Sejak Maharaja Augustus menjadikan kerajaan Rom sebagai sebuah empayar yang meluas dari semenanjung Iberia (Sepanyol dan Portugal) sehingga ke sejauh Mesopotamia, amat ramai maharaja bersilih ganti dan hanya beberapa maharaja saja yang berjaya memakmurkan empayar walaupun dikelilingi oleh ancaman luar seperti migrasi orang luar Rom dan konflik dalaman seperti isu rampasan kuasa.
Terdapat beberapa orang maharaja yang kita kenal kerana zaman pemerintahannya yang mempengaruhi empayar serta warga Rom seperti maharaja Caligula yang menonjolkan kekayaannya, maharaja Nero yang terkenal dengan isu ketidakpedulian baginda terhadap penempatan Rom yang terbakar, maharaja Vespasian yang menjayakan kempen penaklukan terutamanya menakluk Jrusalem, dan maharaja Commodus yang obses dengan kehidupan gladiatornya.
Namun, ada juga beberapa maharaja Rom yang sedikit dan tidak ada sebarang sumbangannya kepada kemajuan empayarnya, seperti maharaja Zeno yang saya akan bentangkan, serta kontroversi terhadap kemangkatan baginda sehingga dikatakan isterinya tidak membantu baginda apabila masih hidup dalam keranda.
Nama sebenar Zeno ialah Tarasis dan lahir di wilayah Isauria iaitu wilayah di kawasan timur Asia Kecil (Turki). Tarasis ialah berbangsa Isauria yang mempunyai bahasanya sendiri, berkahwin dengan isterinya bernama Arcadia yang berasal dari keluarga aristokrat kota Konstantinopel dan mempunyai dua orang anak perempuan yang bernama Hilaria dan Theopiste.
Sepanjang Tarasis memegang jawatan sebagai pegawai kerajaan di Konstantinopel, pencapaian terbesar beliau ialah mempertahankan kota tersebut dari serangan puak Hun yang diketuai oleh Attila pada tahun 447. Pada tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai ahli konsul empayar Rom. Dari sinilah beliau menukarkan namanya kepada ‘Zeno’ bagi memastikan dirinya diterima oleh masyarakat Rom. Zeno kemudian berkahwin dengan Ariadne, puteri maharaja Rom Timur bernama Leo I (457 – 474) dan melahirkan anak lelaki bernama Leo II.
Tidak pasti apakah hubungan Zeno dengan isteri pertamanya selepas berkahwin dengan Ariadne, sama ada bercerai atau kematian isteri. Pada bulan Oktober 473, Leo I melantik Leo II sebagai pengganti baginda memerintah Rom Timur, kemudian pada 18 Januari 474, baginda telah mangkat. Walapun Leo II menjadi maharaja baru namun usianya begitu muda untuk memerintah iaitu berumur 7 tahun. Isteri Zeno bersama ibunya bernama Verina terus melantik Zeno sebagai pemangku Leo II sehingga anak mereka mencapai akal baligh.
Malang tidak berbau, maharaja Leo II telah mangkat kerana sakit, menjadikan Zeno menerima takhta sebagai maharaja Rom Timur baru pada 29 January 474. Sepanjang baginda memerintah Rom Timur, tidak banyak sumbangannya malah peristiwa yang menjadikan baginda popular seperti maharaja terdahulu kerana fasanya penuh dengan pemberontakan dari wilayah-wilayah luar Rom yang baginda harus tangani.
Maharaja Zeno juga satu-satunya maharaja yang menyaksikan keruntuhan empayar Rom Barat yang semakin tenat dengan pencerobohan kaum Goth yang tiada kesudahan. Baginda menyaksikan wilayah Itali yang merupakan pusat pemerintahan empayar Rom dirampas oleh jeneral perang Rom bernama Odoacer yang berbangsa Goth selepas menggulingkan maharaja Rom Barat bernama Romulus Augustus, kemudian melantik dirinya sebagai Raja Itali pada tahun 476.
Jadi, maharaja Zeno hanyalah maharaja yang memastikan Rom Timur tidak jatuh ke tangan kaum-kaum imigran seperti Goth walaupun terpaksa menyaksikan keruntuhan Rom Barat, tidak sempat melakukan sesuatu perkara yang menjadikan baginda diingati oleh rakyatnya.
Walau bagaimanapun, kemangkatan maharaja Zeno menjadi kontroversi bagi kalangan sejarawan kerana keanehan cara baginda mangkat. Baginda mangkat pada 9 April 491 disebabkan oleh jangkitan dalam usus atau kecederaan otak. Namun, menurut rekod oleh dua orang sejarawan Rom Byzantine dari abad ke-11 dan ke-12 Masihi bernama Joannes Zonaras dan George Kedrenos, baginda dimasukkan dalam keranda setelah disahkan mangkat kerana tidak sedar akibat meminum banyak air.
Apa yang para ahli gereja Holy Apostles di Konstantinopel tidak sedar semasa letakkan Zeno ke dalam keranda ialah baginda masih Hidup lagi. Setelah Zeno sedar, baginda mendapati dirinya berada dalam keranda dan berteriak meminta tolong supaya keluarkan dirinya dari keranda.
Yang anehnya, isterinya sendiri bernama Ariadne tidak mahu ahli gereja bukakan keranda dan biarkan ia berkunci walaupun sedar Zeno sedang bergelut selama 3 hari untuk pastikan sesiapa mendengar teriakkannya. Akhirnya baginda betul-betul mangkat akibat kekurangan oksigen dan kehausan.
Sehingga kini, tiada siapa tahu mengapa Ariadne tidak mahu selamatkan suaminya sendiri. Lagipun rekod kedua-dua sejarawan Rom Byzantine ini sajalah rekod sah mengenai kemangkatan maharaja Zeno. Mungkinkah ada motif Ariadne sendiri yang bersifat kejam sehingga sanggup biarkan suaminya sengsara di dalam keranda?
Kalau tengok balik apa yang Ariadne buat selepas kemangkatan Zeno, memang kelihatan ada motif. Ariadne memilih seorang ahli istana bernama Anastasius sebagai pengganti Zeno. Pilih pula bukan saja-saja. Ariadne kemudian berkahwin dengan maharaja baru ini. Maka pada masa ini, kita semua dapat renung balik siapa paling bersalah di sebalik ‘pengebumian’ Zeno…
Salah bukan pada Ariadne.
Salah juga bukan pada Anastasius.
Salah adalah pemain Liverpool.
Kalau anda meminati sejarah ketamadunan Rom, kami ada buku khas untuk anda semua! Jemput beli melalui: https://thepatriots.store/store/books/kitab-tamadun-rom/
RUJUKAN:
Stephen Mitchell, A history of the later Roman Empire, AD 284–641: the transformation of the ancient world, Wiley-Blackwell, 2007.
Gillan, Joanna. 23 June 2022. Emperor Zeno Was Accidentally Buried Alive and His Wife Refused to Save Him. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih