Hari ini, Kota Bharu merupakan sebuah bandar pantai timur Semenanjung Malaysia yang tenang dan aman. Tetapi satu ketika dahulu, ia juga menjadi saksi kepada pertempuran pertama di Teater Pasifik Perang Dunia Kedua (WWII), Pertempuran Kota Bharu. Di sini jugalah, British berdepan Blitzkrieg (perang kilat) Jepun buat kali pertama.
Menariknya, pertempuran ini tercetus 70 minit sebelum serangan udara Jepun ke atas Pearl Harbor, Hawaii. Tetapi berbeza dengan serangan di Pearl Harbor yang tidak dirancang, operasi di Kota Bharu pula memang menjadi sebahagian daripada rancangan penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu. Divisyen Kelima dijangka mara ke Tanah Melayu dari sebelah Pattani dan Songkhla, selatan Thailand. Sementara Divisyen Ke-18 Jepun pula akan mendarat di Kota Bharu bagi memulakan operasi dari sebelah pantai timur.
British telah menjangka Jepun akan datang dari dua arah ini. Lantas, dua operasi dirancang iaitu Operasi Krohcol dan Operasi Matador. Bagaimanapun, sikap kepimpinan tinggi tentera British diketuai Sir Robert Brooke-Popham sedikit sebanyak menyumbang kepada kegagalan British mengekang kemaraan Jepun di Kota Bharu.
Kisah ini adalah sebahagian daripada Perang Dunia Kedua. Kami dah terbitkan buku PERANG DUNIA KEDUA untuk membuka mata tentang kengerian melanda dunia sepanjang zaman tu. Buku ni boleh dibeli melalui Shopee di https://bit.ly/PerangDuniaKeduaShopee
Ini kerana menerusi Operasi Matador, para perancangnya berharap dengan menyerang kawasan selatan Thailand, ia akan melewatkan kemaraan tentera Jepun ke selatan (negeri-negeri Melayu utara). Tetapi pihak musuh juga mempunyai perancangan luar jangka sekiranya ini berlaku. Jepun boleh saja menggunakan lapangan terbang di Bangkok untuk memastikan ruang udara berada di bawah penguasaan mereka.
Sikap terburu-buru British masuk ke sempadan Thailand-Tanah Melayu menerusi Krohcol turut mengakibatkan tentangan sengit daripada tentera, polis dan warga Thai. Dan ini membawa kepada satu pembetulan fakta, Thailand tidak pernah neutral semasa WWII. Malah, hakikatnya, ia merupakan sekutu Jepun dan mengisytiharkan perang terhadap pihak Bersekutu semasa WWII. Tetapi pengisytiharan ini dipandang sepi oleh mereka kerana Thailand hanya ikan bilis jika dibandingkan dengan Jepun, Jerman dan Itali.
Jepun menggempur Kota Bharu dengan membawa 5,000 orang tentera untuk mendarat di situ. Tentera-tentera ini dibawa dari Saigon (kini Ho Chi Minh City), Vietnam dan Pulau Hainan, China. Vietnam walaupun berstatus jajahan Perancis membantu usaha pendudukan Jepun. Ini selepas rejim Vichy memilih bekerjasama dengan sekutu Jepun di Eropah, Jerman selepas kalah dalam Pertempuran Perancis.
Tiga kapal pengangkut iaitu Awazisan Maru, Ayatosan Maru dan Sakura Maru mengangkut mereka ke situ. British yang telah bersiap sedia menempatkan Divisyen Infantri India Kelapan dengan sokongan pasukan artileri. Selain itu, mereka turut memasang periuk api, kawat berduri dan parit-parit bagi memperlahankan kemaraan tentera Jepun yang mendarat.
Sepatutnya di sebelah laut, ia dikawal oleh dua buah kapal perang British iaitu Repulse dan Prince of Wales. Tetapi sama ada terlampau yakin atau bodoh, pihak British memutuskan untuk menghantar Repulse ke Australia selama dua minggu. Sementara Laksamana Tom Philips yang sepatutnya memantau keadaan di sebelah pantai timur boleh menghilangkan diri kerana mengadakan lawatan ke Filipina.
Pada tengah malam 8 Disember 1941, Jepun mula mendarat di Kota Bharu. Pada awalnya, pihak Jepun berdepan kesukaran untuk mara disebabkan periuk api, kawat berduri, parit-parit dan tembakan bertubi-tubi mesingan pihak British. Ini memaksa gelombang pertama dan kedua tentera Jepun terpaksa bertempur bermati-matian untuk menembusi pertahanan British yang berada di beberapa pantai sekitar Kota Bharu.
Selain asakan mesingan dan artileri, mereka juga terpaksa berdepan serangan udara 10 pesawat pengebom Lockheed Hudson. Dengan tekanan sebegini, tidak hairanlah Jepun menyifatkan Pertempuran Kota Bharu sebagai yang paling sukar dalam menakluk Tanah Melayu. Kempen tersebut menyaksikan 300 orang tentera mereka terbunuh dan 500 lagi cedera.
Di sebalik semua ini, Jepun terus mara dan akhirnya berjaya menguasai Kota Bharu pada 9 Disember. Sebaik berjaya bertapak di situ, tentera Jepun baik di sebelah utara (Perlis dan Kedah) atau belah timur (Kota Bharu, Kelantan) memilih satu pendekatan bukan konvensional: berjalan atau basikal sebagai kaedah pergerakan.
Strategi sebegini bukannya asing kerana turut digunakan dengan jayanya semasa kempen mereka di Indochina. Basikal lebih sesuai digunakan berbanding unit mekanikal seperti kereta kebal dan kereta perisai. Ini kerana ini dapat mempercepatkan pergerakan mereka tanpa perlu bimbang tentang masalah kerosakan yang membelenggu unit-unit mekanikal tentera. Selain itu, basikal juga mudah diperoleh di mana-mana sekaligus menjadikan ia sebagai aset tidak langsung penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu.
Pertempuran Kota Bharu merupakan permulaan kempen Jepun di Tanah Melayu dan ia berterusan sehingga 15 Februari 1942. Kempen tersebut menyaksikan 13,234 orang tentera Bersekutu terbunuh dengan 130,000 lagi menjadi tawanan perang. Kebanyakannya kemudiannya dihantar ke utara Thailand bagi menyiapkan Landasan Keretapi Maut. Jepun menduduki Tanah Melayu sehinggalah mereka menyerah kalah pada pertengahan Ogos 1945.
Selepas Jepun pergi, komunis pula datang. Jom kenang perjuangan perajurit negara yakni DATO MOHD RANI ABDUL RASHID yang mengabadikan pengorbanannya dalam buku PERTEMPURAN DI HUTAN. Link Shopee:
https://bit.ly/PertempuranHutan
RUJUKAN
Edwards, E. (2022, 4 Mei). Kota Bharu: How Imperial Japan Conquered British Malaya in the Most Unlikely Way. War History Online.
Rahill, S. (2009, 10 Disember). Remembering the war’s first battle. The Japan Times
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih