Adakah Aztlan itu merupakan tanah air bagi kaum Aztec yang hebat, ataukah ia hanya sekadar sebuah bumi mitos yang terkandung di dalam legenda-legenda purba?
Kaum Aztec dari Mexico membina salah sebuah empayar paling penting di Amerika. Walaupun kebanyakan maklumat tentang empayar mereka yang berlokasi di Bandar Mexico moden dapat diketahui, keadaan yang sebaliknya berlaku bagi pengetahuan tentang titik mula kebudayaan Aztec. Ramai yang menganggap Pulau Aztlan yang hilang sebagai tanah air bagi kaum Aztec, yang sudah pun terbentuk sebagai sebuah tamadun sebelum berhijrah ke Lembah Mexico.
Sebahagian ilmuwan mempercayainya sebagai sebuah bumi mitos yang saling tidak tumpah seperti Atlantis atau Camelot, yang akan terus hidup di dalam legenda akan tetapi tidak akan pernah ditemukan secara fizikal. Sebahagian ilmuwan yang lain pula menganggapnya benar-benar wujud, yang mana lokasi fizikalnya mungkin akan dapat diketahui pada suatu hari nanti.
Banyak usaha pencarian tanah Aztlan dilakukan di seluruh Mexico Barat hingga ke Utah, dengan harapan dapat menemukan pulau legenda itu. Namun, segala usaha pencarian ini tidak menemukan keberhasilan memandangkan lokasi dan kewujudan Aztlan masih kekal misteri.
TUJUH KAUM DI CHICOMOZTOC
Pembentukan tamadun di Aztlan bermula dari sebuah legenda. Menurut legenda Nahuatl, suatu ketika dahulu terdapat tujuh buah kaum yang hidup di Chicomoztoc – “sebuah tempat yang mempunyai tujuh buah gua”. Kaum-kaum ini membentuk tujuh kumpulan Nahua: iaitu Acolhua, Chalca, Mexica, Tepaneca, Tlahuica, Tlaxcalan dan Xochimilca (sumber yang berbeza akan memberikan kepelbagaian nama bagi kumpulan-kumpulan ini).
Tujuh kumpulan ini, dengan kumpulan bahasa yang sama, meninggalkan gua masing-masing lalu menetap di sebuah kawasan berhampiran Aztlan sebagai sebuah kumpulan tunggal. Menurut beberapa catatan, ketibaan tujuh kumpulan ini di Aztlan didahului oleh sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Chichimecas, yang dianggap kurang bertamadun berbanding ketujuh-tujuh kumpulan Nahua. Mexica merupakan kumpulan terakhir yang berangkat ke Aztlan, yang berkemungkinan diakibatkan oleh kemarau panjang yang melanda dari tahun 1100 hingga 1300 Masehi.
ADAKAH AZTLAN ITU SEBUAH SYURGA ATAUPUN TANAH PEMERINTAHAN KUASA TIRANI?
Perkataan Aztlan bermaksud ‘tanah utara; tanah yang darinya kita, Aztec datang.” Disebutkan bahawa pada masa-masa terkemudian, kaum yang menghuni Aztlan dikenali sebaai Aztec. Mereka ini kemudiannya berhijrah dari Aztlan menuju ke Lembah Mexico. Dalam beberapa buah hikayat, Aztlan digambarkan sebagai sebuah syurga buat seluruh penghuninya.
Dalam Manuskrip Aubin, Aztlan merupakan sebuah tempat di mana kaum Aztec dijadikan sebagai hamba kepada kaum Azteca Chicomoztoca – kam elit yang bersifat tirani. Demi menyelamatkan diri dari kekukubesian Chicomoztoca, kaum Aztec pun meninggalkan Aztlan dengan diketuai oleh paderi mereka.
Dalam legenda, Dewa Huitzilopochtli berpesan kepada mereka agar tidak menggunakan nama Azteca, dan memaklumkan bahawa mereka akan dikenali sebagai Mexica. Penghijrahan kaum Aztec dari Aztlan ke Tenochtitlan merupakan bahagian penting dalam sejarah Aztec. Ia bermula pada 24 Mei 1064, tahun pertama dalam calendar solar Aztec.
AZTLAN ADALAH SEBUAH PULAU DI SEBUAH TASIK
Walaupun Aztlan tidak pernah dikenali secara fizikal, ia dirincikan sebagai sebuah pulau. Namun, ia bukanlah pulau yang berada di atas laut. Sebaliknya, Aztlan merupakan pulau yang berada di atas sebuah tasik. Ramai ilmuwan telah melakukan pelbagai cubaan untuk mengenal pasti lokasi Aztlan, dengan harapan dapat menemukan tempat berasalnya kaum Aztec yang kelak dikenali sebagai Mexica.
Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa usaha pencarian Atlantis dan usaha pencarian Aztlan merupakan sebuah pencarian yang sama, di mana ianya adalah tanah yang sama yang mempunyai nama yang berbeza. Namun, pendapat ini dibantah dan ramai ilmuwan yang meyakininya sebagai sebuah pulau yang sama sekali berbeza dengan Atlantis.
Antara misteri besar yang menyelubungi Aztlan adalah seberapa jauh ia terletak di kawasan utara. Dengan radius pencarian yang luas meliputi kawasan sehingga ke Utah, hadir pendapat yang mengemukakan bahawa kaum Aztec tidak berasal dari Mexico. Sebaliknya, kebudayaan mereka dibentuk di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Amerika Syarikat, jauh sebelum mereka berhijrah ke Lembah Mexico moden.
Walau bagaimanapun, sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa sekiranya teori ini benar, maka keturunan-keturunan Aztec yang berada di Amerika Syarikat pada hari ini akan menegaskan bahawa mereka bukanlah pendatang tidak sah. Sebaliknya, mereka adalah keturunan Aztec yang hanya pulang ke tanah air.
PENCARIAN AZTLAN
Walaupun telah ramai yang melakukan usaha-usaha pencarian dengan harapan dapat menemukan Aztlan, para arkeologis tidak meyakini bahawa penemuan pulau berkenaan akan menjumpai banyak runtuhan ataupun artifak. Penemuan Aztlan sudah tentu akan memberikan pemahaman yang lebih lanjut berkenaan sejarah Aztec dan asal-usulnya, walaupun ilmuwan bersepakat dalam mengatakan bahawa asal-usul Aztec tidaklah sepenting sejarah penghijrahan mereka ke Lembah Mexico dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sesudahnya.
Terdapat tiga masalah metodologi yang berbangkit ketika kita cuba mengenal pasti lokasi Aztlan. Permasalahan pertama dikenali sebagai ‘jangkauan’. Terdapat kemungkinan besar bahawa kaum Aztec tidak berhijrah secara langsung dari Aztlan ke Lembah Mexico memandangkan ia akan menjadi sebuah perjalanan langsung yang sangat panjang (lama). Oleh kerana itu, mungkin mereka bersimpang-siur dalam melakukan perjalanan, dan membuat sejumlah perhentian yang berlangsung selama beberapa tempoh. Justeru, sukar untuk membezakan antara lokasi sementara dan juga durasi keseluruhan perjalanan.
Masalah kedua adalah ‘lapisan’, yang mana permasalahan ini mempertimbangkan kemungkinan terdapat lebih dari satu penghijrahan dari Utara ke Selatan, sekaligus sukar untuk mengenal pasti secara tepat penghijrahan yang mana satukah yang boleh dikaitkan dengan Aztlan. Permasalahan ketiga pula adalah ‘lipatan’. Masalah ini berbangkit daripada hakikat bahawa terdapat kemungkinan berlakunya penghijrahan berulang-alik, dari utara ke selatan dan dari selatan ke utara.
Tiga permasalahan metodologi ini menyukarkan ilmuwan untuk membuktikan Aztlan sebagai lokasi asal Aztec, atau sekadar sebuah tempat legenda yang menjadi simbol bagi Aztec.
Sehingga ke hari ini, kewujudan sebuah pulau yang dikenali sebagai Aztlan masih belum dapat dipastikan. Ramai yang telah melakukan pencarian terhadap pulau tersebut, dengan harapan dapat memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang asal-usul Aztec dan sejarah purba Mexico. Namun, sama seperti kota-kota hilang yang lain, tiada kepastian sama ada Aztlan akan dapat ditemukan ataupun tidak.
Mungkin pada suatu masa dahulu Aztlan adalah sebuah pulau yang telah pun tenggelam ke dasar tasik, atau telah pun diubah atau dimusnahkan. Mungkin juga ia adalah sebuah bumi yang sama sekali tidak wujud dalam bentuk fizikal dan hanyalah sebuah ciptaan legenda bagi menerangkan asal-usul Aztec. Setakat ini, Aztlan kekal sebagai lokasi legenda bagi pembentukan Aztec sebagai sebuah tamadun sebelum mereka berhijrah ke Bandar Mexico moden.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:
M R Reese. (30 Mei 2019). The Lost City of Aztlan – Legendary Homeland of the Aztecs. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-myths-legends-americas/lost-city-aztlan-legendary-homeland-aztecs-002550
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih