Ribuan tahun lamanya, rantau yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Kan’an menyaksikan berdirinya banyak kebudayaan dan tamadun agung. Makanya, terdapat banyak tapak bersejarah di sana dan salah sebuah tapak yang paling menggamit perhatian adalah runtuhan kota Samaria. Kota purba ini menyimpan tinggalan yang berusia dari zaman Kerajaan Israel hinggalah ke Zaman Pertengahan. Pada hari ini, kawasan tersebut dijadikan sebagai Taman Kebangsaan dan ia diperakui sebagai tapak arkeologi yang kaya lagi signifikan.
SEJARAH PANJANG SAMARIA YANG MELIBATKAN PEPER4NG4N DAN PERPINDAHAN
Kota Samaria mempunyai jejak sejarah setidak-tidaknya seawal kurun ke-9 Sebelum Masehi. Pun begitu, terdapat juga petempatan yang jauh lebih awal di sana. Kota ini berperanan sebagai ibu kota Kerajaan Israel, iaitu salah sebuah dari dua buah kerajaan yang menggantikan kerajaan Daud dan Sulaiman.
Dalam Kitab Raja-Raja, dikisahkan bahawa Raja Omri membeli kawasan tersebut daripada Aramea lalu mendirikan kota di situ. Kota itu dijadikan sebagai ibu kota kerajaannya selepas beliau meninggalkan Tirzah. Kerabat Dinasti Omri yang kebanyakannya ada disebut dalam Bible juga menetap di kota itu. Kononnya lagi, kota itu dahulunya pernah menempatkan Tabut sewaktu ia diwariskan dari satu suku ke satu suku Israel yang lain. Kitab Raja-Raja juga menceritakan bahawa kota itu pernah dikepung sekurang-kurangnya sebanyak dua kali.
Kota Samaria menikmati kemakmuran bertahun-tahun lamanya sehinggalah ia dis3r4ng dan dihancurkan oleh Assyria pada tahun 722SM. Kebanyakan warga kota diambil sebagai tahanan dan dipindahkan semula ke Asia Tengah atau mungkin lebih jauh daripada itu. Sehingga kini, sejarahwan tidak dapat menjelaskan takdir mereka sesudah itu dan mereka dikenali sebagai 10 Suku Israel Yang hilang.
Sebagaimana kelaziman penguasa Assyria setelah menakluki mana-mana wilayah, warga kota yang dikuasai itu akan dipindahkan ke wilayah-wilayah lain. Tindakan ini bagi tujuan memecahbelahkan kesatuan mereka dan mengelakkan berlakunya pemberontakan.
Warga kota Samaria merupakan kumpulan etnik-agama yang bersusur-galur daripada suku Ephraim dan suku Manasseh. Mereka juga sering berp3r4ng dengan Yahudi bekas tahanan Babylon. Kawasan kota ini kebanyakannya dihuni oleh orang Yahudi, namun warga Samaria tidak menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada golongan itu.
Kota ini membuat kemunculan semula pada Zaman Parsi. Sesudah ditakluk oleh Alexader Agung, kota Samaria ditadbir oleh tentera-tentera Macedonia. Kota ini mengalami kerosakan teruk semasa ia dikuasai dan dihancurkan oleh Maccabees. Namun, ia kemudian dihuni semula oleh Herod Agung. Setelah itu, kepemilikan kota ini berganti tangan pula kepada Pompey Agung, seorang panglima dan negarawan Rom sebelum kemudiannya, nama kota itu ditukar kepada Sebaste atas titah Maharaja Augustus.
Samaria juga dikaitkan dengan Nabi Yahya memandangkan penganut Kristian dan Islam kebanyakannya meyakini baginda dimakamkan di kota itu. Oleh kerana itu, banyak gereja didirikan di Samaria semasa era Byzantine. Tentera Salib sendiri membina sebuah gereja di situ pada kurun ke-12. Warga Samaria terus mengamalkan ajaran agama yang dianuti. Walaupun mereka ditekan dengan dahsyat oleh Byzantine pada kurun ke-6M, masih terdapat sejumlah komuniti Samaria di Palestin pada hari ini.
Menjelang kurun ke-19, Samaria hanya dikenali sebagai sebuah kampung kecil yang dihuni oleh rakyat Palestin. Kerja-kerja ekskavasi terawal di tapak berkenaan dijalankan sejak tahun 1908 lagi.
PERINCIAN KOTA SAMARIA
Kota ini didirikan di puncak sebuah bukit. Sehingga kini, hanya acropolis Samaria sahaja yang telah menjalani proses ekskavasi. Istana yang ditemui di sana kemudian dinamakan sebagai Istana Omri. Tembok-tembok pada struktur ini dan bahagian luar menara serta puing-puing Hellenistik yang lain masih dapat dilihat pada hari ini.
Serpihan sebuah stele yang mengandungi bahasa Assyria dan mempunyai kaitan dengan Sargon II turut ditemui di lereng timur acropolis, sekaligus membuktikan kehadiran bangsa itu di kota ini. Sambil itu, prasasti-prasasti yang ditemui di Istana Sargon di Khorsabad mengesahkan bahawa penghuni kota Samaria sememangnya dibawa ke Assyria semasa kota itu ditakluki.
Kebanyakan runtuhan dan tinggalan dari zaman Israel tertanam di bawah runtuhan-runtuhan dari zaman terkemudian, yang kebanyakannya berusia dari era Rom. Antara lain termasuklah Augustem, yang terdiri daripada sebuah kuil dan perkarangan istana yang dibina di atas Istana Omri di puncak acropolis; sebuah gerbang kota dan deretan jalan; dan sebuah stadium.
Di sebelah timur acropolis terdapat sebuah forum, yang diapit oleh basilica di bahagian baratnya. Hanya sebahagian sahaja daripada basilica ini telah diekskavasi. Bekalan air di kota ini dibekalkan melalui sebuah akueduk yang terletak di bawah tanah. Kota Samaria dikelilingi oleh tembok sepanjang 2.5 batu (4km), dilengkapi dengan menara dan gerbang di utara dan barat. Di kawasan kampung dan perladangan moden, ahli-ahli arkeologi menemukan sejumlah makam yang mengandungi sarcophagus.
Makam Nabi Yahya pula boleh dikunjungi dengan mendaki anak-anak tangga yang tinggi dan ia terletak di bawah katedral Salib di sebuah kampung. Di lereng selatan acropolis pula, terdapat sebuah gereja basilica kecil yang dibina pada kurun ke-5M. Pada era-era terkemudian, sebuah biara ditambahkan di situ dan pada kurun ke-12 pula, sebuah katedral Latin yang didedikasikan kepada Nabi Yahya dibina di timur forum Rom. Ia kemudiannya ditukar menjadi masjid bagi kampung Sebaste.
MENGUNJUNGI KOTA SAMARIA
Tapak bersejarah Samaria terletak berhampiran kota Nablus dan berjarak kira-kira 75 batu (120km) dari Jerusalem. Pakej pelancongan harian ke tapak tersebut banyak disediakan dan sejumlah bayaran dikenakan untuk memasukinya. Tapak ini dibuka pada setiap hari dan sentiasa bersedia untuk menerima kunjungan khalayak.
RUJUKAN:
Ed Whelan. (11 September 2020). Ancient Samaria, a City Destr0yed and Ten Tribes Lost Forever. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/samaria-0014241
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih