Pada satu pagi Oktober 1923, bunyi deringan telefon memecah kesunyian rumah saintis Frederick Banting. Banting menyangka ia cuma panggilan biasa daripada seorang rakan. Tetapi air mukanya berubah sebaik rakan yang menelefonnya memberitahu beliau dan bosnya, Profesor John Macleod diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Perubatan kerana menemui insulin.
Selepas menamatkan panggilan dalam keadaan marah, Banting melihat pula akhbar hari itu dan mendapati apa yang diberitahu rakannya itu benar-benar berlaku. Bagi para pembaca, pasti merasa pelik mengapa saintis Kanada ini merasa terlalu marah dengan Macleod? Insulin sememangnya satu penemuan baru dalam dunia perubatan untuk penyakit diabetis. Tetapi ia juga turut menyimpan 1001 kisah ego, pengkhianatan, permusuhan dan ketidakadilan.
Tidak ramai tahu, di seluruh dunia terdapat sembilan juta pesakit diabetis jenis 1 mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Dan mereka mungkin sudah tiada di dunia fana ini jika tidak kerana insulin. Ia nampak remeh tetapi pada masa silam, ia membawa maut kepada pesakitnya.
Nama diabetis merupakan perkataan Yunani yang bermaksud kerap mengalir – lebih tepat, kerap kencing. Ia merupakan antara simptom yang biasa dialami oleh pesakit diabetis. Bagi pakar perubatan Inggeris abad ke-17, Thomas Willis, diabetis patut diberi satu lagi nama: kencing syaitan!
Tanpa insulin yang wujud hari ini, pesakit-pesakit diabetis jenis 1 dianggap tiada harapan untuk hidup. Apabila mereka tidak boleh memetabolismekan gula daripada karbohidrat yang terkandung dalam diet mereka, mereka akan menjadi lemah dan kurus kering. Ini disebabkan penghasilan bahan toksik dalam badan yang dikenali sebagai keton. Dari situ, mereka akan mengalami koma sebelum kembali menemui Pencipta mereka.
Bagi mana-mana pakar perubatan Barat terutama menjelang awal abad ke-20, merawat pesakit diabetis merupakan kerja sia-sia. Satu-satunya cara mengurangkan penderitaan pesakit ialah mengarahkan mereka mengambil diet kelaparan – menangguhkan sesuatu yang tidak boleh dielak bernama kematian.
Sentimen pakar-pakar ini sama sekali berbeza dengan bapa perubatan dunia moden, Ibnu Sina. Menerusi mahakaryanya yang ulung iaitu al-Qanun fi al-Tibb (Kanun Perubatan), penyakit diabetis yang dialami seseorang pesakit bergantung kepada mizaj atau ciri semulajadi pada badan. Mizaj seseorang terdiri daripada empat daya utama yang saling bertentangan iaitu panas, sejuk, kering dan lembap daripada empat elemen iaitu tanah, air, api dan udara.
Terdapat empat humor (dikenali juga sebagai jus atau bahan api dalam badan) iaitu darah (dam), flegma (balgham), hempedu kuning (safra) dan hempedu hitam (sauda). Setiap humor dikaitkan dengan dua jenis daya: panas dan lembap, sejuk dan lembap, panas dan kering serta sejuk dan kering. Mizaj seseorang yang sihat ialah apabila semua elemen dan daya berada dalam keadaan seimbang. Tetapi bila si polan merasa tidak sihat, maka badannya mengalami sue mizaj atau ketidakseimbangan mizaj.
Bagi menangani hal ini, terdapat dua cara rawatan yang boleh digunakan iaitu sama lawan sama dan berlawanan. Bagi pesakit yang mempunyai kadar asid yang tinggi, Ibnu Sina menasihatkan sebarang makanan yang mengandungi asid tidak boleh diberi kepada pesakit kerana ia hanya akan memburukkan keadaannya. Ini merupakan contoh kaedah rawatan sama lawan sama.
Bagi kaedah rawatan berlawanan pula, Ibnu Sina mencadangkan diet makanan yang mengandungi kadar alkali yang tinggi. Apabila pesakit mengambil diet ini, ia membantu mengurangkan tahap asid dalam badan dan mengembalikan mizaj kepada keseimbangan semulanya. Antara makanan yang dicadangkan ialah sayur-sayuran, mineral dan produk haiwan tertentu. Kaedah merawat diabetis Ibnu Sina kini sedang dibangunkan dan ditambahbaik di beberapa negara Asia Tengah seperti Tajikistan.
Baik, cukuplah dengan diabetis dan cara rawatannya. Pendek kata, ia bukan sesuatu yang mudah bagi individu bergelar pesakit diabetis. Oleh sebab itu, apabila insulin ditemui dan berupaya mengembalikan tahap gula dalam badan pesakit ke paras yang lebih sihat dan bangun dari koma, ia dianggap satu keajaiban oleh komuniti perubatan.
Insulin sememangnya satu solusi yang menyelamatkan nyawa ramai pesakit diabetis. Tetapi ia juga berpotensi membunuh mereka jika takaran (dos) diambil pada kadar yang salah. Ia boleh mengakibatkan pesakit mengalami kejutan hipoglisemia dan koma yang boleh membawa maut.
Tetapi apa punca Banting terlalu marah? Sebabnya boleh difahami menerusi catatan jurnal beliau pada 1940. Dalam catatannya, Banting menggelar Macleod sebagai mementingkan diri sendiri, sentiasa mencari peluang untuk lebih dikenali dan bersedia mencuri idea atau kredit daripada mana-mana kerja penyelidikan. Tetapi jika tidak kerana Macleod, beliau mungkin sekadar doktor biasa di wilayah Ontario.
Bekas veteran Perang Dunia Pertama (WWI), Banting pulang ke Kanada dan mendapati apa saja perkara yang diusahakannya tidak menjadi. Bergelar doktor swasta langsung tidak menjanjikan pendapatan lumayan termasuk memasak makanan di atas penunu Bunsen. Banting juga cuba menjadi pelukis lanskap tetapi gagal apabila lukisannya itu ditolak oleh penjual-penjual tempatan. Pendek kata, dunia seolah-olah berlaku kejam terhadapnya.
Situasi sama hampir-hampir menjejaskan eksperimen insulin Banting di Universiti Toronto. Semasa beliau membuat pembentangan bagaimana hormon anti-diabetis yang diambil daripada pankreas boleh mengawal diabetis, Banting merasakan Macleod seolah-olah tidak berminat dengan pembentangan kajiannya itu.
Hakikatnya, Macleod tahu bagi menjayakan eksperimen sebegini, ia memerlukan seorang pakar bedah khas untuk mengambil hormon berkenaan. Lantas, beliau memperkenalkan Banting kepada seorang pelajar tahun akhir bernama Charles Best. Walaupun pada awalnya, kedua-duanya mempunyai hubungan tegang tetapi itu tidak menghalang mereka bekerja sebagai satu pasukan penyelidik.
Pada awalnya, ekstrak pankreas diambil untuk diuji pada anjing-anjing diabetis, Ini bagi menguji tahap gula dalam darah setiap anjing. Tetapi hubungan Banting dengan Macleod semakin keruh disebabkan oleh pelbagai isu. Pertama, keputusan kajian sepanjang musim panas 1921 ditolak oleh Macleod atas alasan ia tidak konsisten dan tidak mempunyai data kawalan.
Kedua, Banting merasakan makmal yang digunakan tidak muat untuk kapasiti eksperimen insulin yang dijalankan. Tetapi apabila beliau cuba memohon peruntukan tambahan termasuk makmal baru dengan Macleod, ia ditolak oleh beliau. Berang, Banting mengugut untuk menarik semua eksperimen insulin di Universiti Toronto dan membawanya ke tempat lain.
Dan ketiga, pada akhir 1921, Banting dan Best terkejut selepas diberitahu Macleod bahawa mereka perlu membuat pembentangan di hadapan ahli-ahli Kesatuan Fisiologi Amerika Syarikat di Universiti Yale. Ini bermakna kajian insulin bakal didengar oleh ramai pakar perubatan buat kali pertama.
Malangnya, apabila Banting menaiki rostrum untuk membuat pembentangan, ia dianggap satu bencana. Dalam catatan jurnalnya, beliau merasakan dirinya beku di atas rostrum dan tidak dapat berucap dengan baik. Sedar pembentangan kajian insulin akan berakhir dengan kegagalan, Macleod mengambil alih pembentangan sehingga tamat sesi mereka.
Bagi Banting, nampak sudah haknya sebagai orang yang menemui insulin semakin terlepas daripada genggamannya. Beliau memerlukan sesuatu untuk mengembalikan naratif insulin berkisar tentang dirinya. Peluang tersebut muncul pada Januari 1922 seorang pesakit bernama Leonard Thompson dibawa ke Hospital Awam Toronto. Diagnosis pesakit berusia 14 tahun itu menunjukkan dirinya akan mati akibat diabetis jenis 1.
Lantas, pada 11 Januari 1922, 15 cc ekstrak pankreas yang disediakan Best disuntik ke badan Thompson. Walaupun petunjuk awalnya memberangsangkan (25% tahap gula dalam darah pesakit turun), badannya masih menghasilkan keton. Dan lebih memeningkan kepala Banting, wujud nanah di tempat ekstrak pankreas disuntik. Ramai melihat ini sebagai satu lagi kegagalan.
Dua minggu selepas itu, Thompson diberi suntikan ekstrak pankreas seterusnya. Tetapi bezanya, si pesakit menunjukkan perkembangan baik dari segi pemulihan dan tiada kesan sampingan toksik akibat suntikan. Ekstrak ini bukan disediakan oleh Banting dan Best tetapi seorang rakan bernama James Collip.
Collip merupakan seorang ahli biokimia dan menggunakan latihannya untuk membuang benda asing daripada ekstrak berkenaan. Tanpa benda asing dalam ekstrak, ia tidak membawa kesan sampingan buruk kepada Thompson. Rahsia sebatian yang digunakan mudah saja, alkohol. Dapatan Collip turut mendapati ekstrak berkenaan juga berpotensi membunuh pesakit hasil ujiannya pada haiwan.
Ini berdasarkan pemerhatiannya apabila sesetengah haiwan ini disuntik oleh ekstrak yang dihasilkannya mengalami kekejangan, koma dan mati. Ini kerana ekstrak yang dihasilkan Collip amat tulen dan berpotensi menyebabkan pesakit mengalami kejutan hipoglisemia. Pesakit diabetis diajar tentang hal ini dan cara menstabilkan semula kadar insulin ialah menerusi pengambilan gula yang bertindak pantas.
Bagi dunia perubatan, ia merupakan sesuatu yang perlu diraikan terutama selepas Macleod mengumumkan penemuan insulin pada Mei 1922. Tetapi bagi Banting, ia merupakan satu ancaman lebih-lebih lagi selepas Collip enggan mendedahkan bahan rahsia yang digunakan untuk membuang benda asing daripada ekstrak yang dihasilkan.
Semasa Macleod mengumumkan penemuan insulin, Banting tidak ada atas alasan tidak mempunyai wang untuk membeli tiket keretapi. Tetapi bukan Banting saja yang tidak berpuas hati dengan Macleod. Nun jauh di Jerman, seorang lelaki bernama Georg Zuelzer merasakan takdir tidak berpihak kepadanya berkenaan vaksin.
Zuelzer seperti Banting telah melihat keberkesan ekstrak pankreas yang bukan saja menyingkirkan gula dan keton dalam air kencing enam pesakit diabetisnya pada 1908. Ekstrak bernama Acomatol itu dilihat dapat merawat diabetis dengan berkesan dan itu mendorong Zuelzer mempatenkan usahanya itu.
Tetapi seperti Banting dan Best, beliau juga berdepan masalah benda asing dalam ekstrak yang dihasilkannya. Tidak seperti kedua-dua saintis itu, Zuelzer tahu kunci untuk membuang benda asing ialah alkohol dan ini disebut dengan jelas dalam patennya. Dan sama seperti Collip, ekstrak yang dihasilkan beliau pada 1914 amat tulen sehingga mengakibatkan haiwan yang diuji mengalami kekejangan, koma dan mati.
Sebelum sempat resepi Acomatol ditambahbaik oleh Zuelzer, WWI meletus pada musim panas tahun sama. Penyelidikan insulin beliau dihentikan begitu saja dan lebih 20 tahun selepas itu, insulin diperkenalkan kepada dunia. Kisah beliau ibarat drama tragedi Yunani yang diburukkan lagi oleh tindakan Best.
Susulan kemenangan Hadiah Nobel Perubatan yang diterima Banting dan Macleod, beliau tahu Best pasti terasa kerana namanya dikecualikan. Justeru, sebagai tanda berdamai dengan rakan lama penyelidiknya itu, Banting bersetuju membahagikan duit Hadiah Nobel yang diterima sebanyak C$20,000 dengan Best. Tetapi lama-kelamaan, sikap rakannya yang terlalu mementingkan nama mula menaikkan kemarahan beliau.
Selepas Banting terbunuh dalam kemalangan kapal terbang semasa bertolak ke Britain pada 1941, hanya tinggal Best dan Collip sebagai pasukan penyelidik yang menemui insulin. Peluang ini direbut sebaik mungkin oleh Best untuk melonjakkan nama dirinya sebagai individu yang menemui insulin pada musim panas 1921. Sementara Collip yang mengetahui cerita sebenar termasuk rahsia membuang benda asing daripada ekstrak yang dihasilkan memilih untuk berdiam diri.
Disebabkan tindakannya itu, nama Best dikenali dalam kalangan komuniti perubatan Amerika Utara. Tetapi sekali lagi, sejarah insulin yang cuba ditulis semula oleh beliau terjejas. Ini disebabkan pendedahan seorang saintis Romania bernama Nicolae Paulescu telah menerbitkan hasil kerja insulinnya pada musim panas 1921. Bagaimanapun, hasil kerja Paulescu dipandang sepi berikutan pendirian anti-Semitiknya dan peranannya dalam Holocaust di Romania.
Bagi Best, yang layak mendakwa diri mereka sebagai orang yang menemui vkasin ialah dirinya dan Banting. Bukan Zuelzer, Paulescu, Collip atau mana-mana individu lain. Itu merupakan hak dan kerja keras mereka.
Yang pasti, kisah ini juga mendedahkan satu lagi pengajaran: penemuan di makmal perlu dikongsikan kepada dunia luar. Dan ini bermakna kerjasama dengan entiti-entiti berkaliber bagi membolehkan penemuan sebegini bermanfaat kepada manusia sejagat. Sejak era Banting dan Best, pesakit diabetis jenis 1 terpaksa merawat diri mereka dengan menyuntik insulin yang diambil daripada tisu lembu atau babi sebagai hasil sampingan industri daging.
Tetapi semua itu berubah apabila Hospital City of Hope di selatan California dan syarikat farmaseutikal Genentech bersetuju berkolaborasi untuk menghasilkan insulin daripada tisu manusia. Dengan pengumuman tersebut, ia bukan sekadar memenangi kepercayaan orang ramai. Malah, ia menjadikan ramai individu terlibat dalam perjanjian itu sebagai jutawan terutama selepas saham Genentech diniagakan di Wall Street.
Di sebalik penemuan insulin, itu bukan bermakna ia merupakan penawar sebenar penyakit diabetis. Diabetis masih lagi satu penyakit yang tidak dapat diubati dan kronik. Dalam melihat insulin sebagai cara membantu pesakit diabetis, lagi molek dengan meneroka kaedah rawatan silam seperti rawatan yang dicadangkan Ibnu Sina. Siapa tahu, dengan meneroka manuskrip-manuskrip silam, ia dapat membantu mereka untuk jangka masa panjang.
RUJUKAN
Hall, K. (2022, 13 Februari). The discovery of insulin: A toxic story of monstrous egos. The Independent.
Sharofova, M et al. (2017, November). Can Avicenna Help Manage the Diabetes Epidemic in Central Asia?. Central Asian Journal of Medical Sciences.
Epidemic in Central Asia?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih