Sudah menjadi satu kelaziman untuk sesebuah bangunan kebudayaan diangkat sebagai simbol negara. Misalnya Menara Eiffel di Perancis, piramid di Mesir, dan Kubu Merah di New Delhi, India. Kubu Merah yang turut dikenali sebagai Lal Qal’ah merupakan pusat pentadbiran India selama berkururun-kurun dan ia masih dijadikan sebagai sebuah simbol kekuasaan. Tapak Warisan Dunia UNESCO yang satu ini kaya dengan sejarah dan menyimpan banyak khazanah arkeologi. Ia amat masyhur baik dalam kalangan warga tempatan mahupun pelancong asing.
SEJARAH KUBU MERAH YANG DRAMATIK
Pada kurun ke-12 Masihi, buat pertama kalinya sebuah kubu didirikan di tapak tersebut. Namun, Kubu Merah hanya dibangunkan pada 1630an atas perintah Maharaja Mughal, Shah Jahan dan seni binanya direka oleh Ustad Ahmad Lahori, iaitu jurutera sama yang menghasilkan rekaan Taj Mahal. Kubu ini kemudiannya dijadikan sebagai pusat bagi Delhi Lama.
Kubu ini dilengkapi dengan istana dan kediaman peribadi maharaja, di mana ia dihuni oleh keluarga diraja dan para pegawai Mughal. Perbendaharaan empayar jua disimpan di sini, termasuklah hasil-hasil seni, simpanan emas dan batu-batu permata. Pada era Mulhi-ud-Din Muhammad atau lebih masyhur sebagai Aurangzeb, saiz Kubu Merah diperluaskan lagi.
Sesudah memasuki tahun 1700M, Empayar Mughal mula mengalami kemunduran. Pada tahun 1739, Nadir Shah yang merupakan Shah Iran, menyerang Delhi dan menjarah istana serta merompak Takhta Burung Merak. Selepas berlakunya Pertempuran Panipat Ketiga, Marathas menakluki kota. Pun begitu, New Delhi tetap dikuasai oleh Maharaja Mughal walau hanya pada nama. Kemudian berikutan meletusnya Perang Maratha, British mengambil-alih New Delhi dan menggunakan kubu ini sebagai pusat pentadbiran mereka di rantau berkenaan.
Semasa berlakunya Pemberontakan India (1857-1859), pihak pemberontak berjaya menguasai kota ini dan maharaja Mughal terakhir yang mendiami kota tersebut diangkat sebagai simbol pemberontakan. Namun, kota berkenaan berjaya direbut semula oleh British dan wangsa terakhir Mughal kemudiannya dibuang negeri. Kubu Merah dijadikan sebagai simbol kekuasaan British Raj, dan beberapa bahagian bangunannya yang mengalami kerosakan akibat pember*ntakan dibaik-pulih.
Beberapa perbicaraan politik yang penting juga pernah dilangsungkan di kubu ini, antaranya termasuklah perbicaraan yang melibatkan anggota T*ntera Diraja India yang memihak Jepun dalam P*rang Dunia Kedua. Pada tahun 1947, Jawaharal Nehru mengisytiharkan kemerdekaan India. Kubu Merah terus digunakan sebagai kubu oleh Tent*ra India sehingga tahun 2003. Pada setiap ulang tahun kemerdekaan, Perdana Menteri akan memberikan ucapan rasmi di kubu ini.
PERINCIAN SENI BINA KUBU MERAH
Seni bina Kubu Merah mempunyai percampuran budaya antara Parsi, Timurid, dan Hindu. Tembok batunya yang berwarna merah dibina setinggi 75 kaki (22m) dan ia terbentang sejauh satu batu setengah (2.3 km). Tembok ini turut dilengkapi dengan sejumlah menara yang berbeza-beza ketinggian.
Pelan kubu ini berbentuk oktagon dan satu sisinya melintang di sepanjang Sungai Yamuna. Gerbang Lahore yang berfungsi sebagai utama dan meraih nama kerana menghadap ke arah kota Lahore di Pakistan, digunakan oleh khalayak awam. Di sinilah juga tempat Nehru mengisytiharkan kemerdekaan India. Gerbang Delhi yang terletak di tembok selatan pula berdiri setinggi tiga tingkat dan diapit oleh dua buah patung gajah.
Bersebelahan dengan Gerbang Lahore adalah bazaar Chhatta Chow. Di belakangnya pula terletak Naubat Khana atau dewan menunggu, iaitu tempat di mana orang berkumpul sebelum memasuki balairung istana. Di situ jugalah permainan muzik dan keraian sering diadakan. Struktur yang paling masyhur dalam kompleks ini, iaitu Diwan-i-Aam, merupakan dewan menghadap. Di sini, Shah Jahan dan maharaja-maharaja yang menyusulinya akan mencemar duli menghadap rakyat. Bumbung dewan ini disokong oleh enam puluh batang tiang berwarna merah.
Terdapat juga sebuah astaka yang diberi nama Diwan-i-Khas. Di dewan ini, maharaja-maharaja Mughal menerima perutusan rasmi dan di sini jugalah persidangan-persidangan tertutup diadakan sambil maharaja bersemayam di Takhta Burung Merak. Berhampirannya pula terletak perigi-bertingkat, kamar mandi dan sebuah masjid yang dibina oleh Aurangzeb.
Satu lagi struktur signifikan di sini ialah Hira Maal (Istana Berlian), iaitu astaka yang dibina oleh maharaja terakhir Mughal. Kini, bilik membaca yang dinamakan sebagai Menara Maharaja sedang menjalani proses pembaikpulihan. Antara struktur-struktur lain yang boleh disaksikan di kompleks bersejarah ini adalah kuarters wanita dan kuarters putera. Terdapat juga sebuah kubu lama binaan Dinasti Suri pada tahun 1546, dan monumen-monumen lain yang turut terangkum dalam kompleks Kubu Merah.
MENGUNJUNGI KUBU MERAH DI NEW DELHI
Kubu Merah terletak di tengah-tengah New Delhi dan ia dibuka kepada seluruh orang awam. Terdapat bayaran yang dikenakan untuk memasukinya dan perkhidmatan pemandu pelancong juga turut tersedia. Bagi menikmati kesemua mercu tanda yang terdapat di sana, pengunjung amat disarankan untuk mengambil pakej lawatan tiga-jam.
RUJUKAN :
Ed Whelan. (22 Ogos 2020). The Mighty Red Fort of New Delhi, a Symbol of Mughal Power and Wealth. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/red-fort-delhi-0014152
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih