Sastera Melayu merupakan salah satu cabang ilmu yang sangat misteri dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Kalau orang Barat boleh bangga dengan karya mereka seperti Beowulf, Historia Regum Britanniae oleh Geoffrey of Monmouth yang juga mengandungi kisah King Arthur, The Odyssey oleh Homer, The Histories oleh Herodotus dan sebagainya, kita penduduk Malaysia secara khususnya pun patut berbangga dengan hasil kesusasteraan penduduk kita. Sebagai contoh, Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang, Bustan al-Arifin oleh Sheikh Nuruddin al-Raniri, Tuhfat al-Nafis oleh Raja Ali al-Haji dan banyak lagi yang menunjukkan bahawa penulisan karya kesusasteraan kita pun setanding atau lebih baik dari segi penulisan dan gaya bahasa berbanding karya daripada Barat.
(Hikayat) Sejarah Melayu, atau disebut juga Sulalatus Salatin adalah hasil tangan Tun Seri Lanang, mengikut catatan yang terdapat pada akhir penulisan kitab ini siap ditulis pada tahun 1123 hijrah, iaitu bersamaan tahun 1711 mengikut kalendar masihi. Sebagaimana diketahui, kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini merupakan antara salah satu karya nukilan dan hasilan dari Alam Melayu Nusantara yang hebat, di mana kalau diperhatikan dengan teliti di dalam karya agung ini terdapat penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Arab yang dimurnikan menjadi satu jalan cerita yang mudah difahami dan senang diselami watak serta plot ceritanya. Karya Sulalatus Salatin ini mengandungi pelbagai cerita dan plot yang berbeza; bermula dengan kisah Raja Iskandar Zulkarnain serta salah satu keturunannya yang menguasai Benua Hindi, diselang-seli dengan kisah Raja-raja dan rakyat di negeri bawah penguasaan raja masing-masing, diakhiri dengan kisah-kisah menarik berkenaan penduduk Alam Melayu.
Hikayat Melayu ini juga menggambarkan kepada kita bahawa Alam Melayu sudah mempunyai penduduk yang berorganisasi, maju dalam pelbagai bidang seperti pelayaran, pertanian, perniagaan, dan lain-lain lagi, serta mempunyai strata pemerintahan tersendiri yang unik mengikut negeri masing-masing, hubungan diplomatik yang luas dengan kerajaan-kerajaan lain di sekitar Alam Melayu mahupun peringkat antarabangsa, serta mempunyai kemajuan tersendiri dari sudut ketenteraan, pembuatan barangan harian dan juga pembangunan sekali gus menafikan dan menutup dakwaan pengkaji sejarah Barat yang mengatakan bahawa Alam Melayu masih mengamalkan kehidupan primitif sejak dahulu.
Dalam Sulalatus Salatin, terdapat penceritaan beberapa kisah peperangan antara kerajaan dan pemerintah yang penulis rasakan sangat sesuai untuk dikongsi, kerana ia dapat mendedahkan pembaca kepada pengembaraan ke dalam dunia Alam Melayu. Bahkan penulis merasakan bahawa pendedahan berkenaan peperangan yang pernah dicatat di dalam Sulalatus Salatin ini adalah alternatif yang bagus untuk menarik minat pembaca meminati dan mengkaji sejarah penduduk di Kepulauan Melayu ini setelah kita selalu dimomokkan dengan kehebatan kisah peperangan Barat saban hari melalui media cetak dan media antarabangsa seperti dokumentari, filem dan sebagainya sedangkan tamadun di alam Melayu pun mempunyai kisah yang sama kalau bukan lebih hebat.
Berikut adalah beberapa kisah-kisah perang yang boleh dijumpai dalam kitab Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang. Antara kisah perang terawal di dalam Sulalatus Salatin adalah kisah Raja Suran, pemerintah kerajaan Amdan Negara di Benua Hindi yang berketurunan Iskandar Zul-karnain. Baginda telah menjalankan operasi menakluk China yang pada ketika itu tidak termasuk di dalam jajahan takluk kerajaan Baginda di benua Hindi. Di dalam Sulalatus Salatin disebut mengenai bermulanya pengembaraan Raja Suran ini untuk menakluk negeri China:
Maka adalah kerajaan baginda itu, segala raja-raja dari masyrik lalu ke maghrib sekaliannya takluk kepada baginda, melainkan negeri China juga yang tiada takluk kepada Raja Suran. Maka Raja Suran pun berkira-kira hendak menyerang negeri China. Maka baginda menyuruhlah menghlmpunkan segala bala Teriteranya; maka sekalian rakyat pun berkampunglah daripada segala pihak negeri, tiada terpermanai lagi banyaknya. Maka segala raja-raja yang takluk kepada Raja Suran itu pun sekaliannya datang dengan alat senjatanya, dan dengan segala rakyatnya sekali; adalah banyaknya segala raja-raja itu seribu dua ratus. Maka telah sudah sekaliannya datang berkampung, maka Raja Suran pun berangkatlah hendak menyerang benua China. Maka adalah daripada banyaknya rakyat berjalan itu, segala hutan belantara pun habis menjadi padang, dan bumi pun bergentar seperti gerupa, dan gunung pun bergerak, dan segala tanah yang tinggi-tinggi itu pun menjadi rata, dan batu pun habis berpelantingan, dan segala sungai pun habis kering, jadi seperti lumpur, kerana dua bulan perjalanan itu tiada berputusan lagi; jikalau pada malam yang gelap sekalipun, menjadi terang seperti bulan pumama pada ketika cuaca, daripada kebanyakan kilat cahaya Senjata; jikalau halilintar di langit sekalipun tiada kedengaran, daripada kesangatan tempik segala hulubalang dan sorak segala rakyat, bercampur dengan gajah, kuda, tiadalah sangka bunyinya lagi. Maka segala negeri yang bertemu dengan Raja Suran itu habislah dialahkannya, maka sekalian negeri itu semuanya habis takluk kepada baginda.
Maka boleh difahami bahawa kisah-kisah perang di dalam kitab Sulalatus Salatin ini adalah apa yang penulis himpun dan ringkaskan berdasarkan kisah antara raja-raja dan rakyat yang berlaku sejak kedatangan Iskandar Zul-karnain ke benua Hindi sehingga berlakunya pertembungan dan asimilasi dengan kerajaan yang wujud di alam Melayu. Berikut adalaha antara kisah peperangan yang penulis ringkaskan:
PENAKLUKAN RAJA SURAN KE ATAS GANGGA NEGARA
Gangga Negara merupakan sebuah kerajaan kuno yang terletak di Benua Hindi. Dikatakan Gangga Negara merangkumi tiga negara lain iaitu Beruas, Dinding dan Manjung yang sekarang terletak di Perak, Malaysia. Diceritakan di dalam Sulalatus Salatin telah berlaku pertempuran antara kerajaan Amdan Negara pimpinan Raja Suran dengan kerajaan Gangga Negara pimpinan Raja Gangga Syah Johan. Kisah ini dicatat oleh Tun Seri Lanang di dalam kitab Sulalatus Salatin:
Setelah berapa lamanya, maka Raja Suran pun sampailah kepada sebuah negeri Gangga Negara namanya, Raja Gangga Syah Johan nama rajanya. Maka adapun negeri itu di atas bukit, dipandang dari hadapan terlalu tinggi, dan dari belakang rendah juga; ada sekarang kotanya di darat Dinding, ke sana Perak sedikit. Setelah Raja Gangga Syah Johan mendengar khabar Raja Suran datang, maka baginda menyuruhlah menghimpunkan segala rakyatnya, nan menyuruh menutupipintu kotanya, dan bangunan-bangunan pun disuruh tunggui, dan parit pun dipenuhi dengan air. Maka segala rakyat Raja Suran pun datanglah mengepung kota Gangga Negara itu, maka dilawan berperang oleh orang di atas kota itu. Maka segala rakyat Raja Suran pun tiada boleh tampil; kenaikan baginda gajah meta. Maka beberapa ditikam dan dipanah orang dari atas kota, tiada diendahkannya; maka tampil juga ia menghampiri pintu kota Gangga Negara, dipalunya dengan cokmamya, maka pintu Gangga Negara pun robohlah. Maka Raja Suran pun masuklah ke dalam kota Gangga Negara dengan segala hulu balangnya.
Peperangan antara dua kuasa ini akhirnya berakhir dengan kemenangan Raja Suran ke atas Raja Gangga Syah Johan. Di dalam kisah ini juga diceritakan bahawa Raja Suran telah berkahwin dengan seorang puteri asal Gangga Negara bernama Puteri Dara Segangga.
PEPERANGAN RAJA SURAN DENGAN RAJA CHULAN, PEMERINTAH LANGGIU
Selepas Gangga Negara, Raja Suran seterusnya meneruskan perjalanan dalam operasi penaklukan China, baginda sampai ke sebuah negara digelar Langgiu atau Linggiu, di mana menurut penulis kitab Sulalatus Salatin ini, perkataan Langgiu dalam bahasa Siam bermaksud ‘perbendaharaan permata’. Langgiu ialah sebuah negara yang besar dan hebat di bawah pemerintahan seorang raja bernama Raja Chulan. Raja Chulan pemerintah negara Langgiu ini adalah berbeza dengan Raja Chulan keturunan diraja Sarawak yang berjuang menaikkan ekonomi penduduk Tanah Melayu sewaktu pemerintahan British dahulu.
Mengikut kitab Sulalatus Salatin, Langgiu merupakan sebuah kota yang diperbuat daripada batu hitam dan terletak di Hulu Sungai Johor. Sehingga kini muncul pelbagai teori dan kajian yang mengatakan bahawa kota Langgiu atau Linggiu ini wujud di kawasan takungan air Empangan Linggiu yang dibina oleh kerajaan Singapura, tetapi belum dijumpai sebarang bukti kukuh yang menyokong pernyataan sedemikian. Setelah Raja Suran sampai ke negara Langgiu, maka berlakulah pertempuran antara Raja Suran dan Raja Chulan seperti diceritakan di dalam Sulalatus Salatin:
Demi Raja Chulan mendengar Raja Suran datang itu, maka Raja Chulan pun menghimpunkan segala rakyat; dan segala raja-raja yang takluk kepada baginda, semuanya berkampunglah. Maka Raja Chulan pun mengeluarilah akan Raja Suran; maka rupa segala rakyat itu seperti lautan, rupa gajah dan kuda pun demikian juga, seperti pulau rupanya, dan tunggul panji-panji seperti hutan, dan segala Senjata pun berlapis-lapis. Sekira-kira empat gorah bumi jauhnya berjalan, setelah datang lah pada suatu sungai, maka kelihatanlah rakyat Raja Suran seperti hutan rupanya. Maka kata Siam, “pangkali” ertinya “sungai”, maka dinamai orang sungai itu Sungai Pangkali.
Diceritakan oleh Tun Seri Lanang di dalam kitab Sulalatus Salatin ini bahawa berlaku pertempuran melibatkan gajah milik Raja Suran dan Raja Chulan dengan pelbagai aksi menarik berlaku antara keduanya: Setelah dilihat oleh Raja Suran, maka baginda pun tampillah mengusir Raja Chulan itu
Maka adapun kenaikan Raja Suran, gajah tunggal lagi meta, delapan hasta tingginya; tetapi gajah Raja Chulan itu terlalu berani. Maka bertemulah kedua gajah itu, lalu berjuang, maka bunyi kedua gading gajah itu seperti bunyi petir yang tiada berputusan. Maka kedua gajah itu pun tiada beralahan; maka berdiri Raja Chulan di atas gajahnya menimang-nimang lembingnya, lalu ditikamkannya kepada Raja Suran, maka kenalah ke baluhan gajah itu, sejengkal menjunjung ke sebelah. Maka Raja Suran pun segera memanah Raja Chulan, kena dadanya terus ke belakang; maka jatuhlah ia dari atas gajahnya ke tanah, lalu mati.
Peperangan ini berakhir dengan kemenangan Raja Suran ke atas Raja Chulan, penaklukan kerajaan Amdan Negara ke atas negara Langgiu selain diceritakan berlakunya perkahwinan antara Raja Suran dengan puteri Raja Chulan, iaitu Puteri Onang Kiu.
PENAKLUKAN MAJAPAHIT KE ATAS TEMASIK (SINGAPURA)
Antara satu kisah perang yang ada di dalam Sulalatus Salatin adalah kisah bagaimana kerajaan Majapahit menakluk Temasik. Kisah ini berlaku selepas peristiwa Temasik diserang todak. Pada masa itu, Temasik diperintah oleh Raja Iskandar dan mempunyai seorang bendahara bernama Sang Rajuna Tapa. Raja Iskandar menyayangi anak kepada Sang Rajuna Tapa kerana kecantikan paras rupa dan elok wajahnya. Akan tetapi anak beliau ini telah difitnah oleh dayang-dayang istana yang lain sehingga dihukum bunuh oleh Raja Iskandar. Maka Sang Rajuna Tapa telah membelot serta memanggil kerajaan Majapahit untuk menyerang Temasik sebagai pembelaan ke atas anaknya yang dibunuh akibat fitnah tadi. Kisah ini dicatat di dalam kitab Sulalatus Salatin oleh Tun Seri Lanang:
Hatta, maka Sang Rajuna Tapa pun berkirim surat ke Majapahit, demikian bunyinya, “Sang Rajuna Tapa. bendahari Raja Singapura empunya sembah kepada Betara Majapahit, jikalau Betara hendak mengalahkan Singapura, segeralah datang; Hamba ada belot dalam negeri.” Setelah Betara Majapahit mendengar bunyi surat bendahari Singapura itu, maka baginda pun segera menyuruhkan berlengkap tiga ratus jong, lain daripada banting dan jongkong, kelulos, tiada berbilang lagi; dua keti rakyat Jawa yang pergi itu. … Maka dikeluari oleh orang Singapura terlalu sabur berperang; tetak-menetak, parang memarang, tikam-menikam, serta dengan tempik-soraknya, gegak-gempita, tiada sangka bunyi lagi. Maka darah di Terigah peperangan itu seperti air sebak, merah rupanya pasir itu,datang sekarang ada lagi. Maka patahlah perang orang Singapura, lalu sekaliannya undur masuk ke dalam kota; pintu kota pun ditutup, dan dilawan berperang dari dalam kota kira kira sebulan lamanya.
Peperangan ini dikatakan meninggalkan impak yang sangat besar kepada penguasaan politik kerana dengan penguasaan ke atas Temasik, ia telah membuka pintu kepada kerajaan Majapahit untuk terus melebarkan pengaruh dan kuasa mereka di alam Melayu.
PENAKLUKAN MELAKA KE ATAS KAMPAR
Disebut di dalam Sulalatus Salatin juga berkenaan sebuah negara yang bernama Kampar, ibu negaranya diberi nama Pekan Tua yang diperintah oleh raja berketurunan Minangkabau, iaitu Maharaja Jaya. Mengikut penulisan kitab Sejarah Melayu ini, disebutkan bahawa negara Kampar tidak tertakluk di bawah penguasaan Melaka. Maka pemerintah Melaka ketika itu, Sultan Mansur Syah memerintahkan Seri Nara Diraja diiringi oleh Khoja Baba untuk menyerang dan menundukkan Kampar di bawah penguasaan Melaka. Kisah ini boleh dibaca di dalam Sulalatus Salatin:
Setelah datang ke Kampar, maka dipersembahkan orang kepada Maharaja Jaya, mengatakan: “Orang Melaka datang menyerang kita.” Setelah Maharaja Jaya mendengar khabar Seri Nara Diraja datang menyerang dia itu, maka Maharaja Jaya memberi titah kepada mangkubuminya, Tun Demang namanya, suruh mengampungkan rakyat Kampar. Maka Tun Demang pun keluarlah mengampungkan segala rakyat dan berhadir segala kelengkapan perang. Setelah itu maka Seri Nara Diraja pun datanglah. Maka segala orang Melaka pun naiklah ke darat, lalu dikeluari oleh Maharaja Jaya dengan kenaikan gajah, dan Tun Demang di bawah gajah, Senjatanya lembing. Maka bertemulah orang Melaka dengan orang Kampar, lalu berperang terlalu ramai; ada yang.bertikamkan.lembing, ada yang bertetakkan pedang dan cipan, ada yang berpanahpanahan. Maka daripada kedua pihak rakyat pun banyaklah matinya, dan darah yang mengalir di bumi. Adapun perang itu seperti dalam hikayat. Daripada sangat tempuh orang Melaka, maka orang Kampar pun undur.
Disebut juga di dalam kisah ini berlaku pertempuran antara Seri Nara Diraja wakil Melaka dengan Tun Demang, wakil kerajaan Kampar. Pertempuran itu berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Seri Nara Diraja dan penguasaan Melaka ke atas Kampar. Sultan Mansur Syah juga telah meletakkan pemerintahan Kampar di bawah Seri Nara Diraja sebagai balasan jasa yang dicurahkannya kepada perkembangan kemajuan Melaka.
SERI UDANA DAN PENAKLUKAN SIAK
Selepas kisah Seri Nara Diraja dan Khoja Baba menakluk Kampar, Sultan Mansur Syah mendapat pula berita berkenaan sebuah negara asal kerajaan Pagar Ruyung iaitu kerajaan Siak. Siak diperintah oleh seorang yang digelar Maharaja Parameswara, dan kerajaan Siak ini tidak mengiktiraf penguasaan Melaka. Sultan Mansur telah memerintahkan Seri Udana sebagai ketua dalam misi menakluk Siak. Kisah ini boleh dibaca dalam kitab Sulalatus Salatin:
Setelah sudah lengkap, maka Seri Udana pun pergilah dengan segala hulubalang yang tersebut itu. Berapa hari di jalan,maka sampailah ke Siak. Maka dipersembahkan orang kepada Maharaja Parameswara “Kelengkapan Melaka datang menyerang kita.” Maka baginda memberi titah pada mangkubuminya yang bernama Tun Jana Pakibul, menyuruh mengampungkan segala rakyat dan memperbaiki kota, dan berlengkap Senjata. Maka kelengkapan Melaka pun mudiklah. Adapun kota Siak itu di tepi sungai; maka oleh orang Melaka, segala kelengkapan dikepilkannya berkembar dengan kota Siak. Maka oleh orang Melaka ditempuhinya sekali dengan Senjata, rupanya seperti air turun dari atas bukit; maka rakyat Siak pun banyaklah matinya. Bermula, Maharaja Parameswara berdiri di kepala kotanya, menyuruhkan segala rakyatnya berperang. Setelah dilihat oleh Akhtiar Muluk, maka segera dipanahnya, kena pada dada Maharaja Parameswara terus, maka Maharaja Parameswara pun matilah. Setelah rakyat Siak melihat rajanya sudah mati, habislah pecah lari cerai-berai; maka kotanya pun dibelah oleh orang Melaka, dimasukinya; sekaliannya menawan dan merampas, terlalu banyak beroleh rampasan.
Kerana kebijaksanaan Seri Udana dan semangat perjuangan hulubalang Melaka, peperangan ini berpihak kepada Melaka dan sekali gus meletakkan Siak di bawah pemerintahan Sultan Mansur Syah dan kesultanan Melayu Melaka.
PERANG KERAJAAN HARU DAN MELAKA
Dalam Sulalatus Salatin, tersebut kisah sebuah kerajaan bernama Haru yang mempunyai pemerintah bernama Maharaja Diraja. Kisahnya bermula dengan konflik antara kerajaan Haru dan kerajaan Pasai, sehingga membawa kepada arahan daripada Maharaja Diraja untuk menyerang Pasai seterusnya kerajaan Melaka termasuk tanah jajahan Melaka. Mengikut penulisan Tun Seri Lanang, kerajaan Haru ini sebuah kerajaan yang sama besar atau lebih besar daripada Melaka, mengikut penerangan kelengkapan perang yang dimiliki oleh kerajaan Haru:
Kelengkapan Haru tiga ratus banyaknya, kelengkapan Melaka hanya seratus. Pada sebuah perahu Melaka, dua tiga buah perahu Haru.
Pada pertemuan kali pertama di sebuah kawasan jajahan Melaka, pemerintah Melaka ketika itu iaitu Sultan Alau’d-Din telah memerintahkan Laksamana Hang Tuah bersama dengan Seri Bija Diraja membawa hulubalang Melaka untuk menyekat kemaraan tentera Haru daripada terus menyerang dan merosakkan kediaman penduduk di kawasan tersebut, membawa kepada kekalahan kepada tentera Haru. Pertempuran kali kedua pula berlaku di Melaka, di mana tentera Haru telah datang menyerang Melaka:
Arkian maka kelengkapan Haru pun datang, bertemu dengan kelengkapan Melaka lalu berperang, tiada sangka bunyinya lagi. Maka rupa anak panah dan damak sumpitan seperti rnanik hujan yang lebat. Maka oleh orang Melaka dilanggarnya sekali-sekali, dicurahnya dengan batu dan seligi; maka kelengkapan Haru pun banyaklah alah, barang yang tinggal habis.
Peperangan ini berakhir dengan kemenangan kepada Melaka. Maka Haru pun termasuk dalam salah satu kerajaan di Kepulauan Nusantara yang tunduk kepada pemerintahan Melaka. Kisah-kisah perang sangat banyak jika dicari dan dibaca di dalam Sulalatus Salatin, dan banyak pengajaran boleh diambil daripadanya dalam memupuk semangat perpaduan antara rakyat.
Kisah-kisah perang ini dan banyak lagi merupakan antara kisah yang diceritakan oleh Tun Seri Lanang di dalam kitab beliau Sulalatus Salatin. Tidak dinafikan sejarah negara kita juga menarik dan elok untuk dipelajari di samping, jika dibaca dan diajarkan kepada rakyat Malaysia, nescaya akan dapat memupuk semangat cintakan negara melalui kisah-kisah lama yang berlaku di kepulauan Nusantara ini, sekali gus dapat mengimbangi minat rakyat kita yang terlalu banyak disogokkan dengan kehebatan sejarah Barat dan Timur dunia.
RUJUKAN:
- Samad Ahmad (penyelenggara). 1979. Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu (Edisi Pelajar). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Mashitah Sulaiman & Adibah Sulaiman @ Mohamad. 2013. Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) (Edisi Lengkap). Nilai: Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin. 2014. Pengajian Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar.
Mardiana Nordin. T.th. Peperangan di dalam Sulalatus Salatin. Universiti Malaya. (https://www.um.edu.my/docs/librariesprovider4/history_dept/scholarly_articles/mardiana-peperangan-di-dalam-sulalatus-salatin.pdf?sfvrsn=2)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih