleh takdir untuk diwariskan kepada generasi demi generasi sehingga ke hari ini, walaupun ianya pernah dibadai banjir pada tahun 1679 yang mengakibatkan kerosakan pada kompleks kuil berkenaan.

Ollantaytambo

RUJUKAN

Owen Jarus. (5 November 2018). The Inca Empire. Live Science.
https://www.livescience.com/41346-the-incas-history-of-andean-empire.html

A.Sutherland. (19 Julai 2019). Incamisana Water Temple At Ollantaytambo, Peru: Marvelous Engineering Masterpiece of Inca. Ancient Pages.
http://www.ancientpages.com/2019/07/19/incamisana-water-temple-at-ollantaytambo-peru-marvelous-engineering-masterpiece-of-inca/

Richard Miksad. A Hydraulic Engineering Study of the Incamisana, Ollantaytambo, Peru.
http://wrightpaleo.com/wordpress/wp-content/uploads/2012/10/Final-10.26.2-NCAAE-Presentation-Miksad.pdf


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.