Pada kurun ke-13, Eropah dis3rang oleh Monggol dengan Kerajaan Hungary menjadi sasaran utama ser4ngan. Untuk menghindari pencerobohan ini, langkah membangunkan kubu-kubu istana yang ampuh dilihat sebagai satu cara yang efisien.

Kubu Istana Spis adalah sebuah kubu istana yang terletak di timur laut wilayah Presov, Slovakia. Sejarah istana ini dapat dijejak kembali pada kurun ke-12, iaitu ketika ia dibangunkan di tapak yang sebelum itu menjadi tempat berdirinya sebuah kubu perbukitan. Pada kurun-kurun berikutnya, Istana Spis berfungsi sebagai penanda sempadan utara Kerajaan Hungary.

Berikutan peranan signifikan yang dimilikinya, struktur-struktur baru ditambah ke dalamnya dari semasa ke semasa dan kubu istana ini dibina semula pada separuh kedua kurun ke-15. Pembinaan semula ini mengubah imej Istana Spis daripada hanya sekadar sebuah struktur ketenteraan kepada sebuah kediaman yang selesa buat penghuninya.

Kubu Istana Spis pernah mengalami kehancurkan akibat kebakaran yang berlaku pada kurun ke-18 dan seterusnya ditinggalkan. Hal ini mengakibatkannya runtuh secara bertahap, walaupun usaha yang dijalankan pada 1970an berjaya menghindarkan kubu istana tersebut daripada mengalami kemusnahan total.

Pada hari ini, Kubu Istana Spis diperakui sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, dan dinamakan secara kolektif sebagai ‘Levoca, Spissky Hrad dan Monumen-Monumen Kebudayaan Yang Berkaitan’.

Kubu Istana Spis (Spissky hrad) di wilayah Kosice, Slovakia timur

PEMBINAAN SEBUAH KUBU ISTANA

Sebelum kurun ke-12, tapak tempat Kubu Istana Spis berdiri menempatkan sebuah kubu perbukitan. Catatan bertulis tertua yang menyebut tentang kewujudan Kubu Istana Spis ditemui pada sebuah manuskrip tahun 1120.

Pada waktu itu, kubu istana yang dibina mengikut seni bina Rom ini berfungsi sebagai penanda sempadan utara Kerajaan Hungary.

Pada tahun 1124, sebuah menara dan istana dibangunkan di dalam kubu istana ini memandangkan raja Hungary, iaitu Bela IV menyedari bahawa kubu-kubu istana, termasuklah Kubu Istana Spis adalah medium yang efektif dalam menangani ser4ngan Monggol yang menceroboh Hungary pada awal dekad tersebut.

Secara zahirnya, Kubu Istana Spis dimiliki oleh raja Hungary yang memerintah. Namun pada hakikatnya, ia dihuni oleh golongan bangsawan. Sebagai sebuah tapak yang memiliki nilai strategik, Kubu Istana Spis sentiasa menjadi pusat konflik lantaran ramai yang berebut mahu menguasainya.

Sebagai contoh, Matus Cak Trenciansky, iaitu bangsawan Hungary yang paling berkuasa pada awal kurun k-14, cuba untuk menakluk Kubu Istana Spis pada 1312. Namun, usahanya itu berakhir dengan kegagalan.

Potret Matus Cak Trenciansky (1252-1321), bangsawan Hungari. Dalam bahasa Hungary, namanya disebut sebagai Csak Mate


STRUKTUR KUBU ISTANA SPIS DI ZAMAN MODEN

Kubu Istana Spis hanya meraih bentuknya seperti yang kita dapat lihat pada hari ini menjelang kurun ke-15. Pada tahun 1443, istana ini berada di bawah kekuasaan Jan Jiskra dari Brandys. Beliau adalah seorang tentera upahan dari Czech. Pada mulanya, beliau memerintahkan agar sebuah benteng kecil dibina di lereng bukit yang terletak di bawah istana.

Kemudian, beliau menghubungkan kedua-dua struktur tersebut dengan sebuah perkarangan yang besar. Pada separuh kedua kurun ke-15, kubu istana ini dikurniakan oleh Raja Hungary kepada keluarga Zapolsky, yang menjadikannnya sebagai kediaman rasminya walaupun pada waktu itu, mereka sudah pun memiliki lebih 70 buah istana lain.

Stefan Zapolsky, si pemilik baru Kubu Istana Spis, adalah orang yang bertanggungjawab melakukan perubahan signifikan terhadap struktur bangunan itu. Sebagai contoh, kubu istana yang dibina mengikut gaya Rom ini dibina semula mengikut gaya Gothic.

Menara-menara yang ada pula ditambahkan ketinggian dan ketebalan. Selain itu, bangunan Biara St. Elizabeth (Chapel of St. Elizabeth) turut ditambahkan ke dalam kubu istana. Susulan daripada perubahan-perubahan yang dilakukan ini, beliau menjadikan Kubu Istana Spis sebagai sebuah kediaman yang selesa buat keluarga Zapolsky.

Malahan, sebagai nota sampingan, putera Stefan yang bernama Jan dilahirkan di dalam istana ini. Beliau kemudiannya membesar menjadi Raja Hungary.

Pemandangan panorama Kubu Istana Spis di Slovakia

Pemilikan Kubu Istana Spis kemudiannya dipindahkan kepada keluarga Thurzo, dan seterusnya keluarga Csaky. Keluarga Thurzo memiliki kubu istana ini pada kurun ke-16 dan kurun ke-17, manakala keluarga Csaky pula menyelia bangunan itu sehingga pertengahan kurun ke-20. Pada tahun 1780, ketika kubu istana ini berada dalam pemilikan keluarga Csaky, ia mengalami kemusnahan akibat ditimpa kebakaran. 

Tiada sebarang usaha dilakukan untuk membaik-pulih istana, justeru ia terus ditinggalkan dalam keadaan sedemikian. Sebagai nota sampingan, keluarga ini tidak lagi mendiami istana tersebut sejak akhir kurun ke-17, memandangkan keadaannya yang tidak cukup selesa untuk didiami.

Runtuhan Kubu Istana Spis di Slovakia timur merupakan salah sebuah tapak istana terbesar di Eropah Tengah

Pada tahun 1993, Kubu Istana Spis disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, secara kolektif disebut sebagai ‘Levoca, Spissky Hrad dan Monumen-Monumen Kebudayaan yang Berkaitan’.

Kini, monumen bersejarah ini menjadi sebuah destinasi pelancongan penting dan bekas istananya yang sudah dibina semula pula dijadikan sebagai muzium.

Kerja-kerja pembaikpulihan dilakukan pada 1970an dengan tujuan menyelamatkan kubu istana itu dari runtuh sepenuhnya menjadi puing-peuing bangunan. Kerja-kerja tersebut sememangnya sukar lantaran struktur lama itu diancam oleh ketidakstabilan batu asas.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (20 Jun 2018). One of the Largest Castles in Europe was Born to Resist the Mongol Invasion. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/castles-europe-resist-mongol-invasion-0010233


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.