Kitsune (狐狸精), si semangat musang juga dikenali sebagai Kumiho (구미호) di Korea dan Huli Jing (狐狸精) di Cina. Mereka ini secara asasya merupakan makhluk yang sama namun memiliki sedikit perbezaan menurut tempat masing-masing.
夜の暗闇の中で
狐の罠
作るのは簡単です
Di tengah kegelapan malam, perangkap sang musang, mudah mengenai mangsanya
Dalam ketiga-tiga kebudayaan itu, semangat musang dilihat sebagai suatu makhluk yang jahat. Mereka gemar hidup di celah-celah manusia atas pelbagai sebab yang seringkali berakhir dengan nasib malang bagi individu yang terserempak atau hidup bersama dengannya.
Faktor utama yang membuatkan semangat musang ini mencari manusia berkemungkinan adalah kerana mereka mahu menyedut nyawa mereka atau memakan daging mereka di samping merampas kesemua ciri yang dimiliki oleh individu terbabit – memori, pengetahuan dan bahkan bentuk tubuhnya.
Semakin berusia seseekor semangat musang itu, semakin bertambah kuasanya. Begitu juga, semakin banyak nyawa manusia yang disedutnya, semakin bertambah kuasanya. Semangat musang dikatakan mampu berubah bentuk menjadi manusia setelah ia meraih kuasa yang cukup dari nyawa-nyawa yang disedut di samping umurnya telah menginjak 500 tahun. Mereka juga dipercayai akan menumbuhkan satu ekor pada setiap 100 tahun. Semangat musang paling tua dicatatkan memiliki 9 ekor yang memaksudkan bahawa ia telah hidup selama 900 tahun.
KITSUNE SEBAGAI KUMIHO DAN HULI JING
Di Korea, Kumiho menggunakan sebiji guli yang dibawa di dalam mulutnya untuk merampas kebijaksanaan daripada manusia – kebiasaannya menerusi ciuman. Dalam kebudayaan ini, semangat musang dipercayai boleh berubah bentuk menjadi manusia seawal usia 100 tahun dan kebiasaannya bentuk manusia yang diambil adalah sebagai seorang gadis.
Namun, semangat musang perlu menggunakan tengkorak manusia yang diletakkan di atas kepalanya untuk berubah bentuk. Ia juga dipercayai memakan manusia untuk mengambil bentuk manusia berkenaan.
Hal ini tidaklah memaksudkan bahawa semangat musang itu sendiri berjantina betina. Namun, bentuk yang sering diambilnya adalah sebagai gadis jelita yang menawan.
Selain itu, Kumiho juga sering mengambil bentuk sebagai seseorang yang dikenali oleh mangsa dengan tujuan supaya si mangsa lebih mempercayainya sekaligus memudahkan semangat musang untuk menghampirinya. Salah satu ciri untuk mengetahui kalau-kalau seseorang itu sedang berhadapan dengan Kumiho adalah dengan melihat tingkah lakunya yang berbeza dengan individu yang disamarnya – sama ada melalui percakapan mahupun tindakannya memakan makanan yang di luar norma kebiasaan individu sebenar.
Malahan, musang jelmaan ini turut berkemungkinan memiliki warna mata yang berbeza atau berbicara dengan lenggok bahasa yang kuno. Tambahan lagi, kita juga boleh melihat ekornya memandangkan ekornya sentiasa wujud, tidak dapat disembunyikan walau Kumiho seupaya mungkin cuba menyelindungkannya dari pandangan si mangsa.
Di Cina, Huli Jing turut gemar mengambil bentuk sebagai seorang gadis yang lazimnya menggoda lelaki-lelaki yang memiliki kuasa. Mereka seringkali menyelinap masuk dalam kehidupan para panglima dan maharaja dengan harapan dapat memanipulasi politik negara dan menebarkan rancangan jahat di dalam istana demi keseronokan peribadi.
Dalam legenda-legenda Cina berkenaan semangat musang, Huli Jingkadangkala tampil sebagai suatu watak yang sangat baik dan setia kepada lelaki yang hidup bersamanya.
Namun pada waktu yang lain, Huli Jing sering bersikap kejam terhadap mana-mana wanita yang menghuni rumah berkenaan (saudara mahupun dayang). Beliau gemar mengenakan muslihat terhadap mereka dan kemudian menampilkannya seolah-olah hanya satu kejadian kemalangan sahaja. Nasib yang lebih malang andai mangsa kepada Huli Jing ini adalah seorang puteri tiri.
Menurut legenda Cina, lelaki yang hidup bersama Huli Jing kebiasaannya dapat mendaki tangga kuasa dengan begitu cepat, meraih kemasyhuran, harta benda yang melimpah ruah dan pemilikan tanah yang luas. Namun, sebaik sahaja Huli Jing selesai mengambil seluruh tenaga yang terhasil dari sifat bermegah-megah si suami dan si suami itu mula menjadi tua dan nyanyuk sekaligus tidak berupaya menghasilkan tenaga yang dimahukan oleh Huli Jing, maka makhluk itu akan beredar begitu sahaja. Beliau akan meninggalkan bekas suaminya itu yang merintih, merana dan berduka cita terhadap pemergian kekasih yang tidak diketahuinya merupakan semangat musang.
Kisah legenda berkenaan semangat musang dari kebudayaan Cina ini juga dapat dilihat menerusi sebuah teks klasik Cina yang petikannya disertakan di bawah – sebuah teks yang menyebut perihal rupa sebenar Huli Jing:
有獸焉,其狀如狐而九尾,其音如嬰兒,能食人
Terdapat seekor makhluk buas berupa seperti musang berekor sembilan, ia berbunyi seperti bayi dan ia memakan manusia
KITSUNE JEPUN
Nama semangat musang paling biasa didengar dan masyhur dalam kalangan masyarakat hari ini datangnya dari kebudayaan Jepun – iaitu Kitsune. Di Jepun, Kitsune digambarkan muncul sebagai lelaki mahupun wanita walaupun lebih sering mereka mengambil bentuk wanita. Nama Kitsune berkemungkinan diambil daripada dua buah perkataan berikut:
Kitsu – bunyi yang dihasilkan oleh musang, dan ia juga boleh membawa maksud “marilah ke sini”.
Tsune – bermaksud “sering” namun boleh juga memiliki maksud lain; ‘Ki’ diertikan sebagai “warna emas” atau “tenaga” bergantung kepada Kanji mana yang diguna-pakai. Sementara ‘Ne’ pula adalah luahan ekspresi positif yang bersifat feminin, seperti “Shiawase-ne!” (saya sangat gembira” atau “Ii-ne!” (Bagus!).
Jadi, Kitsune boleh diertikan sebagai “sentiasa berwarna emas” atau “sentiasa bertenaga” bergantung kepada konteks penterjemahannya.
Secara peribadi, saya menganggap musang sebagai haiwan yang sangat bertenaga. Maka, pengertian ‘sentiasa bertenaga’ mempunyai signifikasi tersendiri bagi saya. Walau bagaimanapun, terdapat sebuah hikayat masyhur yang memerihalkan bagaimana semangat musang ini meraih namanya. Hikayat tersebut berjudul Nihon Ryouiki atau secara kasarnya bermaksud ‘Kisah-Kisah Hantu Jepun’.
Hikayat tersebut mengisahkan:
Suatu ketika dahulu, terdapat seorang lelaki yang sangat-sangat kesepian. Beliau bekerja keras sebagai petani di kebun – siang dan malam bekerja tanpa henti. Lantaran itu, beliau kaya dengan bekalan makanan di samping memiliki rumah sendiri. Namun, beliau tidak mempunyai isteri untuk melengkapkan hidupnya. Telah bertahun-tahun lamanya beliau mencari wanita untuk diperisteri, namun tiada yang sesuai dengannya.
Pada suatu hari semasa beliau mahu berangkat ke kebunnya, beliau terserempak dengan seorang gadis jelita. Langsung sahaja beliau jatuh cinta dengan gadis berkenaan. Tidak lama kemudian, beliau pun melamarnya dan menjelaskan tentang harta-benda yang dimilikinya bagi meyakinkan bahawa beliau mampu menjaga gadis itu dengan sebaiknya. Alangkah gembiranya hati lelaki tersebut apabila lamarannya itu diterima oleh si gadis.
Pasangan itu pun berkahwin dan mereka hidup bahagia selama beberapa tahun. Kegembiraan mereka dilengkapkan lagi apabila suatu hari, si isteri memaklumkan kepada suaminya bahawa beliau sedang hamil. Lelaki itu berasa amat bahagia dan menjaga isteri serta bakal anaknya dengan begitu baik. Semasa bayinya itu lahir, ternyata anjing peliharaannya turut melahirkan seekor anak anjing.
Beliau berharap agar anaknya itu dapat membesar bersama anak anjing itu dan menjadi teman sepermainan yang akrab. Namun, anak anjing itu membesar menjadi seekor anjing yang bersikap ganas terhadap si isteri tanpa sebarang sebab. Keadaan berterusan begitu selama beberapa bulan hinggalah pada suatu hari, anak anjing yang telah besar itu menggigit tangan si gadis.
Kerana khuatir tentang keselamatan dirinya, diri si gadis itu pun menghilang – digantikan oleh seekor musang berekor sembilan. Alangkah terkejut dan bingungnya beliau melihat hal ini. Lantas, si isteri, atau kini musang berekor sembilan itu pun melarikan diri dari rumah.
Hari demi hari, minggu demi minggu, si isteri tak juga pulang. Keadaan ini membuatkan hati si suami teramat duka cita. Beliau begitu mencintai dan merindui isterinya. Beliau juga tidak peduli walaupun isterinya itu merupakan semangat musang. Sepanjang malam beliau meratapi kehilangan isterinya, memanggil-manggil namanya sambil dengan suara yang serak-serak basah, menyebut, “Kitsu-ne?” (ke marilah atau pulanglah).
Kisah-kisah sebegini sering tercantum dalam sejumlah hikayat yang melibatkan lelaki masyhur yang dilahirkan dengan keupayaan luar biasa seperti Sami Shugendo, En-No-Gyoja dan Sami Onmyōdō, Abe-No-Seime. Masing-masing mendakwa beribukan Kitsune.
Walaupun di dalam kisah yang diceritakan di atas semangat musang bersikap baik dan luhur, beliau tetap jua membawa kesedihan kepada lelaki yang dicintainya, terutama apabila beliau memilih untuk lari dan meninggalkan si suami. Dalam versi penceritaan yang lain, lelaki itu kemudiannya meninggal dunia kerana kesepian sambil versi lain lagi menyatakan bahawa beliau keluar mencari isterinya dan tidak pulang-pulang setelah itu.
JENIS-JENIS KITSUNE
Terdapat tiga jenis Kitsune yang berbeza di Jepun. Setiap satunya mempunyai ciri-ciri istimewa yang membuatkan mereka kelihatan unik.
Youko – Ia dianggap sebagai Kitsune walaupun secara peribadi, saya musykil untuk menyenaraikannya sebagai Kitsune memandangkan ia sebenarnya bukanlah semangat musang, sebaliknya syaitan yang mengambil bentuk sebagai musang.
Puisi mengenai Huli Jing yang disertakan di atas merincikan bahawa mereka berbunyi seperti baui dan tangisan tersebut berperanan sebagai umpan yang menarik perhatian mangsa yang pastinya mahu menyelamatkan ‘bayi’ tersebut. Nasib mangsa tersebut kemudiannya berakhir dengan dimakan oleh syaitan berkenaan.
Myoubo – Ia merupakan jenis semangat musang yang secara spesifik cenderung mengkhidmatkan diri sebagai utusan Dewa Inari O-Kami. Oleh kerana itu, mereka tidak berlaku jahat sebaliknya bersumpah untuk membantu para pemujanya. Musang inilah yang digambarkan sebagai patung yang dapat kita lihat di kuil-kuil dan tempat-tempat suci – patung yang dipakaikan dengan kain lapik berwarna merah.
Nogitsune – Mereka merupakan jenis semangat musang yang boleh berinteraksi hampir secara langsung dengan manusia. Tidak seperti semangat musang di Cina dan Korea, mereka tidak khusus bersifat jahat sebaliknya turut bersifat baik. Berbeza dengan Myoubo, mereka tidak berkhidmat kepada Inari O-Kami dan mereka dianggap ‘liar’.
Pun begitu, mereka sama sekali tidak seperti musang sebenar – mereka boleh memilih untuk berbuat sesuka hati mereka dan tidak risau tentang konsep karma.
Dalam kesemua cerita berkenaan Kitsune yang dapat kita temui, Nogitsune merupakan jenis yang paling lazim muncul. Memandangkan mereka bersifat ‘liar’ atau ‘bebas’, maka mereka kadangkala gemar mengganggu manusia walaupun dalam keadaan lain mereka turut berkawan dengan manusia.
KAEDAH UNTUK MENDEDAHKAN IDENTITI SEMANGAT MUSANG
Di Jepun, identiti Kitsune dapat didedahkan dengan memanfaatkan beberapa cirinya yang tidak boleh disembunyikan. Sama seperti Kumiho, ekor dan telinga Kitsune hampir pada setiap masa dapat dilihat. Kitsune juga seupaya mungkin cuba kekal berada dalam bayang (gelap) agar ciri-cirinya tidak dapat dilihat dengan jelas. Hal ini kerana kulit mereka sangat mulus dan bercahaya memandangkan ia tidak banyak terdedah kepada matahari (bulunya menutup kulit dari disinari matahari).
Selain itu, mereka juga sering berbicara dengan gaya yang dianggap terlalu ketinggalan. Hal ini kerana mereka tidak biasa berinteraksi dengan manusia dan kadangkala hanya memunculkan diri sekali dalam ratusan tahun. Justeru, mereka tidak mengetahui penggunaan bahasa terkini yang lebih sesuai. Mereka mungkin bercakap dengan begitu perlahan atau terlalu laju.
Terdapat beberapa perkataan dalam bahasa Jepun yang dipercayai sukar untuk disebutkan oleh Kitsune. Salah satunya adalah Moshi. Disebabkan itu, ramai masyarakat Jepun menyahut ketukan pintu (dan pada zaman moden, menyahut panggilan telefon) dengan ucapan, “Moshi-moshi?” bagi memastikan si pemanggil itu bukan Kitsune.
Tambahan lagi, Kitsune dan anjing tidak dapat wujud secara harmoni. Makanya, Kitsune dapat dikenali apabila mereka menampakkan reaksi permusuhan terhadap anjing – seperti mahu membahayakan atau berhajat supaya malapetaka tertimpa pada anjing. Anjing pula sering menyalang dan cuba mengusir Kitsune.
Kitsune dikatakan memiliki keupayaan untuk menjadi halimunan. Namun, mereka tidak dapat menyembunyikan bayang-bayang mereka yang akan muncul dalam bentuk musang. Kita juga dapat melihat bentuk sebenar mereka dengan melewati sebuah bilik dengan kepulan asap setanggi. Kepulan asap tersebut akan menampakkan bentuk sebenar mereka dan menakutkan Kitsune. Mereka tidak menyukai bau setanggi.
Kitsune juga dapat dilihat bentuk sebenarnya menerusi imej pantulan. Oleh kerana itu, mereka akan menghindarkan diri dari sebarang permukaan yang memantulkan imej seperti cermin, air, pinggan logam yang bersinar, sudu besi dan periuk besi. Jika ada gadis yang enggan menyimpan cermin di dalam biliknya, beliau lazimnya akan disyaki sebagai Kitsune, atau paling tidak, telah dirasuk oleh Kitsune (Kitsunetsuki).
Selain itu, terdapat seperkara lagi. Inarizushi merupakan sejenis tofu dan sushi nasi yang digoreng. Hidangan ini mempunyai rasa yang sangat manis. Inarizushi sering dihidangkan sebagai persembahan korban untuk Dewa Inari O-Kami. Dikatakan bahawa Kitsune tidak akan dapat menahan diri dari menjamah sushi ini. Makanya, mereka akan kembali mengubah bentuknya kepada asal demi menikmati makanan yang lazat itu justeru dapat mendedahkan identiti sebenar Kitsune.
Selain itu, Hoshi-no-tama, iaitu sejenis bola yang lebih kurang seperti guli Kumiho dipercayai mengandungi sedikit-sebanyak kuasa Kitsune. Ia berupa sebiji bola bercahaya yang terapung. Bola ini sangat berharga bagi Kitsune. Jika seseorang dapat menemukan dan menyimpan bola tersebut, Kitsune akan serta-merta bersetuju untuk berkhidmat kepada individu berkenaan demi meraihnya semula. Namun, Kitsune juga akan cuba segala ikhtiar untuk mendapatkannya. Sifatnya ini saling tidak tumpah seperti musang-api.
KITSUNETSUKI – RASUKAN SEMANGAT MUSANG
Hal ini merupakan satu topik yang agak rumit dan panjang, terutama bagi kalangan pengamal Shugendo yang masih mempraktiskan jampi serapah menyeru syaitan. Memadai untuk kita mengetahui bahawa Kitsune jenis ini (Kitsunetsuki) bukanlah Kitsune yang sebenar. Begitu juga dengan hakikat bahawa semangat musang boleh merasuki manusia dan haiwan musang yang sebenar.
Apabila merasuki tubuh seseorang, Kitsune sering menghadirkan pelbagai masalah. Pada mulanya, ia bersikap jinak dan tidak berbahaya. Namun lama-kelamaan, mereka akan menjadi jahat. Seluruh ahli keluarga individu yang dirasuk itu akan terjejas, terutamanya dalam soal kewangan angkara rasukan semangat musang ini.
KAEDAH MENGHINDARI SEMANGAT MUSANG
Cara terbaik untuk menjauhkan semangat musang dari diri seseorang manusia itu adalah dengan menguatkan benteng diri. Semangat musang tidak akan mampu mengambil sesuatu yang tidak diberikan oleh manusia. Mereka bukanlah dewa atau semangat yang begitu berkuasa. Mengabaikan mereka merupakan pertahanan yang terbaik.
Jika terdapat orang asing yang tidak jujur; berbicara tentang hujan dan mendung namun dirinya sendiri berdiri di tengah-tengah hari yang cerah, sebaiknya jangan mudah untuk terlalu menaruhkan kepercayaan kepadanya. Begitu juga sekiranya terdapat gadis jelita atau pemuda tampan yang tiba-tiba sahaja berbual dengan anda – keadaan yang begitu mencarik norma kebiasaan.
Jika terlihat warna kuning pada mata mereka, atau bayangan ekor, maka sebaiknya berwaspada kerana mereka berkemungkinan adalah Kitsune. Berawas juga jika merasakan diri diekori dan hanya terlihat bayang cahaya tatkala menoleh.
Kelebihan utama Kitsune adalah mereka mampu memperdaya manusia dan memasang helah supaya kehidupan individu berkenaan menjadi bermasalah. Mereka datang bagaikan angin kencang dan pergi sebelum mangsanya dapat menyedari keadaan sebenar.
DITERJEMAHKAN DAN DIOLAH DARI:
Nisa Ryan. (2 Jun 2019). Beware the Kitsune, The Shapeshifting Fox of Japanese Folklore. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/kitsune-0012027
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih