Apabila menyebut mengenai ketiga-tiga buah negeri di Pantai Timur ini, apa yang sering berlegar di fikiran ramai adalah mengenai keunikan serta kepelbagaian jenis makanan yang terdapat di negeri-negeri berkenaan. Malah, ada yang sanggup berkunjung ke Pahang, Terengganu dan Kelantan semata-mata ingin merasai sendiri keenakan serta keunikan pelbagai makanan tradisionalnya yang seringkali menjadi sebutan.
Selain daripada lauk pauk dan berbagai-bagai hidangan nasi yang terkenal di ketiga-tiga buah negeri ini, hidangan kuih-muihnya juga antara yang sering menjadi pilihan ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Kali ini, artikel ini akan mengupas keunikan hidangan kuih-muih dan pencuci mulut yang menjadi juadah pilihan para raja dan golongan istana di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Pahang – Puding Raja
Hidangan pencuci mulut paling terkenal dalam kalangan golongan diraja Pahang ini semestinya adalah puding raja. Sebenarnya, puding raja ini adalah pencuci mulut yang berasal dari daerah Pekan, Pahang, malah ia merupakan hidangan istimewa yang menjadi signature dish bagi daerah berkenaan. Pekan merupakan sebuah daerah dan bandar diraja di negeri Pahang yang terletak 50 kilometer dari Kuantan. Ia dinamakan bandar diraja kerana daerah ini merupakan tempat bersemayamnya sultan dan kerabat diraja Pahang. Bandar Pekan dikatakan telah wujud sejak abad ke-17 lagi dan daerah Pekan ini pernah menjadi ibu negeri Pahang pada tahun 1889 hingga 1898.
Puding raja merupakan hidangan yang sangat terkenal dalam kalangan golongan istana dan sering dijadikan sebagai satu santapan istimewa kerabat diraja di istana. Menurut sejarah, pada sekitar tahun 1960-an, para tukang masak istana pada waktu itu yang bertanggungjawab menyediakan makanan tradisi istana turut dibenarkan untuk membawa resepi makanan berkenaan ke rumah masing-masing. Ini bermakna para tukang masak tersebut dibenarkan untuk memasaknya dan berkongsi resepi berkenaan dengan golongan kebanyakan.
Pewarisan resepi ini dalam kalangan ahli-ahli keluarga telah menjadikan puding raja ini sebagi satu hidangan yang amat terkenal dalam kalangan rakyat kebanyakan dan semakin tersebar ke seluruh negeri Pahang. Ini juga adalah kerana terdapat ahli keluarga para pekerja istana yang mula mengkomersilkan hidangan kuih ini melalui tempahan pada sekitar penghujung tahun 1990-an.
Proses penyediaan puding raja ini mempunyai langkah-langkah khusus yang harus diikuti agar hidangan yang terhasil mempunyai rasa dan keaslian seperti yang sepatutnya. Antara bahan yang digunakan dalam proses penghasilan puding raja ini ialah pisang lemak manis Pahang yang khusus berada di negeri Pahang bagi menjamin keaslian rasanya. Selain itu, bahan-bahan lain yang digunakan bagi membuat hidangan ini ialah buah prun, ceri, gajus dan jala emas yang diperbuat daripada kuning telur. Hidangan puding raja ini sangat enak untuk dinikmati bersama kuah pudingnya yang diperbuat daripada bahan-bahan tertentu termasuklah susu cair.
Terengganu – Jala Emas
Negeri Terengganu juga terkenal dengan pelbagai hidangan kuih-muih serta pencuci mulut yang menjadi warisan turun-temurun masyarakatnya. Bagi hidangan kuih yang terkenal dalam kalangan golongan diraja dan para sultan, jala emas atau juga dikenali sebagai jala mas adalah pilihan utama mereka.
Kuih jala emas yang mempunyai rasa lemak manis ini berwarna kuning keemasan, dan mempunyai bentuk yang unik dengan jaluran halus seperti mee, namun dengan tekstur yang lebih halus dan lembut. Kuih ini diperbuat daripada kuning telur dan melalui beberapa proses yang agak cerewet dan memerlukan ketelitian daripada pakar yang mahir membuatnya. Kuning telur akan dimasak dengan air gula melalui suatu proses yang teliti bagi menghasilkan uraian kecil yang halus dan lembut.
Istimewanya kuih ini sehinggakan ia menjadi pilihan hidangan pencuci mulut golongan kerabat diraja ialah kerana pada zaman dahulu, proses penyediaannya adalah sangat rumit, ditambah dengan kos bahan yang agak mahal jika hendak disediakan dalam kuantiti yang banyak yang tidak mampu untuk ditanggung oleh rakyat kebanyakan pada waktu itu. Namun, pada hari ini, resepi jala emas ini telah tersebar luas dalam kalangan seluruh rakyat di negeri Terengganu dan telah menjadi antara hidangan kuih yang amat digemari.
Apa yang menarik mengenai kuih jala emas ini ialah ia merupakan hidangan pilihan sekiranya ada upacara istimewa seperti majlis pertunangan, majlis pernikahan, kenduri dan acara-acara diraja. Pada masa kini, kuih jala emas seringkali menjadi hidangan hantaran bagi majlis pertunangan dan perkahwinan.
Kelantan – Kuih Putih (Kuih Tahi Itik)
Kuih putih atau nama gelarannya dalam kalangan masyarakat Kelantan, iaitu kuih tahi itik, merupakan suatu kuih tradisional yang diperbuat daripada putih telur, tepung, gula dan minyak masak. Merungkai kembali sejarah kewujudan kuih putih ini di negeri Kelantan, sehingga menjadi juadah pilihan para raja, resepi asal bagi kuih ini dikatakan berasal daripada hidangan kerabat diraja istana Patani. Hidangan ini akhirnya telah dibawa masuk ke Kelantan pada sekitar tahun 1900-an dan diperkenalkan kepada golongan kerabat diraja Kelantan.
Ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa kuih ini terhasil kerana para tukang masak istana pada zaman dahulu tidak ingin membuang putih telur begitu sahaja kerana hidangan pencuci mulut pada waktu itu kebanyakannya hanya menggunakan kuning telur sahaja sebagai ramuan utama seperti kuih jala emas dan buah tanjung. Tidak sanggup untuk melihat ia terus dibuang, maka putih telur berkenaan diadun dan dibentuk menjadi kuih yang kini dikenali sebagai kuih putih atau tahi itik ini.
Setelah lebih 100 tahun, hidangan kuih putih atau tahi itik pada hari ini telah menjadi sajian yang turut dinikmati oleh rakyat kebanyakan. Malah, hidangan kuih ini juga menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai sajian istimewa bagi majlis-majlis tertentu terutamanya majlis pertunangan dan perkahwinan.
Kesimpulan
Selain daripada ketiga-tiga jenis kuih pilihan diraja seperti yang dinyatakan ini, terdapat banyak lagi sajian kuih dan pencuci mulut dari ketiga-tiga buah negeri tersebut yang kini telah banyak dikomersilkan serta dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Meskipun pada asalnya hidangan ini adalah sajian untuk golongan diraja, namun seiiring dengan peralihan zaman, rakyat kebanyakan turut berpeluang untuk mencuba sendiri resepi diraja dan seterusnya menjadikan hidangan berkenaan sebagai suatu warisan dalam masyarakat setempat. Apa yang paling penting ialah setiap lapisan masyarakat haruslah berusaha untuk terus memelihara warisan sajian tradisional ini dan memperkenalkannya ke serata dunia suatu hari nanti.
Rujukan
Azhanie, A. (2014). ROYAL PUDDING PAHANG’S SIGNATURE DESSERT. Retrieved January 20, 2019, from http://myroyalpudding.blogspot.com/
Maruwiah, A. (2012). Makanan Tradisional. Shah Alam, Selangor: Get Smart Publication Sdn. Bhd.
Norzailina, N. (2005). Variasi Masakan Pantai timur. Shah Alam, Selangor: Alaf 21 Sendirian Berhad.
Nurul Hidayah, A. (2016). Mengekalkan resipi asal sejak 100 tahun lalu. Retrieved January 21, 2019, from http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih