Pada satu ukiran inskripsi sejarah berkenaan kerajaan Melayu Srivijaya, dipercayai diukir pada tahun 782 Masihi, ada seorang pemerintah Srivijaya, seorang Maharaja bernama Sangramadhananjaya. Baginda digelar sebagai “Vishnu Sang Penghancur Musuh” dan merupakan antara Maharaja yang membawa kerajaan Melayu Srivijaya menjadi sebuah empayar yang disegani rakan dalawan di Nusantara.

Baginda adalah Maharaja Srivijaya yang pernah memerintah Empayar Srivijaya sekitar 782 hingga 790 Masihi, tahun-tahun di mana dipercayai berlakunya serangan Srivijaya ke atas Inderapura (kini Kemboja moden), kerajaan yang dikuasai oleh seorang Raja Khmer.

Sumber yang menceritakan tentang kisah ini ialah Rihlatus Sirafi karya Sulaiman At-Tajir dan Abu Zaid As-Sirafi.

Kisah ini dirujuk dalam banyak pengkisahan tentang ‘Zabag’, satu gelaran yang digunakan oleh perawi-perawi Arab dalam kisah catatan mereka bagi menggambarkan Melayu Srivijaya.

Dari terjemahan Rihlatus Sirafi oleh Arsyad Mokhtar (2017) juga Early Kingdoms: Indonesian Archipelago & The Malay Peninsula (2016) oleh Paul Michel Munoz, ditulis pada keduanya bahawa Raja Khmer ini mentadbir kerajaannya dengan aman dan makmur serta dalam keadaan memiliki segala-galanya.

Namun baginda mencemburui kemewahan dan kemakmuran yang lebih besar dan hebat dimiliki oleh pemerintah Srivijaya, ditulis padanya sebagai ‘Maharaja Zabag’.

Raja Khmer ini seorang yang muda dan begitu garang sekali perwatakannya. Baginda dengan angkuh dan gopohnya bertitah di hadapan menterinya akan keinginannya mahu melihat “kepala Maharaja Srivijaya ini di atas dulang dan dipersembahkan di hadapannya”, satu kenyataan provokasi yang begitu menghina sekali terhadap Maharaja Srivijaya ketika itu.

Baginda Raja Khmer ditegur keras oleh menterinya yang menasihati raja muda tersebut akan komplikasi yang bakal diterima oleh Inderapura. Menterinya yang sudah sedia maklum akan tindak-tanduk serta sifat gopoh baginda tidak bersetuju dengan keinginan Raja Khmer yang muda itu.

Beliau menasihati baginda Raja Khmer antaranya tentang bagaimana Srivijaya tidak pernah cuba mencampuri atau menguasai urustadbir Inderapura. Bagaimana masyarakat Srivijaya ketika itu sekalipun lebih maju dari Inderapura, tidak pula membanding-banding, Maharajanya pula jauh sekali memcemburui apa yang dimiliki Inderapura.

Namun, baginda Raja Khmer menjadi murka atas nasihat menterinya itu.

Kisah kegopohan Raja Khmer dan kegelojohan baginda bertitah diwar-warkan pula pada segenap kerajaannya kerana sifat terburu-burunya. Titah provokasi baginda Raja Khmer tersebut akhirnya sampai kepada pengetahuan Maharaja Srivijaya.

Baginda Maharaja yang terkenal dengan pengalaman, kemahiran berperang dan kehebatan mentadbir empayar Srivijaya melihat ianya sebagai suatu perkembangan yang sebenarnya mengancam kedaulatan baginda dan kerajaan yang dipimpinnya.

Di dalam Kisah Raja Qumar (Khmer) Dengan Maharaja, Raja Zabag, himpuman Rihlatus Sirafi 916 Masihi, terjemahan Arsyad Mokhtar (2017) m.s. 163-164; baginda Maharaja Zabag ditulis bertitah;

“Tidak patut sama sekali setelah mana tersebarnya perkara dan angan-angan si jahil ini, tak padan dengan mentah dan tak sedar dirinya serta penyakit cemburunya; tak patut untuk kita biarkan begitu sahaja. Sesungguhnya hal yang begitu boleh menghilangkan dan mengurangkan kehebatan seorang raja bahkan memperlekehkannya;”

Di dalam Early Kingdoms (2016) oleh Paul Michel Munoz m.s. 137-138 pula baginda Maharaja Srivijaya ditulis bertitah;

“Selepas kata-kata yang dituturkan oleh si bodoh ini, mahu melihat kepala beta di atas dulang, beta bertanggungjawab untuk menamatkannya. Beta tidak sewajarnya membiarkan dia berkata demikian dan menghina diri beta;”

Baginda akhirnya menitahkan sejumlah besar kapal perang lengkap dengan tentera dan kelengkapan perang, kapal bersaiz sederhana untuk misi menyerang Inderapura (diriwayatkan sehingga 1000 buah kapal yang sesuai digunakan untuk memudiki Sungai Mekong terus ke kota Inderapura)

Misi baginda Maharaja Srivijaya dikaburkan dengan niat ‘lawatan kerja ramah mesra dan memantau segenap empayar’ bagi melindungi niat sebenar baginda ‘bertanya khabar’ ke atas Raja Khmer yang muda dan gopoh itu.

Segala-galanya telah terlalu lewat apabila armada Maharaja Srivijaya sampai ke kota Inderapura, mengepung istana dan mengarahkan Raja Khmer menghadap sendiri Maharaja Srivijaya yang sangat murka atas titah gopoh raja yang muda tersebut.

Kejutan ini dibuat tanpa sebarang pertumpahan darah, kerana Maharaja Srivijaya tidak memperkenankan rakyat Inderapura dihukum kerana kegopohan rajanya.

Selepas Raja Khmer diseret menghadap baginda Maharaja Srivijaya di hadapan kota Inderapura, baginda Maharaja bertanya;

“Apakah yang menyebabkan engkau sampai berangan-angan sesuatu di luar kemampuanmu dan tidak ada keuntungan untukmu sekiranya engkau berjaya, serta tidak ada suatu sebab pun yang memudahkan jalan untuk engkau mencapainya?”

Raja Khmer yang sudah terlewat untuk menyesali cabul mulutnya terus senyap membisu, tidak tahu apa yang mahu dijawabnya sendiri.

“Seandainya apa yang engkau angan-angankan untuk melihat kepalaku di atas dulang di hadapanmu itu adalah suatu maksud untuk menjarah negeri dan kerajaanku atau membuat kerosakan di sana, maka pastilah aku akan melakukan hal yang sama ke atasmu. Namun, nampaknya engkau memang berhasrat untuk membunuhku semata-mata, kerana itu aku juga akan melakukan hal itu kepadamu, kemudian aku akan pulang ke negeriku tanpa menyentuh sesuatu apa pun dari negerimu ini, sebagai suatu peringatan buat pemerintah selepasmu agar dia tidak melampaui had kemampuannya dan apa yang telah diberikan untuknya serta agar dia sentiasa dalam ketenteraman selama mana ia menghargainya.”

Kepala Raja Khmer itu kemudian dipenggal dan baginda menasihati menteri Inderapura untuk mencari pengganti yang lebih bijak dan tidak berperangai seperti raja muda tersebut. Baginda juga berterima kasih kerana menterinya sudah berusaha menasihati baginda rajanya sendiri dan amat rugi sekali kerana nasihatnya tidak pula didengari.

Maharaja Srivijaya itu kemudian pulang ke istananya sendiri, tanpa melakukan sekelumit kerosakan ke atas bumi Inderapura.

Baginda kemudiannya bersemayam di atas singgahsana yang terletak di atas tasik. Tasik tersebut penuh dengan bongkah-bongkah emas tanda kekayaan empayar Srivijaya, dengan di sebelahnya adalah dulang yang diletakkan kepala Raja Khmer itu tadi.

Baginda Maharaja bertitah menerangkan ke atas semua menteri dan penasihatnya apa dan mengapa baginda melakukan sedemikian.

Selesai bertitah baginda memerintahkan supaya kepala Raja Khmer itu dibersihkan, diwangi dan dihiasi kemudian diletakkan di dalam sebuah bekas untuk dihantar semula pulang ke Inderapura.

Bersamanya, baginda Maharaja menulis sepucuk surat dengan maksud;

“Bahawa apa yang menyebabkan beta mengambil tindakan sedemikian terhadap sahabatmu ini ialah sikap melampaunya terhadap kami, serta sebagai suatu bentuk pengajaran bagi orang seumpamanya. Sesungguhnya telah sampai kepada kami daripadanya apa yang hendak dilakukannya terhadap kami, maka inilah kami berpandangan untuk mengembalikan kepalanya kepadamu disebabkan tidak ada kebaikan untuk kami untuk menyimpannya dan tidak pula sebarang kemegahan atas kemenangan kami terhadapnya.”

Diriwayatkan juga di dalam kisah ini bahawa ia mejadikan Maharaja Srivijaya dan kerajaan Melayu Srivijaya dipandang tinggi oleh raja-raja lain dari kerajaan yang berjiran. Setelah kejadian itu, Raja Khmer lain selepasnya pada setiap pagi akan menghadap muka mereka ke arah Srivijaya atau Zabag ini tadi.

Mereka kemudiannya akan khusyuk dengan sujud kesyukuran bagi membesarkan Maharaja Srivijaya yang menghukum kegopohan raja mereka tanpa melakukan kerosakan ke atas kerajaan mereka. Ia pelajaran dan pengajaran yang sangat berguna buat mereka dan Inderapura, atau kini sebahagian dari Kemboja moden.

Itulah, kegopohan seorang raja akhirnya menghukum dirinya sendiri, malah hampir sahaja membinasakan kerajaan dan isi rakyatnya. Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.