Sesiapa yang mengkaji ilmu zoologi dan teori evolusi, pasti menyangka ia digerakkan oleh orang Barat atau lebih tepat Sir Charles Darwin. Sedangkan hakikatnya, ia sebenarnya sudah dipelopori oleh seorang cendekiawan Islam terkenal bernama al-Jahiz. Dan menariknya, ia diabadikan dalam mahakaryanya yang terkenal iaitu Kitab al-Hayawan (Kitab Haiwan-Haiwan).
Kitab al-Hayawan merupakan sebuah ensiklopedia haiwan yang terdiri daripada tujuh jilid. Ia dikarang oleh al-Jahiz sebagai memenuhi permintaan Perdana Menteri Abbasiyyah semasa era Khalifah al-Mu’tasim, al-Wathiq dan al-Mutawakkil, Muhammad bin Abdul Malik al-Zayyat. Sebagai ganjaran menyelesaikan tugasan yang diminta, Ibnu al-Zayyat bersetuju membayarnya dengan wang upah lima ribu dinar. (al-Nadim, 1970)
Kitab al-Hayawan bukan sekadar menceritakan perihal 350 ekor haiwan dari pelbagai spesies. Malah, ia turut mengandungi pelbagai anekdot lucu, sastera era pra-Islam dan cerita-cerita haiwan yang diambil dari teks Aristotle yang diterjemah ke Bahasa Arab. Ironinya, ia berkongsi nama yang sama iaitu Kitab al-Hayawan. (Peters, 1968)
Mungkin atas persamaan inilah, ada yang menuduh al-Jahiz memplagiat hasil kerja cendekiawan Yunani itu dan menjadikannya sebahagian daripada kitabnya. Tuduhan ini dilemparkan oleh sejarawan Islam abad ke-11, al-Khatib al-Baghdadi. (Peters, 1968) Bagaimanapun, hasil semakan para sejarawan dan pengkaji mendapati pengaruh teks Aristotle terhadap Kitab al-Hayawan yang dikarang al-Jahiz amat terhad. Mereka percaya tuduhan ini timbul kerana al-Khatib tidak biasa dengan mahakarya Aristotle itu.
Menerusi Kitab al-Hayawan, al-Jahiz merupakan orang terawal yang menyentuh konsep evolusi biologi. Selepas membuat pemerhatian teliti terhadap spesies haiwan dan serangga, beliau percaya terdapat beberapa mekanisme yang menyumbang kepada evolusi haiwan. Menariknya, teori ini timbul lebih sealaf sebelum dibangkitkan oleh Darwin menerusi bukunya yang berjudul On the Origins of Species.
Menurut al-Jahiz, terdapat tiga mekanisme yang mempengaruhi evolusi spesies iaitu perjuangan untuk terus hidup, transformasi agar menjadi spesies haiwan baru dan faktor persekitaran. Dari segi aspek perjuangan untuk terus hidup, haiwan akan berjuang untuk mengelak menjadi mangsa, membiak dan mendapatkan sumber diperlukan untuk terus hidup.
Manakala faktor persekitaran pula akan mendorong organisma untuk beradaptasi dengan situasi baru yang dihadapinya sekaligus menghasilkan ciri-ciri lain dari yang lain. Perubahan ini bukan sekadar membantu organisma untuk terus hidup tetapi ia juga membuka jalan kepada pengenalan spesies organisma baru. Mana-mana haiwan yang terselamat akan mewariskan ciri-ciri baru ini kepada anak-anak mereka.
Walaupun mekanisme yang dinyatakan al-Jahiz bersifat saintifik, pada masa sama wujud unsur spiritual dan ketuhanan yang disentuh beliau. Berikutnya petikan kenyataannya dalam Kitab al-Hayawan:
“Tikus keluar mengumpul makanan, mencari dan mencurinya. Ia memakan haiwan yang lebih lemah daripadanya seperti haiwan kecil dan burung kecil. Ia menyembunyikan anak-anaknya dalam terowong bawah tanah agar dapat melindunginya daripada an.ca.man ular dan burung.
Ular amat suka memakan tikus. Bagi ular pula, ia amat takut dikejar beaver dan hyena yang lebih kuat daripadanya. Hyena boleh menakutkan musang dan musang boleh menakutkan haiwan yang lebih lemah daripadanya.
Inilah undang-undang alam di mana sesetengah hidupan merupakan makanan untuk hidupan yang lain. Semua haiwan kecil memakan haiwan yang lebih kecil daripada mereka dan haiwan yang besar tidak memakan haiwan yang lebih besar daripada mereka.
Manusia sesama mereka boleh diibaratkan seperti haiwan. Ada yang bersifat hormat terhadap sesetengah daripada mereka tetapi tidak sampai ke tahap melampau-lampau. Pendek kata, Tuhan menjadikan sesetengah manusia sebagai asbab kehidupan untuk orang lain dan menjadikannya sebagai asbab kema.ti.an untuk sesetengah yang lain.”
Nota kaki
- Ibnu al-Zayyat – Bermula sebagai pedagang biasa yang mendapat kontrak lumayan membekalkan pelbagai peralatan kepada kerajaan Abbasiyyah semasa era al-Ma’mun. Merupakan orang kepercayaan al-Mu’tasim dan bertanggungjawab memantau pembangunan bandar Samarra. Dikenali juga sebagai pencipta tannur, sejenis ker.an.da besi untuk tujuan penye.ks.aan. Disingkirkan dan dihukum bu.n.uh oleh al-Mutawakkil pada 847 sebagai cara mendapatkan kembali kuasa khalifah dan membalas den.da.m terhadap kecenderungannya memalukan baginda semasa era al-Wathiq.
- al-Khatib al-Baghdadi – sejarawan dan cendekiawan fiqh abad ke-11 dari mazhab Hanbali. Diangkat oleh Ibnu Hajar al-Asqalani kerana memberi sumbangan besar terhadap pengajian ilmu hadis. Antara mahakarya beliau yang terkenal ialah al-Kifaya fi ma’rifat usul ‘ilm al-riwaya. Kembali ke hadrat Ilahi pada September 1071 di Baghdad dan dikebumikan bersebelahan kubur seorang wali Allah bernama Bishr al-Hafi.
RUJUKAN:
Ibnu al-Nadim. (1970). Terjemahan oleh Dodge, B. The Fihrist of al-Nadim; a tenth-century survey of Muslim culture. Columbia University Press. Halaman 402-404.
Peters, F. E. (1968). Aristotle and the Arabs: The Aristotelian Tradition in Islam. New York University Press. Halaman 133.
El-Zaher, S. (2018). The Father of the Theory of Evolution: Al-Jahiz and His Book of Animals. Mvslim.com.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih