Palmyra merupakan sebuah kota purba yang terletak di Syria moden, yang dahulunya pernah berfungsi sebagai ibu kota Kerajaan Palmyra yang berdiri pada kurun ke-3 Masehi. Bagaimanapun, pada bulan Mei 2015, kota ini meniti dada-dada akhbar antarabangsa apabila ia dikuasai oleh kumpulan m1l1tan I5IL/1515.

Sepanjang berada dalam genggaman mereka, banyak monumen penting di Palmyra muvsnah, antaranya seperti Kuil Bel dan Gerbang Lengkung. Bandar Palmyra berjaya direbut semula oleh ten tera Syria pada lewat Mac 2016.

Pemeriksaan-pemeriksaan awal mendapati sebahagian besar tapak bersejarah berkenaan masih kukuh, dan pihak berkuasa berusaha melakukan penilaian terperinci bagi memastikan sejauh mana kerosakan yang dialami bandar tersebut sepanjang dikuasai oleh IS-IS selama 10 bulan.

Pemandangan Palmyra pada 2006

KOTA POKOK PALMA YANG TUMBUH DENGAN MEKAR

Palmyra terletak di Gurun Syria yang berlokasi di timur laut Damsyik, ibu negara Syria. Nama Palmyra dipercayai merupakan terjemahan bahasa Yunani terhadap nama asalnya dalam bahasa Aramaik, iaitu Tadmor, yang membawa maksud ‘pokok palma’.

Palmyra pertama kali muncul dalam rekod sejarah apabila namanya disebut dalam rekod-rekod Mari yang bertarikh dari milenium ke-2 Sebelum Masehi. Palmyra juga disifatkan dalam kitab Bible sebagai sebuah kubu padang pasir yang diperintah oleh Raja Sulaiman.

Walau bagaimanapun, kota tersebut hanya mula menonjol pada kurun ke-3 SM. Hal ini kerana laluan perdagangan utama yang menghubungkan antara Timur dan Barat mengalami perkembangan yang pesat, sekaligus memberi tempias kepada pembangunan kota Palmyra yang kebetulan terletak di laluan tersebut.

Sebagai sebuah kota oasis, Palmyra membekalkan tempat teduh, rumah persinggahan, dan barang bekalan buat para pedagang dan kafilah mereka. Lantaran itu, Palmyra dapat berkembang maju dengan cukup pantas. Kedudukannya sebagai sebuah kota merdeka yang makmur terus berlanjutan pada zaman Hellenistik, memandangkan ia dinaungi oleh Empayar Seleucid yang merupakan adikuasa serantau pada masa itu.

Imej Agora di Palmyra pada tahun 2010

PALMYRA DAN EMPAYAR ROM

Bagaimanapun, selepas kejatuhan Empayar Seleucid, wilayah Rom-Syria ditubuhkan oleh Pompey pada tahun 64 SM. Kemudian pada tahun 41 SM pula, Mark Antony cuba menakluki Palmyra namun gagal kerana penduduk kota tersebut sempat lari menyelamatkan diri dengan menyeberangi Sungai Furat sejurus selepas menerima khabar serangan, di mana hal ini juga mengisyaratkan betapa pada waktu itu warga Palmyra berkemungkinan mengamalkan gaya hidup nomad.

Gambar tugu Mark Antony di Vatican City

Semasa era pemerintahan Tiberius, Palmyra diserap sebagai sebahagian dari Rom-Syria. Ia kemudian diisytiharkan sebagai kota merdeka oleh Maharaja Hadrian, sebelum nantinya diubah menjadi sebuah koloni pada era pemerintahan Caracalla.

Sepanjang kurun-kurun tersebut, Palmyra terus berkembang maju berkat kedudukannya di laluan perdagangan penting yang menghubungkan Empayar Rom dan dunia Timur. Memasuki kurun ke-3 M, kebangkitan Empayar Sassanid mula menggugat kepentingan Empayar Rom di timur sekaligus menjejaskan kedudukan Palmyra.

KERAJAAN PALMYRA

Walau bagaimanapun, warga Palmyra berupaya menangani krisis tersebut sendirian. Krisis ini menyaksikan kemunculan Septimius Odaenathus dalam lembaran sejarah, di mana beliau secara umum dianggap sebagai pengasas Kerajaan Palmyra.

Semasa berlangsungnya percakaran antara Empayar Rom dan Sassanid, Odaenathus menumpahkan kesetiaan kepada Ron dan bahkan berjaya memberikan pukulan yang besar terhadap Sassanid sewaktu mereka cuba merentasi Sungai Furat.

Patung kepala yang dipercayai menggambarkan Odaenathus

Selepas Odaenathus mang-kat, tampuk Kerajaan Palmyra diambil-alih oleh puteranya, Vaballathus, yang dipangku pemerintahannya oleh Zenobia, balu kepada Odaenathus. Di bawah kepimpinan Zenobia, kerajaan tersebut berupaya merebut banyak wilayah Rom sebelum akhirnya mereka ditundukkan oleh Maharaja Aurelian.

Syiling Vaballathus yang turut menampilkan imej Aurelian pada awalnya. Hal ini mengisyaratkan betapa Aurelian dan Vaballathus saling memperakui kedudukan masing-masing

PERCAMPURAN BUDAYA TIMUR DAN BARAT

Salah satu aspek paling signifikan dalam kota Palmyra adalah percampuran budaya Timur dan Barat. Dicatatkan bahawa Palmyra “adalah satu-satunya kota Rom yang mengamalkan penggunaan dwibahasa secara umum di rantau Timur Dekat”, di mana dua bahasa yang dimaksudkan adalah bahasa Yunani dan Aramaik-Palmyra. Hal ini boleh dibuktikan menerusi inskripsi-inskripsi yang ditemui di kota purba tersebut.

Di samping itu, percampuran budaya Timur dan Barat juga boleh dilihat pada hasil seni dan bangunan-bangunan Palmyra. Antara contoh paling sesuai bagi menggambarkan keadaan ini adalah Kuil Bel, yang merupakan kuil paling besar dan paling signifikan di Palmyra.

Walaupun seni bina kuil tersebut mirip dengan kebanyakan kuil di dunia timur, ia juga mempunyai tiang-tiang yang hanya terdapat dalam seni bina kuil Rom.

Penggambaran semula Kuil Bel secara digital, bersama tiga buah bangunan bersejarah lain di Palmyra, boleh dilihat di sebuah repositori imej-imej 3D atas-talian. Laman sesawang tersebut dinamakan sebagai #NEWPALMYRA dan ia meletakkan matlamat untuk “mengumpulkan data arkeologi dan sejarah, mengongsikannya kepada masyarakat, dan mempamerkan hasil seni dan karya-karya kreatif menggunakan data tersebut untuk mewariskan sejarah Palmyra kepada generasi-generasi akan datang.”

RUJUKAN:

Wu Mingren. (31 Mac 2016). The Ancient City of Palmyra: The Pearl of the Desert. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ancient-city-palmyra-pearl-desert-005626


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.