Pada pertengahan
tahun yang lalu, iaitu sekitar bulan Jun 2018, sekumpulan ahli arkeologi dari Poland
dan Albania menemukan sisa runtuhan yang dipercayai merupakan Kota Bassania,
salah satu kota dari Kerajaan Illyria yang berusia sekitar 2000 tahun yang
lalu. Pada asalnya, penduduk tempatan hanya menganggap batu-batuan di tapak
berkenaan sebagai batu-batuan semula jadi di kawasan perbukitan.
Namun ternyata,
runtuhan yang terletak berhampiran kota Shkoder, utara Albania ini
berkemungkinan adalah kota purba yang dimaksudkan oleh sejarahwan Rom Livy
(meninggal dunia 17M) di dalam karyanya.
MENELUSURI
SEJARAH KOTA BASSANIA
Menurut Livy di
dalam karyanya yang berjudul History of Rome, Kota Bassania merupakan
sebuah pusat ekonomi dan kubu ketenteraan bagi Kerajaan Illyria yang berkuasa sekitar
tahun 400 hingga 100SM. Kota ini terdiri dari sejumlah petempatan dan kubu
benteng yang salah satunya telah ditemui oleh ahli arkeologi.
Bassania merupakan sebuah kota purba dari Illyria yang berhampiran dengan koloni Yunani di Lissus, di Albania moden. (Kredit First New)
Menurut penulis
berkenaan, Bassania dan Kerajaan Illyria tumbang secara muktamad dalam serangan
Rom yang berlangsung pada permulaan abad pertama Masihi. Kata Livy, Raja
Illyria yang bernama Gentius menghimpunkan bala tentera seramai 15 000 orang di
kota Lyssus lalu mara ke Bassania yang terletak “lima batu dari Lyssus”. Pasukan ini berkubu di sana untuk menghadapi
pasukan tentera Rom yang dipimpin oleh Appius Claudius.
Perang
Illyria-Rom ini berakhir pada tahun 168SM dengan kemenangan berpihak pada Rom.
Bassania kemudiannya dipercayai telah dimusnahkan oleh Octavian Augustus dan
bala tenteranya pada abad pertama Masihi.
“Agak awal untuk
menyebutkannya secara pasti, namun kota ini kelihatan seperti telah meraih
kemajuan sekitar abad ke-4 hingga abad ke-2SM sebelum kemudiannya ditinggalkan
secara bertahap tetapi pasti setelah tumbangnya Kerajaan Illyria,” ujar Saimir
Shpuza, seorang ahli arkeologi dari Albania.
“Mungkin kerana
itulah ahli-ahli arkeologi mengambil masa yang agak lama untuk menemukan kota
ini,” tulis Professor Piotr Dyczek, pengarah Pusat Penyelidikan Barangan Antik
Di Eropah Tenggara di Universiti Warsaw.
RUNTUHAN
KOTA PURBA KERAJAAN ILLYRIA
Runtuhan ini
ditemui di sebuah bukit yang dipanggil oleh penduduk tempatan sebagai “Batu
Ular” di (kampung) Bushat, beberapa batu dari Shkoder. Oleh kerana ia telah
mengalami proses penghakisan bertahun-tahun lamanya, runtuhan ini kelihatan
seperti batu pepasir dan paduan semula jadi yang membentuk bukit tersebut.
Makanya tidak hairan jika penduduk tempatan yang lalu-lalang di situ
menganggapnya sebagai timbunan batu biasa, bukan sebuah struktur binaan
manusia.
Menurut Shpuza kepada media Gazeta Shqiptare, misi ekskavasi tersebut telah pun dilakukan sejak tahun 2016.
Professor Piotr Dyczek dari Universiti Warsaw yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi ini. (Kredit First New)
Penemuan yang
dilakukan oleh gabungan arkeologis dari Albania dan Poland ini melibatkan
batuan purba dari sebuah kota pertahanan yang dikelilingi oleh tembok benteng
berserta pintu gerbangnya. Menurut Profesor Piotr Dyczek, seni bina bagi binaan
tersebut merupakan ciri lazim bagi budaya Hellenistik.
Turut ditemukan
sejumlah barangan artifak seperti syiling dan kepingan tembikar.
Barangan-barangan ini dipercayai bakal membantu Dyczek dan pasukannya untuk
melakukan ujian pentarikhan bagi mengenal pasti usia tinggalan sejarah itu.
Tapak ini
berkeluasan sekitar 300 000 meter persegi sekaligus memaksudkan bahawa Kota
Bassania memiliki saiz tiga kali ganda lebih besar berbanding Shkoder purba,
yang hanya sekitar 70 000 meter persegi sahaja.
Kole Shabeni,
seorang penduduk tempatan yang menemani pasukan arkeologis semasa usaha-usaha
ekskavasi dilakukan turut mengatakan bahawa mereka (penduduk tempatan) hanya
mengenali tempat tersebut sebagai “Batu Ular” berikutan laluannya berbentuk
seperti ular. Langsung tak terlintas dalam fikiran mereka bahawa terdapat sebuah
kota purba tersembunyi di sebalik runtuhan itu.
Runtuhan ini dipercayai sebagai sebahagian dari Kota Bassania. (Kredit: Science in Poland)
Para arkeologis
dan penyelidik mengandaikan bahawa kota yang dijumpai ini merupakan kota yang
disebutkan sebagai Bassania, Bexena atau Pexena di dalam sumber-sumber klasik.
Sama ada kota
hilang yang ditemui ini benar-benar adalah Kota Bassania ataupun tidak, majlis
perbandaran Vau Dejes mengeluarkan makluman bahawa pihaknya akan menugaskan beberapa
orang pengawal di tapak berkenaan untuk menghindarkan sebarang usaha penggalian
haram atau rompakan.
Runtuhan ini ditemui pada tahun lepas berdekatan kota Shkoder di utara Albania. (Kredit First New)
RUJUKAN:
Anila Dushi. (18
Jun 2018). Discovery of ‘Lost City’ in Albania Thrills Archaelogists. Balkan
Insight.
https://balkaninsight.com/2018/06/18/discovery-of-lost-city-in-albania-thrills-archaeologists-06-18-2018/
Anne Chatham.
(18 Jun 2019). Remains of ancient city found on Albanian hill. The First News.
https://www.thefirstnews.com/article/remains-of-ancient-city-found-on-albanian-hill-6428
Christine Ayele
Diossa. (19 Jun 2018). Found: An Untouched 2000-Year-Old City in Albania. Atlas
Obscura.
https://www.atlasobscura.com/articles/the-lost-city-in-albania




No comments yet