Kita mengenali kota Atlantis adalah kota yang pernah wujud kira-kira pada Zaman Ais Akhir, di mana pulau tempat Atlantis berada kaya dengan sumber asli yang mampu memajukan tamadun yang digelar sebagai ‘Atlantean’. Kemudian seluruh pulau ditenggelami oleh air laut dan menjadi kota yang terbiar di dasar laut.

IKLAN: PBAKL ONLINE sedang berlangsung di Shopee The Patriots. Dapatkan judul kami pada harga serendah RM20. Klik: shp.ee/efz9vb5

Sebenarnya, kisah lagenda berkait kota kuno yang hilang dari lipatan sejarah tidak saja berkisarkan kota Atlantis. Terdapat juga kota-kota lagenda lain yang kisahnya persis dengan kota Atlantis. Tidak sekadar ditenggelami oleh air laut, ada juga kotanya terbiar sehingga tumbuh-tumbuhan melingkari menjadi hutan dan dikambus oleh pasir gurun.

Berikut adalah 5 buah kota lagenda yang hilang dari lipatan sejarah:

1. Kota Z

Illustrasi Kota Z.

Semasa fasa penjelajahan Eropah ke Dunia Baru (benua Amerika), terdapat dua kisah berkenaan kota yang tersembunyi dalam hutan dara, kemudian menjadi bualan para penjelajah Eropah: El Dorado dan kota Z. Pada tahun 1925, seorang peneroka bernama Percy Fawcett bersama kumpulannya pergi ke hutan Brazil semata-mata mencari kota misteri yang beliau namakan sebagai “Z”.

Kisah pencarian ini bermula pada 1902, di mana kumpulan ekspedisi saintifik bernama Royal Geographical Society meminta bantuan Fawcett untuk menganalisis hutan di sempadan Brazil dan Bolivia. Mereka berada di negeri Maro Grosso, Brazil selama 18 bulan dan Fawcett menjadi obses dengan kemisterian kota yang hilang dari bualan masyarakat sana.

Masuk tahun 1920, Fawcett menemui manuskrip dari Perpustakaan Negara Rio De Janeiro iaitu Manuscript 512. Manuskrip itu menyatakan seorang peneroka Portugis menemui sebuah kota tersembunyi di Mato Grosso oleh ketebalan hutan hujan Amazon pada 1753. Kota tersebut menyerupai kota-kota tamadun Yunani Kuno berdasarkan reka bentuknya.

Manuskrip itu juga menyatakan kota tersebut diselaputi oleh warna perak, mempunyai bangunan bertingkat, mempunyai jalan besar menuju ke tasik, dan penjelajah itu melihat kehadiran dua orang asal Indian berkulit putih di kanu. Fawcett menamakan kota ini sebagai Kota Z.

Tahun 1921, barulah Fawcett memulakan ekspedisi bersama kumpulannya mencari Kota Z, Namun ekspedisi mereka terhalang oleh ketebalan hutan hujan Amazon, ancaman haiwan buas, dan penyakit yang sukar untuk diubati. Ekspedisi ini kemudian gagal atas faktor-faktor tersebut.

Pada April 1925, Fawcett memulakan ekspedisi terakhir mencari Kota Z yang ditaja oleh pelbagai komuniti dan syarikat surat khabar seperti Royal Geographic Society dan Rockefeller. Pernah beliau menulis surat terakhir, dihantar oleh salah satu ahli kumpulannya berikan kepada Isterinya di Eropah. Surat itu berbunyi:

”Kami harap kami mampu menempuhi kawasan (hutan) ini dalam beberapa hari… Kamu tidak perlu risau sebarang kegagalan.”

Ini adalah surat terakhir sebelum Fawcett dan anggota kumpulannya menghilang tanpa jejak dalam hutan hujan Amazon. Walaupun beberapa misi menyelamat telah berlangsung, Fawcett tetap tidak dapat ditemui. Ia seolah-olah hilang begitu saja tanpa menjawab persoalan utama: adakah Fawcett telah menemui Kota Z itu?
Kini, banyak kota kuno dan beberapa tinggalan tempat sembahan telah dikesan di dalam hutan Guatemala, Brazil, Bolivia, dan Honduras menggunakan kecanggihan teknologi pengesan. Mungkin tidak mustahil kita akan menemui Kota Z yang Fawcett obseskan pada masa akan datang.

2. Ibu Kota Aztlan – Kota Kelahiran Bangsa Aztec

Dalam manuskrip Codex Boturini, Aztlan dikatakan sebuah pulau dan penduduknya bermigrasi melalui berlayar pergi ke tanah baru.

Kaum Aztec adalah kaum asal Amerika pernah berkuasa di Amerika Tengah dan menubuhkan empayar menumbangkan lawannya. Segala tinggalan kaum Aztec boleh kita temui di Mexico City namun asal-usul kelahiran kaum Aztec ini masih kabur untuk mendapatkan kesahihannya.

Mengikut bualan masyarakat sana, terdapat sebuah kota bernama Aztlan, iaitu ibu kota kuno di mana bangsa Aztec lahir dan kemudian bermigrasi ke lembah Mexico. Ramai yang percaya bahawa Aztlan adalah kota yang penuh dengan misteri seperti Atlantis, yang pernah terbiar kemudian mustahil untuk ditemui semula.
Segelintir masyarakat juga percaya akan kewujudan Aztlan dan memulakan ekspedisi pencarian bermula di barat Mexico hingga ke padang pasir di negeri Utah, AS. Namun ekspedisi sebegini biasanya tidak berhasil dan Aztlan masih sebuah kota misteri yang mustahil untuk ditemui semula.

Menurut kisah lagenda Nahuatl, terdapat 7 puak menetap di Chicomoztoc, bermaksud “kawasan yang mempunyai 7 buah gua”. Tujuh puak tersebut adalah Acolhua, Chalca, Mexica, Tepaneca, Tlahuica, Tlaxcalan, dan Xochimilca. Ketujuh-tujuh puak ini menetap di gua masing-masing dan menjadi sebuah komuniti besar yang menetap berdekatan Aztlan.

Maksud Aztlan sendiri adalah “tanah di utara; tanah di mana kami, orang Aztec datang”. Dari sini ramai percaya bahawa sesiapa yang menetap di Aztlan adalah sebahagian dari bangsa Aztec, kemudian bermigrasi ke Lembah Mexico untuk membina kota Tenochtitlán pada 24 Mei 1064, kemudian menjadi sebuah empayar menguasai Amerika Tengah.

Sehingga kini, lokasi sebenar ibu kota Aztlan masih misteri walaupun ramai para pengkaji telah banyak mengorek sejarah asal-usul bangsa Aztec dari sumber-sumber terdahulu. Mungkin Aztlan hanya kisah dongeng semata.

3. Kota Lyonesse – Kota Dasar Laut Mengikut Lagenda Arthurian

Ilustrasi kota Lyonesse.

Dalam kisah lagenda Arthurian, kota Lyonesse adalah kota kelahiran Tristan, iaitu salah satu pahlawan kesatria Camelot. Kota tersebut digelar sebagai ‘Lyonesse yang Hilang’ kerana dikatakan kota ini tenggelam dalam laut. Walau bagaimanapun, ramai orang Eropah percaya bahawa kota itu wujud dan sememangnya tenggelam ke dasar laut beberapa tahun kemudian.

Terdapat banyak versi kisah kota Lyonesse ini melibatkan tenggelamnya kota ini. Kota Lyonesse dikatakan kota yang besar, mempunyai 140 buah perkampungan termasuklah gereja. Kota ini dikatakan hilang pada 11 November 1099 (sesetengah versi menyatakan tahun 1089, dan versi lain menyatakan abad ke-6 Masihi).
Kota Lyonesse tiba-tiba dibanjiri oleh air laut.

Semua kampung tenggelam, dan ramai penduduk dan haiwan mati kelemasan. Setelah keseluruhan kota ini tenggelam, ia tidak timbul lagi. Bagi mereka yang percaya, kota Lyonesse dikatakan terletak di kepulauan Scilly di Cornwall, England. Bukti menunjukkan England pada abad pertengahan mempunyai paras air laut yang rendah. Jadi tidak mustahil tanah dibawah paras laut sekarang mempunyai penempatan.

Tambahan lagi, nelayan-nelayan di kepulauan Scilly menemui beberapa cebisan bangunan dan struktur binaan lain ditemui dalam jala mereka. Namun begitu, kesemua bukti-bukti ini tidak dapat menjelaskan kesahihan kota Lyonesse.

Kini, kisah kota Lyonesse masih dianggap sebagai kisah mitos dalam lagenda Arthurian dan ia dianggap sebagai kota sebenar yang tenggelam dalam dasar laut, bagi mereka yang percaya.

4. El Dorado, Kota Emas Amerika

Ilustrasi El Dorado.

Terdapat lagi sebuah kota di benua Amerika, juga terkenal dengan misterinya seperti Kota Z namun kota ini lebih popular dalam kalangan penjelajah Eropah, pencari harta karun, dan sejarahwan sendiri. Nama kota itu adalah El Dorado, terkenal dengan nama ‘Kota Emas yang Hilang’.

Asal-usul kisah El Dorado ini bermula sebagai kisah lagenda milik puak Muisca yang menetap di Cundinamarca dan Boyacá, Colombia pada 1270 SM dan sekitar 800-500 SM. Penulis bernama Juan Rodriguez Freyle pernah menulis salah satu ritual puak ini adalah bukunya bertajuk “El Carnero”. Ritual yang dicatat itu adalah ritual pertabalan raja yang melibatkan serbuk emas dan harta-harta bernilai.

Apabila seseorang dilantik sebagai raja, beberapa ritual perlu dilaksanakan sebelum menggalas tanggungjawabnya. Ritual tersebut bermula dengan membawa raja baru itu ke Tasik Guatavita, kemudian dia dibogelkan dan badannya disapu dengan serbuk emas.

Seterusnya, raja baru itu menaiki rakit yang berhias cantik, bersama para peneman, timbunan emas, dan batu bernilai. Rakit itu kemudian digerakkan ke tengah tasik dan raja baru menyiram badannya yang penuh dengan serbuk emas. Para peneman pula membuang timbunan emas dan batu bernilai di dalam tasik.

Ritual tersebut dilakukan untuk memberikan korban kepada dewa puak Muisca ini. Ritual itu dinamakan sebagai “The Gilded One”, kemudian beransur-ansur bertukar nama iaitu “El Dorado”. Maka, El Dorado pada asalnya bukan Kota Emas, ia sebenarnya kawasan di mana puak Muisca melakukan ritual pertabalan raja yang penuh dengan timbunan emas dalam tasik.

Pada tahun 1545, Konkuistador Sepanyol bernama Lázaro Fonte dan Hernán Perez de Quesada melakukan pengeringan Tasik Guatavita. Mereka menemui cebisan emas di tepi tasik ketika mereka berdua sedang mengeringkan tasik itu. Penemuan ini membuatkan kedua-dua Konkuistador ini berkobar-kobar untuk menemui harta karun di dasar tasik.

Selepas tiga bulan, mereka berdua mengalah kerana proses pengeringan terlalu lama untuk tiba ke dasar tasik. Masuk 1580, ahli perniagaan bernama Antonio de Sepúlveda menyambung usaha pengeringan Tasik Guatavita, namun gagal juga. Kemudian pencari harta karun meneruskan pencarian dan mereka andaikan bahawa timbunan emas di dasar tasik itu berjumlah lebih $300 juta USD.

Akhirnya pencarian timbunan emas berakhir apabila kerajaan Colombia mewartakan Tasik Guatavita sebagai kawasan terlindung pada 1965. Nahum begitu, pencari harta karun masih meneruskan pencarian El Dorado, walaupun tidak lagi fokus kepada tasik itu kerana mereka percaya, kota-kota kuno berdekatan tasik mesti mempunyai timbunan emas lebih banyak dari timbunan emas dalam dasar laut.

Maka, di sinilah lahirnya lagenda El Dorado yang menjadi bualan masyarakat, kota emas yang masih dianggap wujud dan hanya menunggu masa untuk menemuinya.

5. Kota Julfar – Kota Kuno yang Hilang Ditimbus Padang Pasir

Dubai terkenal sebagai metropolis yang terkaya dan penuh dengan menara-menara tinggi dalam negara United Arab Emirates. Namun kita bukan nak bincangkan tentang Dubai itu sendiri, kita bincangkan tentang kisah lagenda yang wujud sekeliling Dubai yang penuh dengan padang pasir.

Dunia Arab mempunyai kisah lagenda juga berkaitan dengan kota kuno yang hilang. Kota ini pernah menjadi tempat tinggal pelayar terkenal bernama Ahmad ibn Majid, pelayar Arab yang pernah bertemu dengan Vasco da Gama, pelayar Portugis yang pertama kali tiba di India.

Kota yang dimaksudkan adalah Kota Julfar. Julfar pernah menjadi kota pelabuhan yang sibuk selama beribu tahun di persisiran pantai Teluk Parsi dan Oman, kemudian kota itu ditinggalkan selama 2 abad.

Julfar dikatakan terletak di utara Dubai, berdekatan dengan Teluk Parsi, kemudian tinggalan Julfar ditemui oleh pasukan arkeologi pada 1960-an. Merujuk kepada binaan-binaan kota Julfar, ia dibina pada abad ke-6 Masihi dan memulakan perdagangan dengan India dan Timur Jauh (China).

Abad ke-10 dan ke-14 Masihi adalah zaman keemasan Julfar di mana ramai pelayar Arab mengembara hampir ke seluruh dunia. Pelayar Arab berlayar ke perairan Eropah dulu sebelum Eropah sendiri menguasai dunia pelayaran. Julfar kemudian menjadi kota pelabuhan terpenting di selatan teluk selama beribu tahun lamanya.

IKLAN: Kami melancarkan POLITIK UNTUK PEMULA pada harga diskaun di PBAKL Online. 100 pembeli terawal dapat sign penulis. Link beli: https://shp.ee/rjhp7xi

Kerana kesibukan kota Julfar, ia menarik perhatian kuasa-kuasa Eropah yang sekian lama melintasi Teluk Parsi. Portugis akhirnya menakluk Julfar pada abad ke-16 Masihi. Seabad kemudian, Parsi merampas Julfar dari Portugis dan berakhir dengan Julfar menjadi milik puak Qawasim dari Sharjah. Julfar bertukar nama kepada Ras al-Khaimah dan nama kota itu kekal sehingga sekarang.

Kota Julfar dahulu kemudian diabaikan dan menjadi tinggalan kota yang terhakis, kemudian ditimbus oleh padang pasir. Walaupun Julfar ditemui semula, namun tinggalan-tinggalan lain masih tersembunyi dalam padang pasir utara Ras al-Khaiman.

RUJUKAN:

Gillan, J. (28 March 2021). Five Legendary Lost Cities that have Never Been Found. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.