Apabila menyebut mengenai ketiga-tiga buah
negeri di Pantai Timur ini, apa yang sering berlegar di fikiran ramai adalah
mengenai keunikan serta kepelbagaian jenis makanan yang terdapat di
negeri-negeri berkenaan. Malah, ada yang sanggup berkunjung ke Pahang,
Terengganu dan Kelantan semata-mata ingin merasai sendiri keenakan serta
keunikan pelbagai makanan tradisionalnya yang seringkali menjadi sebutan.
Selain daripada lauk pauk dan berbagai-bagai
hidangan nasi yang terkenal di ketiga-tiga buah negeri ini, hidangan
kuih-muihnya juga antara yang sering menjadi pilihan ramai pelancong dari dalam
dan luar negara. Kali ini, artikel ini akan mengupas keunikan hidangan
kuih-muih dan pencuci mulut yang menjadi juadah pilihan para raja dan golongan
istana di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Pahang – Puding Raja
Hidangan pencuci mulut paling terkenal dalam kalangan golongan diraja
Pahang ini semestinya adalah puding raja. Sebenarnya, puding raja ini adalah
pencuci mulut yang berasal dari daerah Pekan, Pahang, malah ia merupakan
hidangan istimewa yang menjadi signature dish bagi daerah berkenaan. Pekan merupakan sebuah daerah dan bandar diraja
di negeri Pahang yang terletak 50 kilometer dari Kuantan. Ia dinamakan bandar
diraja kerana daerah ini merupakan tempat bersemayamnya sultan dan kerabat
diraja Pahang. Bandar Pekan dikatakan telah wujud sejak abad ke-17 lagi dan
daerah Pekan ini pernah menjadi ibu negeri Pahang pada tahun 1889 hingga 1898.
Puding raja merupakan hidangan yang sangat
terkenal dalam kalangan golongan istana dan sering dijadikan sebagai satu
santapan istimewa kerabat diraja di istana. Menurut sejarah, pada sekitar tahun
1960-an, para tukang masak istana pada waktu itu yang bertanggungjawab
menyediakan makanan tradisi istana turut dibenarkan untuk membawa resepi
makanan berkenaan ke rumah masing-masing. Ini bermakna para tukang masak
tersebut dibenarkan untuk memasaknya dan berkongsi resepi berkenaan dengan
golongan kebanyakan.
Pewarisan resepi ini dalam kalangan ahli-ahli keluarga telah menjadikan
puding raja ini sebagi satu hidangan yang amat terkenal dalam kalangan rakyat
kebanyakan dan semakin tersebar ke seluruh negeri Pahang. Ini juga adalah
kerana terdapat ahli keluarga para pekerja istana yang mula mengkomersilkan
hidangan kuih ini melalui tempahan pada sekitar penghujung tahun 1990-an.
Proses penyediaan puding raja ini mempunyai langkah-langkah khusus yang
harus diikuti agar hidangan yang terhasil mempunyai rasa dan keaslian seperti
yang sepatutnya. Antara bahan yang digunakan dalam proses penghasilan puding
raja ini ialah pisang lemak manis Pahang yang khusus berada di negeri Pahang
bagi menjamin keaslian rasanya. Selain itu, bahan-bahan lain yang digunakan
bagi membuat hidangan ini ialah buah prun, ceri, gajus dan jala emas yang
diperbuat daripada kuning telur. Hidangan puding raja ini sangat enak untuk
dinikmati bersama kuah pudingnya yang diperbuat daripada bahan-bahan tertentu
termasuklah susu cair.
Terengganu – Jala Emas
Negeri Terengganu juga terkenal dengan pelbagai hidangan kuih-muih serta
pencuci mulut yang menjadi warisan turun-temurun masyarakatnya. Bagi hidangan
kuih yang terkenal dalam kalangan golongan diraja dan para sultan, jala emas
atau juga dikenali sebagai jala mas adalah pilihan utama mereka.
Kuih jala emas yang
mempunyai rasa lemak manis ini berwarna kuning keemasan, dan mempunyai bentuk
yang unik dengan jaluran halus seperti mee, namun dengan tekstur yang lebih
halus dan lembut. Kuih ini diperbuat daripada kuning telur dan melalui beberapa
proses yang agak cerewet dan memerlukan ketelitian daripada pakar yang mahir
membuatnya. Kuning telur akan dimasak dengan air gula melalui suatu proses yang
teliti bagi menghasilkan uraian kecil yang halus dan lembut.
Istimewanya kuih ini
sehinggakan ia menjadi pilihan hidangan pencuci mulut golongan kerabat diraja
ialah kerana pada zaman dahulu, proses penyediaannya adalah sangat rumit,
ditambah dengan kos bahan yang agak mahal jika hendak disediakan dalam kuantiti
yang banyak yang tidak mampu untuk ditanggung oleh rakyat kebanyakan pada waktu
itu. Namun, pada hari ini, resepi jala emas ini telah tersebar luas dalam
kalangan seluruh rakyat di negeri Terengganu dan telah menjadi antara hidangan
kuih yang amat digemari.
Apa yang menarik mengenai
kuih jala emas ini ialah ia merupakan hidangan pilihan sekiranya ada upacara
istimewa seperti majlis pertunangan, majlis pernikahan, kenduri dan acara-acara
diraja. Pada masa kini, kuih jala emas seringkali menjadi hidangan hantaran
bagi majlis pertunangan dan perkahwinan.
Kelantan – Kuih Putih (Kuih Tahi Itik)
Kuih
putih atau nama gelarannya dalam kalangan masyarakat Kelantan, iaitu kuih tahi
itik, merupakan suatu kuih tradisional yang diperbuat daripada putih telur, tepung,
gula dan minyak masak. Merungkai kembali sejarah kewujudan kuih putih ini di
negeri Kelantan, sehingga menjadi juadah pilihan para raja, resepi asal bagi
kuih ini dikatakan berasal daripada hidangan kerabat diraja istana Patani. Hidangan
ini akhirnya telah dibawa masuk ke Kelantan pada sekitar tahun 1900-an dan
diperkenalkan kepada golongan kerabat diraja Kelantan.
Ada
juga pendapat lain yang menyatakan bahawa kuih ini terhasil kerana para tukang
masak istana pada zaman dahulu tidak ingin membuang putih telur begitu sahaja
kerana hidangan pencuci mulut pada waktu itu kebanyakannya hanya menggunakan
kuning telur sahaja sebagai ramuan utama seperti kuih jala emas dan buah
tanjung. Tidak sanggup untuk melihat ia terus dibuang, maka putih telur
berkenaan diadun dan dibentuk menjadi kuih yang kini dikenali sebagai kuih
putih atau tahi itik ini.
Setelah
lebih 100 tahun, hidangan kuih putih atau tahi itik pada hari ini telah menjadi
sajian yang turut dinikmati oleh rakyat kebanyakan. Malah, hidangan kuih ini juga menjadi pilihan
untuk dijadikan sebagai sajian istimewa bagi majlis-majlis tertentu terutamanya
majlis pertunangan dan perkahwinan.
Kesimpulan
Selain
daripada ketiga-tiga jenis kuih pilihan diraja seperti yang dinyatakan ini,
terdapat banyak lagi sajian kuih dan pencuci mulut dari ketiga-tiga buah negeri
tersebut yang kini telah banyak dikomersilkan serta dinikmati oleh pelbagai
lapisan masyarakat. Meskipun pada asalnya hidangan ini adalah sajian untuk
golongan diraja, namun seiiring dengan peralihan zaman, rakyat kebanyakan turut
berpeluang untuk mencuba sendiri resepi diraja dan seterusnya menjadikan
hidangan berkenaan sebagai suatu warisan dalam masyarakat setempat. Apa yang
paling penting ialah setiap lapisan masyarakat haruslah berusaha untuk terus
memelihara warisan sajian tradisional ini dan memperkenalkannya ke serata dunia
suatu hari nanti.
Rujukan
Azhanie, A. (2014).
ROYAL PUDDING PAHANG’S SIGNATURE DESSERT. Retrieved January 20, 2019, from
http://myroyalpudding.blogspot.com/
Maruwiah, A. (2012). Makanan
Tradisional. Shah Alam, Selangor: Get Smart Publication Sdn. Bhd.
Norzailina, N. (2005).
Variasi Masakan Pantai timur. Shah Alam, Selangor: Alaf 21 Sendirian
Berhad.
Nurul Hidayah, A.
(2016). Mengekalkan resipi asal sejak 100 tahun lalu. Retrieved January 21,
2019, from
http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm




No comments yet