Dunia sains penuh dengan keajaiban, memperlihatkan fenomena-fenomena yang unik dan sentiasa menjadi sebahagian dari alam. Sejak dahulu, para cendikiawan sentiasa mencari jawapan di sebalik fenomena-fenomena di depan matanya, bermula dari hujah falsafah sehinggalah kajian-kajian yang mampu membuktikan dan menunjukkan kehadiran fenomena tersebut, sebagai cara untuk mendalami bidang bernama sains ini.
Namun dunia sains juga tidak lari akan sisi gelapnya. Kajian-kajian yang dahulu bertujuan untuk pembuktian menjadi suatu metode untuk mencabar diri melawan sifat alam sendiri. Dalam erti kata lain, mempergunakan kajian sains sebagai langkah memuaskan inkuiri tanpa batasan. Contohnya adalah pada sekitar 1930-an, terdapat kontroversi berkenaan kajian menghidupkan semula haiwan bernama anjing oleh saintis gila bernama Dr. Cornish.
Robert E. Cornish (dipanggil Robert Cornish) adalah manusia genius yang lahir di San Francisco, AS. Pada usia 15 tahun beliau telah menamatkan pengajian sekolahnya dan meneruskan pengajian ijazah di University of California. Masuk usia 18 tahun Cornish menjadi graduan dan juga mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang perubatan pada usia 22 tahun.
Beliau kemudian bekerja di Jabatan Kajian Biologi di universiti yang sama. Pada awalnya beliau seperti para saintis yang lain, bereksperimentasi untuk menghasilkan sesuatu produk yang memanfaatkan rakyat pada masa hadapan, seperti kajian pertama beliau tentang mereka cipta lensa yang membolehkan perenang membaca surat khabar di dalam air.
Namun begitu, beliau lebih berminat tentang teori kebangkitan semula dari kematian berbanding lensa yang beliau sedang kaji. Cornish percaya bahawa teori ini boleh dibuktikan dan menjadi kenyataan melalui sains perubatan beliau.
Jadi, bagaimana cara beliau untuk bangkitkan semula hidupan dari kematian?
Tahun 1933, Cornish membentuk sebuah eksperimen baru berkenaan menghidupkan semula subjek. Subjek ataupun ‘pesakit’ Cornish perlu dibaringkan atas sebuah jongkang-jangkit rekaan sendiri yang besar, disuntik dengan cecair adrenaline dan heparin (untuk mengurangkan darah), kemudian diayun secara seimbang dan kuat sedikit untuk kembalikan semula aktiviti saluran darah pesakit.
Banyak subjek beliau cuba jayakan namun gagal kerana banyak kelompongan kajian yang beliau harus selesaikan. Pada bulan Mei 1934, beliau beralih kepada subjek baru: anjing. Beliau memulakan kajian dengan mempersembahkan lima ekor anjing bernama ‘five fox terriers’ yang kesemua anjing bernama Lazarus.
Pertama, Cornish akan lemaskan subjek anjing tersebut dengan gas nitrogen. Selepas degupan subjek itu terhenti selama kurang lima minit, beliau memulakan kajian hidupkan semula Lazarus. Beliau memasukkan cecair adrenaline, darah, dan cecair anti-gumpalan, serta mengayun dengan kuat dan seimbang mengunakan jongkang-jangkit beliau. Gas oksigen dimasukkan dalam mulut Lazarus menggunakan tiub.
Keputusan kajian terhadap kelima-lima ekor anjing Lazarus adalah Lazarus pertama hingga ketiga tidak dapat dihidupkan semula tetapi Lazarus keempat (Lazarus IV) dan Lazarus kelima (Lazarus V) berjaya dihidupkan semula namun hayat Lazarus V sekejap saja.
Walaupun Lazarus IV hanya subjek yang berjaya dihidupkan, namun ia mengalami buta dan mempunyai kecederaan otak.
Namun ini tidak menghalang keputusan kajian kerana Cornish beranggapan beliau telah berjaya menghidupkan semula subjek buat pertama kalinya. Wartawan surat khabar New York Times menjadi saksi kejayaan kajian Cornish namun tidak mencatat kegagalan Lazarus V demi menjaga kejayaan tersebut.
Cornish kemudian mempopularkan diri dengan menjadikan dirinya sebagai watak utama dalam filem dokumentari bernama Life Returns, filem berkenaan kajian kebangkitan semula anjing milik anak lelakinya. Cornish berharap kajiannya bakal mendapat anugerah Nobel Prize namun ia tidak seperti apa beliau harapkan.
Kajian beliau mendapat tentangan kuat oleh para pencinta anjing kerana membangkitkan semula anjing bukan perbuatan mulia, malah ia perbuatan kejam. Sehingga tentangan ini mendapat perhatian pihak Jabatan Kajian Biologi, mereka terpaksa memecat Cornish demi menjaga nama baik jabatan dan universiti. Cornish selepas dipecat masih meneruskan kajiannya di tempat tidak dikenali ramai (berkemungkinan di rumahnya).
Tidak cukup sekadar menghidupkan semula anjing, Cornish mencabar dirinya untuk menghidupkan subjek lebih besar, iaitu manusia. Pertama sekali, beliau mencari subjek manusia yang sesuai: banduan yang mempunyai hukuman menyedut gas beracun. Cornish kemudian menemui Thomas McMonigle, banduan yang beliau cari.
Banduan yang membunuh gadis berusia 14 tahun ini sukarela menjadi manusia pertama dibangkitkan semula oleh Cornish. Cornish telah sediakan alatan uji kaji yang telah dinaiktaraf seperti menggunakan tong gas oksigen dan pengepam darah buatan sendiri. Namun, pengesahan Thomas menjadi subjek manusia pertama dibantah oleh kerajaan kerana ia melanggar undang-undang penghakiman negeri California berkenaan pengulangan semula hukuman selepas kebangkitan semula banduan lepas dihukum mati.
Kerana bantahan tersebut, Cornish terpaksa menolak permohonan Thomas sebagai subjek manusia. Thomas yang tidak berpuas hati kemudian menjalani hukuman tersebut pada 20 Februari 1948. Ini menjadi kegagalan besar Cornish dalam meneruskan kajian menghidupkan semula manusia. Pada akhir 1950-an, Cornish tidak meneruskan kajiannya dan menghasilkan produk ubat gigi bernama “Dr Cornish’s Tooth Powder with Vitamin D and Fluoride”.
Inilah kisah saintis yang satu-satunya melaksanakan kajian menghidupkan semula hidupan yang melanggar hukum alam dan kepercayaan beragama. Kalau Cornish meneruskan kajiannya ini, bagaimana masa depan manusia agaknya?
RUJUKAN:
Alexander, G. (4 July 2018). Dr. Robert E. Cornish’s Controversial Experiments to Revive a Dog’s Decapitated Head. Ststw Media. Retrieved from 30 October 2020. https://www.ststworld.com/robert-cornish/
Swain, Frank (2013-06-11). How to Make a Zombie: The Real Life (And Death) Science of Reanimation and Mind Control.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih