Selalunya apabila melibatkan persoalan bangsa Melayu, mesti kes Hang Tuah dan Hang Jebat akan naik. Bagi saya, kisah ini sangat overrated. Kes Natrah ini sebenarnya yang saya anggap sama berat dengan Tuah-Jebat. Kisah Melayu Perlembagaan pertama.
Kisahnya bermula pada tahun tahun 1942, di mana seorang wanita bernama Adeline Hertogh telah menyerahkan anak perempuannya bernama Maria Hertogh kepada Che Aminah, seorang peniaga kain di Jawa. Hal ini kerana Belanda sedang bergelut dengan Jepun demi kawasan Tanah Jawa pada zaman perang dunia kedua, dan ayah Maria (Sarjan Hertogh) telah pun ditawan pada masa berkenaan.
Maria kemudiannya diberi didikan Islam dan adat Melayu dan namanya ditukar kepada Natrah. Dia dan Che Aminah kemudiannya berpindah ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu kerana risaukan keselamatan Natrah dek api Revolusi Nasional Indonesia yang sudah tersebar luas. Sekalipun Natrah mengamalkan gaya hidup Melayu, itu tetap tak mengubah fakta bahawa dia merupakan ‘orang putih/Belanda’ yang dibenci rakyat di situ.
Kebetulan pada tahun 1945, Sarjan Hertogh dilepaskan dari tahanan dek perang sudah hampir tamat. Walaubagaimanapun, dia dan Adeline gagal menemui Natrah mahupun Che Aminah. Oleh kerana buntu, mereka kembali ke Belanda dan menggunakan saluran kerajaan Belanda demi mencari Natrah. Pada tahun 1949, mereka berjaya menjejaki kampung yang didiami Che Aminah dan Natrah. Bermula dari sini, konflik Natrah bermula.
Pada mulanya, Che Aminah membawa Natrah ke Singapura untuk mempertemukan Natrah dengan bapa kandungnya (12 April 1950). Namun, ia menjadi meleret apabila Ketua Hakim Mahkamah Singapura mengarahkan Natrah (22 April 1950) dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura dan kemudiannya, York Hill, Singapura. Ketika perkara ini berlaku, Natrah direkodkan mengatakan:
“Aminah ialah ibu saya. Dialah yang menyayangi saya dan menjaga saya.”
Natrah kemudiannya memandang Che Aminah dan berkata, “Mak, mak sayang Natrah tak? Kalau sayang, jangan tinggalkan Natrah. Natrah tak nak ikut pegawai ni (merujuk pegawai Kedutaan Belanda).”
Perkara ini sekaligus menyebabkan Che Aminah mencari khidmat guaman bagi menuntut kembali Natrah melalui Mahkamah Rayuan. Peguam belanya pada waktu itu ialah Encik Ahmad Ibrahim. Oh ya, simpan nama ni dalam kepala anda sebab beliau akan jadi orang penting berpuluh tahun kemudian. Akan diceritakan nanti. Pada 28 Julai 1950, Che Aminah berjaya mendapatkan hak penjagaan Natrah. Beberapa hari sebelum itu, Natrah dilaporkan tertekan dengan pengasingan berkenaan,
“Saya menangis selama tiga hari sepanjang berada di York Hill. Pada waktu itu, Hari Raya Puasa baru lepas disambut. Saya meminta pegawai di situ untuk melepaskan saya untuk menyambut Eid di rumah tapi dihalang. Mak ada datang berjumpa dengan saya pada awal Eid. Mak membawa kek dan jeli dan pada keesokan harinya (Eid), saya tak mampu nak tahan menangis lagi. Saya rindukan rumah.”
Oleh kerana takutkan perkara ini berulang kembali, Che Aminah memutuskan untuk mengahwinkan nikah gantung Natrah dengan anak sahabatnya, Encik Mansoor Adabi, seorang guru berusia 21 tahun. Menurut sumber akhbar, Natrah dan Mansoor mengatakan ia adalah cinta pandang pertama. Natrah mengatakan Mansoor juga merupakan gurunya, dengan nada malu-malu. Dengan berlakunya perkahwinan ini, sepatutnya hak penjagaan Natrah akan menjadi sukar untuk direbut oleh pasangan Hertogh.
Walau bagaimanapun, ibu bapa Natrah bertindak pantas dengan menuntut Natrah bukan di atas kapasiti hak penjagaan anak, tapi di atas kapasiti pernikahan tersebut sebagai gagal, null and void. Puncanya? Mansoor berumur 22 tahun dan Natrah berumur 13 tahun. Tepat tanggal 13 November 1950, sekali lagi hak penjagaan Che Aminah ditarik dan diberikan kepada biarawan Katolik.
Kes ini mula menjadi popular dalam kalangan Muslim dunia di mana ia diketahui sejauh Arab Saudi dan Pakistan. Dana dan persatuan Islam mula bergiat aktif dalam menyokong perjuangan Natrah. Hal ini menjadi semakin teruk apabila akhbar Singapore Tiger Standard menunjukkan gambar Natrah berlutut di hadapan patung Virgin Mary. Ini sekaligus mencetuskan provokasi antara golongan Muslim dan penjajah kolonial.
Perkara ini menyebabkan ibu kandung Natrah untuk bergegas bertemu Natrah dari Belanda ke Singapura. Dalam perjumpaan tersebut, puan Adeline menegur perangai Natrah yang tak mahu berjumpa dengannya. Natrah membalas dengan mengatakan dia tak mahu berpisah dengan Mansoor. Juga, dia tak pernah meminta ibu kandungnya datang berjumpa dengannya. Mereka berdua bergaduh dengan puan Hertogh memujuk Natrah kembali dan Natrah membangkang keras.
“Saya dilahirkan sebagai seorang Islam. Saya telah membuat keputusan ini dan akan kekal dengan suami saya sehingga mati.”
Kemudiannya puan Hertogh cuba untuk mencium Natrah, namun Natrah berpaling sambil memeluk Che Aminah. Peristiwa ini memberi tamparan besar kepada puan Hertogh dan dia berlalu edar dari bilik pertemuan ini dalam keadaan menangis.
Kes rayuan kedua ini bermula beberapa hari selepas penahanan Natrah dan pada 12 Disember 1950, pasangan Hertogh memenangi kes ini. Menurut hakim kes berkenaan, Justice Brown, pernikahan Natrah dan Mansoor ini gagal kerana tidak mencapai umur minimum pernikahan.
Bagi wilayah British dan Belanda umur pernikahan minimum ialah 16 tahun. Juga, sistem perundangan Belanda anak-anak di bawah 16 tahun adalah di bawah tanggungjawab ibubapa kandungnya. Ini juga membawa point bahawa Natrah merupakan di bawah tanggungan Gereja Katolik kerana dia sempat dibaptiskan semasa kecil.
Hakim Brown mengatakan kes hak penjagaan ini sebagai paling rumit sebab beliau merasakan kedua-dua pihak ni betul. Sebagai hakim, dia sebenarnya mempercayai keputusan untuk memberikan hak penjagaan kepada Che Aminah adalah benda betul kerana ia membahagiakan Natrah. Tapi pada masa yang sama, ini tak bermakna hidup bersama pasangan Hertogh tak membahagiakan Natrah. Juga, permasalahan pernikahan Natrah-Mansoor.
Keputusan ini sekaligus mencetuskan Rusuhan Natrah oleh penyokong Che Aminah di situ kerana mengetahui nasib Natrah yang bakal dimurtadkan. Seramai 18 orang mati dan 200 orang lagi cedera parah. 5 orang pemimpin rusuhan ini ditahan British dan dijatuhkan hukuman mati.
Hal ini menyebabkan Tunku Abdul Rahman sendiri terpaksa turun dari Malaya untuk memujuk British supaya meringankan hukuman berkenaan. Dek tekanan tersebut, hukuman mereka diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka yang ditahan ini merupakan wartawan yang merupakan rakan rapat Dr. Burhanuddin Helmy.
Serentak dengan hal ini, Natrah dibawa pantas ke pulau St. John, Singapura sebelum dibawa ke Belanda. Kehidupannya dikawal ketat oleh polis Belanda kerana takut diculik. Awal keberadaannya di sana, Natrah masih lagi mengamalkan gaya hidup Melayu Islam seperti solat 5 waktu dan memilih nasi berbanding diet Barat.
Natrah juga mula berutus surat kepada Mansor hingga mereka tua. Namun pada Mac 1953, Natrah mengutus surat kepada Mansur yang meminta supaya jangan berutus surat lagi dan melupakannya. Dia telah memeluk agama Kristian Katolik dan menggunakan nama Maria Bertha Hertogh. Hal ini sekaligus menyebabkan Mansor kecewa dan akhirnya menghentikan sebarang usaha untuk mendapatkan Natrah. Dia kemudiannya berkahwin dengan anak muridnya sendiri.
Realitinya, surat itu bukan berasal daripada Natrah. Ia adalah palsu. Ini dapat dilihat jelas dalam telegram 26 Januari 1956 yang mengatakan Natrah mahu kembali kepada Mansor. Namun, Natrah akhirnya berkahwin dengan seorang askar Belanda, Johan Wolkenfelt beberapa bulan selepas itu. Mereka kemudiannya berutus surat tentang kehidupan keluarga masing-masing.
Pada tahun 1975, sebuah dokumentari berkenaan tragedi Natrah telah dirakamkan. Perkara ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam dan pada tahun berikutnya, dia cuba untuk membunuh Johan. Disebabkan percubaan ini tak pernah menjadi, Natrah tidak dihukum dan tak selepas itu, mereka bercerai. Pada tahun yang sama, Che Aminah meninggal dunia pada usia sekitar 70 tahun. Beberapa tahun kemudian, Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans sebelum bercerai 4 tahun kemudian.
Pada tahun 1998, Natrah sempat melawat kakak angkatnya, Kamariah di Kemaman, Terengganu. Menariknya, Kamariah juga seperti Natrah, orang Melayu tak berdarah Melayu. Dia merupakan orang Jepun. Pertemuan mereka ini adalah sangat emosianal dek terpisah selama 48 tahun, dan juga pertemuan terakhir mereka kerana Kamariah akhirnya meninggal dunia kerana leukimia. Pada tahun 2009, Natrah akhirnya meninggal dunia pada usia yang lebih kurang dengan Che Aminah, sekitar 70-an, oleh penyakit yang sama seperti kakaknya, yakni leukimia.
Tragedi ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya Natrah dan Mansor dinikahkan di Malaya. Singapura merupakan tanah jajahan British, dan Malaya cuma protektorat British. Perundangan yang terpakai di situ ialah perundangan syariah negeri. Juga, sekiranya ia merupakan nikah sebenar dan Natrah hamil, ini akan menyukarkan lagi tuntutan pasangan Hertogh.
Persoalan identiti Melayu di sini ialah berkenaan apa yang menjadikan orang melayu itu, Melayu? Dalam kisah Tuah-Jebat, kita dihidangkan dengan permasalahan falsafah keadilan. Dalam kisah Natrah, kita dihidangkan dengan persoalan konstruk sosial bangsa.
Menurut konteks sekarang, orang Melayu ialah keturunan pelayar purba Austronesia yang memeluk agama Islam dan mengamalkan adat Melayu. Natrah dan Kamariah pula merupakan keturunan Indo-Eropah dan Japonic, tapi memeluk Islam dan mengamalkan adat Melayu. Jadi, adakah mereka ni tetap merupakan orang Melayu? Adakah konsep bangsa ni merupakan konstruk sosial? Kalau ya, kenapa kita masih ada konsep rumpun? Itu tak masuk lagi permasalahan keadilan dalam hak ibubapa.
Oh ya, tragedi ini juga memberi kesan yang mendalam kepada negara kita. Pada tahun 1988, kuasa mahkamah sivil telah dipisahkan dengan mahkamah Syariah melalui pindaan Perlembagaan. Cuba teka siapa yang jayakan benda ni? Ya, beliau ialah encik Ahmad Ibrahim.
Pada masa tersebut, beliau dikenali sebagai Tan Sri Prof. Emiritus Ahmad Ibrahim. Beliau merupakan pengasas fakulti undang-undang di Universiti Malaya. Bagi pelajar UIA, mungkin anda pernah dengar nama AIKOL, yakni nama kuliyyah perundangan. Ya, kulliyah tersebut dinamakan sempena beliau sebagai pengasasnya. Ahmad Ibrahim Kulliyah of Law.
Bagi saya, tragedi ini perlu diingati oleh rakyat Malaysia dan Melayu umumnya sebagai relik klasik permasalahan keadilan. Kalaulah Che Aminah berjaya memenangi hak tersebut, barangkali Natrah hidup bahagia, sesuatu yang cuba dicari oleh Natrah di Belanda.
Mungkin juga dia tak perlu menangis teringatkan cinta pertamanya, Mansor walaupun telah berusia lebih 50 tahun. Namun, takdir tak mengatakan begitu. Akhirnya, kedua-dua Natrah dan Che Aminah meninggal dalam keadaan hati yang sedih dan terluka.
RUJUKAN:
- Tom Earnes Hughes (1980). Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh. Institute of Southeast Asian Studies. ISBN 978-9971-902-12-4.
- Fatini Yaacob, book – “Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata, Universiti Teknologi Malaysia”, year 2010, ISBN 978-983-52-0731-0/ISBN 978-983-52-0729-7
- “The Maria Hertogh Riots (11 Dec 1950)”. Ministry of Education, NationalEducation. Archived from the original on 25 October 2005. Retrieved 19 October 2005.broken URL
- Torn Between Two Worlds at “Headlines, Lifelines” website of the National Educational Multimedia kit for schools (c) Singapore Press Holdings. First published in 150 years of the Straits Times (15 July 1845–1995).
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih