Satu kehidupan. 

Semuanya bermula di persisiran pantai. Di kuala, sungai bertemu lautan, arus bertemu ombak, haruan bertemu sembilang.

Di perkampungan lama di Kelang, tinggal seorang lelaki budiman dan isterinya. Kais pagi. Makan pagi. Kais petang. Makan petang.  Suami isteri mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka berdua terlampau sayangkan anak tunggal mereka dan dipanggil orang kampung Pak Si Tanggang dan Mak Si Tanggang.

Setiap hari Pak Si Tanggang ke hutan, seawal embun dinihari pagi masih terlihat, bagai permata di atas permaidani hijau. Apabila keringat mengalir di dahi, dia berhenti bekerja untuk menjamah bekalan oleh isterinya. 

Walaupun tidak hidup mewah, Si Tanggang hidup gembira, membantu ayahnya setiap hari, mengumpul buah-buahan dan ulam, memburu dengan sumpit dan menangkap ikan di sungai. 

Pada satu hari, mereka menyusur sungai  lebih jauh daripada biasa. Sepenanak nasi jauhnya. Lebih sikit sepelaung dari tempat mereka biasa bekerja. Tanggang melihat sebuah kapal besar berlabuh di kuala. “Apakah itu, Ayah?” Tanggang bertanya. “Ia adalah sampan besar, Tanggang, kapal yang membawa segala macam orang dan segala macam barang.”

“Ayah pernah  menaiki kapal sebegini?” 

“Tak pernah. Tapi ayah pernah berkayuh kolek dekat kepada kapal yang berlabuh di muara sungai. Ayah bawakan buah-buahan, damar, kayu kemenyan dan bulu untuk bertukar barang untuk garam, kain dan besi alat. Itulah hasil mendapat parang dan kapak yang kita gunakan ini. Lepas itu kapal itupun berlayar pergi ke pelabuhan seterusnya, berlayar seluruh dunia membeli dan menjual barang.” Pak Si Tanggang berasa rasa bangga mampu mengajar anaknya tentang kehidupan di luar dunia mereka. 

Untuk Tanggang pula, bermulalah mimpinya untuk belayar menaiki kapal, belayar di perairan biru dan menjadi kaya-raya berdagang dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan.

Bila ada peluang, Tanggang akan ke muara sungai, melihat kapal besar yang ada. Satu hari, seorang lelaki yang berbadan sasa kelihatan seperti kelasi mengajak Tanggang bekerja di kapal. Tanggang begitu teruja! Dia mengikut kata, bekerja keras sepanjang masa. Kebetulan, nakhoda kapal  terpandang bagaimana Tanggang bekerja dan terus mempelawanya, “Mahukah kamu bekerja di kapal ini dan mengikut kami belayar, wahai anak muda?”

Pucuk dicita, ulam mendatang
Bagai bulan jatuh ke riba
Membujur lalu, melintang patah


Tanggang berlari sepanjang jalan ke rumahnya. “Ayah! Mak!”

“Kenapa, Nak?” kata Mak Si Tanggang.

Tanggang pun menceritakan apa yang terjadi. Kegembbiraan di hatinya terlihat diraut wajahnya. 

“Kau nak tinggalkan Mak, Tanggang?” terduduk ibunya di tepi tangga mendengar segala kata Tanggang.  

Pak Si Tanggang mendengar kesedihan dalam kata-kata Mak Si Tanggang.  Tapi ia faham perasaan anak lelaki, sedang meningkat umur. Semangat sedang berkobar. Angan-angan hendak digapai. Jiwa sedang bergolak. “Kau ingin merantau, Tanggang?” katanya. 

“Tanggang akan kembali, Mak. Ayah. Tanggang janji. Tetapi, Tanggang perlu melihat dunia! “

Walaupun mereka sangat keberatan untuk membiarkan Tanggang pergi, akkhirnya Tanggang  pun bersama di atas kapal. Ibunya membekalkan tapai ubi dan nasi dibungkus dalam buluh. Hatinya sedih bercampur luluh.  Risau berbaur takut kehilangan satu-satunya anak kesayangannya itu. 

Di atas kapal, Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan. Pedagang, kelasi lain dan Nakhoda, semuanya amat sukakan Tangang kerana dia rajin, ceria dan juga semakin hari semakin segak dan kacak. 

Masa pun berlalu. Tanggang belayar ke  seluruh nusantara. Ke Campa. Ke Inderapura. Ke Langkasuka. Terlampau pakar Si Tanggang dalam ilmu pelayaran dan perdagangan, tiada tolok bandingan. Justeru, apabila nakhoda jatuh sakit, Si Tanggang dilantik nakhoda muda baru dan dipanggil Nakhoda Tanggang. 

Nakhoda Tanggang adalah seorang pedagang yang sangat berwibawa dan disegani.  Dari permulaan yang serba tidak tahu, dia menjadi kaya raya dan terkenal, dihormati oleh semua dan Sultan. Akhirnya Si Tanggang mengahwini puteri raja. 

Pada satu ketika, Nakhoda Tanggang belayar bersama isteri tercinta ingin mengambil  angin melihat negeri Kedah Darul Taha. Sangatlah indah permandangan melihat Gununng Jerai sayup di awan. 

Nakhoda Tanggang pun menyanyi

Tuai padi antara masak
Besok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan ridu-rinduan


Sangat bahagialah suami isteri di atas kapal penuh dengan dagangan dan emas peraknya. 

Tiba-tiba angin menderu, taufan pun tiba di Selat Melaka yang selalunya aman. Kapal Nakhoda terumbang ambing dan kemudian bergerak laju bagai kumbang putus tali. Semua di atas kapal pun hairan kenapa tak semena-mena ribut taufan di tengahari. 

Akhirnya semuanya terhenti. Secara kebetulan, kapal Tanggang pun berlabuh di muara sungai berdekatan sebuah kampung. Kampung Kelang. Hebohlah sekampung, bahawa Nakhoda Tanggang telah pulang, penduduk kampung semua bercerita bagai murai riuh sekampung.

Akhirnya berita kepulangan Tanggang ini sampai ke telinga Mak dan Pak Si Tanggang. 

“Anak kita telah pulang! Kan dia dah berjanji,” teriak Mak Si Tanggang dengan begitu gembira sekali.

Pak Si Tanggang menggelengkan kepalanya. “Tanggang kini saudagar besar. Mahu ke dia berjumpa dengan kita ni…” katanya perlahan-lahan. Namun Mak Si Tanggang tidak dapat ditahan lagi. “Aku nak pergi jumpa Si Tanggang. Aku bawakan nasi daging salai. Marilah kita pergi, Bang…”

Si suami melihat dirinya, kemudian isterinya. Rambut putih. Bongkok tiga. Daif dan hina. Gigi tak ada.

“Adakah dia mahu berjumpa mak ayah nya?” bisik hati kecil Pak Si Tanggang. Mungkin Tanggang telah berubah. Kesangsiannya bertambah mengenangkan Si Tanggang tidak pernah menghantar khabar berita. Tetapi Mak Si Tanggang sudah pun memakai kain kelubung, turun ke laman, berjalan seorang diri arah ke muara. Pak Si Tanggang mengejar dari belakang.

Mereka ke pantai, melangkah ke dalam kolek usang dan mendayung ke kapal. Tiba di kapal, Pak Si Tanggang memanggil anak-anak kapal meminta dibawa ke atas kapal tersebut. “Siapakah engkau?” anak kapal bertanya. “Kami ni mak ayah Si Tanggang.  Hamba dengar dia di atas kapal.” Anak-anak kapal ketawa terbahak-bahak seraya mengejek, “Kapal ini kepunyaan Nakhoda Tanggang yang terkenal kaya raya dan puteri diraja, isterinya. Masakan engkau pengemis ni mak ayah tuan kami!”

Nakhoda Tanggang kebetulan berada berdekatan. Dia pun bertanya apa yang terjadi, seperti ada kekecohan. “Tuan Nakhoda, mereka ini mendakwa ibu bapa Nakhoda,” jawab ketua kelasi, Awang. “Dah puas kami suruh balik, jangan mengemis  di sini. Mereka masih berdegil.”

Berderau darah Si Tanggang. Dalam segala kekecohan dan ribut, dia belum pasti mereka sampai berlabuh di mana. Dia pun memalingkan muka ke arah orang tua itu dan terus mengenali ibu dan ayahnya. Di saat itu, terbayang kembali zaman kanak-kanaknya. Bagaimana ibunya begitu memanjakannya. Dan ayahnya saban hari membanting tulang di hutan. Teringat betapa seronok. Dia menjala ikan. Mengumpul rotan. Terasa satu kerinduan. Kebingungan hambar. 

Tiba-tiba terdengar suara isterinya yang cantik, puteri raja itu bertanya,  “Kekanda, benarkah ini ibu dan ayah Kanda?”

Tersentak Tanggang, bagai bangun dari mimpi ngeri. Dia memandang keadaan ibubapanya dan terlihat betapa miskinnya mereka. Tanggang terus malu untuk  mengakui hakikat sebenar. Usahkan mengaku, menghina pula. “Oh, tidak, Dinda! Sudah tentu tidak. Ibu bapa Kanda telah tiada. Kanda kan yatim piatu,” dia berbohong. “Dinda jangan percaya orang kampung di sini, memang suka cari peluang untuk meminta-minta itu ini. Pengawal, halau mereka dari sini.”

Mak Si Tanggang terpinga-pinga. Pak Si Tanggang mula merasa marah, mengajak Mak Si Tanggang pergi dari situ. Tetapi, Mak Si Tanggang tidak mahu berganjak.

“Nak, Mak bawak nasi daging salai ni…” 

Nakhoda Tanggang hilang sabar.”Hei, orang tua…apa yang engkau meracau ni? Aku saudagar kaya dan terkenal. Dah! Ngah kau dari sini,” herdiknya.

Pak Si Tanggang terus mengayuh sampan koleknya. Mak Si Tanggang menangis hiba, teresak-esak. Apabila mereka sampai ke pinggir pantai, Mak Si Tanggang melutut di atas pasir dan mengangkat tangan ke langit dan meminta Yang Maha Esa menunjukkan kebenaran. “Yang Maha Esa! Jika benar aku susukan  Tanggang yang derhaka itu, tunjukkan kepada semua kebenaran ini!”

Sekali gus langit menjadi gelap gulita. Angin sepoi sepoi bahasa bertukar menjadi ribut. Guruh berdentum dentam. Kilat sabong menyabong. Ombak laut melambung kapal Tanggang ke sana dan ke sini.

Tahulah Si Tanggang, ibunya telah menyumpahnya. “Makkk. Ampunkan Tanggang, Mak!”

Semuanya sudah terlambat.  Kapal besar itu terumbang ambing dibawa ombak ke pantai, akhirnya pecah di humban ombak tinggi memukul pantai. Apabila ribut reda, semua kapal anak kapal serta Si Tanggang dan isterinya tidak kelihatan, hanya yang tinggal ada pulau batu.

Maka berakhirlah kisah Si Tanggang yang derhaka – menghancurkan perasaan ibunya sendiri dan melukai hati ayahnya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penulis kelahiran Australia ini dibesarkan di Kg Chenor, Temerloh, Pahang. ninotaziz binti Abdul Aziz bin Tok Muda Salehuddin dari Chenor bin Tok Awang Pekan bin Tok Nit bin Tok Tunggal Bukit Segumpal bin Tok Ghaffur bin Tok Aji bin Tok Sabur Kampung Duri ini telah menghasilkan lapan buah buku bertemakan Hikayat Melayu dalam Bahasa Inggeris dan bakal menghasilkan antologi pertama bahasa ibunda Bahasa Melayu tahun 2020.

Comments are closed.