Gambar ini adalah satu tempat ikonik di Miryang, Wilayah Gyeongsangnam-do, yang dinamakan Kuil Aranggak. Tapi, tahukah anda, yang kuil ini sebenarnya dibina untuk memperingati seorang gadis yang menjadi hantu?
Legenda Arang ini sudah menjadi kisah rakyat dalam kalangan masyarakat Korea, dan ramai juga yang tak tahu bahawa kisah ini sebenarnya memang benar-benar berlaku. Ia adalah kisah cinta bertepuk sebelah tangan, pengkhianatan, ketamakan, pembunuhan dan, semestinya, kisah roh yang berkeliaran.
Pada zaman pemerintahan Raja Myeongjong (1545–1567), ketua daerah Miryang, yang kini terletak di Wilayah Gyeongsang Selatan, ialah seorang duda bernama Yun. Beliau tinggal bersama anak perempuannya yang cantik berusia 16 tahun. Namanya ialah Dongok, tetapi sering dipanggil Arang oleh ayahnya.
Arang boleh dikatakan anak yang hampir sempurna, dia cantik, berperwatakan lembut, pintar dan bermoral tinggi. Semua orang menyayanginya – termasuk pengasuhnya yang telah menjaganya sejak kematian ibunya.
Namun, tidak semua yang memandangnya itu ada niat yang baik. Seorang pegawai muda atau kerani bernama Baek-ga telah jatuh hati pada Arang dan bertekad untuk memilikinya. Dia telah memujuk pengasuh Arang dengan memberi sogokan wang yang banyak agar membantu merancang pertemuan sulit antara dirinya dan gadis itu.
Akibat termakan sogokan, si pengasuh bersetuju dan membawa Arang keluar ke sebuah balai tinjau pada waktu malam. Balai tinjau itu dikelilingi oleh hutan buluh yang tebal, tetapi Arang tidak berasa bimbang kerana dia ditemani oleh pengasuh yang dipercayainya.
Tiba-tiba, Baek-ga muncul dalam gelap malam di hadapan mereka. Baek-ga meluahkan cintanya pada Arang, namun ditolak dengan sopan oleh gadis itu. Dan ketika inilah, kegilaan mula menguasai lelaki itu. Baek-ga yang sudah hilang kewarasan menghunus pisau dan mengugut Arang dengan keganasan jika dia enggan menuruti kehendaknya. Dia cuba mengoyakkan pakaian Arang untuk merampas maruahnya, namun Arang melawan dengan sekuat hati.
Arang mencari pengasuhnya untuk meminta pertolongan, tetapi pembantu yang dipercayainya itu telah pun menghilang – diam-diam meninggalkan tempat itu supaya tidak menjadi saksi kepada kejahatan yang bakal menimpa gadis itu.
Akibat berang dengan tentangan Arang, Baek-ga bertindak ganas dengan mengelar tubuhnya dengan pisau, menghiris daging dari badannya sebelum akhirnya mencekiknya hingga mati, lalu menyembelih lehernya. Mayat Arang disembunyikan jauh di dalam hutan buluh sebelum Baek-ga kembali ke pejabatnya dan segera membersihkan semua bukti jenayahnya.
Ketua daerah itu, ayah Arang, segera menyedari bahawa anak perempuannya hilang dan menghantar pasukan pencari untuk menjejakinya. Namun gagal. Tidak lama kemudian, khabar angin yang memalukan mula tersebar – mungkin dimulakan oleh pengasuh atau Baek-ga, yang mengatakan bahawa Arang telah jatuh cinta dengan seorang lelaki tidak dikenali dan melarikan diri. Bukan sahaja nyawa gadis itu diragut, malah maruahnya juga dicemari oleh orang yang kononnya menyayanginya.
Ayah Arang yang malu dengan perbuatannya meletakkan jawatan. Kedudukannya digantikan oleh orang lain. Namun, penggantinya mati di pejabat tempat kerja. Begitulah keadaannya sehingga beberapa orang pengganti ketua daerah itu meninggal di tempat yang sama.
Sehinggalah, seorang pegawai baharu bernama Lee Sang Sa mahu menerima jawatan di Miryang itu. Dia mahu menyiasat sendiri punca kematian para pegawai, dan akhirnya melihat roh Arang yang berkeliaran di kawasan itu.
Arang memberitahu bahawa dia akan muncul sebagai rama-rama putih dan hinggap di atas kepala orang yang telah membunuhnya agar Lee Sang Sa boleh menjatuhkan hukuman terhadap orang itu. Dan, perbuatan Baek-ga akhirnya didedahkan.
Dia mengakui jenayahnya, dan Baek-ga telah dihukum bunuh bersama pengasuh Arang yang bersubahat dalam pembunuhan gadis itu. Mayat Arang dicari semula, meskipun hanya tinggal tulang temulang. Sejak itu, roh Arang tidak lagi muncul kerana dendamnya telah terbalas dan maruah sucinya telah dikembalikan.
Ini mungkin kisah rakyat ketika era Joseon, tapi realitinya ramai mangsa sebegini sejak zaman dahulu hingga sekarang, di mana-mana sahaja yang masih belum dibela nasib mereka. Kebanyakan pesalah ini sama ada tidak ditemui, atau menggunakan alasan sakit mental untuk melepaskan diri daripada kesalahan mereka. Namun, bagi mangsa, ia adalah trauma sepanjang hayat yang terpaksa ditanggung mereka.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih