Enam tahun sebelumnya, pengarah filem terkenal Martin Scorsese menghasilkan sebuah filem yang dianggap berbeza dengan filem-filem garapannya seperti Cape Fear, Shutter Island dan The Departed. Silence yang diadaptasi daripada novel Silence yang dikarang Shusaku Endo menceritakan satu babak sejarah Jepun yang dilupakan: penindasan orang Kristian oleh Keshogunan Tokugawa.

Semasa era Sengoku (1467-1603), para daimyo berebut kuasa dengan sesetengah daripadanya bercita-cita untuk menjadi shogun seterusnya. Di sebalik perang saudara yang tercetus di Jepun ketika itu, pulau-pulau terpencil di selatan negara itu mula menarik tumpuan mubaligh-mubaligh Kristian terutama mubaligh Jesuit. Buktinya, kejayaan Francis Xavier menubuhkan gerakan Jesuit di Jepun pada 1549.

Francis Xavier

Keadaan ini turut dibantu dengan kewujudan pelabuhan Nagasaki pada abad ke-16. Bagi para daimyo yang memerintah ketika itu, mereka berharap dapat menjalin hubungan perdagangan dengan Portugal. Pada ketika itu, kuasa Eropah berkenaan dianggap kuasa dagang maritim terbesar ketika itu dengan pangkalan di Afrika, Goa dan Melaka.

Selain itu, para daimyo melihat input perdagangan yang dibawa Portugal dapat melanjutkan lagi cita-cita mereka untuk terus berpengaruh dalam era Sengoku. Justeru, tidak hairanlah ada yang membenarkan penyebaran agama Kristian di wilayah mereka sebagai cara melancarkan lagi hubungan dagang dengan Portugal.

Imej mubaligh Kristian tiba di Nagasaki pada abad ke-16. Sumber: Getty Images

Begitupun, tidak semua orang tempatan yang mengalu-alukan kehadiran mubaligh Kristian, satu hakikat yang diketahui Xavier selepas tiba di Jepun dari Melaka pada 1547. Ini kerana ramai penduduk Jepun ketika itu merupakan penganut Buddha dan Shinto. Selain itu, konsep Kristian termasuk syurga dan neraka amat sukar diterima oleh penduduk.

Di samping itu, gelagat Xavier turut dicurigai oleh pendeta-pendeta Buddha tempatan termasuk yang berfahaman Shingon. Semasa memperkenalkan agama Kristian kepada penduduk, beliau menggunakan terma Dainichi sebelum menggunakan perkataan Deusu. Sebaik saja mereka mengetahui agama baru yang dibawanya, kelompok Shingon ini naik angin dan menentangnya habis-habisan.

Di sebalik reaksi keras penduduk dan daimyo terhadap agama Kristian ketika itu, itu tidak menghalang ramai orang memeluk agama berkenaan baik daimyo mahupun orang biasa. Nagasaki pada ketika itu diberi gelaran Rom Jepun dan mempunyai populasi 500,000 orang penganut Kristian. Malah, dikhabarkan beberapa ahli keluarga pengasas Keshogunan Tokugawa, Tokugawa Ieyasu turut menganut agama baru itu.

Ironinya, sesetengah samurai yang berkhidmat di bawah Nobunaga Oda, Toyotomi Hideyoshi dan Ieyasu semasa era Sengoku merupakan penganut Kristian. Mereka tidak mengamalkan seppuku (ritual bunuh diri untuk menebus maruah) kerana ia bertentangan dengan ajaran agama itu. Justeru, satu-satunya pilihan mereka ialah bertarung sampai mati di banyak medan termasuk Sekigahara pada 1600.

Tetapi hal ini sudah pasti merungsingkan Ieyasu. Bohonglah kalau beliau dan para daimyo lain tidak tahu kerenah kuasa Eropah itu terhadap pemerintah-pemerintah tempatan terutama di Melaka pada abad ke-16. Laporan kejatuhan Melaka pada 1511 dan pembentukan koloni Sepanyol di Filipina pastinya membuatkan mereka terfikir sekiranya Jepun menjadi sasaran mereka seterusnya.

Bimbang penyebaran agama Kristian menjadi batu asas kepada penaklukan Jepun oleh kuasa-kuasa asing, Antara daimyo yang mula mengambil tindakan ialah Hideyoshi menerusi dekri melarang penyebaran agama Kristian pada 1587.

Perintah dekri itu mendorong ramai orang Kristian Jepun berkira-kira untuk mengangkat senjata melawan Hideyoshi. Malah, hasrat tersebut turut mendapat sokongan mubaligh Kristian seperti Gaspar Coelho. Bagaimanapun, ia ditentang oleh seorang mubaligh lain bernama Alessandro Valignano yang melihat penentangan bersenjata akan menguburkan terus agama Kristian di Jepun.

Keadaan ini tidak dibantu apabila insiden kapal San Felipe pada 1596. Salah seorang krew yang terselamat bernama Francisco de Olandia memberitahu pihak berkuasa tentang keluasan empayar yang dikawal Sepanyol dan bagaimana mereka menakluk wilayah-wilayah di Dunia Baru. Ini termasuk memaksa penduduk tempatan menganut agama Kristian – satu perkara yang mengesahkan tanggapan Hideyoshi terhadap mubaligh-mubaligh Kristian.

Gambaran 26 mubaligh Kristian yang dihukum mati pada 1597 atas arahan Toyotomi Hideyoshi selepas insiden kapal San Felipe setahun sebelumnya.

Akibatnya, 26 mubaligh Kristian dihukum mati dengan cara penyaliban pada 5 Februari 1597. Mereka bukan saja disalib tetapi turut ditikam dengan tombak. Insiden ini merupakan permulaan penindasan orang Kristian di Jepun.

Pada 1614, perintah melarang penyebaran agama Kristian di seluruh negara dikuatkuasakan oleh Keshogunan Tokugawa. Dengan perintah ini, para mubaligh perlu keluar dari Jepun. Mana-mana individu yang masih kekal akan dihukum mati, dipenjarakan atau dipaksa murtad seperti dipaparkan dalam filem Silence.

Francisco Garupe diberi pilihan sama ada murtad atau mati lemas:

Tetapi itu masih tidak mencukupi bagi Keshogunan Tokugawa. Pada 1620-an, bagi memastikan penduduk Jepun patuh kepada dekri yang dikeluarkan beberapa tahun sebelumnya, mereka perlu melakukan fumi-e. Fumi-e merujuk kepada amalan memijak imej Virgin Mary atau Jesus yang diletakkan pada papan kayu atau besi tembaga.

Adegan Sebastiao Rodrigues (Andrew Garfield) melakukan fumi-e dalam Silence:

Antara penduduk terawal yang perlu menjalani amalan ini ialah penduduk Nagasaki pada 1629. Selepas itu, ia menjadi acara tahunan di mana setiap orang perlu memijak besi tembaga atau papan kayu yang memaparkan imej figura utama agama Kristian. Menurut Profesor Martin Ramos dari Ecole Francaise D’extreme-Orient, semua orang perlu melakukannya baik samurai hinggalah golongan petani.

Jika ada yang enggan melakukan fumi-e, maka bersedialah diseksa atau dihukum mati. Kebiasaannya, mereka akan digantung dalam lubang penuh dengan tahi. Bagi memastikan mereka tidak mati, pelipis individu yang diseksa akan dipotong bagi mengurangkan tekanan kepadanya. Mereka yang cedera akan dirawat sehingga sihat sebelum kembali diseksa dengan cara yang sama.

Profesor Kiri Paramore dari Universiti Kebangsaan Ireland (National University of Ireland) berpandangan taktik sebegini bertujuan bukan untuk membunuh tetapi untuk mendorong mereka berputus asas. 2,000 orang yang tetap berpegang kepada kepercayaan mereka itu kemudiannya dihukum mati.

Pada akhirnya, ramai penganut Kristian Jepun memilih berpura-pura murtad tetapi mengamalkan agama itu secara rahsia. Golongan ini dikenali sebagai Kakure Kirishitan atau penganut Kristian secara rahsia.

Pakar Katolik Jepun dari Universiti Nagasaki Junshin Katolik, Professor Simon Hull mendedahkan ada sesetengah Kakure Kirishitan yang bertindak ekstrem selepas melakukan fumi-e. Ada yang membakar terompah kayu yang digunakan untuk fumi-e sebelum mencampurkan abu dalam air dan meminumnya. Bagi mereka, ia merupakan manifestasi taubat mereka selepas melakukan perkara yang bertentangan dengan kepercayaan mereka.

Bagi mengelak amalan Kristian mereka dikesan pihak berkuasa, Kakure Kirishitan mencampurkan elemen kepercayaan mereka dengan Buddha dan Shinto. Misalnya, Dewi Kanon dianggap simbol kepada Virgin Mary. Sementara roti dan wain yang selalu digunakan untuk Perjamuan Suci (Holy Communion) digantikan dengan nasi.

Patung Virgin Mary yang disamarkan sebagai Dewi Kanon dalam agama Buddha.

Tambah Profesor Ramos lagi, sambutan hari perayaan Kristian dibuat secara rahsia. Malah, mereka turut mengadakan pembaptisan dan memberi nama Portugal rahsia kepada anak-anak mereka seperti Paulo, Mario dan Isabella.

Tetapi bagi sesetengah penganut Kristian Jepun, mereka merasakan ini merupakan neraka. Lantas, ia membawa kepada Pemberontakan Shimabara yang tercetus dari Disember 1637 hingga April 1638. Pemberontakan ini tercetus akibat rasa tidak puas hati penduduk Shimabara dan Amakusa terhadap dasar-dasar daimyo mereka, Matsukura Katsuie termasuk penindasan ke atas golongan Kristian.

Panji pemberontak di Shimabara yang diketuai Amakusa Shiro.

Akibatnya, pemberontakan yang diketuai Amakusa Shiro ini memaksa Keshogunan Tokugawa membentuk satu pasukan tentera yang besar untuk menamatkan pemberontakan tersebut. Pemberontak yang berkubu di Istana Hara, Shimabara pada awalnya berjaya bertahan sepanjang musim sejuk 1637 dan 1638.

Tetapi lama-kelamaan, mereka mula berdepan masalah kekurangan senjata, makanan dan air. Pada 12 April 1638, angkatan perang Keshogunan Tokugawa menyerbu istana dan tiga hari selepas itu, pemberontakan diisytiharkan tamat. Amakusa dan para pengikutnya berjumlah 37,000 orang dihukum mati dengan kepalanya dipamerkan di Nagasaki. Manakala Istana Hara pula dibakar sampai hangus.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Matsukura terlepas daripada semua ini. Dengan wilayahnya kini di bawah jagaan daimyo Koriki Tadafusa, beliau ditekan oleh shogun ketika itu, Tokugawa Iemitsu untuk melakukan seppuku. Akhirnya, selepas dibuktikan berlaku zalim terhadap penduduk Shimabara dan Amakusa, Matsukura dihukum mati di Edo.

Penindasan orang Kristian di Jepun hanya berakhir selepas Keshogunan Tokugawa menamatkan dasar tutup pintunya pada 1850-an. Menjelang 1858, amalan fumi-e dihentikan terus di Nagasaki. Pada ketika itulah, 20,000 orang Kakure Kirishitan keluar dari persembunyian dan mengakui agama yang dianuti mereka. Hari ini, 1% daripada populasi Jepun merupakan penganut Kristian dengan komuniti yang terbesar terletak di Nagasaki.


Kalau anda berminat dengan artikel berkaitan dengan sejarah Jepun seperti ini, kami nak cadangkan pembelian buku terbaru kami iaitu, KITAB TAMADUN JEPUN untuk pembelian. Boleh beli di: bit.ly/KTJShopee  

RUJUKAN

McCurry, J. (2015, 24 Disember). Martin Scorsese film recalls martyrdom of Japan’s hidden Christians. The Guardian.

Tan, Y. (2019, 24 November). The Japanese Christians forced to trample on Christ. BBC News.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply