Semua maklum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 14 April ini kini disambung lagi sehingga 28 April 2020. Dan sebagai sebahagian daripada PKP Fasa 3, beberapa operasi sektor ekonomi dan perniagaan dibenarkan beroperasi dalam tempoh itu. Salah satu daripadanya ialah perkhidmatan salun atau kedai gunting rambut.

Sebaik saja perkara itu diumumkan semalam, ia menimbulkan keributan di laman media sosial. Seperti mana respon ramai orang yang menolak tindakan kerajaan membenarkan pelajar universiti/kolej pulang ke kampung berikutan lanjutan tempoh PKP, sama juga reaksi bila kedai gunting rambut dibuka semula.

Bagi Presiden Persatuan Penggaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan, Ganathiban Murugan, agak sukar bagi mereka mengekalkan penjarakan sosial sekalipun untuk menggunting rambut pelanggan mereka. Malah, mereka bimbang peluang berlakunya jangkitan memandangkan sesetengah kes pembawa penyakit Covid-19 boleh menjangkiti sesiapa walaupun tidak menunjukkan simptom.

Tambah Ganathiban, “Bila kami mahu bekerja, biarlah tanpa sebarang ketakutan.” Dia merasakan lebih elok kedai gunting atau salun rambut dibuka semula hanya selepas pandemik Covid-19 sudah berlalu.

Public Health Malaysia turut mengungkap pandangan sama menerusi hantaran kenyataan mereka di Facebook. Mereka berkata, “Faktor risiko penularan COVID-19 di kedai gunting rambut agak tinggi kerana jarak rapat antara pelanggan dan tukang gunting rambut, tempoh masa yang lama di dalam premis iaitu sekitar 15 minit, selain ruang kedai yang sempit dengan pengudaraan yang terhad.”

Jika kerajaan tetap meneruskan keputusan membenarkan kedai gunting atau salun rambut beroperasi, Public Health Malaysia menyarankan pemilik premis memastikan mereka tidak mempunyai gejala demam atau batuk selesema, melakukan disinfeksi harian premis, menyediakan ruang pengudaraan yang baik, mengawal kemasukan pelanggan dan membersihkan rambut yang sudah digunting.

Pelanggan juga perlu disaring dan mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk, menggunakan penutup mulut dan hidung (sekiranya bergejala), membasuh tangan sebelum memasuki premis dan duduk serta menjaga penjarakan sosial.

Kebimbangan orang ramai sekiranya ia diteruskan boleh mengakibatkan kemunculan kluster baru Covid-19 yang muncul dari kedai gunting rambut. Dan disebabkan ini juga, seorang tukang gunting menemui ajal selepas dijangkiti Covid-19.

Tukang gunting yang berasal dari Mississippi, Eugene Thompson dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kurang seminggu selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke- 46.

iHeart Radio memetik laporan Gossip On This melaporkan, Thompson meninggal dunia di Hospital St Dominic minggu lalu. Dia meninggal dunia hampir sebulan selepas disahkan positif jangkitan Covid-19.

Thompson yang juga pemilik kedai gunting rambut Taper Nation 1 dan 2 mengakui jatuh sakit menerusi Facebook miliknya pada 17 Mac lalu. Keadaan itu memaksanya menutup kedainya selama seminggu.

“Kuarantin diri anda, jauhi daripada orang lain, tempat atau barangan.  Saya berasa sedikit sakit, demam dengan suhu agak tinggi jadi saya pergi lakukan pemeriksaan

“Untuk itu, TaperNation (kedai) ditutup selama seminggu untuk berehat,” tulisnya ketika itu dan hantaran itu dimuat naik selepas Thompson memberi peringatan kepada bakal pelanggannya yang bercadang mendapatkan khidmat gunting rambut dengannya.

Sebab ini juga turut menjadi punca pertikaman lidah antara Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dengan Gabenor Tokyo, Yuriko Koike. Koike enggan tunduk kepada arahan pihak kerajaan yang mengarahkan kedai gunting atau salun rambut ditutup semasa perintah berkurung dilaksanakan walaupun tahu ada satu kluster kes Covid-19 yang berlaku di sebuah salun rambut di Buzen.

Nasihat kepada pihak kerajaan, pertimbangkan semula idea membuka operasi kedai gunting atau salun rambut semasa pandemik Covid-19 sedang melanda. Ya, bilangan kes positif menurun dan bilangan yang sembuh juga meningkat. Tetapi ini bukan masanya untuk leka dan semua pihak harus fokus untuk menewaskan pandemik ini.

Biarlah rambut kami panjang bak Amy Search, Boney M atau Richard Dean Anderson tetapi jika itu harganya demi menjaga kesihatan semua, tidak mengapa. Kami faham sebab pada akhirnya, nyawa manusia harus menjadi keutamaan.

RUJUKAN:

Agensi. (2020). Tukang gunting maut dijangkiti Covid-19. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/global/2020/04/565206/tukang-gunting-maut-dijangkiti-covid-19

Berita Harian. (2020). COVID-19: Risiko penularan wabak di kedai gunting rambut agak tinggi. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/675781/covid-19-risiko-penularan-wabak-di-kedai-gunting-rambut-agak-tinggi

Craft, Lucy. (2020). Fear in salons and barber shops as Japan deems haircuts “essential”. CBS News. https://www.cbsnews.com/news/coronavirus-japan-tokyo-stylists-and-barbers-government-deems-work-essential-today-2020-04-10/

Augustin, Robin. (2020). Barbers tearing their hair out over being allowed to give haircuts during MCO. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/04/11/barbers-tearing-their-hair-out-over-being-allowed-to-give-haircuts-during-mco/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.