Dari ancaman komunis, pencerobohan tentera Indonesia semasa Konfrontasi, hingga serangan pengganas Sulu di Sabah, pasukan keselamatan kita mempertahankan negara dengan darah dan air mata. Tapi, pernahkah kita bayangkan kalau negara kita ditawan pengganas?
Pada 70-an, bangunan AIA di Jalan Ampang adalah yang tertinggi di Kuala Lumpur. Ia menempatkan pejabat insurans dan kedutaan asing seperti Amerika Syarikat, Sweden, Perancis, dan Kanada.
Namun, pada 4 Ogos 1975, lima orang tak dikenali menyusup masuk dan naik ke tingkat 9 dengan lif. Mereka melepaskan 12 tembakan rambang sebagai amaran dan mengumpulkan semua orang di sebuah bilik di pejabat AIA.
Ketua Pengawal Keselamatan, Sukdave Singh, menyiasat setelah terdengar tembakan dan lif dimatikan. Dia ditembak di kepala tetapi rakannya sempat meminta bantuan. Polis tiba dengan unit tindakan khas dan FRU mengawal orang ramai. Seorang anggota polis juga ditembak tetapi berjaya kembali ke lobi.
Ketua Polis, Tan Sri Haniff Omar, menyedari pengganas adalah dari Japanese Red Army (JRA), organisasi pengganas terkenal. Sebelum ini, JRA mendalangi letupan di Lapangan Terbang Lod, Tel Aviv, dan menawan kedutaan Perancis di Netherlands serta memusnahkan loji minyak di Singapura. Menurut Konsul Sweden, Fredrik Bergenstrahle, pengambilan tebusan mungkin disebabkan penahanan dua anggota JRA di Sweden pada awal 1975.
JRA meminta dua perkara: pembebasan 7 anggota mereka di Jepun dan pesawat untuk melarikan diri. Kerajaan Malaysia membentuk pasukan rundingan diketuai Tun Ghazali Shafie. Jepun akhirnya setuju melepaskan banduan JRA. Setelah rundingan, 9 tebusan dibebaskan dan pertukaran dibuat di Subang. Pengganas turun dengan 15 tebusan, memegang bom tangan. Pakar pemusnah bom, Leftenan Jamil, menyiasat sebelum menyelamatkan tebusan lain. Semasa di Subang, pengganas meminta empat pegawai kerajaan sebagai pertukaran.
Juruterbang pesawat DC8, Kapten Tomio Masuko, enggan berlepas jika ada bahan letupan. Rundingan mencapai persetujuan untuk meledakkan bom di kawasan lapang. Pesawat berlepas ke Libya setelah rundingan panjang. Mereka singgah di Sri Lanka untuk isi minyak. Setibanya di Libya, pengganas diletakkan di bawah tahanan rumah kerana kekurangan bukti.
Dua hari kemudian, pegawai tertinggi kerajaan Malaysia selamat tiba di Malaysia. Insiden ini menunjukkan pentingnya diplomasi dan keberanian pasukan keselamatan kita dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Oleh: Azizul Farhan
___
Bagi anda yang tidak berpeluang untuk menjengah ke reruai kami di PWTC, jangan khuatir kerana kami juga mengadakan Jualan PBAKL Online 2024 di Shopee dan Tiktok kami dengan DISKAUN sepanjang berlangsungnya PBAKL!
Link Shopee: s.shopee.com.my/8zjTjR0kUz




No comments yet