Mansa (bermaksud raja, maharaja atau sultan) Abu Bakr II merupakan seorang pemerintah Empayar Mali di Afrika Barat pada abad ke-14 Masehi. Pada waktu itu, Empayar Mali mengalami zaman kemuncaknya.

Kekayaan Empayar Mali dapat dilihat menerusi perjalanan haji Mansa Musa yang masyhur (pengganti Abu Bakr II). Menurut sejarawan-sejarawan Arab, pemerintah tersebut membelanjakan begitu banyak wang emas dalam perjalanan hajinya hinggakan ‘kadar dinar (wang emas) jatuh sebanyak 6 dirham (wang perak)’.

Keamanan dan kestabilan yang dimiliki oleh empayar tersebut membenarkan sebuah episod aneh berlaku di zaman pemerintahan Abu Bakr. Menurut seorang sejarawan Syria, al-Umari (yang bertemu dengan Mansa Musa di Kaherah), Mansa Abu Bakr mengambil keputusan untuk turun takhta agar beliau dapat mengembara dan meneroka Lautan Atlantik.

KISAH ABU BAKR DARIPADA MULUT PENGGANTINYA SENDIRI

Tidak banyak yang kita ketahui tentang kehidupan Abu Bakr dan satu-satunya sumber bertulis tentang beliau yang wujud sehingga ke hari ini dapat ditemui di dalam hasil karya al-Umari. Menarik juga andai dikepilkan nota bahawa maklumat berkenaan Abu Bakr ini datang daripada mulut penggantinya sendiri, iaitu Mansa Musa. Malahan, penerangan beliau itu lebih menjurus kepada memerihalkan tentang bagaimana Mansa Musa menaiki takhta. Perbualan yang berlangsung di antara al-Umari dan Mansa Musa berkenaan hal ini dicatatkan seperti berikut:

“Maka, Abu Bakr pun melengkapkan 200 buah kapal dengan anak kapal dan 200 buah kapal lain dengan emas, air dan bekalan yang cukup untuk menampung kehidupan mereka selama bertahun-tahun… mereka berangkat dan tiada yang pulang walau setelah lama masa berlalu. Kemudian, sebuah kapal pulang dan kami bertanya kepada kapten kapal tentang berita yang dapat mereka kongsikan.

Si kapten berkata, “Iya, oh Sultan, kami berlayar dengan cukup lama sehingga kami melihat pada lautan luas itu terdapat sebatang sungai yang arusnya mengalir kencang… kapal-kapal lain terus sahaja berlayar ke hadapan. Namun sebaik sahaja mereka tiba di tempat tersebut, mereka tidak pulang-pulang dan sosok mereka tidak lagi kelihatan… Bagi kapal saya sendiri, saya mengarahkannya agar berpatah-balik dan tidak memasuki sungai tersebut.”

Sultan menyediakan 2000 buah kapal, 1000 untuk dinaiki oleh dirinya sendiri dan anak kapal, sementara 1000 buah kapal yang lain dipenuhi dengan bekalan. Beliau meninggalkanku dengan tanggungjawab memangku pemerintahan empayarnya lalu beliau berangkat menerokai Lautan Atlantik. Itulah kali terakhir kami melihat beliau dan anak-anak kapal yang dibawanya.

Dengan demikian, aku menjadi raja yang sah.”

Gambaran artistic tentang ‘Empayar yang diperintah oleh Mansa Musa’


Seandainya kata-kata daripada Musa dan al-Umari ini boleh diambil sebagai suatu maklumat yang sahih (hikayat ini langsung tidak ditemui dalam mana-mana sumber Afrika dan Arab yang lain, kecuali, mungkin tradisi lisan), maka penurunan takhta Mansa Abu Bakr dan pengembaraannya ke Lautan Atlantik boleh dianggap sebagai peristiwa yang benar-benar berlaku.

Walaupun tujuan penceritaan tersebut adalah untuk memerihalkan bagaimana Mansa Musa memperoleh takhta Empayar Mali sekaligus memulakan dinasti baru, masyarakat di zaman moden menumpahkan tumpuan yang lebih kepada tindakan Abu Bakr yang turun takhta dan meneroka Lautan Atlantik itu.

Mansa Abu Bakr berlayar di atas kapalnya


PENGEMBARAAN KE DUNIA BARU?

Akan tetapi, terdapat sebilangan pihak yang tidak cukup sekadar berhenti pada naratif yang dicatatkan oleh al-Umar. Mereka bahkan melontarkan pendapat yang menjangkaui kisah penceritaan tersebut. Menurut mereka, Abu Bakr tidak hanya sekadar berlayar merentasi Lautan Atlantik, malahan beliau dispekulasikan telah sampai ke benua Amerika. Mereka turut mengedepankan bukti-bukti yang pada hemat mereka, menyokong dakwaan-dakwaan tersebut.

Antara lain adalah nama-nama tempat yang terdapat pada peta-peta lama, yang kononnya menjadi bukti bahawa Mansa Abu Bakr dan rombongan pengiringnya itu pernah berlabuh di Dunia Baru. Masyarakat Mali dikatakan telah memberi nama kepada beberapa buah tempat, seperti Pelabuhan Mandinga, Teluk Mandinga dan Sierre de Mali. Walau bagaimanapun, lokasi tepat bagi tempat-tempat tersebut tidak dapat dipastikan memandangkan satu sumber menyatakan bahawa ia terletak di Haiti sementara sumber lain pula meletakkannya di Mexico.

Sekumpulan Muslim (sebilangan sejarahwan berpandangan bahawa Mansa Abu Bakr II juga termasuk) bertemu dengan masyarakat asli Amerika


Antara hujah lazim lain yang sering dikemukakan adalah berkenaan barangan logam dari Afrika Barat yang ditemui oleh Columbus semasa beliau tiba di Amerika. Satu sumber mendakwa bahawa Columbus sendiri melaporkan bahawa beliau memperolehi barangan logam yang berasal-usul dari Afrika Barat dari tangan masyarakat asli Amerika.

Sumber lain menegaskan bahawa analisis kimia terhadap emas yang ditemui oleh Columbus pada lembing-lembing yang ada di Amerika menunjukkan bahawa emas tersebut berkemungkinan datang dari Afrika Barat.

Terdapat banyak lagi contoh lain yang didakwa menyokong ketibaan dan kehadiran masyarakat Mali di Dunia Baru dikemukakan, antara lain melibatkan rangka manusia, inskripsi, sebuah bangunan yang kelihatan seperti masjid, analisa linguistik, dan ukiran yang dipercayai menggambarkan orang-rang Mali. Namun, bukti-bukti sebegini agak kurang meyakinkan. Hal ini kerana sumber-sumber yang mengemukakan bukti-bukti tersebut tidak memberikan maklumat tambahan ataupun rujukan untuk mendokong dakwaan mereka. Misalnya, daripada sekadar menyatakan bahawa terdapat tempat-tempat di Amerika yang diberi nama oleh orang-orang Mali sebagaimana yang ditemui pada peta-peta lama, dakwaan ini akan lebih meyakinkan seandainya sumber tersebut turut memberikan contoh atau hujah yang lebih boleh dipercayai berkenaan ‘peta-peta lama’ itu.

Masjid Jamek Djenne, Mali


Memandangkan bukti-bukti yang cuba mengesahkan ketibaan Mansa Abu Bakr di Amerika agak tidak meyakinkan, kalau bukan tidak wujud sama sekali, maka kemungkinan untuk pemerintah Mali itu tiba di Dunia Baru semasa ekspedisi pengembaraannya ke Lautan Atlantik juga agak rendah.

Walau bagaimanapun, hikayat tentang penurunan takhta Mansa Abu Bakr dan penerokaannya ke Lautan Atlantik (sekali lagi, sekiranya sumber daripada Musa dan al-Umari itu boleh dipercayai) adalah sebuah hikayat yang mengagumkan, dan boleh dianggap setara dengan permisalan seorang pemimpin dunia moden yang berhenti daripada dunia politik untuk menjadi seorang angkasawan.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (21 Februari 2016). The Legend of How Mansa Abu Bakr II of Mali Gave up the Throne to Explore the Atlantic Ocean. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/legend-how-mansa-abu-bakr-ii-mali-gave-throne-explore-atlantic-ocean-005392


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.