Kita semua pernah alaminya tanpa mengira masa atau tempat. Tak kiralah sama ada di rumah, sekolah, kolej, universiti, tempat kerja, masjid atau kenduri-kendara, jika kita buat silap, peluang ditegur atau dikritik adalah tinggi. Dan kiranya kesalahan yang dilakukan itu serius, memang kritikan atau teguran juga jadi lebih keras, kadang-kadang sampai ke tahap keterlaluan. Itu norma kehidupan tetapi realitinya ialah orang suka betul menegur atau mengkritik orang lain bila melakukan kesalahan. Tetapi bila empunya badan buat salah, bila kena balik, melenting mengalahkan Mak Dara. Persoalannya, mengapa sesetengah orang mengkritik sampai ke tahap sebegitu? Dan apa cara nak menghadapi situasi sebegini.
Sesetengah yang suka mengkritik, menegur atau mengecam ini berbuat demikian atas dasar nak menunjuk-nunjuk atau pura-pura pandai lebih-lebih lagi dalam isu sensitif. Pada mereka, mereka nak menunjukkan kepada orang lain bahawa mereka ada ‘pengetahuan’ untuk menjustifikasi komen bersikap negatif atau sekadar menonjolkan ketokohan dalam diri. Tetapi bila mana diperiksa latar belakang atau perkataan yang digunakan tiada kaitan dengan isu yang dibualkan, maka respon individu sebegini sama ada berdiam diri atau menyerang peribadi orang yang menegur. Kalau awak tiada ilmu atau pengetahuan tentang sesuatu isu, lebih baik diam saja dan serahkan kepada orang yang lebih alim ilmunya untuk menerangkan. Sebab mereka adalah pakar dalam isu tersebut yang layak menerangkan pro dan kontra sesuatu isu. Tapi malangnya, penyakit ‘acah-acah pandai’ ini berakar dalam minda rakyat kita dan mereka tak segan-silu menunjukkannya di laman media sosial.
Ada pula yang menegur bukan kerana nakkan individu atau organisasi jadi lebih baik tetapi lebih kepada sentimen membangkang sepanjang masa. Apa saja benda baik yang keluar atau dilaksanakan oleh seseorang atau organisasi, walau sebaik mana sambutan yang diberi, ada saja salah dicari. Dan ini satu penyakit yang berakar dalam sesetengah anggota masyarakat kita terutama yang bergelar wakil rakyat. Bila diminta beri alternatif atau cadangan lebih baik bagi inisiatif atau langkah yang diperkenalkan, kelompok sebegini berdiam diri atau hanya beri alternatif bila sudah bergelar kerajaan. Kegilaan apa yang cuba dijual kelompok ini kepada manusia? Kita semua tidak sempurna dan banyak melakukan kesilapan. Dan input yang diberi boleh digunakan untuk menambahbaik perkhidmatan, inisiatif atau cadangan yang diutarakan. Tetapi kalau teguran, kritikan atau kecaman dibuat atas dasar menentang saja, sampai bila kita mahu maju ke depan? Bila naik kerajaan, baru nak tunjuk dasar atau inisiatif alternatif, minta maaf, itu takkan berkesan di dunia sebenar dan itu cuma menunjukkan sifat acuh tidak acuh dalam soal memimpin negara.
Ada juga menegur dan mengkritik kesalahan orang tetapi tidak menggunakan laras bahasa yang sesuai atau saluran aduan yang disediakan. Ini bukan perkara baru, lihat saja kritikan, teguran atau kecaman orang ramai di laman media sosial. Individu sebegini langsung tidak mengambil endah etika dalam menegur atau saluran yang digunakan semasa menegur. Bahasa yang digunakan bersifat kasar dan lucah, bersikap bias dan menyerang peribadi atau fizikal individu dimaksudkan adalah perkara biasa yang saya temui setiap kali membaca artikel akhbar atau post peribadi tokoh berpengaruh. Ini bukan teguran atau kritikan bersifat membina, ini cercaan yang cuba disamarkan sebagai teguran atau kritikan. Ada yang bertindak lebih jauh dengan memasukkan unsur agama dalam soal sebegini walaupun kandungannya sama sekali tidak sesuai dengan memasukkan hashtag #donedakwah. Hai manusia, kalau ini tahap teguran atau kritikan anda, jangan terkejut di dunia sebelah sana, Tuhan jadikan anda orang muflis. Kenapa? Kerana lidah terlalu lancang bila berbicara sampai lupa akan hal ehwal diri sendiri. Nak menegur atau mengkritik, silakan tetapi biarlah berpada-pada dan sesuai dengan isu yang dibicarakan. Tegur jangan sampai ke tahap mengaibkan orang lain. Kalau anda berani buka aib orang lain, maka Tuhan juga mudah buka aib anda kerana kelancangan lidah anda.
Anda mahu menegur tetapi enggan terima teguran orang lain? Anda patut rasa malu. Teguran seharusnya bersifat dua hala di mana teguran itu sebenarnya ingatan kepada diri anda sendiri. Dan bila anda ditegur, anda patut menerimanya dengan hati terbuka dan lihat apa cara yang anda boleh lakukan untuk memperbaiki diri anda. Hatta para anbiya sekalipun, maksum iaitu terpelihara daripada melakukan dosa tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Rasulullah s.a.w ditegur Allah s.w.t dalam Surah Abasa kerana tidak mengendahkan keinginan seorang buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum r.a yang mahu memeluk Islam kerana terlalu sibuk berdakwah kepada golongan pembesar musyrikin Quraisy Makkah. Sementara Nabi Musa a.s ditegur beberapa kali oleh Nabi Khadir a.s kerana tidak sabar semasa mengikuti baginda dalam Surah Al-Kahfi. Jika para anbiya yang mulia di sisi Tuhan ini sedia ditegur, apa sebab anda susah nak terima teguran atau kritikan?
Justeru, sebagai renungan Jumaat hari ini, saya sediakan adab menegur atau mengkritik sebagai ingatan kepada kita semua:
1. Teguran atau kritikan yang diberi bersifat membina dan berhikmah. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t kepada Nabi Musa dan Nabi Harun a.s dalam ayat 43 dan 44, Surah Taha, “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”
2. Teguran dibuat secara tertutup dan tidak mengaibkan individu tersebut. Dalam satu hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang ingin menasihati seseorang pemimpin dalam sesuatu perkara, janganlah dia nyatakan nasihat itu secara terang-terangan, tetapi hendaklah dia bersama-sama pemimpin itu dan bersendirian dengannya (kemudian nasihat tersebut disampaikan kepadanya). Jika pemimpin itu menerima nasihatnya, maka itulah (yang terbaik), dan jika pemimpin itu tidak menerima nasihatnya, maka dia telah menunaikan tanggungjawabnya terhadap pemimpin tersebut (dalam menasihatinya).”
3. Lihat apa yang kita belajar dari kritikan tersebut sebab dalam teguran atau kritikan tersebut, pasti ada unsur kebenaran di dalamnya. Dari situ, kita belajar ambil maklum balas dan gunakan ia untuk memperbaiki diri sendiri.
4. Beri maklum balas kepada cadangan dan bukan emosi di sebalik kritikan. Antara sebab kita susah terima teguran atau kritikan ialah tona suara atau emosi yang digunakan pada ketika itu. Asingkan teguran dengan emosi tersebut dan fokuskan kepada cadangan atau teguran yang dinyatakan.
5. Bagi nilai yang baik kepada teguran atau kritikan. Satu tabiat kita ialah kita menghargai pujian tetapi bersikap negatif berkenaan soal kritikan atau teguran. Pujian memang boleh meningkatkan motivasi diri tetapi ianya tidak ke mana jika ia hanya sekadar separuh masak atau dipaksa. Dan bagaimana kita nak maju ke depan tanpa teguran atau kritikan yang dinyatakan? Kadang-kadang kita lupa orang marah, tegur atau kritik sebab mereka sayang kepada kita dan nak kita jadi lebih baik.
6. Jangan mudah sangat tersinggung. Kita ini memang berbulu bila orang tegur atau kritik tetapi perlu diingat, ia berlaku disebabkan emosi yang tercetus pada ketika itu. Dan kadang-kadang kita tak sedar, orang yang tegur, kritik atau menasihati kita ini sebenarnya mengingatkan diri sendiri untuk tidak ulang kesilapan kita.
7. Jangan layan kritikan atau teguran negatif. Jika dilayan, memang naik lemak pelaku sebegini. Jangan bagi mereka kepuasan melakukan tindakan tersebut pada anda. Buat tak endah dan diam saja bila orang sebegini muncul. Bila kita berbuat demikian, kritikan atau teguran yang dilontarkan itu langsung tak beri kesan pada kita. Dan pada masa sama, ia sebenarnya membuatkan orang lebih menghormati kita.
8. Sabar. Bila kena teguran atau kritikan, jangan balas dengan respon yang boleh membuatkan kita menyesal di kemudian hari. Tenangkan diri dengan melakukan aktiviti yang menenangkan jiwa seperti tidur, mendengar muzik, membaca Al-Quran atau membaca. Bila kita sudah tenang, maka teguran atau kritikan yang diberi boleh dilihat dari sudut positif.
9. Senyum. Ya, senyumlah kerana ia bukan saja satu bentuk sedekah menurut Rasulullah s.a.w tetapi juga satu cara untuk mendorong mood kita jadi lebih positif. Dan bila kita senyum, ia pasti membuatkan kaki-kaki kritik ini mengubah tona teguran mereka agar ia tidak menyinggung perasaan kita.
10. Lihat merit kritikan atau teguran yang diberi. Jika anda rasakan teguran tersebut ada asas, maka ambil dan tambahbaik kualiti kerja atau perhubungan anda. Tetapi jika tiada asas dan niat sekadar menyakitkan hati, buat tak tahu saja.
11. Pastikan kritikan atau teguran yang diberi atau diterima bersifat objektif dan tidak berat sebelah. Antara sebab kenapa orang melenting bila ditegur ialah mereka merasakan teguran yang diberi bersifat bias.
12. Minta penjelasan di sebalik kritikan dan tanya apa sumber maklumat yang mendorong kepada kritikan tersebut.
13. Pertimbangkan ada tak niat buruk di sebalik kritikan atau teguran dan apakah wujud unsur salah faham bila teguran itu dibuat.
14. Bila bertemu dengan orang yang menegur, beri kredit kepada mereka jika teguran tersebut berasas dan kita sudah berfikir masak-masak tentang teguran atau kritikan yang dibuat. Jika anda merasakan pendapat anda itu tepat dan ada asas, bersikap tegas tetapi tidak sampai ke tahap konfrontasi.
15. Jika anda rasakan kritikan yang diutarakan bersifat berat sebelah, lihat ini:
i) Siapa sebenarnya bermasalah?
ii) Apakah nilai kritikan yang diberi anda jauh lebih tinggi dari apa yang anda sangkakan?
iii) Adakah anda secara sengaja meletakkan diri anda untuk mudah dikritik?
iv) Adakah ini berkait secara langsung dengan perebutan kuasa? Jika anda rasa tidak, maka jangan kerjakan diri anda seteruk begini.
v) Adakah ini disebabkan mahu mendapatkan kawalan atau mengatasi pesaing? Kena lihat sebab ini boleh saja bertukar menjadi buli bergantung kepada durasi anda.
16. Kena ingat, pengkritik kita ada banyak sebab melakukannya. Sebabnya seperti:
– tidak rational disebabkan tekanan luaran atau dalaman.
– tiada kemahiran berkomunikasi yang baik.
– kurang pengetahuan emosi (EI).
– bertindak atas arahan orang lain.
– buat anggapan berdasarkan pandangan dunianya sendiri.
– rasa tak selamat sebab menganggap anda pesaing atau ancaman.
– memang ikhlas menegur demi kebaikan diri anda.
17. Jika anda pengkritik terbesar pada diri anda, maka sentiasa ingat ini:
– jika anda rasa ada melakukan kesalahan, sedar tapi tak perlu kecam diri sendiri.
– tanya diri anda apakah anda suka memperlakukan diri anda jika anda melakukannya pada orang lain.
– catat perkara apa yang anda boleh lakukan dengan lebih baik.
– tunjukkan komitmen untuk melakukan lebih baik pada masa akan datang.
– tenangkan diri dan cuba ketawa untuk hilangkan ketegangan.
– ingat apa yang berlaku sekarang adalah ingatan untuk masa akan datang.
– jika anda memang alami masalah kerisauan dan ia berkait dengan ini, rujuk kepada kaunselor untuk bantuan.
– lakukan aktiviti yang dapat menenangkan jiwa anda bila merasakan sisi gelap ini muncul.
18. Sentiasa ingat bila mana kritikan atau teguran yang dikeluarkan bersifat serangan peribadi, maka itu boleh diklasifikasikan sebagai buli dan gangguan emosi. Ada perbezaan jelas antara teguran biasa dengan teguran bersifat menghina. Jika perlu, adukan kepada pihak berautoriti untuk tindakan selanjutnya.
Saya tutup dengan kata-kata bekas presiden Afrika Selatan, mendiang Nelson Mandela, “Courage is not the absence of fear but the triumph over it.” Mengkritik biarlah berpada-pada. Bila terkena batang hidung sendiri, bersikap matanglah dan jangan melenting macam Mak Dara. Ada faham?
Sumber:
1. Prior, Elly. Professional-Counselling.com. How to confidently dealing with criticism and sleep soundly at night. http://www.professional-counselling.com/dealing_with_criticism_rejection.html
2. Pettinger, Tejvan. LifeHack.com. 7 Effective Ways to Deal with Criticism. http://www.lifehack.org/articles/featured/7-effective-ways-to-deal-with-criticism.html
3. Dusuki, Dr Asyraf Wajdi Dusuki. (2015). Sinar Harian. Adab, pendekatan menegur pemimpin. http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-asyraf-wajdi-dusuki/pendekatan-adab-menegur-pemimpin-1.418548
4. Basiron, Dr Bushrah. (2015). Cara menegur kesalahan. http://islamic.utm.my/bushrah/2015/12/08/cara-menegur-kesalahan/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih