Mitos penciptaan merupakan suatu elemen yang lazim wujud dalam hampir setiap kebudayaan di dunia. Sebelum mereka memeluk sesebuah agama, mitos penciptaan kebiasaannya dijadikan sebagai tunjang kepercayaan bagi masyarakat yang mengamalkan fahaman paganisme. Antara kebudayaan yang tidak ketinggalan dari mempunyai mitos penciptaannya yang tersendiri adalah kebudayaan di Mesoamerika, sebelum bumi mereka dinodai oleh penjajah-penjajah Sepanyol.

Mitos penciptaan ini diabadikan oleh seorang penulis yang tidak dikenali di dalam sebuah manuskrip yang dinamakan sebagai Popol Vuh. Terdapat variasi terjemahan yang merujuk kepada maksud Popol Vuh, antaranya seperti ‘Kitab Nasihat’, ‘Kitab Manusia’ atau lebih harfiah, ‘Kitab Tikar’.

Kononnya, manuskrip ini dinamakan sebagai ‘Kitab Tikar’ kerana orang-orang yang mendengar pembacaan manuskrip ini kebiasaannya akan duduk di atas tikar yang dianyam tangan. Popol Vuh tidaklah memuatkan tentang mitos penciptaan semata-mata.

Di dalamnya terkandung mitos penciptaan dunia, kisah pengembarana perwira legenda, mitos penciptaan manusia dan sejarah serta genealogi para pemerintah Quiche sebelum kaum asli itu dijajah oleh Kristian-Sepanyol pada kurun ke-16 Masehi. Kaum asli Quiche merupakan salah satu cabang dari kebudayaan Maya yang menghuni bahagian barat tanah tinggi wilayah Guatemala moden.

Lantaran kandungannya yang sarat dengan kebudayaan dan sejarah Maya, maka tidak hairanlah sekiranya Popol Vuh dianggap sebagai sebuah Ib’al atau instrumen yang mengandungi ilmu pengetahuan yang mendalam. Walau bagaimanapun, kaum Quiche-Maya tidaklah menganggap Popol Vuh ini sebagai kalam Tuhan. Hanyasaja ia manuskrip yang memerihalkan kisah purba justeri ia dianggap keramat dan dimuliakan.

Manuskrip ini ditulis pada tahun 1554-1558 Masehi oleh seorang individu tidak dikenali dari kaum asli Quiche. Menurut catatan sejarah, manuskrip ini dihasilkan dengan tujuan untuk memelihara dan menyelamatkan kebudayaan dan mitos Maya dari hilang ditelan kekejaman penjajah Sepanyol.

Pada tanggal 12 Julai 1562 Masehi, satu musibah keilmuan yang dahsyat menimpa masyarakat asli itu. Suatu musibah atau kerugian yang boleh kita bandingkan kesannya dengan hancurnya perpustakaan-perpustakaan Baytul Hikmah di Baghdad di tangan Monggol, walaupun bilangan manuskrip yang musnah sama sekali ketara bezanya. Dalam masa satu malam sahaja, lebih 40 buah buku di kota Mani yang menyimpan khazanah tradisi Maya hangus dibakar angkara seorang mubaligh Kristian yang bernama Diego De Landa. Ribuan patung dan lukisan turut dibakar sama dalam kejadian itu.

Lukisan yang menggambarkan peristiwa pembakaran manuskrip, patung dan lukisan kaum Maya

Lebih menyedihkan, mubaligh yang membuat dajal ini adalah individu yang diberikan kepercayaan oleh masyarakat asli Maya di sana. Begitu percayanya mereka terhadap beliau sampaikan mereka dengan sukarela dan teruja menunjukkan buku-buku pusaka mereka kepada De Landa – suatu kelebihan yang jarang sekali diraih oleh mana-mana mubaligh Kristian yang lain.

Mujur, De Landa tidak memiliki autoriti ke atas petempatan-petempatan asli Maya-Yucatan (Yucatan merujuk kepada nama kawasan) di sebelah selatan. Kalau tidak, mungkin bilangan buku yang dibakar itu jauh lebih banyak. Menurut rekod, hanya empat karya Maya-Yucatan terselamat daripada musibah ini dan dapat diwariskan sehingga sekarang, iaitu Dresde, Madrid, Paris Codices dan Chilam Balam (nama tiga daripadanya merujuk kepada tempat naskhah itu dibawa). Melengkapkan naskhah yang kelima adalah Popol Vuh, manuskrip dari Quiche-Maya.

Pada tahun 1701 Masehi, seorang lagi mubaligh Kristian dari Sepanyol diberikan akses ke atas manuskrip Popol Vuh. Mujur, keperibadian mubaligh yang bernama Francisco Ximenez ini berbalikan dengan De Landa. Meneruskan tekad si penulis Popol Vuh yang mahu memelihara dan mewariskan kebudayaan masyarakatnya kepada generasi mendatang secara khusus dan dunia secara umum, Ximenez mengambil tanggungjawab untuk menyalin dan menterjemahkan naskhah tersebut ke dalam bahasa Sepanyol.

Walaupun naskhah asli Popol Vuh hilang atau mungkin disembunyikan oleh kaum Quiche, naskhah transkripsi Ximenez ini tersimpan rapi dalam jagaan Perpustakaan Newberry, Chicago. Di dalam naskhah transkripsi dan terjemahan ini, Popol Vuh dibahagikan kepada empat jilid.

Halaman pertama terjemahan Popol Vuh

Pada asalnya, Popol Vuh ditulis dalam bentuk puisi panjang tidak dikelompok-kelompokkan mengikut jilid – ciri yang mirip dengan puisi-puisi klasik Yunani mahupun Mesopotamia. Walau bagaimanapun, wujudnya sebutan ataupun frasa ‘buku asal dan tulisan purba’ dalam Popol Vuh seolah-olah mengisyaratkan bahawa Popol Vuh ini ditulis berdasarkan sumber-sumber tulisan dan lisan yang lebih awal.

Sebahagian penulis kontemporari menyebutkan bahawa Popol Vuh terdiri daripada tiga bahagian, iaitu mitos penciptaan alam serta manusia, kisah pengembaraan perwira legenda dan juga sejarah serta genealogi para pemerintah awal Quiche-Maya sehingga kurun ke-16 Masehi, kurun di mana mereka dijajah oleh Sepanyol.

Dalam artikel ini, kita akan membahaskan secara ringkas kandungan Popol Vuh mengikut jilid-jilidnya, iaitu jilid satu sehingga empat.

JILID I – MITOS PENCIPTAAN ALAM

Popol Vuh dimulakan dengan perenggan yang berbunyi, “Ini adalah sebuah catatan, catatan tentang suatu zaman di mana alam masih lagi rapuh, masih kelam dan masih lagi kosong di bawah langit. Masih belum ada seorang pun manusia, haiwan, burung, ikan, ketam, pokok, batu, lembah, padang rumput mahupun hutan di dunia ini. Hanya langit tunggal semata-mata. Permukaan bumi masih belum berbentuk. Hanya laut tunggal di bawah langit.”

Seperti mana-mana kepercayaan pagan yang lain, mereka memahami bahawa dunia ini berbentuk rata, di ceruk bawahnya terletak Alam Kematian dan di atasnya pula dibumubungi langit yang berbentuk kubah. Lebih kurang begitulah gambaran bagi alam yang sedang dibicarakan oleh Popol Vuh ini.

Kemudian, sekumpulan dewata ulung yang sebahagian sumber menamakannya sebagai Gucumatz dan Tepeu mula mencipta dunia dan segala hidupan, kecuali manusia. Namun, memandangkan haiwan-haiwan ini sama sekali tidak dapat bertutur kata apatahlagi memuji dan mengagungkan para dewa, maka mereka pun mencipta manusia.

Relik yang menggambarkan manusia jagung, sebagaimana yang akan diceritakan di bawah

Dilihat sebagai satu ciri unik yang tidak wujud dalam mitos-mitos lain, Popol Vuh menceritakan bagaimana para dewa mengalami kegagalan demi kegagalan dalam menciptakan manusia. Dalam cubaan pertama, mereka mencipta manusia daripada kayu. Makhluk manusia ini sememangnya boleh bercakap dan berkembang biak di muka bumi. Namun, mereka sama sekali tidak mempunyai hati dan perasaan. Malah, mereka juga dihancurkan oleh badai banjir. Mereka yang terselamat pula kononnya diubah menjadi monyet.

Ada pula yang menyebutkan naratif bahawa manusia-manusia yang terselamat itu melupakan tujuan penciptaan mereka iaitu untuk mengingati dan mengagungkan dewa-dewa yang menciptakan mereka. Naratif ini kemudian membawa kepada naiknya dewata yang dikenali sebagai Seven Macaw ke tampuk kekuasaan. Bermula di sini, terhenti seketika penceritaan tentang mitos penciptaan manusia dan Popol Vuh berpindah pula kepada kisah perwira legenda di dalam jilid kedua dan ketiganya.

JILID II – WIRA KEMBAR MENGEMBALIKAN KEAMANAN DI DUNIA

Jilid kedua ini memerihalkan tentang dua orang putera kayangan yang bernama Hunahpu dan Xbalanque, di mana kedua-duanya digelari sebagai Wira Kembar. Mereka berdua dikisahkan mengatur niat dan perancangan untuk menundukkan Seven Macaw dan dua puteranya iaitu Zipacna dan Cabracan. Kononnya pada masa itu masih belum ramai lagi manusia di muka bumi.

Kedua-dua wira ini berasa kesal kerana dewata Seven Macaw menabalkan dirinya sebagai raja dewa tanpa ada sesiapa pun yang mencabar atau menuding kekurangannya. Seven Macaw dikatakan enggan memperakui kedudukan dewa-dewa lain. Maka dalam pengembaraan Wira Kembar ini, dikisahkan bagaimana mereka berdua memperdaya dan memerangkap Seven Macaw berserta dua puteranya sekaligus mengembalikan keamanan dan keseimbangan di dunia.

Lukisan yang menggambarkan Wira Kembar

JILID III – PENGEMBARAAN WIRA KEMBAR DI ALAM KEMATIAN

Memasuki jilid ketiga, Popol Vuh membawa penceritaan ke garis masa yang lebih awal berbanding kisah pada jilid kedua. Di dalam jilid ini, watak yang ditampilkan adalah Hun-Hunahpu dan Vucub Hunahpu yang masing-masing adalah ayah dan bapa saudara kepada Wira Kembar. Mereka berdua ini adalah anak kepada Xpiyacoc dan Xmucane, makhluk kayangan pertama yang mencipta atau membiakkan manusia.

Dikisahkan bahawa dua beradik ini menimbulkan kemurkaan raja dewa yang menguasai alam kematian Maya, atau disebut sebagai Xibalba berikutan bunyi bising yang terhasil daripada upacara bermain bola yang mereka lakukan. Bagi melampiaskan kemurkaannya itu, raja dewa alam kematian pun memperdaya mereka berdua untuk turun ke Xibalba dan menyahut cabaran untuk bermain bola. Dalam kesempatan itu, Hun-Hunahpu dan Vucub Hunahpu dibunuh dan kepala Hun-Hunahpu digantung di sebatang pokok Calabash yang terdapat di Xibalba.

Kemudian, seorang puteri perawan yang bernama Xquiq (juga dikenali sebagai Dewi Bulan Darah) berasa tertarik dengan kepala tersebut walaupun dipesan supaya tidak mendekati pokok Calabish itu. Beliau mengingkari amaran tersebut dengan menghampiri pokok berkenaan. Namun, kepala itu meludahi tangannya dan akibat daripada itu, beliau pun mengandung.

Lantaran kejadian tersebut, beliau diusir dari alam kematian dan diperintah untuk hidup di alam bumi bersama Xmucane (ibu kepada Hun-Hunahpu). Berikutan kejadian yang menimpa kedua puteranya itu, Xmucane enggan mempercayai Xquiq. Dua orang putera yang dilahirkan oleh Xquiq juga enggan diterima dengan hati yang terbuka oleh Xmucane.

Beliau menyembunyikan kelengkapan bola milik Hun-Hunahpu dan Vucub Hunahpu kerana tidak mahu kedua orang cucunya itu menetahui tentang nasib malang yang menimpa bapa dan pakciknya itu, yang kemudian pasti akan mendorong mereka untuk turun ke alam kematian dan membalas dendam.

Namun, kelengkapan tersebut ditemui jua oleh Wira Kembar itu. Lantas, mereka berdua pun turun ke Alam Kematian dan membunuh raja dewa Xibalba. Sesudah itu, Wira Kembar mendaki Pokok Dunia dan naik ke langit di mana mereka menjadi matahari dan bulan.

Wira Kembar bermesyuarat dengan para dewa

JILID IV – MITOS PENCIPTAAN MANUSIA DAN SEJARAH KAUM QUICHE

Selesai mengisahkan tentang pengembaraan wira-wira legenda, Popol Vuh kembali kepada mitos penciptan yang ditinggalkan pada jilid pertama tadi. Dalam jilid ini, Popol Vuh melanjutkan penceritaan dengan menyatakan bahawa para dewa mencipta manusia dengan diperbuat daripada jagung.

Dalam kebudayaan Mesoamerika, jagung dianggap sebagai tumbuhan suci dan makanan para dewa. Justeru, tidak hairanlah sekiranya empat orang manusia pertama yang diciptakan daripada jagung yang dikisahkan oleh Popol Vuh ini melahirkan manusia-manusia yang sempurna sifatnya. Terkandung di dalam Popol Vuh:

“… Mereka merupakan makhluk yang elok dan tampan rupa parasnya. Akal hadir kepada mereka dan mereka pun mula melihat. Mereka melihat dengan sempurna, mengetahui segala sesuatu yang di bawah langit, di sekitar langit, dan di bumi juga dengan sempurna… Ketika mereka memandang, pengetahuan mereka semakin bertambah-tambah. Pandangan mereka melangkaui pokok, menembusi batu, laut, gunung dan juga daratan.”

Kesempurnaan ini menghadirkan permasalahan yang tersendiri buat para dewa. Bagi mereka, manusia diciptakan untuk mengagungkan mereka dan bukannya untuk memiliki sifat-sifat kesempurnaan yang membolehkan mereka duduk setara dengan para dewa. Justeru, para dewa pun melakukan pengubahsuaian terhadap ciptaan tersebut.

Kemudian, manusia-manusia ini dikurniakan pasangan (isteri). Betapa gembiranya mereka tatkala dikurniakan isteri sampaikan mereka yang pada asalnya diciptakan daripada jagung ini sama sekali melupakan hakikat bahawa mereka dahulunya pernah mengetahui segala sesuatu dan bahkan memiliki sifat yang setara dengan dewa.

Manusia kemudiannya beranak-pinak dan menanam tumbuhan – melangsungkan kitaran hidup secara terus-menerus.

Popol Vuh ditutup dengan kisah penghijrahan kaum Quiche dan juga lampiran genealogi mereka. Di dalam bahagian ini juga dimuatkan pengenalan tentang dewa Gucumatz, yang dikenali dalam kalangan kaum Maya di Yucatan sebagai Kukulkan, dan Quetzalcoatl bagi kaum Aztec. Jilid keempat Popol Vuh ditutup dengan perenggan berikut:

“Cukuplah sekadar ini pengetahuan tentang kaum Quiche, memandangkan (kini) sudah tiada lagi tempat untuk melihatnya. Terdapat buku asli dan tulisan purba (berkenaan hal ini) yang dimiliki oleh raja-raja (kita yang dahulu), namun ianya telah hilang kini. Namun begitu, segalanya berkenaan Quiche, yang kini dinamakan sebagai Santa Cruz, telah pun dilengkapkan di sini.”

Susur galur para dewa dan separa-dewa yang terdapat di dalam Popol Vuh

PENUTUP

Popol Vuh sangat dimuliakan oleh kaum Maya secara umum dan Quiche-Maya secara khusus, yang mana kini mereka memusatkan kebudayaan di sekitar Guatemala. Menerusi Popol Vuh, sejarahwan dan ilmuwan-ilmuwan dalam bidang etnografi berpeluang mendalami kebudayaan purba tamadun Maya, terutama berkenaan astronomi, konsep ritual, keagamaan dan bermacam-macam lagi. Pemahaman terhadap teks Popol Vuh juga sangat menyumbang dalam menafsirkan ukiran-ukiran batu yyang terdapat di beberapa buah tapak arkeologi Maya.

Selain mengenali dengan lebih lanjut kebudayaan dan mitos penciptaan kaum Quiche-Maya, Popol Vuh juga memberikan seribu satu pengajaran dan iktibar tentang betapa pentingnya pemeliharan khazanah ilmu.

RUJUKAN

Christopher Minster. (3 Julai 2019). Overview pf the Popol Vuh. ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/the-popol-vuh-the-maya-bible-2136319

Joshua J. Mark. (21 Mac 2014). Popol Vuh. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Popol_Vuh/

Wu Mingren. (11 April 2015). Popol Vuh: The Sacred Narrative of Maya Creation. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/popol-vuh-sacred-narrative-maya-creation-002893


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.