Kita sudah menyambut hari kemerdekaan. Kita bercakap tentangnya dan melaungkan seruan ‘Merdeka!’ sampai hilang suara. Kemudian, kita sudah dengar seruan berkorban sebagai menyahut semangat Aidiladha. Maka logiknya, apakah langkah kita seterusnya? Apakah kita mahu melihat ia sebagai satu perkara bersifat bermusim atau kita mahukan ia berterusan dan menjadi sebahagian daripada jati diri kita? Jika kita mahu berjaya sebagai sebuah negara, maka kita perlu saling menggembleng tenaga dan membantu antara satu sama lain untuk berjaya, bukannya saling menjatuhkan antara satu sama lain.

Sikap sesetengah daripada kita yang suka menjatuhkan orang antara satu sama lain semata-mata untuk menang tidak akan membawa dirinya ke mana-mana. Saya teringat satu kisah yang dinukilkan Datuk Ustaz Badli Shah Alauddin dalam segmen Motivasi Pagi IKIM tidak lama dahulu. Dalam segmen tersebut, beliau bercerita seorang nelayan ditanya seorang wartawan tentang bagaimana ketam hasil tangkapannya itu tidak lari dari bakul tangkapannya. Lalu si nelayan menceritakan, sukar bagi ketam tersebut memanjat keluar dari bakulnya kerana saat salah satu daripadanya hendak memanjat keluar, ketam-ketam lain akan menarik ketam tersebut kembali ke bawah. Dan perkara tersebut akan berlaku sekiranya ada ketam lain cuba melakukan perkara sama. Moralnya di sini, orang yang saling menjatuhkan antara satu sama lain akan sentiasa berada di takuk lama dan tidak akan dapat keluar daripada permasalahan yang dihadapinya.

Jika kita nak berjaya dalam hidup ini, kita tidak perlu jadi kaya dan terkenal macam Tony Stark/Iron Man atau Bruce Wayne/Batman. Kita kena tunjuk sikap ambil berat dan lakukan yang terbaik, itu saja. Nampak mustahil tetapi hakikatnya dengan dua kualiti sebegitu, kita bukan saja dapat membantu orang lain malah menjadikan orang tersebut sebagai sahabat untuk selamanya. Usah rasa malu-malu berkenaan bab membantu orang lain. Ini satu kualiti yang dipuji Nabi s.a.w dan mendapat banyak kelebihan di sisi-Nya.

Dalam satu hadis, baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah menyayangi orang yang bersifat penyayang.” Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan Ibnu Umar r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Dan barangsiapa menolong kesusahan saudaranya, maka Allah sentiasa menolong kesusahannya.” Allah s.w.t berfirman dalam ayat 2, Surah Al-Maidah, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredhaan Nya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Jika kita nak bantu orang lain menang, kita boleh cuba aplikasikan tips ini:

1. Percaya

Figure 1: Percaya bersifat dua hala dan bila ia berlaku, ia memanifestasikan keajaiban yang kita tidak sangka-sangka.

Jangan pandang rendah kuasa percaya. Orang yang percaya kepada diri kita sebenarnya membantu kita dengan cara yang luar biasa. Ini kerana bila kita ada rasa percaya, kita merasa selamat dan kita mudah meneroka potensi dan bidang baru. Usah takut sekiranya kepercayaan yang kita letak itu bersifat luar biasa. Ini kerana kepercayaan sedemikian bukti kita percaya akan keupayaan mereka sebagai individu dalam mencorak dan membina potensi mereka untuk berjaya dalam hidup ini. Jika kita tidak percaya, maka kita tidak akan melakukan segala-galanya untuk membantu mereka ini menang dalam perjuangan mereka.

Orang yang ada rasa percaya yang tinggi ini sebenarnya mempunyai rasa tawakal yang tinggi kepada Tuhan. Buktinya, firman Allah s.w.t dalam ayat 139. Surah Ali Imran, “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” Dalam ayat 30, Surah As-Fussilat, Allah s.w.t berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

Kalau rasa tidak percaya, jangan mengada-ada nak tabur janji palsu kepada mereka. Ini kerana mereka tahu tahap kepercayaan anda berdasarkan gerak-geri bahasa badan, tindakan anda dan bagaimana anda beri kebebasan kepada mereka untuk melakukan sesuatu. Percaya ini bersifat dua hala dan memerlukan komunikasi yang berterusan bagi menjayakan sesuatu perkara. Percayalah, bila kepercayaan itu wujud, ia sebenarnya menjadi pencetus kepada pelbagai keajaiban yang kadang-kadang kita sendiri tak sangka.

2. Harapan.

Figure 2: Harapan ialah senjata minda yang bisa memotivasikan manusia untuk mencapai sesuatu tujuan.

Harapan seperti mana lagu Hyper Act itu sangat penting dalam hidup ini. Walau apapun yang berlaku dalam hidup kita, jangan pernah berputus harapan dan putus asa dengan rahmat Tuhan. Ini kerana pada masa-masa yang mencabar itu, ada saja jalan keluar atau ilham yang diberi Tuhan untuk bantu kita atau orang yang kita bantu keluar dari situasi mencabar itu. Semasa Nabi s.a.w dan Abu Bakar r.a bersembunyi dalam Gua Thur, kumpulan penjejak Quraisy berjaya menjejaki mereka sehingga ke pintu gua. Baginda dapat merasakan kegelisahan sahabat merangkap bapa mentua baginda itu lalu Nabi s.a.w bersabda, “Tenanglah. Sesungguhnya Allah bersama kita.” Tidak lama selepas itu, kumpulan tersebut beredar kerana melihat tiada tanda manusia memasuki gua tersebut berikutan kewujudan sarang labah-labah dan sarang burung merpati di dalamnya.

Semasa Perang Dunia Kedua meletus, agak sukar untuk bersikap optimis apatah lagi bila melihat satu persatu negara di Eropah jatuh ke tangan Nazi Jerman. Dengan jajahan mereka dari Oslo sehinggalah ke Paris, agak sukar bagi warga Britain untuk optimis melihat peluang mereka mengatasi Jerman pada ketika itu. Namun, itu tidak menghalang Perdana Menteri Britain pada ketika itu, Winston Churchill bersikap optimis dan terus memberikan harapan kepada warga Britain bahawa mereka boleh keluar dari situasi genting ini dan menang dalam perang tersebut. Lihat ucapan beliau kepada Parlimen Britain pada 18 Jun 1940:

“However matters may go in France or with the French Government or with another French Government, we in this island and in the British Empire will never lose our sense of comradeship with the French people. If we are now called upon to endure what they have suffered we shall emulate their courage, and if final victory rewards our toils they shall share the gains, aye. And freedom shall be restored to all. We abate nothing of our just demands—Czechs, Poles, Norwegians, Dutch, Belgians, all who have joined their causes to our own shall be restored.

What General Weygand has called the Battle of France is over … the Battle of Britain is about to begin. Upon this battle depends the survival of Christian civilisation. Upon it depends our own British life, and the long continuity of our institutions and our Empire. The whole fury and might of the enemy must very soon be turned on us. Hitler knows that he will have to break us in this island or lose the war. If we can stand up to him, all Europe may be freed and the life of the world may move forward into broad, sunlit uplands.

But if we fail, then the whole world, including the United States, including all that we have known and cared for, will sink into the abyss of a new dark age made more sinister, and perhaps more protracted, by the lights of perverted science. Let us therefore brace ourselves to our duties, and so bear ourselves, that if the British Empire and its Commonwealth last for a thousand years, men will still say, This was their finest hour.”

Jika anda analisis ucapan ‘The Finest Hour’ ini, anda pasti perasan Churchill sedar bahaya menanti Eropah sekiranya mereka tidak melawan arus serangan Hitler dan Nazi Jerman. Namun pada masa sama, Churchill turut menyuntik elemen harapan dalam ucapannya untuk mendorong rakyat Britain untuk terus melawan kerana jika itu diteruskan mereka, maka ia menjadi kebanggaan generasi terkemudian.

Jangan pandang rendah pada harapan. Harapan dalam apa jua bahasa sekalipun sebenarnya memberi kesan besar kepada kita dan orang lain. Ia sumber tenaga yang membantu kita kekal fokus pada cabaran mendatang dan menggalakkan kita melihat masa depan penuh gemilang. Jika mahukan orang lain berjaya bersama, jangan malu-malu curahkan sinar harapan dalam kehidupannya. Orang yang penuh dengan harapan sebenarnya orang yang punya tawakal tinggi pada-Nya, keazaman yang tinggi, sabar, tenang dan sentiasa bersikap positif. Lihat sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas r.a, “Tidak ada penyakit yang menular sendiri dan tidak ada kesalahan dalam hidup. Optimisme ialah kata-kata baik yang membuatku kagum.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Usahlah kita berputus asa dengan rahmat-Nya. Ini kerana bagi setiap ujian yang dilemparkan, ada saja sinar harapan yang Allah beri kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 46, Surah Al-Anfal, “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” Dalam ayat 22-23, Surah Al-Hadiid, Allah turut berfirman, “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

3. Orang yang anda bantu menang, anda turut menang pada masa sama.

Figure 3: Kita sebenarnya sama-sama menang bila kita bantu orang lain berjaya.

Perasan tak, sekiranya orang yang kita bantu itu menang, kita pun pada masa sama merasa senang dan gembira dengan pencapaiannya. Ini kerana hasil bimbingan dan nasihat yang diberi, kita membantu individu tersebut menjadi lebih baik dan memperbaiki pencapaiannya dalam sesuatu bidang ke arah lebih baik. Tanpa kita sedar, kita sebenarnya menjadi guru mereka. Bagi individu bergelar guru/pensyarah/ustaz dan seumpamanya, mereka tidak pernah mengharapkan balasan bagi pengorbanan mereka. Cukuplah kejayaan anak murid sebagai hadiah kerana mereka percaya kepada prinsip ini, ‘bila kita berjaya bantu seseorang itu menang, hakikatnya kita juga menang.’ Selain berjaya memenangi hati dan menjadi teman baik mereka sepanjang hidupnya, orang yang kita bantu menang ini sebenarnya ladang pahala kita yang berterusan. Ini kerana selagi mana ilmu atau kemahiran yang diajar itu dimanfaatkan pada perkara yang baik dan diajar kepada orang lain, kita juga berterusan mendapat pahala di sisi-Nya sampailah selepas kita kembali menghadap-Nya. Jadi siapa kata rugi bantu orang lain menang? Sudahlah nama kita harum, kita juga jadi jutawan pahala di sisi-Nya!

Memang benar hidup ini satu perlumbaan tetapi biarlah dalam soal berlumba-lumba menambah kebaikan. Ini berdasarkan firman-Nya dalam ayat 148, Surah Al-Baqarah, “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Jika mahu berlumba-lumba sekalipun, dengan siapa sebenarnya kita mahu menang kerana pada akhirnya, destinasi kita tetap sama iaitu syurga Tuhan Yang Maha Tinggi.

Tanyalah diri kita siapa yang kita boleh bantu untuk menang dan apa cara untuk melakukannya. Catatkan kehidupan ini seperti sebuah pengembaraan kerana itulah hakikat kita, pengembara yang berehat sebentar sebelum menuju ke destinasi yang hakiki. Rancang pengembaraan hidup kita bersama orang lain ke arah mencapai kejayaan. Ingatlah, saat kita membantu orang lain menang, kita sebenarnya mempunyai seorang sahabat sepanjang hayat kita.

SUMBER:

1. Al-Manhaj. (2011). Bangkit, Menuntaskan Putus Asa. https://almanhaj.or.id/3068-bangkit-menuntaskan-putus-asa.html

2. Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor. (2016). Berlumba-lumba Melakukan Kebaikan. http://e-masjid.jais.gov.my/uploads/uploads/27.05.2016(rumi)%20BERLUMBA-LUMBA%20MELAKUKAN%20KEBAIKAN.doc.pdf

3. Positive Energy Guide. (2013). Advantages and Disadvantages of Belief. http://positiveenergyguide.com/personal-development/guidance/l-g-series-part-69-advantages-disadvantages-of-belief/
4. Abdul Qadir Jawas, Yazid. (2013). Al-Manhaj. Membantu Kesulitan Sesama Muslim Dan Menuntut Ilmu Jalan Menuju Surga (1). https://almanhaj.or.id/3595-membantu-kesulitan-sesama-muslim-dan-menuntut-ilmu-jalan-menuju-surga-1.html
5. Abdul Qadir Jawas, Yazid. (2013). Al-Manhaj. Larangan Saling Mendengki. https://almanhaj.or.id/3522-larangan-saling-mendengki.html
6. Surah.my. Terjemahan Al-Quran Bahasa Melayu.
7. Idris, Amin. (2017). Harian Metro. Pengorbanan dan Merdeka.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply