1. Korea Selatan; negara yang bersaiz 3.3 kali lebih kecil berbanding Malaysia ini didiami sejumlah 51.71 juta penduduk. Memiliki kekuatan ekonomi yang ditunjang kepelbagaian sektor, negara yang dikawal Chaebŏl ini (konglomerat kawalan keluarga berpengaruh di Korea Selatan yang memiliki hubungan rapat dengan pemerintah) telah menuang USD12.2 bilion (+-RM48.7 bilion) ke poket perniagaan dan penduduknya semasa awal musim bunga (ketika pandemik Covid-19) sedang mengganas ini. Jadi ada kecairan duit dalam pasaran dan ekonomi bergerak dan tak statik. BR1M, BSH, BPN (jenamakan apa sahaja dalam konteks Malaysia) ialah sebahagian konsep yang menjurus ke arah itu.
2. Untuk data yang dikeluarkan menerusi Indeks Inovasi Bloomberg, Korea Selatan telah menjadi negara dengan ekonomi paling inovatif di dunia dalam senarai 60 negara teratas untuk tahun 2021. Negara kelahiran Son Ye-jin ini telah menjuarai carta indeks untuk 7 daripada 9 tahun bermula 2014-2019 dan 2021, sebelum ditewaskan Jerman pada 2020 yang kini di posisi ke-4.
Singapura dan Switzerland masing-masing mendaki 1 anak tangga untuk berada di posisi ke-2 dan ke-3. Tidak dilupakan Denmark dan Belanda selaku antara negara yang telah membuat perubahan besar dengan dakian 2 dan 4 anak tangga untuk masing-masing berada di posisi ke-6 dan ke-9. AS, Jepun dan China? AS telah terkeluar dalam senarai 10 teratas untuk kali pertama (posisi ke-11) manakala Jepun kekal di tangga ke-12 dan China ‘terduduk’ di kerusi bernombor 16.
Bagaimana dengan Malaysia? Kita di posisi ke-29, turun sedikit berbanding tahun 2020 di posisi ke-27. Malaysia lebih baik posisinya berbanding Sepanyol, Romania, Turki, Luxemborg, Thailand, UAE, India, dan Qatar. Ok what?
3. Ada banyak kriteria yang perlu dianalisa melalui 7 kategori yang dipertimbang iaitu antaranya peruntukan untuk Research & Development (R&D), kebolehupayaan pengeluaran, aktiviti pempatenan, kecekapan pendikan tertiari dan beberapa kategori lain. Kejayaan Korea Selatan ‘merampas kembali takhta yang dipinjamkan” kepada Jerman tahun lalu banyak didorong oleh aktiviti pempatenan (posisi pertama) selain peruntukkan tinggi untuk pelaburan R&D (posisi ke-2) yang telah menelan sekitar 4% bajet tahunan kerajaan.
4. “Menjadi satu persetujuan menyeluruh di Korea Selatan bahawa R&D sangat signifikan untuk kita mencipta masa hadapan”, ujar Lee Kyung-mook, Profesor Pengurusan Perniagaan di Seoul National University. Syarikat teknologi gergasi terbesar negara tersebut iaitu Samsung Electronics umpamanya telah memperuntuk sekitar USD18 bilion (+-RM72.9 bilion) untuk tujuan R&D sahaja! Nilai ini lebih besar berbanding GDP negara Mali dan separuh GDP Uganda untuk tahun 2020.
5. Pun begitu, Korea Selatan dilihat memiliki skor yang rendah dalam produktiviti berbanding amaun yang dilabur dan ini menuntut kerajaan untuk melonggarkan beberapa peraturan bagi mengimbangi kelemahan itu. Mengapa produktiviti di sana rendah? Antara faktornya ialah struktur dan hierarki yang ‘tegar dan berdengung’.
Hubungan ‘top-down’ yang rigid dan keras dalam landskap syarikat membuatkan sesetengah pemerhati menganalogikan keadaan itu seperti dalam pasukan tentera; jika pengarah mahukan sesuatu penjelasan (walau mungkin tiada kena-mengena dengan misi syarikat), ketua projek tersebut ‘terpaksa’ membentang permintaan itu dengan persediaan dalam tempoh yang singkat. Selain itu, mereka ada masalah komunikasi.
Ya benar! Ini berlaku di dalam jabatan berasingan di dalam syarikat. Perseteruan di antara jabatan atau division berlainan ini mewujudkan permusuhuan dan saling curiga-mencurigai sekaligus menjejaskan produktiviti keseluruhan entiti (selain keluhan mereka yang Bahasa Inggeris sedang ‘menjajah’ negara mereka).
Ada beberapa lagi isu lain iaitu banyak memperuntuk masa untuk ‘memperindah’ luaran sesuatu dokumentasi berbanding isi selain mereka terkenal dengan ‘Seni untuk Kelihatan Sibuk’; pulang kerja lewat hingga larut malam dan buat ‘teruk’ untuk kelihatan sedang dalam kesibukan yang amat! Satu ‘kebanggaan’ untuk sesetengah individu.
Nota: Februari 2018, setelah lama bertarung akhirnya parlimen Korea Selatan meluluskan pengurangan had syling masa kerja mingguan dari 68 jam kepada 52 jam sekaligus memberi sedikit ruang bernafas untuk keseimbangan hidup kepada pekerja di sana.
6. Walau apa pun kekurangan, negara ekonomi ke-4 terbesar Asia dan ke-10 dunia ini telah melakukan lompatan besar sejak menjadi negara luar bandar dan pertanian suatu ketika dahulu hingga menjadi negara kuasa industri. Pada tahun 2021, dijangka negara K-pop ini akan membelanjakan sejumlah USD 28.8 bilion untuk projek Digital & Green New Deal selain peruntukan untuk latihan pekerja selepas pandemik Covid-19 berakhir dengan pelaburan turut ditekankan untuk 3 industri gergasi iaitu kereta berteknologi tinggi untuk masa hadapan (Tesla, BYD, BMW, VW dan Nissan sedang mendominasi), bio-health dan industri semikonduktor (yang turut menjadi kolam permainan gergasi seperti Intel Corp., Taiwan Semiconductor Manufacturing Co. Ltd. dan Qualcomm Inc. selain Samsung sendiri).
Artikel dinaikkan selepas mendapat izin penulis asal, Mohd Faisal.
RUJUKAN
Bloomberg (2021). South Korea Leads World in Innovation as U.S. Exits Top Ten.
Bloomberg (2018). Asia’s Most Overworked Country Succeeds in Reducing Work Hours.
Business Korea (2014). Seven Reasons Why Korea Has the Worst Productivity in the OECD.
Foreign Policy (2020). COVID-19 Has Crushed Everybody’s Economy—Except for South Korea’s.
Nordea Trade Portal (2021). The economic context of South Korea – Economic and Political Overview.
Statista (2021). The Most Innovative Economies in the World. Diambil daripada
The Korea Times (2018). Labor productivity low despite long working hours. Diambil daripada http://m.koreatimes.co.kr/pages/article.asp?newsIdx=248921
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih