Siapa di kalangan pembaca yang pernah bermain Playstation? Tidak kiralah jika anda hanya meminjam, berkongsi dengan rakan, pernah ataupun sedang memiliki,saya pasti kebanyakan daripada anda  pernah bermain Playstation semasa waktu lapang. Data yang dikumpul melalui maklumbalas atas talian oleh laman sesawang iPrice menunjukkan yang Playstation adalah konsol permainan video yang paling popular Malaysia dengan 40% peratusan populariti berbanding konsol yang lain. Tapi tahukah anda tentang kisah epik pelancaran Playstation?

Pemain Baru

Sebelum Playstation dilancarkan pada tahun 1995, Sony lansung tiada pengalaman dalam industri permainan video. Sony tidak pernah menghasilkan, menerbit mahupun terlibat dalam mana-mana permainan video sebelum Playstation dilancarkan. Industri permainan video ketika itu dikuasai oleh pemain-pemain besar seperti Nintendo, Sega dan juga Atari dari Amerika. Sony ketika itu popular dengan produk “Walkman” mereka yang walaupun membawa transformasi kepada industri muzik, tetapi jauh panggang dari api berbanding dengan industri permainan video. Bagaimana kiranya Sony sebagai pemain baru ingin melawan gergasi syarikat permainan video?

Pesaing Utama

Sega merupakan pesaing utama ketika Sony melancarkan Playstation mereka. Sega (singkatan untuk “Service Games”) adalah sebuah syarikat multinasional dari Jepun yang terkenal dengan permainan-permainan video seperti Sonic:The Hedgehog, Virtua Fighter dan juga Total War. Jika anda antara pengunjung tetap arked permainan video di pusat membeli belah, anda boleh melihat legasi dan karya Sega mendominasi ruang legar arked.

Namun dahulunya, pada awal 1990-an, Sega lebih dikenali sebagai gergasi industri permainan video di rumah. Sega pada tahun 1988, melancarkan konsol mereka yang paling popular iaitu Sega Genesis (atau Sega Mega Drive bagi mereka diluar Amerika). Diiktiraf oleh pengkritik sebagai antara konsol yang terbaik dalam sejarah, Sega Genesis menjadi pilihan ramai peminat sehingga terjual sebanyak 30 juta unit di seluruh dunia.

Dengan koleksi permainan video yang besar dan pelbagai (termasuklah FIFA, Street Fighter), Sega Genesis menjadi antara perintis dalam perkembangan industri permainan video. Oleh itu, apabila sahaja  diumumkan yang Sega akan menerbitkan konsol “sekuel” mereka (Sega Saturn) peminat permainan video melonjak kegembiraan.

Langkah Berani Sony

Sony di dalam dilema. Bagaimana mereka ingin menandingi legasi dan populariti yang dimiliki oleh Sega Genesis? Lebih-lebih lagi apabila Sega mengumumkan yang mereka akan meneruskan legasi Sega Genesis dengan iterasi terbaru mereka (Sega Saturn), Sony berada di dalam keadaan tersepit. Sega Saturn bukan sahaja berdiri di atas populariti Sega Genesis, tetapi juga memiliki sistem “parallel processing” yang boleh disamakan dengan sistem “dual core” yang diperkenalkan oleh Intel pada tahun 2006 (10 tahun lebih canggih dari zamannya!)

Dengan kapasiti pemprosessor yang hebat dan populariti dan legasi yang mantap, tentulah Sega dengan mudahnya boleh memenangi pertarungan ini. Namun begitu, Sony tidak berputus asa dan mengambil langkah yang bijak dengan menghampiri dan berbincang dengan pembina dan penerbit permainan video yang popular seantero dunia.

Sony sedar yang mesin yang hebat sahaja tidak cukup jika tiada koleksi permainan yang menarik untuk dimainkan. Ken Kutaragi dari Sony menghabiskan tahun 1994 berbincang dengan setiap pembina permainan video termasuklah Square (yang popular dengan siri Final Fantasy).

Ken membawa demo-demo yang menarik perhatian (termasuk demo model dinosaur dalam 3D yang anda boleh tonton melalui pautan yang saya sertakan di bahagian rujukan) pembina/pengaturcara, dan menawarkan pelbagai tawaran berbaloi dan juga kit yang hebat untuk pembinaan perisian bagi memudahkan pembina/pengaturacara permainan video membina dan menerbitkan permainan video untuk Playstation.

Kesilapan Besar Sega

Walaupun Sega mempunyai mesin yang lebih canggih, dan juga populariti yang lebih meluas di Amerika Syarikat, Sega tetap tidak berdiam diri. Mereka sedar yang jika Playstation gagal, Sony masih lagi memiliki dominasi melalui produk-produk mereka yang lain seperti Walkman. Tetapi, jika Sega gagal, ia bererti pengakhiran dominasi mereka sebagai gergasi industri permainan video.

Pada awal tahun 1995, kedua-dua Sega Saturn dan juga Playstation telahpun dilancarkan di Jepun. Ramai peminat Sega di US sanggup membayar sehingga $ 800 untuk sebuah unit Sega Saturn. Sega melihat ia sebagai satu peluang yang baik untuk membawa Sega Saturn awal ke US walaupun pada perancangan asalnya Sega Saturn akan dilancarkan pada bulan September 1995. Itu adalah kesilapan pertama Sega. Sega Saturn, walaupun sebuah mesin yang hebat, tidak menawarkan kemudahan kepada pengaturcara perisian untuk mengkod dan membina permainan video yang dikehendaki.

Lagipun sistem “parallel processing” yang dimiliki Sega Saturn turut menyukarkan usaha para pengaturcara perisian. Ini menyebabkan Sega Saturn yang dilancarkan awal itu tidak disertai dengan koleksi permainan video yang menarik. Kesilapan kedua Sega, adalah meletakkan harga yang terlalu mahal. $ 399 adalah harga yang ditetapkan oleh Sega ketika pelancarannya di Electronic Entertainment Expo (E3) tahun 1995, menjadikan ianya konsol termahal dilancarkan ketika itu. Sega yakin jika ada orang yang sanggup membayar $800, sudah tentu ramai yang sanggup membayar separuh dari harga itu, untuk memiliki Sega Saturn. Tapi itu kesilapan besar Sega.

Epiknya Pelancaran Playstation

Pada ekspo yang sama, Sony juga dijangka melancarkan Playstation mereka. Tetapi Sony tidak tergugat dengan langkah Sega, yang membawa tarikh pelancaran Sega Saturn lebih awal dari yang dirancangkan. Sony tidak berganjak dari tarikh pelancaran mereka pada bulan September. Sebaliknya Sony dengan tenang mengumumkan tentang Playstation kepada hadirin yang hadir ke ekspo E3 1995.

Ketua Sony di Amerika, Olaf Olafsson dengan bertenaga mengumumkan tentang kelebihan mesin Playstation sambil mempamerkan koleksi permainan-permainan video yang menanti pembeli Playstation. Semua hadirin debar menanti harga Playstation kerana mereka sudah pun tahu tentang harga yang ditawarkan untuk seunit Sega Saturn, tapi Olaf Olaffson hanya berdiam diri dan menamatkan ucapan tanpa mengumumkan sebarang harga. Seterusnya Olaf Olaffson menjemput Ketua Jabatan Pembangunan Sony, Steve Race untuk satu pengumuman.

Steve Race naik ke pentas dan hanya menyebut 1 patah perkataan sahaja.”$299!” jerit Steve Race kepada khayalak ramai. Semua hadirin bersorak di atas pengumuman tersebut. Ini bermakna,Playstation bukan sahaja datang dengan koleksi permainan video yang menarik, malah mampu dimiliki dengan harga $100 dollar lebih murah berbanding Sega Saturn. Anda boleh menonton video pelancaran tersebut di YouTube (alamat pautan saya sertakan bersama rujukan).

Kesimpulan

Banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari kisah di atas. Sifat terburu-buru Sega yang ingin meneruskan dominasi mereka dan membunuh sebarang persaingan akhirnya memakan diri. Sega Saturn kurang mendapat sambutan sedangkan Playstation terjual sehingga 100 juta unit seluruh dunia. Sekarang Sega hanya tinggal bayang sahaja, dan Sony terus mendominasi industri permainan video sehingga ke iterasi mereka yang ke-4, Playstation 4.

Tom Kalinski, bekas Pengerusi Sega Amerika, berpendapat yang jika mereka lebih bersabar dan tetap pendirian untuk melancarkan Sega Saturn pada bulan September, pastinya perkara yang sama tidak akan terjadi. Namun apakan daya, nasi sudahpun menjadi bubur. Kisah Sega menjadi pengajaran kepada semua orang di dalam industri untuk lebih berhati-hati dan sabar dalam melakukan sebarang tindakan. Bagaimana? Epikkan pelancaran Playstation?

Rujukan

  1. Stuart, Keith (2015). Sega Saturn: How one decision destroyed PlayStation’s greatest rival. The Guardian. https://www.theguardian.com/technology/2015/may/14/sega-saturn-how-one-decision-destroyed-playstations-greatest-rival
  2. Sony PlayStation: The Price Heard Around the World – “299” – (E3 1995 Keynote), YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=ExaAYIKsDBI
  3. PSone Tech Demo T-rex,YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=rwNt_9GvpFI&feature=youtu.be
  4. Parish, Jeremy (2014). Sega Genesis 25th Anniversary: The Rise and Fall of an All-Time Great,US Gamer. http://www.usgamer.net/articles/the-true-16-bit-experience-segas-genesis-turns-25
  1. Mikez Ancheta (2016) Console Popularity in South East Asia (Infographic). Gamepad Project. https://www.gamepadproject.com/console-popularity-in-south-east-asia-infographic/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.