Sebut sahaja tentang KRU, saya pasti gen Millenial dan Gen-X akan mengenali mereka. Dengan usia kumpulan melebihi tiga dekad, KRU menjadi antara selebriti legenda di Malaysia dengan keistimewaan mereka yang tersendiri.
Apa maksud nama KRU?
Bagi generasi muda yang baru sahaja kenal dan tahu tentang KRU, gara-gara Konsert GenKRU yang menarik lebih 9,000 penonton baru-baru ini, KRU ini adalah sebuah kumpulan pop dan hip hop yang ditubuhkan pada 1992.
KRU itu asalnya adalah singkatan daripada ‘Kumpulan Rap Unggul’ dan ‘Kumpulan Rap Unik’ yang sebenarnya memang memberi identiti unik kepada kumpulan adik-beradik ini.
Mereka telah didedahkan dengan muzik sejak usia remaja lagi, malah pernah menghasilkan lagu Viva Selangor untuk pasukan kegemaran mereka. Ketika itu, mereka dikenali sebagai SRU atau Selangor Rappers Unit.
Bakat KRU ini bukan sahaja semata-mata kerana pandai menyanyi atau rap, tapi kerana mereka juga boleh menghasilkan lagu mereka sendiri. Ia adalah antara mata bonus yang memuncakkan kejayaan kumpulan KRU.
Demo lagu yang mereka hasilkan jugalah yang akhirnya menjadi sebab mereka dipanggil untuk uji bakat syaraikat EMI dan seterusnya terciptanya KRU pada 19 Mei 1992.
Trend muzik hip hop dan rap ketika era 90-an serta imej yang dibawa oleh KRU ketika itu membawa mereka ke puncak populariti. Ramai menggilai trio adik-beradik ini dan mereka juga tidak lepas daripada terpalit dengan pelbagai kontroversi.
Lagu-lagu KRU, yang kebanyakannya adalah hasil nukilan mereka sendiri sering menjadi siulan ramai. Karya-karya KRU seperti Mengerti, Apa Saja, Fanatik, Generasiku, Awas, Gadis Jelita, Terhangat Di Pasaran, Janji Tinggal Janji, dan Oh La La sentiasa lancar dinyanyikan.
Kenapa KRU bertahan sebagai legenda melangkaui pelbagai generasi?
Meskipun KRU pernah mengumumkan pembubaran kumpulan mereka pada tahun 2018, namun trio ini kembali bersatu pada 2024 dengan pelancaran album baharu. Dan seterusnya konsert mereka yang berlangsung pada Mei 2025.
KRU boleh dikatakan sebagai selebriti yang bijak dalam mengatur langkah mereka dalam dunia hiburan. Selain bergelar penyanyi dan komposer, mereka turut menubuhkan syarikat sendiri di bawah Kumpulan Syarikat KRU yang terdiri daripada KRU Studio, KRU Music, KRU Entertainment dan banyak lagi.
Secara tak langsung, KRU bukan hanya mahu mencipta nama dan populariti dalam industri hiburan Malaysia, tapi turut membina empayar serta jenama mereka yang tersendiri. Disebabkan itulah, mereka adalah legenda melangkaui generasi.
KRU, sebagai legenda yang masih aktif sehingga ke hari ini, dalam pelbagai cabang, boleh dianggap sebagai pencetus dalam revolusi muzik yang telah mengubah landskap industri hiburan Malaysia.




No comments yet