Kesan yang ditinggalkan oleh Alexander III of Macedon atau lebih dikenali sebagai Alexander Agung masih dirasai hingga ke hari ini.
Malahan di sub-benua India, legasinya masih dapat dilihat menerusi nama sebilangan kanak-kanak, seperti Sikandar dan Iskandar di mana nama-nama ini diberikan dengan harapan mereka juga akan dapat memberikan pengaruh yang sama pada dunia seperti Alexander Agung.
ALEXANDER SI PENGUASA PEN4KLUK DUNIA
Alexander adalah seorang figura yang sangat dihormati di India dan masyarakat secara umum menganggapnya sebagai pen4kluk teragung sepanjang zaman. Legasinya di negara berkenaan masih dirasai dalam pelbagai bentuk.
Sebuah kampung kecil lagi terpencil di Himachal Pradesh, India yang dikenali sebagai ‘Malana’ mendakwa bahawa semua penduduknya merupakan keturunan tentera Alexander.
Tentera-tentera ini berkemungkinan menetap di situ selepas tercedera dalam Pertempuran Hydaspes. Dalam tempoh pemulihan di lembah yang terletak di celahan gunung ini, mereka berkemungkinan menjadikannya sebagai kediaman tetap.
Dalam masa yang sama, terdapat sebuah lagi kampung lain yang bernama Bara Bangal atau Bara Bhangal (nama ini mungkin memiliki kaitan dengan daerah Bengal di India) yang mempunyai hikayat sama. Kampung ini juga terletak di kawasan pergunungan yang indah di Himachal Pradesh, kawasan beraltitud tinggi yang terpencil dari dunia.
Kawasan ini diapit oleh gunung-ganang dan Sungai Ravi yang berkelok-kelok di kawasan sekitar. Kampung ini menyimpan legenda yang lebih kurang sama, di mana ia diselubungi misteri dan kekaburan.
Bara Bangal adalah salah satu penempatan paling tua bagi puak Gaddi desa. Di sini, para penduduknya mendakwa bahawa mereka merupakan keturunan pahlawan-pahlawan Alexander yang enggan pulang ke Greece/Macedon setelah menyertai kempen ketenteraan yang meletihkan di India. Justeru, mereka menetap di sini.
Walau apapun jua sejarahnya yang sebenar, nama Alexander Agung masih hidup di daerah-daerah terpencil di India. Masyarakat India membesar dengan kisah-kisah seputar Alexander yang ditampilkan dalam komik mahupun medium popular yang lain. Justeru tidak hairanlah seandainya rangkap ini sering terngiang-ngiang dalam minda mereka, “Circa 327/326SM, Si Pen4kluk Dunia Alexander Agung Menyerang India”.
ALEXANDER SEBAGAI PROTÉGÉ ARISTOTLE
Alexander III dilahirkan sekitar tahun 356SM di kota Pella, ibu kota Kerajaan Macedon purba. Ayahandanya bernama Raja Phillip II manakala ibunya pula adalah Olympias dari Epirus. Salah satu fakta mengejutkan pada tahun-tahun awal Alexander adalah latihan dan pendidikan yang beliau terima daripada ahli falsafah terulung Yunani, iaitu Aristotle.
Ayahandanya, Raja Phillip II memainkan peranan penting dalam menjadikan Macedon sebagai sebuah kerajaan yang signifikan di semenanjung Yunani pada masa kecil Alexander. Beliau juga memasang impian untuk menakluk sebuah lagi kerajaan agung pada zaman itu, iaitu Parsi.
Namun sebelum sempat Raja Phillip II memenuhi impiannya itu, beliau m4ti dibvnuh pada tahun 336SM ketika Alexander masih berusia 20 tahun. Impian Raja Phillip II itu kelak direalisasikan oleh anaknya yang menewaskan Darius III dalam kempen pen4klukan Parsi.
Kempen-kempen ketenteraan yang digerakkan oleh Alexander kebanyakannya dicatatkan oleh individu yang hidup sezaman dengannya. Malah ada pula yang merupakan pengiring dalam rombongannya, seperti Callisthenes, Nearchus dan Onescritus.
Biografi Alexander Agung juga ditulis secara jelas pada beberapa kurun kemudian menerusi pena penulis-penulis di zaman klasik seperti Plutarch (Rom), Arrian (Yunani) dll.
Tiada siapa tahu pada waktu bila dan bagaimana gelaran ‘Agung’ diiringkan pada nama Alexander.
Gelaran ini mungkin disebut oleh salah seorang penulis terawal, iaitu Quintus Curtius Rufus dalam karyanya yang berjudul Historiarum Alexandri Magni Macedonis Libri Qui Supersunt, di mana perkataan ‘Magni’ diterjemahkan sebagai ‘Agung’ (Magnificent) oleh beberapa orang pakar.
ALEXANDER BERTEMU DENGAN PENDETA-PENDETA TELANJANG DAN CALANOS
Sejarah kempen-kempen ketenteraan Alexander di India diketahui oleh hampir setiap orang di India pada hari ini. Dalam sejarah berkenaan, Pertempuran Hydaspes dan kegagahan Porus si raja India menjadi antara cerita utama yang diabadikan dalam ingatan mereka. Namun, kempen-kempen Alexander bukanlah subjek yang akan dibincangkan dalam artikel pada hari ini.
Alexander dibesarkan dengan pendidikan yang mendalam berkenaan falsafah, justeru tidak seperti para pen4kluk di zaman purba yang lain, beliau berkemungkinan mempunyai minat yang lebih untuk menyelidiki kemisterian dunia ini.
Semasa beliau berada di Taxila, yang merupakan pusat pendidikan utama di India purba (kini terletak di sekitar Pakitsan moden), beliau sempat bertemu dengan beberapa orang pendeta dan pertapa telanjak.
Semenjak itu, pendeta-pendeta telanjang ini dipanggil oleh orang Yunani dan Dunia Barat sebagai gymnosophist yang secara kasarnya boleh diterjemahkan sebagai ‘failasuf telanjang’.
Terdapat banyak perkara yang diperdebatkan tentang identiti para pendeta ini. Spekulasi awal yang dibuat oleh para pakar mencadangkan bahawa mereka adalah pertapa-pertapa Jainisme yang menganggap pakaian, malah makanan sebagai penghalang dalam mencapai kesucian fikiran. Namun, pendapat ini ditolak atas faktor yang akan dikemukakan kelak.
Sehingga kini, selagimana tiada bukti lanjut yang ditemui, kita tidak dapat memastikan identiti keagamaan mereka. Failasuf-failasuf ini mungkin boleh jadi sesiapa sahaja dan berasal dari mana-mana aliran atau agama. Mungkin sahaja mereka adalah penganut Ajivika atau Rishi Vedik, atau bahkan Buddhisme yang merupakan aliran utama di barat laut India pada waktu itu.
Walau bagaimanapun, salah seorang daripada mereka dikenali oleh masyarakat Yunani sebagai Calanos. Nama asalnya boleh jadi apa pun jua, antaranya seperti Kalyana lantaran nama Calanos berkemungkinan merupakan derivasi bahasa Yunani terhadap nama asalnya.
Tatkala Alexander mengutus salah seorang pengiringnya untuk memanggil Calanos, Calanos dengan angkuh menjawab bahawa Raja Yunani itulah yang mahu bertemu dengannya dan bukannya beliau yang bertemu dengannya. Justeru, Alexander mesti datang berjumpa dengannya.
Semasa Alexander bertemu dengannya di dalam hutan, perbualan yang berlangsung di antara mereka yang merangkumi soal kehidupan dan alam ada didokumentasikan oleh para penulis di zaman terkemudian.
Alexander begitu terkejut tatkala mempelajari daripada Calanos tentang kekosongan nilai kebendaan dan harta, serta betapa ilmu pengetahuan yang suci adalah satu-satunya asas kebahagiaan. Beliau kemudiannya mengajak Calanos agar mengembara bersamanya dan menjadi gurunya. Calanos bersetuju dengan permintaan itu lalu ikut mengembara bersama Alexander ke Parsi.
Di Parsi, atas beberapa faktor yang salah satunya mungkin adalah usianya yang telah lanjut, Calanos memutuskan untuk membvnuh diri dalam sebuah api suci. Inilah faktor yang dimaksudkan di atas, tentang faktor yang melanggar falsafah para pertapa Jainisme.
Menurut kepercayaan mereka, membvnuh haiwan sekecil serangga itu sendiri merupakan satu jenayah yang berat. Justeru, mereka sama sekali tidak akan memandang ringan perbuatan mencabut nyawa seseorang. Jainisme secara umum melaksanakan satu ritual yang dipanggil sebagai Sallekhana. Ritual ini secara perlahan memberhentikan pengambilan makanan sehingga m4ti kebulur.
Dengan logik yang sedemikian, dapatlah disimpulkan bahawa Calanos bukanlah penganut aliran Jainisme. Beliau memasuki api yang bakal membakar tubuhnya tanpa rasa ragu-ragu dan takut. Malah ketika tubuhnya sedang dibakar, beliau langsung tidak mengeluarkan sebarang jeritan atau erangan. Alexander dan tentera-tentera menyaksikan kejadian itu dengan penuh rasa takjub.
Mereka tidak dapat membayangkan betapa kuatnya pertapa yang hidup sederhana ini mampu membakar tubuh tanpa rasa sakit dan sambil tersenyum. Sebelum itu, Calanos terlebih dahulu menyerahkan segala harta miliknya kepada tentera-tentera Alexander. Menerusi kepatuhannya pada ajaran agama dan ketinggian peribadinya, Calanos berupaya menanamkan satu tanggapan atau pandangan yang abadi pada minda masyarakat Barat.
Tambah aneh, semasa tubuhnya sedang terbakar dalam api tersebut, Calanos memandang Alexander dengan tenang dan menyatakan bahawa beliau kelak akan bertemu dengannya di Babylon.
Tidak lama kemudian. Alexander mangkat secara misteri di Babylon pada usia yang masih muda. Hal ini membuatkan Calanos dipandang oleh masyarakat Yunani sebagai seorang ahli mistik yang mampu melihat masa depan dan meramalkan kem4tian Alexander.
Legenda menyebutkan bahawa daripada mulut Calanos atau Kalyana inilah Alexander memperoleh maklumat tentang Dandamis, pemimpin seluruh gymnosophist atau failasuf telanjang di India pada waktu itu. Nama Dandamis mungkin merupakan deriviasi Yunani bagi Dandi Swami.
Apapun, ini hanya sekadar satu andaian. Walau apapun jua nama sebenarnya, failasuf telanjang ini juga berupaya memesonakan Alexander menerusi pegangan falsafah dan peribadinya yang bersederhana.
PERTEMUAN ALEXANDER DENGAN DANDAMIS
Menurut legenda, pertemuan antara Alexander dan Dandamis mengandungi faktor tarikan yang sama seperti pertemuan-pertemuan yang lain. Alexander berkali-kali cuba untuk mengumpannya dengan segala kekayaan dan kemegahannya.
Namun dalam setiap cubaan itu, si pertapa itu hanya membalas dengan gelak ketawa sahaja. Dandamis memaklumkan kepada Alexander bahawa segala barang kebendaan itu hanya kelihatan seperti batu pada pandangannya. Tambahnya lagi, kesenangan sejati baginya adalah menemukan zat abadi dan ilmu pengetahuan.
Apabila Alexander cuba untuk menakut-nakutkannya dengan mengugut bahawa seandainya Dandamis enggan mengikutnya, maka kepalanya akan dipenggal, beliau sekali lagi tertawa. Kata Dandamis, Alexander boleh membvnuh tubuhnya tetapi tidak jiwanya. Hanya Tuhan satu-satunya pelindung sejati dan pemilik segala hati dan jiwa.
Perbezaan di antara pen4kluk dunia ini dan pertapa telanjang tersebut terletak pada emas dan berlian. Failasuf telanjang yang terbaring di bawah sebatang pokok yang dikelilingi oleh alam semulajadi dianggap sebagai bukti sebenar kepada hakikat bahawa kuasa hakiki tidak terletak pada kekayaan atau kekuatan tentera. Akan tetapi, ia terletak pada pencarian hikmah sejagat.
Pertemuan dengan Calanos dan Dandamis adalah yang pertama di antara Barat yang memiliki dan kerohanian India yang sebenar. Impak pertemuan ini berpanjangan sehingga ke hari ini. Yunani merupakan tempat di mana pelbagai aliran falsafah di zaman purba terbentuk, justeru pertembungannya dengan aliran-aliran lain di Timur merupakan suatu hal yang mengagumkan.
Tanggapan Barat tentang India banyak dipengaruhi oleh pertemuan Alexander dan tentera-tenteranya dengan para failasuf ini. Semenjak itu, India disinonimkan dengan kemistikan dan tanahnya disifatkan sebagai penuh dengan keajaiban. Identiti Calanos dan Dandamis menjadi salah satu topik yang dibincangkan secara hangat sehingga ke hari ini.
Benar ramalan Calanos. Alexander Agung kemudiannya mangkat di Babylon pada tahun 323SM pada usia yang sangat muda. Ketika itu beliau sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air, setelah tentera-tenteranya yang kepenatan memberontak dan enggan melanjutkan kempen jauh ke India bagi menakluk Nanda. Kemangkatan Alexander sehingga ke hari ini diselubungi misteri.
Sebilangan sejarahwan berpendapat bahawa beliau diracun sambil sebahagian yang lain mendakwa bahawa beliau tewas terhadap kecederaan-kecederaan yang ditanggung sepanjang kempen ketenteraannya yang panjang. Malah, ada juga yang berpendapat bahawa beliau diserang penyakit dari Timur yang tidak diketahui.
Filem Hollywood tahun 2004 yang diarahkan oleh Oliver Stone, di mana Colin Farrel berlakon sebagai Alexander, turut merangkumkan tentang babak kemangkatannya.
Walau apapun jua faktor kem4tiannya, ‘Failasuf-Failasuf Telanjang India’ sama sekali tidak tersilap dalam meramalkan bahawa semua manusia, tanpa mengira betapa berkuasa pun ia, atau betapa kaya atau miskin pun ia, akan tersungkur m4ti pada suatu hari nanti.
TERJEMAHAN:
Saurav Ranjan Datta. (24 Februari 2020). How Some Naked Monks of India Fascinated Alexander the Great. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/alexander-great-india-0013328
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih