Era Penjelajahan ialah era di mana penjelajah-penjelajah Eropah mengembara dengan tujuan mencari kekayaan dan wilayah baru sekitar abad ke-15 dan ke-16. Dan kebiasaannya, pertembungan mereka dengan kelompok pribumi selalunya berakhir dengan tragedi seperti yang dilakukan oleh Conquistador. Tetapi rupa-rupanya, perihal sebegini sudah dilakukan jauh lebih lama oleh penjelajah-penjelajah yang dihantar Alexander the Great ke India.

Orang yang diamanahkan Alexander untuk tugas ini ialah Laksamana Nearchus. Nearchus bertanggungjawab mengkucar-kacirkan armada laut Parsi dan membantu kemaraan baginda semasa kempen penaklukan Parsinya. Setelah Parsi berjaya ditawan, beliau diarah Alexander untuk berlayar ke Sungai Indus dan merekodkan apa yang dilihatnya.

Rajah 1: Peta pelayaran Nearchus selepas Parsi jatuh ke tangan Alexander.

Kebanyakan pemerhatiannya tentang Tamadun Indus melihat ia mampu menyaingi Tamadun Yunani dalam banyak segi. Pasukan pemanahnya berupaya menakutkan pihak musuh dengan setiap bidikan mereka sentiasa mengenai sasaran. Sementara wanitanya digilai askar-askar Yunani kerana cantik dengan tamadun tersebut dianggap bertoleransi dan mempunyai nilai sama dengan mereka.

Tetapi ada satu anekdot tentang pengembaraan Nearchus yang mirip dengan perangai Conquistador. Semasa menyusuri Sungai Indus, angkatannya melihat puak-puak primitif yang masih menggunakan teknologi Zaman Batu. Puak-puak ini dipanggil pemakan ikan oleh beliau kerana mereka makan ikan mentah-mentah dan menjala ikan menggunakan serat daun pokok palma.

Rajah 2: Kawasan delta Sungai Indus

Semasa dalam perjalanan pulang, armada Yunani ini bertembung dengan sekumpulan ahli puak ini di kawasan lagun berhampiran muara sungai. Bagi orang-orang ini, mereka tidak pernah melihat kapal bersaiz sedemikian menyusuri sungai. Tidak pasti sama ada mereka ini kawan atau lawan, orang-orang primitif memilih membentuk barisan pertahanan dengan lembing kayu dihalakan ke hadapan.

Mengikut catatan Nearchus, kesemua mereka berjumlah 600 orang tanpa dilengkapi perisai. Melihat mereka sebagai ancaman, seluruh ketumbukan orang primitif itu mati dibunuh oleh tentera-tentera Yunani dengan cara sebahagian daripadanya dipanah daripada kapal. Sementara sebahagian lagi diserang tentera yang terjun ke dalam air dengan tujuan menghapuskan kelebihan lembing mereka.

Nearchus menggambarkan mereka sebagai pengecut. Ini kerana semasa diserang pihak Yunani, ramai memilih melarikan diri daripada berlawan dengan mereka. Ini mengukuhkan lagi tanggapannya bahawa orang tidak bertamadun sebegini patut ditundukkan.

Nearchus dalam filem moden.

Dalam satu catatan yang lain, Nearchus dan orang-orangnya berdepan dengan situasi kelaparan. Apabila mereka tiba di sebuah kawasan petempatan yang dikelilingi tembok kayu, mereka menyangka penghuni kota merupakan orang gasar. Lalu satu rancangan diatur di mana Nearchus pura-pura mendapatkan bantuan dari kota berkenaan. Apabila dapat masuk, beliau akan memberi isyarat kepada tentera-tentera Yunani untuk menyerang.

Tetapi apabila Nearchus tiba di petempatan berkenaan, beliau diberi sambutan meriah oleh penduduk. Bagi mereka, kehadiran pengembara asing di petempatan mereka merupakan satu hari istimewa dan patut diraikan. Nearchus turut dijamu dengan pelbagai jenis makanan.

Tatkala penghuni kota bergembira, beliau memberi isyarat kepada tentera-tenteranya untuk menyerang. Bukan sedikit penghuni kota yang dibunuh dan apabila mereka memeriksa simpanan makanan penduduk, mereka hanya menyimpan ikan kering di mana sebahagian dikisar untuk dijadikan tepung. Manakala makanan yang dijamah Nearchus itu hanya dikeluarkan untuk sambutan keraian istimewa.

Tanpa menunjukkan belas kasihan, semua bekalan makanan penduduk diambil dan dibawa pulang ke kapal. Sementara penduduk yang terselamat dibiarkan hidup melarat dan dalam keadaan lapar. Mungkinkah kerana ‘dosa’ Nearchus ini, ia menjadi pencetus petaka yang membelenggu baki ekspedisi Alexander semasa berada di India?

Yang pasti, perilaku beliau menunjukkan apa yang berlaku apabila tamadun maju bertembung dengan orang primitif. Dan kitaran ini dapat dilihat ribuan tahun kemudian menerusi perihal Conquistador terhadap orang Aztec dan Inca. Teknologi sememangnya memajukan manusia tetapi di sebalik itu, masih tersirat sisi gelap manusia yang menilai nyawa orang lain dan tidak pernah meletakkan nilai sama padanya.

RUJUKAN:

Oliver, Mark. (2021). Remorseless Chronicles of Slaughter: Fatal First Contact Between Ancient Greece and the Tribes of India. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.