Korea Selatan merupakan sebuah negara maju, berpendapatan tinggi dan digelar antara 4 harimau ekonomi Asia.
Malahan negara ini juga sangat dikenal dengan kehadiran beberapa taikun-taikun perniagaan yang menggugat pasaran dunia seperti Samsung dan Hyundai.
Industri seni kreatif Korea juga tidak boleh dipandang sepi kerana telah meledak sehingga mendapat perhatian masyarakat dunia. Bayangkan ketika ini, kumpulan pop Korea iaitu Blackpink dan BTS dengan menguasai carta-carta muzik di seluruh dunia.
Bahkan K-drama dan K-filem yang suatu ketika dahulu tidak diberikan perhatian mula menjadi kegemaran penonton dengan jalan cerita yang menarik.
Kesemua ini telah memberikan keuntungan yang begitu banyak apabila BTS menyumbang AS$4.65 bilion kepada KDNK Korea Selatan.
Baca lebih lanjut mengenai ekonomi Korea dan BTS di sini
Namun begitu tahukah anda bahawasanya sebelum mencapai ini semua, Korea Selatan merupakan sebuah negara miskin. Bagaimana pula mereka boleh bangkit menjadi negara kaya sehingga digelar sebagai harimau ekonomi Asia? Ayuh soroti artikel ini.
Selepas berakhir sahaja Perang Korea pada Julai 1953, Korea Selatan adalah salah satu negara termiskin di dunia dengan KDNK per kapita sebanyak $791 sahaja.
Kesan daripada perang tersebut hampir meranapkan ekonomi Korea Selatan apabila terlalu banyak bangunan yang hancur hingga menyebabkan hampir 1 juta orang awam terbunuh.
Jadi Korea perlukan masa yang begitu panjang untuk bangkit setelah dilanda kebinasaan.
Rakyat Korea Selatan pada hari ini harus berterima kasih kepada bekas presiden Park Chung-hee yang telah berjaya membawa negara itu keluar daripada lembah kemiskinan.
Ketika Park berkuasa bermula tahun 1961, KDNK per kapita bagi Korea Selatan adalah $94 iaitu lebih sedikit berbanding jiran mereka iaitu Korea Utara.
Bagi mengeluarkan negaranya dari lembah kemiskinan, Park telah bertindak menggagaskan satu pelan ekonomi berorientasikan eksport dengan memaksa chaebol untuk bekerjasama.
Buat pengetahun anda semua, chaebol merupakan sebuah syarikat warisan keluarga yang masih wujud hingga hari ini dan mereka banyak menguasai sektor-sektor ekonomi di Korea Selatan.
Antara syarikat warisan keluarga tersebut adalah seperti Hyundai dan LG.
Pada asalnya syarikat-syarikat chaebol ini hanyalah menjual barangan keperluan seperti gula, plastik dan beras.
Melalui kerjasama ini, Park telah memberikan pinjaman konsesi, subsidi dan pemotongan cukai kepada chaebol untuk menerokai cabang perniagaan baru.
Hal itu dapat lihat melalui pentadbiran Park yang membiayai Chaebol untuk untuk beralih kepada industri berat dan kimia.
Bermula dari detik itu, Samsung telah menubuhkan Korea Fertilizer pada tahun1967. Manakala Hyundai pula membina jalan raya pertama Korea Selatan bagi menghubungkan Seoul dan Busan pada akhir 1960-an.
Bukan itu sahaja, Chaebol juga berkolaborasi dengan syarikat-syarikat daripada Amerika Syarikat dan Jepun bagi memudahkan perpindahan teknologi.
Samsung misalnya telah berunding dengan Sharp dan Micron untuk menerokai perniagaan berasaskan barangan elektrik.
Hyundai pula pada asalnya membangunkan sebuah kilang untuk kerja-kerja pemasangan kereta berjenama Ford sebelum syarikat itu berjaya mengeluarkan jenamanya sendiri.
Ajaibnya, Samsung berjaya membangunkan cip DRAM 64kb dalam masa enam bulan sahaja hingga menjadikan Korea sebagai negara ketiga mengeluarkan produk itu selepas Amerika Syarikat dan Jepun.
Dalam tempoh yang sama juga Hyundai juga berjaya mencapai operasi pemasangan penuh kereta berjenama Ford tanpa sebarang masalah.
Hal itu telah membuatkan eksport Korea yang sebelum ini hanyalah sekadar pakaian dan kasut berubah kepada televisyen, radio serta mesin basuh ketika akhir 1970-an.
Malahan, Hyundai juga mencipta sejarah dengan terhasilnya kereta pertama Korea Selatan iaitu Pony pada tahun 1975.
Buat pengetahun anda, nilai eksport Korea Selatan pada 1961 hanyalah sekitar $42 juta sahaja. Walau bagaimanapun menjelang 1977, nilai eksport Korea Selatan naik mendadak kepada lebih dari $ 10 bilion.
Persoalannya bagaimana pula Park Chung-hee mendapatkan wang bagi meningkat ekonomi Korea Selatan setalah ranap dihabisi perang?
Pertama sekali Park telah membuat keputusan dua keputusan tidak popular iaitu memulakan hubungan diplomatic dengan Jepun dan menghantar tentera ke Perang Vietnam.
Semua sedia maklum bahawasanya rakyat Korea sangat berdendam kepada Jepun kerana menghapuskan monarki dan meruntuhkan binaan warisan Joseon.
Walau bagaimanapun, hubungan yang terjalin di antara Jepun dan Korea Selatan membuat negara itu menerima banyak faedah. Jepun telah membayar geran $300 juta dan memberi pinjaman sebanyak $500 juta kepada Korea Selatan.
Penghantara tentera ke Perang Vietnam juga mendatangkan kebaikan apabila tentera Korea Selatan memberikan pendapatan kepada negara sebanyak $2 bilion. Ketika itu, KDNK per kapita Korea Selatan telah meningkat lima kali ganda daripad jumlah asal.
Park juga bertindak menghantar rakyat Korea Selatan untuk bekerja di luar negara bagi mendapatkan mata wang asing.
Perjanjian bersama Jerman Barat pada tahun 1963 membuatkan ramai rakyat Korea bekerja di negara itu sebagai jururawat dan pelombong.
Syarikat-syarikat Korea pula mula menumpukan perhatian ke rantau Timur Tengah untuk membina kemudahan infrastruktur seperti lebuhraya, kilang dan pelabuhan.
Hal ini telah membuatkan Hyundai meraih keuntungan sehingga $51 bilion dari rantau tersebut.
Ketika akhir hayat Park, beliau berjaya menaikan nilai KDNK per kapita Korea Selatan melepasi angka $1,770 iaitu meningkat 20 kali ganda berbanding diawal pentadbirannya.
Oleh sebab itu, Korea layak digelar sebagai harimau ekonomi Asia bersama Singapura, Taiwan dan Hong Kong.
Hari ini, Korea Selatan merupakan ekonomi ke-11 terbesar di dunia dengan KDNK per kapita sebanyak $30,000.
Malahan, negara itu juga merupakan pelopor kepada cip memori, alatan elektrik dan telefon pintar terkenal dunia.
Natijahnya, negara jika dibangunkan dengan betul pasti akan dapat mencapai kemajuan mengikut yang telah ditetapkan. Korea Selatan sendiri pada suatu ketika dahulu sangat miskin dan berjaya menjadi kaya pada hari ini.
RUJUKAN:
Instituto Desarrollo Industrial. (2014). How Korea got rich.
Korea Expose. (2017, Disember 20). How did South Korea become so rich?
Artikel juga boleh dibaca di portal kewangan dan juga ekonomi kami, The Outlook.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih