Apabila berbincang tentang dunia lanun, mestim kita kenal dan sebut nama-nama ‘tokoh’ lanun yang terkenal seperti Blackbeard, Kapten William Kidd, atau Bartholomew Roberts. Kisah lanun ini juga termasuklah kisah misteri keberadaan harta karun yang mereka tanam sehingga kini ramai pemburu harta karun masih gilakan pencarian mereka. Namun begitu, perasan tak kisah-kisah lanun ini tidak satupun wanita yang juga ‘berjawatan’ sebagai lanun.
Lanun wanita sebenarnya wujud namun bilangan mereka tidak banyak dan tidak pernah popular. Tambahan lagi terdapat ‘kontrak’ kapal yang menyatakan bahawa wanita dan kanak-kanak dilarang menyertai aktviti lanun, walaupun ‘kontrak’ yang dikatakan itu hanyalah bualan mulut saja.
Namun, begitu, ‘kontrak’ itu tidak menghalang pasangan wanita yang memang bercita-cita menjadi lanun, lari dari kehidupan asal di kota yang hanya dikuasai oleh lelaki. Pasangan wanita tersebut ialah Anne Bonny dan Mary Read. Bagaimana pasangan ini memulakan ‘karier’ mereka sebagai lanun wanita yang terkenal sebaris dengan Blackbeard?
Anne Bonny: Lanun Wanita Yang Menjadi Tarikan Lelaki
Mari kita kenali dahulu kisah Anne Bonny ini. Anne lahir pada tahun 1697 di kota Cork, Ireland, dan juga anak perempuan dari pasangan William McCormac, seorang peguam dan hambanya bernama Mary Brennan. Selepas kelahiran Anne, ayahnya melarikan diri bersama Mary yang mendukung Anne ke London bagi mengelakkan kecurigaan dari isteri serta keluarganya. Sepanjang Anne membesar, dia dipakaikan baju lelaki dan diajar oleh ayahnya menjadi seorang kerani.
Setelah diketahui rahsia William oleh isterinya, keluarga isteri tidak lagi memberikan nafkah, kemudian menghalau William dan Mary ke wilayah Carolina, iaitu wilayah milik British di utara Amerika. William tukarkan nama McCormac kepada nama Cormac saja untuk membiasakan dia dan keluarga bersama warga Amerika. Sejak menetap di Carolina, William begitu berusaha untuk memastikan Mary dan Anne mampu mengisi perut setiap hari. Sehinggalah dia mampu bekerja semula sebagai peguam dan mampu membayar sewa rumah serta memiliki ladang sendiri. Kemudian, William memulakan bisnes perdagangan untuk kembalikan kehidupan asalnya.
Malang tidak berbau, Mary telah meninggal dunia ketika Anne berusia 12 tahun. Sejak ibunya telah tiada, Anne berada dalam fasa memberontak sehingga menjadi seorang panas baran. Menurut buah mulut masyarakat kota tempat Anne tinggal, dia dikatakan menikam salah satu pembantu rumah ayahnya menggunakan pisau ketika umur Anne 13 tahun. Walaupun Anne panas baran, namun dia adalah wanita yang cantik fizikalnya sehingga mampu menarik perhatian lelaki, Dengan kecantikkan fizikalnya, Anne berkahwin dengan seorang kelasi bernama James Bonny yang berkecimpung dalam dunia lanun.
Setelah ayahnya mengetahui Anne berkahwin senyap-senyap, William menghalau anaknya dan tidak lagi menjadikan Anne sebagai pewaris harta dan estet ayahnya. Anne dan suaminya berpindah ke pulau New Provence di Kepulauan Caribbean (kini menjadi wilayah bawah Bahamas). Pulau New Provence adalah pulau yang selamat melakukan aktiviti lanun kerana disitulah tertubuhnya kerajaan lanun bernama ‘Republic of Pirates’. Kerana ‘hotspot’ lanun ini, James ambil kesempatan menjadi pemberi maklumat kepada kerajaan Amerika dengan berpaling tadah dari dunia lanun.
Sejak James menjadi pemberi maklumat, ramai lanun ditangkap oleh pihak berkuasa. Kes sebegini menjadikan Anne curiga dengan perbuatan suaminya, kemudian dia senyap-senyap membantu warga lanun di belakang suaminya. Anne biasanya pergi ke bar pada waktu petang dan meluangkan masa untuk bergaul dengan lanun lain dan melindungi mereka dari intipan James. Sehinggalah Anne bertemu dengan kapten lanun terkenal bernama Calico Jack, kemudian mereka berdua melakukan hubungan intim.
Hubungan intim Anne dan Jack sangat kuat sehingga Jack sanggup berikan sejumlah wang yang banyak kepada James supaya dia bercerai dengan isterinya. James menolak tawaran itu malah mengugut Jack akan masuk penjara jika dia masih lagi bersama Anne. Demi pastikan mereka tidak ditangkap, Jack dan Anne melarikan diri menggunakan kapal Jack. Anne pula harus berpakaian seperti lelaki kerana ‘kontrak’ kapal yang melarang penglibatan wanita. Setelah beberapa tempoh yang lama bersama kumpulan lanun Jack, Anne mengandungkan anak lelaki dan tidak dapat lagi menyamar sepenuhnya. Akhirnya Anne melahirkan anaknya dan berkahwin dengan Jack di atas kapal. Anne kemudian diiktiraf sebagai lanun wanita selain menjadi isteri Jack. Dari ‘karier’ baru Anne inilah dia bertemu dengan seorang lagi wanita lanun bernama Mary Read.
Mary Read: Lanun Wanita Yang Menjalani Kehidupan Sebagai Lelaki
Kisah Mary Read tidak serumit kisah Anne dan dia lebih tua dari Anne, lahir pada tahun 1685 di England. Ayahnya seorang kelasi namun meninggal dunia, begitu juga abang sulungnya senasib dengan ayahnya. Demi nafkah keluarganya diteruskan oleh keluarga ayahnya, ibu Mary memakaikan baju lelaki kepada Mary dan menyamar sebagai abang sulung. Apabila penipuan ini diketahui oleh keluarga ayahnya, mereka tidak lagi memberikan nafkah.
Sepanjang hidup bersama ibu, Mary diteruskan menyamar sebagai lelaki dan mendapat kerja sebagai pembantu rumah untuk menyara hidup mereka berdua. Sehinggalah Mary terlibat dalam Perang 9 Tahun, iaitu perperangan antara kerajaan Perancis dengan Empayar Rom Suci (1688-1697), sebagai penghantar serbuk api kepada para tentera. Mary kemudian berkahwin dengan seorang tentera dari peperangan tersebut namun malangnya suami Mary meninggal dunia selepas sehari berkahwin.
Mary meneruskan kehidupannya dengan menyamar sebagai lelaki, namun kali ini dia menyertai kumpulan lanun yang memiliki kapal perang Belanda. Semasa mereka memulakan misi berlayar ke Kepulauan Caribbean, kapal Belanda mereka diserbu oleh kapal lanun milik Calico Jack. Mary dipenjarakan tetapi dia bernasib baik kerana Anne memberikan tawaran kepada Mary untuk menjadi salah satu kru lanun Jack.
Mulanya Anne menggoda Mary sebagai ‘ganjaran’ jika Mary menyertai kumpulan lanun Jack. Mary kemudian mengaku tentang dirinya yang sebenarnya seorang wanita. Anne terkejut dengan pengakuan Mary, namun oleh sebab Anne memahami apa yang telah Mary lalui, Anne tidak memberitahu kepada sesiapa akan rahsia Mary. Mary merasa lega dan selesa untuk mengikuti kumpulan Jack. Dari sinilah mereka berdua berkawan rapat sehingga menimbulkan konspirasi antara kru lanun Jack di mana Anne dan Mary mengadakan hubungan intim (tidak ketahui jantina Mary sebenar).
Jack merasa cemburu akan keakraban hubungan isterinya dengan Mary, sehingga berniat melakukan pembunuhan ketika Mary sedang tidur. Semasa Jack hampir membunuh Mary, dia terpaksa mendedahkan dirinya sebenar. Jack terkejut akan pendedahan Mary sebagai wanita namun begitu dia tidak teruskan pembunuhan kerana tidak mahu kehilangan lanun yang bersungguh-sungguh seperti Mary. Maka, Jack melepaskan Mary dan melayannya seperti dia melayan Anne.
Anne Bonny dan Mary Read: Pasangan Lanun Wanita Yang Menggerunkan
Setelah selesai konflik Jack dengan Mary, Anne dan Mary selesa dengan menampilkan diri mereka sebagai wanita yang menyertai kumpulan lanun yang terkenal. Jack pula terus mengadakan hubungan intim dengan Mary namun Anne tidak kisah, asalkan dia bersama sahabat baiknya memburu harta dalam kapal.
Anne dan Mary adalah pasangan lanun wanita yang menggerunkan, berlawan tidak gentar terhadap musuh, berpakaian dan berlagak seperti lelaki lanun supaya identiti mereka tidak terdedah kepada sesiapa selain kru lanun Jack. Ramai saksi menyaksikan betapa gerunnya Anne dan Mary bertempur namun ramai saksi wanita perasan bahawa kedua-dua lanun ini sebenarnya wanita kerana bentuk dada mereka berdua lebih besar dari dada lanun lelaki lain.
Namun begitu, zaman Anne dan Mary sebagai lanun terkenal berakhir pada tahun 1720, di mana berlaku pergaduhan kecil antara kru Jack dengan pegawai kerajaan Jamaica di dalam bar tempat kumpulan lanun Jack melepak, yang melibatkan serangan pegawai swasta bernama Jonathan Barnet terhadap salah satu kru Jack. Pergaduhan tersebut menyebabkan ramai kru lanun mengalah akibat kemabukan yang melampau. Tetapi, Anne dan Mary tidak mengalah malah mengajak lanun lelaki lain melawan para pegawai kerajaan yang masuk campur. Pada akhir pergaduhan, kesemua kru lanun Jack termasuklah Jack sendiri bersama Anne dan Mary ditangkap.
Kesemua kru lanun Jack disabitkan bersalah dan mendapat hukuman gantung sampai mati, termasuklah Anne dan Mary. Pernah saksi mendengar kata-kata terakhir Anna kepada suaminya, iaitu:
“Had you fought like a man, you need not have been hang’d like a dog.”
Ya, begitu kasar Anne bersuara kerana betapa bengangnya pasangan lanun wanita ini terhadap lanun lelaki yang lemah melawan kerajaan. Sehingga masuk hari hukuman, mereka berdua didapati mengandungkan anak Jack, kemudian diberikan kelonggaran sehingga pasangan wanita ini melahirkan anak. Tidak pasti apakah nasib mereka berdua setelah melahirkan anak. Mary dikatakan meninggal dunia akibat ‘demam’, mungkin akibat dari jangkitan selepas mengandung. Manakala Anne pula tidak pasti nasibnya, sama ada dapat hukuman atau tidak. Yang pasti hanya dua perkara saja: meninggal dunia dalam penjara atau melarikan diri dari penjara.
Inilah kisah Anne Bonny dan Mary Read, satu-satunya pasangan wanita yang pernah gegarkan dunia lanun. Keberanian mereka melebihi keberanian lelaki serta melanggar norma kehidupan wanita pada abad ke-17 dan ke-18 Masihi ini menjadikan kisah mereka berdua tercatat dalam sejarah dunia.
Dua buku best-seller The Patriots kini kami gandingkan sekali dalam versi bahasa Inggeris untuk kalian semua:
World Without Walls III: https://bit.ly/3PR2Ep9
The Human’s Complex: https://bit.ly/3J2GoGF
RUJUKAN:
Leigh, Lex. 18 July 2022. Pirate Queens of the High Seas: Anne Bonny and Mary Read. Ancient Origins.
Leafloor, Liz. 15 December 2020. 10 Of The Most Famous Pirates, Male And Female, Who Ruled The Seas! Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih