Isu makanan halal sememangnya isu penting bagi umat Islam. Dan ini diperkukuhkan lagi menerusi beberapa dalil sama ada al-Quran atau sabda Nabi Muhammad s.a.w. Misalnya, firman-Nya dalam ayat 172, Surah al-Baqarah, “Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda baik (halal) yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”
Manakala dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada empat keadaan, apabila keempatnya ada pada dirimu, maka segala urusan dunia yang luput darimu tidak akan membahayakanmu: Menjaga amanah, berkata benar, akhlak baik dan menjaga urusan makanan (halal).”
Bagi orang Islam Korea, ini merupakan satu cabaran besar kepada mereka. Ini kerana banyak hidangan Korea mengandungi elemen haram seperti khinzir atau sembelihan yang diragui status kehalalannya. Bagi pemilik restoran halal Korea Eid, Yu Hong-jong, cabaran ini sememangnya mengejutkan.
Hong-jong berkata, “Saya masih ingat rakan-rakan anak lelaki saya yang beragama Islam hanya makan sayur-sayuran dan makanan laut kerana tidak dapat mencari daging halal di Korea Selatan. Saya terfikir, ‘Mengapa tidak saya membuka sebuah restoran halal Korea agar mereka boleh menikmati hidangan-hidangan Korea yang halal?’”
Dia membeli sebuah lot kedai untuk dijadikan restoran pada pertengahan tahun 2014. Begitupun, Hong-jong mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk mengumpul keyakinan menyediakan makanan halal kepada orang ramai sebelum Eid dibuka secara rasmi pada Oktober 2014.
Kesukaran sebegini diterjemah menerusi satu kaji selidik yang dijalankan Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO) pada tahun 2016. Dalam kaji selidik tersebut, pelancong-pelancong beragama Islam menyifatkan usaha mencari makanan halal sebagai kesukaran yang dihadapi sebaik tiba di situ. Malah, mereka bimbang dengan situasi sesetengah pemilik premis meletakkan sijil halal palsu bagi menarik kehadiran pelancong Muslim.
Ketika ini, dua organisasi bukan kerajaan Korea Selatan yang menyediakan pensijilan halal untuk premis atau produk. Dua organisasi tersebut ialah Persekutuan Korea Muslim (KMF) dan Pihak Berkuasa Halal Korea (KHA). KMF lebih dikenali daripada kedua-dua organisasi ini tetapi hanya mengeluarkan sijil halal kepada 14 buah restoran setakat 2018, sembilan daripadanya di Seoul.
Sementara KHA pula memberi pensijilan halal kepada lima restoran, sekaligus menjadikan 19 restoran halal di negara yang mempunyai populasi umat Islam seramai 200,000 orang itu. Isu ini bukan sekadar membelenggu pelancong dan ekspatriat asing malah mengundang rasa kurang senang warga Korea yang beragama Islam.
Hong-jong menambah, “Kami menggunakan ayam dan daging lembu dalam masakan kami. Ayam boleh dibeli dari sebuah kedai halal tempatan tetapi semua daging lembu diimport dari luar negara. Tiada tempat penyembelihan daging lembu yang halal di Korea Selatan.”
Ini ditambah dengan hakikat pasaran halal Korea Selatan jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju yang lain. Misalnya di Britain, kebanyakan pasar raya mereka mempunyai stok daging halal dengan 15% daging yang disembelih mematuhi piawaian halal. Keadaan ini jauh berbeza di Korea Selatan yang hanya mempunyai 0.4% daging yang disembelih secara halal.
Jika ada menyangka Seoul sekadar berpeluk tubuh dalam isu ini, anda salah. Semasa era Presiden Park Geun-hye, kerajaan cuba membina kompleks penghasilan makanan halal di Iksan, sebuah bandar di barat Korea Selatan pada tahun 2015. Tetapi projek tersebut kemudiannya dibatalkan setahun kemudian selepas mendapat tentangan hebat daripada pihak media dan beberapa pertubuhan kebangsaan Kristian Korea Selatan.
Dengan pasaran halal dijangka bernilai AS$2.6 trilion pada tahun 2024, pasaran ini dilihat boleh membuka satu lagi peluang ekonomi untuk Korea Selatan. Tetapi berikutan tidak tahu dengan budaya orang Islam, ini menjadi satu halangan kepada entiti-entiti Korea menceburi pasaran berkenaan.
Bukan satu rahsia usaha ini cuba digerakkan secara agresif oleh pihak kerajaan. Pada tahun 2015, Presiden Geun-hye mengadakan lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan harapan dapat berunding dengan kerajaan negara itu untuk mendapatkan pengiktirafan sijil halal yang dikeluarkan KMF.
Dan Korea Selatan mempunyai sebab kukuh untuk menceburi pasaran halal. Sebelum ini, kebanyakan fokus eksport Seoul tertumpu kepada sekutu dan rakan kongsi serantau. Tetapi selepas bertelagah dengan China pada tahun 2016 berkenaan isu sistem peluru berpandu THAAD keluaran Amerika Syarikat, pertelagahan tersebut memberi kesan kepada sektor-sektor ekonomi negara itu termasuk pelancongan.
Justeru, tidak hairanlah mengapa Geun-hye mahukan UAE dan Indonesia mengiktiraf sijil halal yang dikeluarkan KMF. Dengan pengiktirafan tersebut, ia memberi lebih banyak suntikan kepada eksport Korea Selatan di luar negara termasuk di negara-negara Islam. Ketika ini, sijil KMF diiktiraf di Malaysia dan Singapura tetapi belum disahkan oleh UAE dan Jakarta.
Di sebalik semua ini, itu tidak menghalang banyak syarikat daripada menceburi pasaran halal. Ada pula yang sanggup berbelanja untuk beradaptasi dengan budaya orang Islam. Misalnya, pasar raya Lotte membuka bilik solat kepada orang Islam di salah satu cawangan pasar rayanya di Seoul. Sementara beberapa hotel mewah Korea Selatan kini menawarkan sajian halal kepada para tetamunya.
Begitupun, itu tidak bermakna masyarakat Korea hari ini sudah beradaptasi dengan aspek kehidupan Muslim. Dr Md Niamul Haque, seorang penyelidik di Universiti Kebangsaan Incheon mengakui teringin menunaikan solat Jumaat di masjid. Tetapi beliau merasakan sukar berbuat demikian kerana majikan dan rakan-rakan sekerja tidak memahami sebab beliau berbuat demikian atau memperuntukkan masa untuknya.
Bagi Hong-jong pula, isu makanan halal bukan sekadar isu perniagaan semata-mata tetapi lebih kepada isu cara hidup Muslim. Sebelum memeluk Islam, dia yang beragama Kristian fahaman Roman Katolik sebelumnya tinggal bersama anak lelakinya yang sudah memeluk Islam. Tempoh tersebut memberi peluang kepadanya mengenali agama yang syumul itu.
Hong-jong menambah, “Saya mempunyai banyak keraguan terhadap Katolikisme. Banyak persoalan saya yang dijawab oleh Islam.” Tidak lama selepas dia memeluk Islam, isteri dan anak lelaki keduanya turut mengikut jejak langkah sama.
Bagi pemain-pemain industri pula, mereka berharap menerusi memorandum kerjasama yang dimeterai antara Presiden Moon Jae-in dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2019 dapat melancarkan lagi usaha mereka menyertai pasaran halal. Bagaimanapun, selagi isu pensijilan halal tidak diselesaikan termasuk pengiktirafan sijil KMF, agak sukar bagi mereka berbuat demikian.
Satu solusi yang dicadangkan Agensi Promosi Pelaburan Intra-Korea (KOTRA) ialah mendapatkan terus sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Timbalan Pengarah KOTRA bagi unit New Southern Policy, Bok Deok-gyu melihat sijil itu tiket kepada akses pasaran halal memandangkan ia diiktiraf di seluruh dunia.
Bagaimanapun, tambahnya, “Ia akan mengambil masa yang lebih lama dan perbelanjaan lebih untuk mendapatkan sijil halal JAKIM – sekitar 15 juta won per produk termasuk tambang perjalanan pegawai Malaysia. Pada masa ini, pilihan terbaik ialah mendapatkan sijil halal KMF terlebih dahulu.” Ini memandangkan sijil KMF antara sijil halal yang diiktiraf oleh JAKIM.
Justeru, pemain-pemain industri Korea yang berminat menceburi pasaran halal harus berusaha mendapatkan sijil halal terlebih dahulu. Ya, promosi itu penting tetapi tanpa sijil yang dimahukan, bagaimana pembeli yakin dengan status halal produk? Kesedaran pembeli terhadap isu halal semakin bertambah dan perkara ini harus diambil berat jika mahu berjaya dalam pasaran ini.
RUJUKAN:
Min-kyung, Jung. (2019). Korean firms struggle to enter halal market. The Korea Herald. http://www.koreaherald.com/view.php?ud=20190411000551
Juwon, Park. (2018). Can South Korea Tap into Growing Halal Market?. Korea Expose. https://www.koreaexpose.com/south-korea-tapping-halal-market/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih