Perlu diingatkan, artikel ini ditulis atas dasar untuk mengelakkan rakyat Malaysia daripada memilih pihak (antara India atau Pakistan), juga untuk mencegah sebarang perpecahan. Selain itu, tujuan tidak lain selain dari memberi kesedaran kepada netizen bahawa jika perang benar-benar berlaku antara 2 negara ini, kesannya pasti melibatkan Malaysia juga sebagai negara di dalam benua Asia.

Dikala Trump dan Jong-un mencapai kata sepakat dan melaksanakan perjumpaan aman kedua mereka di Hanoi, keadaan di Kashmir semakin genting dengan konflik antara India dan Pakistan menjadi hangat setelah India menghantar pesawat pejuangnya ke ruang udara Pakistan dan mengebom kawasan yang dikatakan dikuasai militan Pakistan, dan sebagai timbal balas Pakistan telah menembak jatuh dan menawan juruterbang Tentera Udara India tersebut.

Wilayah Kashmir mula menjadi rebutan antara dua negara ini selepas British memberikan kemerdekaan kepada kedua-dua negara pada tahun 1947. Ketika itu, Kashmir mengambil langkah berkecuali dari melibatkan diri dalam kedua-dua negara tersebut dan pemimpinnya ketika itu, Maharaja Hari Singh telah menandatangani dokumen ‘kemerdekaan sementara’ bersama India dan Pakistan.

Maharaja Hari Singh
(23 September 1895 – 26 April 1961)

Malangnya pada Oktober tahun yang sama, telah berlaku perbalahan antara puak Pashtun dari Pakistan di dalam wilayah Kashmir dengan pihak pentadbiran Kashmir ketika itu akibat dari tindakan rampasan senjata oleh Hari Singh (merampas senjata dari puak Muslim, bekas tentera upahan British dan memberikannya kepada pihak militan Hindu). Walaupun tindakan pihak tersebut tidak mendapat ‘kelulusan’ dari Pakistan, Hari Singh telah memohon bantuan ketenteraan dari India bagi mengatasi masalah tersebut. Gabenor Jeneral India pada ketika itu tidak mahu membantu kerana menganggap Kashmir adalah wilayah neutral, dan memaksa Hari Singh untuk menyatakan penerimaan kepada India sebelum diberi bantuan tersebut. Pakistan menentang ‘penerimaan’ tersebut dengan menyatakan perjanjian ‘kemerdekaan sementara’ antara mereka masih lagi sah dan berjalan, tetapi tidak diendahkan Kashmir dan India. Akibatnya Perang India-Pakistan pertama pun meletus.

Keratan akhbar ‘penerimaan’ Kashmir kepada kerajaan India, Oktober 1947.

Biarpun berperang, Perdana Menteri India pada ketika itu (Jawaharhal Nehru) telah membuat kenyataan bahawa ‘masa depan Kashmir akan ditentukan oleh rakyatnya sendiri, dan referendum akan dibuat’. Ogos 1948, kerajaan India telah menghantar permohonan kepada PBB dan hasilnya satu resolusi terhasil. Sebagai nota, perang India-Pakistan pertama ini telah mengorbankan hampir 100,000 muslim akibat dari pogrom (pembunuhan beramai-ramai terancang) oleh pihak ekstremis hindu, selain menumpahkan darah 20,000 hindu dan sikh selepas puak muslim melawan kembali.

Resolusi PBB 1949 (UN Security Council Resolution 47) menyatakan bahawa kedua-dua pihak (India dan Pakistan) perlu berundur dan meletakkan senjata, dan setelah itu referendum akan dilaksanakan bagi memberi peluang kepada rakyat Kashmir untuk memilih (semacam Cobbold di Malaysia) antara India dan Pakistan. Malangnya peletakan senjata tidak pernah berlaku, askar kedua-dua pihak tidak pernah berundur – dan referendum itu tidak pernah berlaku, India dan Pakistan terus bertelingkah untuk menawan Kashmir nan indah.

Garisan sempadan antara Kashmir-Pakistan dan Kashmir India, BBC.

Kini garisan gencatan senjata itu menjadi sempadan antara Kashmir-India dan Kashmir Pakistan, dengan situasi terkini semakin meruncing antara kedua negara yang takkan pernah mengalah untuk menguasai Kashmir, negara yang penuh dengan kecantikan dan keindahan alam sehingga digelar syurga dunia. Biarpun tidak ketara sebelum ini, konflik antara mereka masih berterusan dengan masing-masing menggunakan proksi yang ada untuk menimbulkan kekacauan. Proksi-proksi tersebut adalah militan upahan yang sentiasa berada di wilayah utara tersebut dan melaksanakan kerja-kerja kotor mereka, agar wilayah paling mempersona itu sentiasa dalam kekacauan.

Tuntasnya, dengan kedua-dua negara kini mempunyai butang ‘warhead’ nuclear di tangan masing-masing, pastinya pergolakan antara dua negara kuasa uranium ini tidak dapat tidak akan memberi kesan negatif kepada seluruh dunia. Tambahan lagi wilayah Kashmir yang cantik itu menjadi medan pertempuran, pastinya yang menang akan jadi arang dan yang kalah akan jadi abu, dan dunia akan kehilangan alam sekitar syurganya pada satu ketika.

Sebagai seorang pengekal keamanan, bukanlah di tangan penulis mempunyai hak untuk memaksa Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk campur tangan atas konflik yang tidak berkesudahan ini. Tetapi seharusnya tindakan perlu diambil, sebelum dua gajah sombong terus bongkak terus bertelagah, pelanduk di tengah pula jadi mangsa, mati kesepitan. Sama-sama kita doakan semoga persefahaman terjalin, dan gencatan senjata antara kedua negara kali ini akan benar-benar terhasil.

Demi keindahan Kashmir, amanlah!

RUJUKAN:

  1. Kashmir’s Last Maharaja, Kashmir Life, 2 May 2011. (https://kashmirlife.net/kashmirs-last-maharaja-1413)
  2. Text of 1949 UN Resolution Calling for Referendum on Kashmir, Pierre Tristam, 26 January 2019. (https://www.thoughtco.com/un-resolution-referendum-on-kashmir-2353455)
  3. Kashmir Conflict under 4 Minutes, TRT World. (https://www.trtworld.com/video/social-videos/the-kashmir-conflict-in-under-4-minutes/5a40bd0841736a1f528ad8ce)

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

"Jack of all trades; master of none - but better than master of one." Anggota TDM yang masih mencari irama dalam lirik yang ingin dimelodikan di dalam bentuk tulisan keamanan. Ilmu itu pengaman, dan mengamankan.

Comments are closed.