Bagi Lee Bing, Fang Lang, Chang Chip, Ah Lam, Chung Foo dan Ling Hee, peluang menaiki Titanic dianggap satu tiket berharga kepada mereka. Pada mereka, inilah peluang untuk mengubah kehidupan mereka dengan bekerja sebagai kelasi di Kepulauan Carribean. Tanpa disangka-sangka, peristiwa karamnya Titanic pada 15 April 1912 menjadikan mereka sebahagian daripada lipatan sejarah maritim itu.
Apabila kapal tersebut karam, kumpulan lelaki ini berusaha membantu seberapa ramai penumpang menyelamatkan diri. Malah, menurut sejarawan Titanic, Tim Maltin, salah seorang daripada mereka, Fang Lang bertanggungjawab menyelamatkan saki-baki penumpang yang berada di laut menggunakan bot penyelamat dan membawa mereka ke tempat selamat.
Ironinya, bot penyelamat itu juga yang digunakan pasukan penyelamat untuk menyelamatkannya selepas berpaut pada sebuah pintu semasa kapal ma.la.ng itu karam. Ramai peminat dan sejarawan Titanic percaya tindakan Fang Lang itu menjadi inspirasi kepada adegan Jack Dawson (Leonardo di Caprio) dan Rose DeWitt (Kate Winslet) berpaut pada kayu selepas Titanic karam dalam filem Titanic (1997).
Begitupun, era ketika itu dilihat tidak berlaku adil kepada keenam-enam bakal kelasi China itu. 24 jam selepas tiba di Ellis Island, New York bersama para penumpang dan krew yang terselamat, mereka diusir keluar dari Amerika Syarikat. Pengusiran mereka dibuat berikutan penguatkuasaan Akta Pengecualian Orang Cina, sebuah undang-undang yang melarang imigrasi orang Cina ke AS.
Keadaan ini tidak dibantu oleh sentimen pihak media terhadap orang asing ketika itu. Misalnya, laporan akhbar Brooklyn Daily Eagle menggelar Fang Lang dan rakan-rakannya sebagai makhluk yang segera melompat ke dalam bot keselamatan sekiranya merasakan keadaan merbahaya dan sanggup bersembunyi di bawah kerusi. Pembikin dokumentari enam sekawan ini iaitu Arthur Jones menyifatkan laporan tersebut berbaur anti-orang Asia dengan menjadikan imigran sebagai kambing hitam setiap kali berlakunya tragedi.
Selain dakwaan ini, wujud dakwaan liar bahawa keenam-enam bakal kelasi itu menyamar sebagai wanita agar diberi keutamaan menaiki bot penyelamat. Bagi Maltin, dakwaan-dakwaan sebegini amat mengarut sama sekali. Beliau percaya dakwaan ini timbul gara-gara stigma yang menyelar penumpang-penumpang lelaki sebagai pengecut kerana terlalu sibuk menyelamatkan diri daripada menyelamatkan wanita dan kanak-kanak.
Selepas diusir oleh kerajaan AS, Fang Lang dan rakan-rakannya dihantar ke Cuba sebelum kemudian berangkat pula ke Britain beberapa tahun kemudian. Pada ketika itu, banyak syarikat perkapalan berdepan kekurangan kelasi selepas ramai mendaftarkan diri menyertai usaha pe.ra.ng Britain semasa Pe.ra.ng Dunia Pertama (WWI).
Bagaimanapun, Chang Chip tidak menyertai mereka selepas kembali ke negeri cacing akibat pneumonia pada 1914. Dia dikebumikan di sebuah kubur tidak bertanda di London. Fang Lang dan rakan-rakannya yang lain terus menetap di Britain sehingga 1920 sebelum sentimen anti-imigran dan kemelesetan pasca-WWI memaksa mereka berkelana lagi meninggalkan ahli keluarga tercinta.
Tambah Jones lagi, pemergian mereka didorong oleh polisi anti-imigran yang dikuatkuasakan di Britain ketika itu. Baginya, pemisahan keluarga akibat dasar tersebut ialah satu perkara menyedihkan tetapi ia sesuatu yang di luar kawalan mereka.
Ah Lam dihantar pulang ke Hong Kong manakala Ling Hee menaiki kapal stim ke Kolkata (Calcutta), India. Lee Bing pula berangkat ke Kanada dengan Fang Lang menjadi warganegara negara yang pernah mengusirnya terdahulu – AS dan menetap di Wisconsin. Bagaimanapun, Fang Lang banyak berdepan kesukaran semasa di situ termasuk sentimen perkauman seperti diakui dan disaksikan oleh anaknya, Tom Fong.
Fang Lang pulang menemui Penciptanya pada usia 90 tahun semasa tahun 1985. Bagi anak jati Milwaukee, Wisconsin, Tom langsung tidak tahu bahawa bapanya merupakan salah seorang penumpang Titanic yang terselamat. Rahsia tersebut hanya terbongkar 20 tahun selepas itu apabila seorang ahli keluarganya menceritakan kisah tersebut kepadanya.
Tom percaya bapanya menyimpan rahsia tentang kisah Titanic itu kerana didorong oleh gabungan faktor trauma dan stigma. Dan beliau memahami mengapa Fang Lang bertindak sedemikian lebih-lebih lagi dengan kisah-kisah fitnah seperti lelaki Cina memakai pakaian wanita untuk menaiki bot penyelamat masih berlegar ketika itu.
Semasa Jones membikin dokumentari The Six, antara perkara yang perlu dilakukan ialah menemubual waris-waris rakan-rakan Fang Lang tentang Titanic. Dan dia mengakui masih ramai yang enggan berkongsi kisah tersebut kerana tidak senang dengan stigma yang ditanggung lebih seabad yang lalu.
Tom berharap menerusi perkongsian kisah ini, ia diharap dapat mendedahkan satu lagi sisi sejarah Titanic yang tersembunyi. Padanya, sejarah pasti akan berulang semula sekiranya ia tidak diambil iktibar.
RUJUKAN:
Zhaoyin, F dan Yitsin, W. (2021). Titanic: Searching for the ‘missing’ Chinese survivors. BBC News.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih