Tanpa dapat dinafikan, Stonehenge merupakan monumen prasejarah yang paling masyhur di England dan bahkan mungkin di dunia. Pada hari ini, monumen purba ini berada di bawah jagaan English Heritage, sebuah badan kebajikan berdaftar yang menguruskan lebih 400 buah bangunan, monumen dan tapak bersejarah England.

Dahulu, keadaannya tidaklah sebegitu kerana sebelum ini Stonehenge berada dalam pemilikan peribadi. Keadaan tersebut berubah apabila Sir Cecil Herbert Edward Chubb membeli Stonehenge dan kemudian menyerahkannya kepada pemilikan awam. Berikutan tindakan tersebut, Chubb dikurniakan gelaran 1st Baronet of Stonehenge.

Sir Cecil Chubb pada Mei 1926 bergambar di atas RMS Aquitania

Cecil Chubb dilahirkan pada tahun 1876 di kampung Shrewton, tidak jauh dari Stonehenge. Ayah beliau merupakan seorang penghasil pelana dan abah-abah di kampung itu. Bermula daripada latar belakang keluarga yang sederhana, Chubb membawa diri mendaki tangga sosial dan kemudian menjadi seorang peguam.

Pada waktu yang sama itu jua, Stonehenge dimiliki oleh keluarga Antrobus sejak awal 1800an lagi. Pada bulan-bulan pertama Perang Dunia Pertama, waris kepada wangsa Antrobus terbunuh di Belgium. Memasuki tahun 1915 pula, Sir Edmund Antrobus yang merupakan Baron Ke-4 merangkap seorang kolonel dalam pasukan Coldstream Guard turut meninggal dunia. Memandangkan beliau tidak mempunyai zuriat lelaki, statu baron diserahkan kepada adiknya. Baron baru ini seterusnya memasukkan hampir kesemua estet Amesbury Abbey di Wiltshire milik keluarga ke dalam pasaran untuk dijual, sama ada secara sepenuhnya mahupun mengikut lot. Salah satu lot yang cuba dijual ialah Stonehenge yang turut merangkumi sebidang tanah yang berkeluasan 30 ekar.

Pada tahun 1915, Stonehenge boleh menjadi milik anda dengan harga kurang dari $10 000 sahaja

Pada tanggal 21 September 1915, acara lelongan diadakan di New Theatre, Salisbury. Dalam katalog lelongan, Stonehenge dilabel sebagai ‘Lot 15’ dan diperincikan sebagai sebuah ‘tempat keramat yang didedikasikan kepada pencerapan matahari’.

Bidaan terhadap Lot 15 bermula pada harga £5000 dan meningkat pantas kepada £6000 lalu bidaan dihentikan. Namun kemudian, Lot 15 pada akhirnya dijual pada harga £6600 ($10 000, pada hari ini jumlah tersebut dianggarkan bernilai £680 000 atau $962 000). Individu yang membeli lot berkenaan tidak lain dan tidak bukan adalah Cecil Chubb, yang pada waktu itu sudah pun mengumpulkan harta kekayaan melalui kariernya.

Menurut legenda masyhur, Cecil Chubb dihantar oleh isterinya, Mary Chubb ke rumah bidaan itu untuk membeli satu set langsir. Menurut beberapa catatan lain, barang yang mahu dibeli oleh Cecil Chubb sebenarnya adalah kerusi. Walau apapun jua keadaannya, Cecil membeli Stonehenge sebagai hadiah ulang tahun kelahiran isterinya.

Cuma malangnya, Mary tidak begitu menggemari hadiah suaminya itu. Selain didorong oleh rasa cinta terhadap isterinya, Cecil juga dikatakan membeli Stonehenge atas dasar semangat kenegaraan. Kononnya, beliau membeli monumen bersejarah itu untuk mengelakkannya dari jatuh ke tangan si kaya Amerika yang dicanang-canang sudah lama berhasrat mahu memiliki barangan antik di seantero.

Cecil dan Mary Chubb, pemilik Stonehenge terakhir

Memasuki tanggal 26 Oktober 1918, iaitu sekitar dua minggu sebelum tamatnya Perang Dunia Pertama, Cecil menghadiahkan monumen purba itu kepada pemilikan umum. Walau bagaimanapun, terdapat dua syarat yang mengiringi sumbangan berkenaan.

Syarat pertama adalah warga setempat perlu diberi keizinan untuk memasuki tapak tersebut secara percuma. Syarat kedua pula, yuran kemasukan yang dikenakan hendaklah tidak melebihi satu syiling bagi setiap kunjungan. Pada hari ini, warga setempat masih boleh memasuki tapak itu secara percuma, walaupun harga tiket untuk orang dewasa hakikatnya mencecah £17.50 ($25).

Stonehenge, Dataran Salisbury UK, circa 1920


Kedermawanan Cecil ini meraihkannya gelaran 1st Baronet of Stonehenge setahun kemudian. Satu . pingat penghargaan berbentuk trilithon ditempa khas buat Cecil. Begitu juga dengan motto ‘Saxis Condita’ (bermaksud ‘ditubuhkan di atas batu’). Kedua-duanya itu merujuk kepada Stonehenge.

Selepas Cecil meninggal dunia pada tahun 1934, gelaran beliau diwarisi oleh anaknya, Sir John Cecil. Namun, Baronet ke-2 itu meninggal dunia pada tahun 1957 tanpa meninggalkan pewaris sekaligus menamatkan jalur gelaran baron tersebut.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (23 Mac 2018). Cecil Chubb: The Man Who Bought Stonehenge. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/cecil-chubb-man-bought-stonehenge-009790


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.