Pada pagi 24 Jun 1932, Bangkok menyaksikan satu peristiwa yang mengubah haluan sejarah Thailand selama-lamanya. Kudeta yang berlaku hari itu bukan sekadar rampasan kuasa biasa, tetapi satu detik yang menamatkan sistem raja berkuasa mutlak yang telah bertapak sejak zaman Dinasti Chakri.

Kudeta ini dilancarkan oleh sekumpulan pegawai tentera, birokrat dan intelektual yang bernaung di bawah gerakan Khana Ratsadon, sebuah organisasi yang membawa agenda demokrasi untuk rakyat.

[Mengapa Revolusi 1932 Berlaku?]

Thailand ketika itu bukan sekadar berdepan dengan krisis ekonomi akibat kesan Great Depression 1929, tetapi juga dengan sistem pemerintahan yang menyaksikan hanya golongan elit dan bangsawan menikmati kemewahan, manakala rakyat biasa terus menderita.

Raja Prajadhipok (Rama VII) mewarisi sebuah negara yang tidak stabil dan meskipun beliau cuba memperkenalkan reformasi ekonomi, kuasa sebenar masih berada di tangan para bangsawan yang menolak sebarang perubahan yang boleh menggugat kepentingan mereka.

Dalam masa yang sama, golongan muda Thailand yang melanjutkan pelajaran ke Barat pulang dengan idea-idea baru tentang demokrasi dan keadilan sosial. Mereka melihat bagaimana monarki mutlak di negara mereka tidak lagi sesuai dengan zaman yang kian berubah.

[Siapa Dalang Di Sebalik Revolusi?]

Kudeta ini hasil usaha sekumpulan pemimpin dari pelbagai latar belakang. Antaranya Pridi Banomyong, Plaek Phibunsongkhram, Phraya Phahonphonphayuhasena dan Phraya Songsuradet.

Mereka merancang sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Thailand iaitu menamatkan sistem monarki mutlak tanpa pertumpahan darah.

[Detik-detik Kudeta 1932]

Sekitar jam 4 pagi, Phraya Phahon bersama beberapa penyokongnya telah berkumpul berhampiran Ananta Samakhom Throne Hall, menunggu isyarat untuk bertindak.

Sementara itu, Phraya Songsuradet dan beberapa ahli lain bergerak ke berek First Cavalry Regiment of the Royal Guards, di mana kebanyakan kenderaan perisai dan kereta kebal tentera ditempatkan.

Dengan muslihat bahawa terdapat pemberontakan oleh masyarakat Cina di bandar, mereka berjaya memasuki berek dan menguasai kenderaan perisai tanpa sebarang pertumpahan darah.

Tentera yang tidak mengetahui rancangan sebenar akhirnya menyertai mereka kerana menyangka ia hanyalah latihan ketenteraan biasa.

Sementara itu, pasukan revolusi lain yang diketuai oleh Phraya Ritthiakhaney telah menggerakkan kereta kebal dan artileri menuju ke Ananta Samakhom Throne Hall.

Pada jam 6 pagi, kumpulan infantri dan kavalri mula memenuhi dataran istana diraja, menarik perhatian ramai. Orang ramai yang melihat keadaan itu beranggapan ia mungkin latihan ketenteraan ataupun pemberontakan kecil.

Namun, situasi berubah apabila Phraya Phahon naik ke atas sebuah kereta kebal dan membaca Manifesto Khana Ratsadon, mengisytiharkan penghapusan sistem monarki mutlak dan pembentukan kerajaan baharu berasaskan perlembagaan.

Walaupun kelihatan seperti perancangan yang kemas, hakikatnya revolusi ini masih belum benar-benar berjaya. Ia bergantung kepada kejayaan operasi lain yang sedang berlangsung di sekitar Bangkok.

Pasukan yang diketuai Phraya Prasan telah dihantar untuk menangkap Putera Paribatra dan pegawai tinggi lain di dalam kerajaan.

Putera Paribatra yang masih berbaju tidur ketika itu langsung tidak dapat berbuat apa-apa dan ditahan tanpa sebarang tentangan. Malah, kebanyakan bangsawan lain yang ditahan juga tidak memberikan sebarang reaksi kerana mereka tidak menyangka kudeta ini akan berjaya sejauh itu.

Pada jam 8 pagi, situasi di Bangkok sudah berada dalam kawalan penuh Khana Ratsadon. Hampir 40 pegawai kanan kerajaan telah ditahan dan dikumpulkan di dalam Ananta Samakhom Throne Hall.

Satu-satunya cubaan melawan datang daripada komander First Army Corps yang cuba melawan tetapi akhirnya ditahan selepas mengalami kecederaan ringan. Ia menjadi satu-satunya kecederaan dalam revolusi yang berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah besar-besaran.

Menteri Perdagangan dan Komunikasi, Putera Purachatra sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah lokomotif yang telah dilepaskan secara berasingan daripada kereta api kerajaan untuk memberi amaran kepada Raja di Hua Hin.

Pada sebelah petang, Khana Ratsadon yakin bahawa mereka telah menang sepenuhnya dan mengadakan mesyuarat rasmi pertama mereka.

Pridi Banomyong memainkan peranan penting dalam menyatukan sokongan daripada pegawai kanan kerajaan dan berusaha untuk memastikan tiada kuasa luar campur tangan dalam hal ini.

Surat dihantar kepada semua kedutaan asing di Bangkok, memberi jaminan bahawa kerajaan baharu akan memastikan keselamatan rakyat asing serta meneruskan dasar luar seperti biasa.

[Raja Bukan Lagi Berkuasa Mutlak]

Dengan kejayaan revolusi ini, Thailand memasuki era baru. Raja masih kekal sebagai ketua negara, tetapi kuasa sebenar kini berada di tangan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Perlembagaan pertama Thailand diperkenalkan pada Disember 1932 menandakan permulaan sistem demokrasi di negara itu. Namun, realiti politik tidak seindah yang diharapkan.

Walaupun kuasa monarki dikurangkan, tentera pula semakin berpengaruh dan mula memainkan peranan besar dalam politik negara.

[Usaha Menguburkan Sejarah Revolusi 1932]

Sejarah revolusi ini tidak kekal utuh dalam ingatan rakyat Thailand. Pada era pemerintahan Field Marshal Sarit Thanarat pada tahun 1958, usaha dilakukan untuk menghapuskan kesan-kesan revolusi ini daripada ingatan rakyat.

Tarikh 24 Jun,yang sebelum ini disambut sebagai Hari Kebangsaan Thailand digantikan dengan 5 Disember, iaitu hari kelahiran Raja Bhumibol Adulyadej.

Malah, plak peringatan revolusi yang dipasang di Bangkok hilang secara misteri pada tahun 2017, dipercayai atas arahan pihak berkuasa.

Di sekolah-sekolah, revolusi ini hanya disebut secara ringkas dalam buku teks sejarah dan guru-guru sering mengelak daripada membincangkannya secara mendalam kerana sensitiviti politik.

Hingga ke hari ini, Revolusi 1932 kekal sebagai satu peristiwa yang mencetuskan perdebatan. Ada yang melihatnya sebagai langkah pertama Thailand ke arah demokrasi, tetapi ada juga yang percaya bahawa revolusi ini tidak benar-benar memberikan kuasa kepada rakyat biasa.

Apa yang pasti, tanpa revolusi ini, Thailand mungkin masih berada di bawah sistem monarki mutlak.

___

Anda peminat sejarah benua Siam? Dari kerajaan Melayu seperti Sri Dharmaraja yang pernah memerintah benua Siam, sehinggalah ke sejarah kemasukan orang Thai membina kerajaan seperti Sukothai dan Ayutthaya, sehingga kepada pembentukan negara Thailand di bumi Siam, maka buku terbaru kami, KITAB TAMADUN SIAM ialah untuk anda.

PRA-TEMPAH SEKARANG dengan DISKAUN di https://s.shopee.com.my/4fhJ0MwbRT


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Comments are closed.