Kita selalu mendengar ungkapan “biar mati anak, jangan mati adat,” tapi tahukah anda bahawa ungkapan tersebut bukan sekadar kata-kata, tapi terdapat satu peristiwa dalam sejarah Alam Melayu berdasarkan ungkapan tersebut. Peristiwa tersebut berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda, sultan ke-12 yang memerintah Kesultanan Aceh sekitar awal abad ke-17. Tapi sebelum itu, mari kita telusuri dahulu sekali imbas berkenaan Kesultanan Aceh dan peribadi Sultan Iskandar Muda.

Umum mengetahui bahawa kerajaan dan Kesultanan Aceh suatu ketika dahulu terutamanya sekitar abad ke-16 dan ke-17 merupakan salah satu kuasa besar di Kepulauan Alam Melayu. Kesultanan yang berpusat di utara Kepulauan Sumatera tersebut bukan sahaja amat dikenali sebagai salah satu Serambi Makkah di Alam Melayu, bahkan kekuatan ketenteraannya juga amat digeruni oleh penjajah-penjajah Eropah seperti Portugis dan Belanda.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Kita juga mempelajari sejarah Kesultanan Aceh sebagai salah satu daripada tiga kuasa besar yang terlibat dalam persaingan menguasai Selat Melaka setelah kejatuhan Kota Melaka sebagai pusat kesultanan Melaka oleh penjajah Portugis. Dua lagi kuasa besar tersebut ialah Portugis dan Kesultanan Johor. Perang Tiga Segi tersebut berlaku hampir seabad lamanya, pemerintah berganti pemerintah. Antara pemerintah Kesultanan Aceh yang terlibat pada zaman tersebut ialah Sultan Iskandar Muda.

Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam ibni Sultan Mansur Shah ibni Sultan Abdul Jalil ibni Sultan Alauddin Riayat Shah al-Qahhar ibni Sultan Ali Mughayat Shah ditabal sebagai Sultan Aceh pada tahun 1606 menggantikan sepupu baginda. Bonda baginda bernama Puteri Raja Indera Bangsa iaitu puteri kepada Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil, Sultan Aceh ke-10.

Ketika pemerintahan Sultan Iskandar Muda, baginda adalah seorang pemerintah yang amat mementingkan perkembangan dakwah dan pengajian Islam di Aceh kerana selain membina dan memperluaskan banyak masjid di Aceh termasuklah Masjid Raya Baiturrahman yang masyhur itu, baginda juga meneruskan legasi sultan-sultan Aceh sebelumnya dalam memperkukuhkan hukum perundangan negeri berdasarkan syariat Islam.

Sultan Iskandar Muda sekurang-kurangnya mempunyai tiga orang isteri. Isteri pertama baginda adalah seorang puteri Gayo dari etnik daerah Aceh Tengah yang melahirkan seorang putera mahkota bernama Meurah Pupok. Isteri kedua baginda pula bernama Putri Sani yang berketurunan Bugis dan melahirkan seorang puteri bernama Putri Sri Alam. Manakala isteri ketiga baginda bernama Puteri Kamaliah atau lebih mereka kenali dengan panggilan Putroe Phang daripada kerabat diraja Kesultanan Pahang.

Ini kerana Aceh pernah menyerang dan menakluk Johor dan Pahang semasa era pemerintahan baginda. Semasa penawanan tersebut, tentera baginda membawa ramai tahanan dari Johor dan Pahang ke Aceh termasuklah beberapa orang kerabat diraja Johor dan Pahang seperti Raja Mughal yang kemudiannya dijadikan anak angkat baginda.

Meurah Pupok merupakan putera Sultan Iskandar Muda yang ditabalkan sebagai Putera Mahkota dan telah dirancang akan menggantikan baginda kelak. Walau bagaimanapun, terjadi satu peristiwa yang bakal mengubah perancangan tersebut. Suatu ketika, datang seorang tentera mengadap Sultan Iskandar Muda mengadu bahawa isterinya telah dia b.unu.h kerana telah berz.in.a dengan Meurah Pupok. Kemudiannya, tentera tersebut diceritakan memb.un.uh dirinya sendiri di hadapan baginda tanpa sempat dihalang.

Sultan Iskandar Muda yang begitu murka dengan aduan dan peristiwa tersebut telah memerintahkan puteranya itu dihukum b.unu.h dengan direjam sehingga mati sesuai dengan hukum perundangan Adat Meukuta Alam yang dikuatkuasakan ketika itu. Ada sumber lain yang menyatakan puteranya itu dihukum pancung.

Papan tanda di depan makam.

Para pembesar cuba menghalang baginda daripada melaksanakan hukuman b.unu.h tersebut dengan mencadangkan hukuman yang lebih ringan, tetapi ditolak oleh baginda. Dengan tegas baginda mengungkapkan satu ungkapan yang masyhur dalam bahasa Aceh: “Mate aneuk meupat jeurat, gadoh adat pat tamita” yang bermaksud: “Mati anak ada kuburnya, hilang adat (hukum) di mana hendak digantikan.” Di sinilah lahirnya pepatah: “Biar mati anak, jangan mati adat.”

Adat di sini boleh ditafsirkan sebagai hukum perundangan. Menurut seorang pengkaji sejarah yang juga Pengarah Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara, Ustaz Hasanuddin Yusof, kefahaman masyarakat Alam Melayu berkenaan kata “adat” pada zaman pra-penjajahan lebih meluas, bukan sekadar adat resam sahaja, bahkan meliputi hukum-hukum perundangan termasuklah hukum-hakam Islam. Kesalahfahaman masyarakat pada masa kini yang menganggap ungkapan “biar mati anak, jangan mati adat” perlu diperbetulkan kerana ramai yang menganggap adat di sini cuma bermaksud adat resam sahaja.

Begitulah ketegasan seorang pemerintah dalam menjalankan hukuman, tidak memilih bulu walaupun terhadap putera mahkota kesayangan baginda sendiri yang dirancang akan menggantikan takhtanya kelak. Jenazah Meurah Pupok dimakamkan jauh dari pemakaman kerabat diraja di suatu kawasan yang pada masa kini dikelilingi oleh kubur tentera-tentera Belanda iaitu di Kerkhoff Peucut di Kota Banda Aceh.

Setelah kemangkatan Meurah Pupok, anak angkat Sultan Iskandar Muda yang juga merupakan menantu baginda, Raja Mughal iaitu putera Sultan Ahmad Shah II dari Kesultanan Pahang, ditabal sebagai Sultan Aceh menggantikan ayahanda mentuanya itu dengan gelaran Sultan Iskandar Tsani. Sultan Iskandar Muda memerintah Aceh selama hampir 30 tahun sehingga kemangkatannya pada tahun 1636.

Sultan Iskandar Tsani menjadi menantu kepada Sultan Iskandar Muda setelah dikahwinkan dengan puteri baginda yang bernama Putri Sri Alam. Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Tsani, balu baginda iaitu Putri Sri Alam ditabal sebagai sultanah Aceh pertama dengan memakai gelaran Sultanah Tajul Alam Safiatuddin kerana ketiadaan waris lelaki bagi menggantikan takhta.

Berbalik semula kepada kisah Meurah Pupok, selepas beliau dihukum b.unu.h oleh ayahandanya, timbul pula desas-desus cerita bahawa beliau difitnah oleh pihak yang tidak senang hati dengannya dan Sultan Iskandar Muda dipengaruhi oleh pihak tertentu. Ada pula sumber mengatakan bahawa Sultan Iskandar Muda menghukum bu.nu.h putera mahkotanya itu kerana perangainya yang amat buruk.

Sekiranya benar cerita hukuman tersebut berlaku kerana fitnah, maka benarlah firman Allah SWT di dalam al-Qur’an: “Fitnah itu lebih dahsyat (dosa dan kesannya) daripada pemb.unuh.an…” (Surah al-Baqarah, ayat 191 & 217). Tetapi sekiranya terbukti benar puteranya itu melakukan z.in.a dan perbuatan terkutuk, maka adillah perbuatan ayahandanya menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap puteranya itu.

Walau bagaimanapun, menerusi temu bual penulis secara panggilan telefon dengan Ustaz Hasanuddin Yusof pada 15 Jun 2021, beliau berpendapat, sekiranya benar cerita Meurah Pupok difitnah sekalipun, ianya tidak menafikan kesolehan dan ketegasan Sultan Iskandar Muda dalam menjalankan hukum, Mesti ada suatu perkara yang pasti membuatkan baginda perlu mensabitkan hukuman tersebut.

Masakan seorang bapa sanggup menghukum satu-satunya anak lelaki kesayangannya yang menjadi harapan penyambung legasinya kelak. Tambahan pula, Sultan Iskandar Muda dibesarkan dalam lingkungan para ulama dan menjadikan para ulama seperti Shaykh Syamsuddin as-Sumaterani sebagai penasihat baginda di istana sewaktu pemerintahannya.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Sultan Iskandar Muda tetap disanjung dalam sejarah sebagai seorang pemerintah yang tegas dalam menjalankan hukum perundangan walaupun terhadap kaum kerabat baginda sendiri. Itu adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan.

Jika kita telusuri sirah Rasulullah SAW, baginda sendiri pernah bersabda: “Walaupun sekiranya Fatimah binti Muhammad telah mencuri, maka aku sendiri akan potong tangannya.” (Sahih Bukhari). Kenyataan Rasulullah SAW tersebut menunjukkan bahawa kedudukan sebagai Ahlul Bayt juga tidak menjamin seseorang itu boleh lepas daripada hukuman atau sebarang keringanan hukuman tersebut.

RUJUKAN:

– Luthfi Auni, The Decline of The Islamic Empire of Aceh (1641-1699), Disertasi Ijazah Sarjana, Institut of Islamic Studies, McGill University, Montreal, Canada, April 1993.

– Nasrul Hamdani, Peutjoet (Kerkhof): Dahulu, Kini dan Nanti, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Balai Pelestarian Nilai Budaya Aceh, Banda Aceh, 2017.

– Hasanuddin Yusof, Raudhatus Salatin, Sultan-Sultan Soleh di Alam Melayu, Alami Sdn. Bhd., 2020.

-Khamami Zada, “Sentuhan Adat dalam Pemberlakuan Syariat Islam di Aceh,” KARSA, Vol. 20, No. 2, hlm. 197-210, Disember 2012.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.