Obi-Wan Kenobi pernah menasihatkan Luke Skywalker untuk tidak mempercayai matanya, kerana “matamu boleh menipu kamu.” Kebanyakan kita boleh teringat kehidupan bukan Jedi kita sendiri bahawa kata-kata ini benar.

Fenomena yang dipanggil sebagai ‘persepsi termotivasi’ (motivated perception) telah diterokai dalam penyelidikan psikologi selama beberapa dekad. Dunia yang kita sedari bukanlah hakikat gambarannya yang sebenar. Persepsi kita sentiasa bias, selektif dan mudah dibentuk.

Malah keinginan kita dapat mempengaruhi apa yang kita lihat dengan memberi kesan kepada cara kita memproses maklumat visual. Sebagai contoh, apabila dibentangkan dengan angka samar-samar yang boleh ditafsirkan sama ada huruf B atau nombor 13, peserta dalam satu kajian lebih cenderung melihat angka yang selari dengan keinginannya berbanding dengan yang kurang diingini (dalam kes ini, minum jus oren jika mereka melihat abjad atau minum smoothie berbau jika mereka melihat nombor).

Kajian tersebut dijalankan oleh Emily Balcetis dan David Dunning di Cornell University. Seramai 88 subjek pra-siswazah yang terlibat dalam eksperimen ini untuk mendapatkan kredit ekstra dalam pengajian psikologi dan perkembangan manusia yang mereka ambil.

Subjek diminta untuk untuk meramalkan rasa dua jenis minuman – minuman yang diingini (jus oren) dan minumuan kurang diingini (smoothie). Kemudian, minum salah satu jenis minuman tersebut dan gambarkan rasa minuman itu yang sebenar.

Dalam kajian awal tahun 1954, ketika pelajar dari universiti saingan menyaksikan pertandingan bola sepak yang sama, kontroversi dan ketidaksepakatan terjadi kerana para pelajar melaporkan melihat lebih banyak pelanggaran peraturan (fouls) yang dilakukan oleh pasukan lain.

Mengapa kita mudah melihat apa yang kita mahu lihat? Penyelidikan terkini yang diterbitkan dalam Nature Human Behavior menunjukkan bagaimana motivasi dan keinginan kita dapat menimbulkan dua kecenderungan: kecenderungan persepsi (apabila motivasi kita mempunyai pengaruh ke atas persepsi kita) dan kecenderungan tindak balas (apabila kita melaporkan melihat apa yang kita mahu lihat). Kajian yang diketuai oleh para penyelidik dari Stanford University menerangkan bagaimana bias ini mempengaruhi persepsi kita. Mereka mencadangkan mekanisme neurokomputer yang membimbing penghakiman ini.

Ketika dalam pengimbas MRI, peserta melakukan tugas pengkategorian visual. Mereka dipersembahkan dengan gambar komposit yang menggambarkan campuran wajah (lelaki / wanita) dan adegan (dalaman/luaran) dalam perkadaran yang berbeza-beza. Peserta mempunyai empat saat untuk menentukan sama ada imej mempunyai “lebih banyak muka” (more face) atau “lebih banyak adegan” (more scene).

Peserta akan memperoleh wang sekiranya dapat menentukan setiap kategori dengan betul. Para penyelidik kemudiannya memanipulasi motivasi para peserta untuk melihat satu jenis imej dalam kategori tersebut (sebagai contoh, memotivasikan peserta supaya lebih nampak wajah berbanding adegan) dengan memaklumkan kepada mereka bahawa mereka boleh menang (atau kalah) ganjaran wang tambahan sekiranya imej yang mereka lihat berikutnya ternyata imej yang dimotivasikan berbanding sebaliknya (dalam kes ini imej wajah berbanding adegan).

Hasil kajian menunjukkan bahawa para peserta cenderung menunjukkan bias dalam penilaian persepsi mereka supaya selari dengan motivasi dan hasrat mereka. Mereka cenderung untuk menampakkan imej yang samar-samar itu sesuai dengan ganjaran yang ditawarkan (dalam kes ini, para peserta cenderung melihat imej wajah kerana nampak imej tersebut akan diberikan ganjaran). Keinginan untuk melihat imej tertentu mempengaruhi pertimbangan para peserta.

Bagaimanakah peserta kajian memutuskan sama ada mereka melihat imej wajah atau adegan? Semuanya bermula di mata. Maklumat ini bergerak dari mata ke korteks visual utama (primary visual cortex) di lobus oksipital otak (occipital lobe of the brain).

Satu teori menyatakan bahawa maklumat diproses lebih lanjut ke dua aliran visual: aliran ventral (ventral stream) yang dianggap bertanggungjawab untuk pengkodan (encoding) apa yang kita lihat; dan aliran dorsal (dorsal stream) yang mengenalpasti di mana persekitaran penglihatan tersebut berlaku.

Di dalam aliran ventral, terdapat kawasan-kawasan tertentu yang mempunyai neuron yang lebih selektif untuk melihat wajah serta neuron yang lebih khusus dalam melihat adegan (scence). Pertimbangan persepsi (perceptual judgement) kemudiannya boleh dibuat dengan membandingkan aktiviti neuron di kawasan selektif-wajah atau selektif-adegan. Kawasan yang menunjukkan lebih banyak aktiviti sepatutnya “menang”.

Kajian menunjukkan bahawa neuron di kawasan ini juga boleh dipengaruhi oleh sistem perhatian dan ganjaran. Bias motivasi yang tinggi dikaitkan dengan lebih banyak aktiviti saraf di kawasan visual ventral otak. Aktiviti dalam nucleus accumbent pula – satu kawasan otak yang memainkan peranan dalam sistem ganjaran – dikaitkan dengan bias tindak balas peserta.

Keinginan dan matlamat kita mempunyai pengaruh yang tidak dapat dipertikaikan pada kehidupan kita. Seperti yang ditunjukkan oleh kajian, pengaruh ini bukan sahaja mencemari kognisi, emosi dan kelakuan kita, tetapi juga bagaimana kita melihat dunia secara zahirnya.

Menurut Yuan Chang Leong, kajian terbaru mereka mempunyai dua implikasi penting. Yang pertama mempunyai kaitan dengan tafsiran kita terhadap dunia. “Dalam kebanyakan kes, kita ingin mempunyai pandangan yang objektif tentang realiti supaya kita dapat membuat pertimbangan yang tepat berdasarkan bukti objektif. Sekiranya kita menyedari bahawa keinginan dan motivasi dapat mengotorkan persepsi kita, kita boleh mengambil langkah ke arah membetulkan bias dalam diri kita,” kata Leong.

Implikasi kedua merangkumi cara kita berinteraksi dengan orang lain – khususnya mereka yang tidak berkongsi keinginan dan kepercayaan dengan kita. “Mengetahui bahawa orang lain benar-benar dapat melihat hal-hal yang berbeza dari kita, dan tiada antara kita dapat mencapai realiti objektif, kita mampu merasakan bagaimana mereka bertindak dan rasa.”

RUJUKAN:

  1. Leong, Y.C., Hughes, B.L., Wang, Y. & Zaki, J. (2019). Neurocomputational mechanisms underlying motivated seeing. Nature Human Behaviour https://doi.org/10.1038/s41562-019-0637-z 
  2. Kanwisher, N., McDermott, J., & Chun, M. M. (1997). The fusiform face area: a module in human extrastriate cortex specialized for face perception. Journal of Neuroscience, 17(11), 4302-4311.
  3. Epstein, R., & Kanwisher, N. (1998). A cortical representation of the local visual environment. Nature, 392(6676), 598.
  4. Balcetis, E., & Dunning, D. (2006). See what you want to see: motivational influences on visual perception. Journal of Personality and Social Psychology, 91(4), 612.
  5. Hastorf, A. H., & Cantril, H. (1954). They saw a game; a case study. The Journal of Abnormal and Social Psychology, 49(1), 129.
  6. https://www.psychologytoday.com/us/blog/between-cultures/201907/why-we-see-what-we-want-see

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Comments are closed.