Ahli-ahli arkeologi berjaya menemukan sebuah kompleks istana Aztec di tengah-tengah Mexico City. Kompleks istana yang baru ditemui di ibu kota Mexico itu dibina khas untuk maharaja Aztec, namun ia kemudiannya digunakan sebagai kediaman Hernan Cortes si conquistador Sepanyol. Penemuan kompleks istana Aztec ini membantu pasukan penyelidik untuk lebih memahami suasana dramatik di sekitar era kejatuhan Empayar Aztec dan tahun-tahun awal kolonial Sepanyol di Mexico.
Penemuan ini dilakukan oleh pakar-pakar dari Institusi Antropologi dan Sejarah Kebangsaan (INAH). Menurut The Telegraph, usaha pencarian ini berjalan di bawah bangunan Nacional Monte de Pieded, iaitu sebuah kedai pajak barang bersejarah yang terletak di tengah-tengah dataran ibu kota. Kerja-kerja ini dilaporkan telah berlangsung selama 20 tahun.
Dengan memanfaatkan teknik penyelidikan moden dan disokong oleh bukti-bukti dokumen sejarah, pasukan penyelidik menyimpulkan bahawa istana Aztec yang mereka temui itu merupakan kediaman atau istana asal Axayacatl. Axayacatl merupakan maharaja ke-6 Empayar Aztec.
Beliau dikenali sebagai seorang penakluk agung merangkap ayahanda kepada tlatoanl (maharaja) merdeka terakhir Aztec, Moctezuma II (atau Montezuma II). Istana Axayacatl menjadi medan di mana beberapa detik terpenting dalam sejarah kejatuhan Empayar Aztec berlaku.
KOMPLEKS ISTANA AZTEC MEMPUNYAI PERKARANGAN BATU BASALT YANG UNIK
Pasukan pakar melakukan galian pada lubang-lubang uji yang terdapat di sebelah utara, timur dan barat tapak istana ini. Penggalian ini membawa kepada penemuan sebuah tembok batu. Tembok ini dipercayai dibina pada kurun ke-18M dan berfungsi sebagai tapak asas dan platform lapisan terdalam bagi menyokong tiang-tiang bangunan.
Penyelidikan lanjut menemukan puing-puing runtuhan kompleks istana sekaligus membekalkan pasukan pakar dengan pengetahuan baru berkaitan istana kurun ke-16 milik Axayacatl itu. Raul Barrera dan rakan setugasnya, Jose Maria Garcia, yang mengetuai projek ini, memaklumkan pada Cultura bahawa penemuan ini “membolehkan kami mengandaikan bahawa perkarangan utama kompleks ini pada asalnya jauh lebih besar.”
Turut ditemui dalam penggalian ini adalah kepingan tebal batu basalt. Bahan ini dianggap sangat berharga pada era Empayar Aztec. Menurut The Telegraph, pakar-pakar dari INAH menyebutkan bahawa “kepingan-kepingan tebal batu basalt itu mungkin merupakan sebahagian daripada ruangan terbuka Istana Axayacatl, atau lebih tepat, sebuah patio”.
KOMPLEKS ISTANA AZTEC DISERAHKAN KEPADA CORTES
Istana Axayacatl kemudiannya diserahkan oleh Montezuma kepada Hernan Cortes dan pasukannya untuk dijadikan sebagai kediaman mereka semasa berada di Tenochtitlan. Istana inilah tempat berundurnya pasukan conquistador Sepanyol itu berundur setelah mereka membunuh ramai warga Aztec dalam sebuah festival keagamaan yang berlangsung pada Mei 1520.
Semasa kepungan dilakukan ke atas istana tersebut, Montezuma II terkorban. Pembunuhannya itu mencetuskan lebih banyak konflik berdarah antara warga Aztec dan conquistador Sepanyol. Rentetan itu, pihak Sepanyol pun melarikan diri dari istana itu, sebelum kembali dan menyerang semula Aztec pada tahun berikutnya.
Bersebelahan dengan perkarangan istana ini ditemui sebuah bilik yang diperbuat daripada batu basalt dan batu tenzontle, iaitu sejenis batu volkanik. Batu-batu ini berukuran 15 kaki kali 12 kaki dan berdiri di atas kepingan-kepingan batu tebal. Menurut pasukan penyelidik, “analisa-analisa lanjut membawa kami kepada kesimpulan bahawa bangunan tersebut dijadikan sebagai rumah Hernan Cortes sejurus selepas kejatuhan Mexico-Tenochtitlan pada 1521”.
HANCURNYA TENOCHTITLAN DAN KEBUDAYAAN AZTEC
Cortes tiba di Mexico dari Cuba pada tahun 1581. Pada mulanya, dia cuma berhasrat mahu meneroka kawasan tersebut dan mencari emas. Namun, setelah berkonflik dengan suku-suku tempatan, Cortes pun mula menakluki wilayah-wilayah di sana.
Walau bagaimanapun, dalam peristiwa La Noche Triste (Malam Duka) yang berlaku pada 1 Julai 1520, conquistador-conquistador Sepanyol itu diusir dari ibu kota Aztec dengan menanggung kasualti yang tinggi.
Setelah dihalau dari Tenochtitlan, Cortes menghimpunkan sebuah pasukan yang besar saiznya, terdiri dari tentera Sepanyol dan sekutu-sekutu tempatan. Kemudian, dia pun kembali ke Tenochtitlan pada tahun 1521 dan mengepungnya. Kemenangan yang diraihnya secara efektif menumbangkan Empayar Aztec. Setelah Tenochtitlan tumbang, Cortes dan orang-orang Sepanyol merampas kompleks istana, menjalankan pengubahsuaian dan menambahkan binaan sebuah biara di dalamnya.
Bukti-bukti sejarah mengisyaratkan bahawa pihak Sepanyol berhasrat mahu mencantas sisa-sisa kuasa dan agama warga Aztec. Masyarakat tempatan dipaksa menghancukan monumen dan kuil-kuil mereka dengan tangan sendiri. Cultura memetik Barrera dan Garcia yang menyebutkan bahawa “sama seperti kebanyakan struktur yang dahulunya berdiri di Presin Keramat Tenochtitlan, kesemua premis itu habis dimusnahkan oleh orang Sepanyol dan sekutu tempatan mereka – musnah total hingga ke tapak asas binaan”.
Berdasarkan penemuan-penemuan terkini, didapati bahawa orang Sepanyol menggunakan bahan-bahan binaan dari struktur Aztec yang asal untuk membina rumah dan bangunan yang baru, termasuklah Rumah Cortes. Pasukan penyelidik menemui batu-batu pra-penaklukan yang dihiasi relif-relif ukiran di Rumah Cortes, di mana batu-batu ini melampirkan imej Quetzalcoatl, dewa naga berbulu, dan juga beberapa glif Aztec yang lain.
Pasukan penyelidik memaklumkan kepada Cultura bahawa tinggalan-tinggalan dari era Aztec mendedahkan bahawa kemusnahan Tenochtitlan di tangan Sepanyol “mempunyai tujuan yang simbolik dan praktikal. Mereka bukan sahaja mahu menakluki ibu kota Aztec. Akan tetapi, mereka juga mahu menghapuskan akar-akar kebudayaan mereka.”
MEXICO CITY MENJADI IBU KOTA DAN PUSAT PENTADBIRAN NEW SPAIN
Puing-puing runtuhan yang ditemui di Rumah Cortes bersifat dan bergaya agak sederhana. Namun, pasukan penyelidik memaklumkan bahawa “lantai-lantai pra-Hispanic ini merupakan lantai sama yang digunakan oleh conquistador Sepanyol semasa mereka baru tiba (dan mendiami kompleks itu) pada 8 November 1519”. Setelah menguasai kompleks ini, pihak conquistador membangunkan sebuah wilayah New Spain dan dari wilayah ini, mereka memerintah koloni-koloni mereka di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Kompleks istana Axayacatl ini berada dalam pemilikan keluarga Cortes sehingga tahun 1566. Pada tahun tersebut, anak lelaki Cortes terlibat dalam sebuah komplot menentang kerajaan. Justeru, dia diusir dari New Spain. Dijangkakan hasil penemuan-penemuan baru ini akan dipamerkan di kompleks istana itu sendiri.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih